Isnin, 21 November 2011

Hatimu Milikku - Bab 4


BAB 4

“Aisya Lyana Sofea Binti Ahmad Nordin!!” jerit Tengku Hariz dari dalam bilik.
Semua yang berada diluar terkejut dengan jeritan Tengku Hariz. Masing-masing berpandangan sesama sendiri. Belum pernah mereka melihat Tengku Hariz semarah itu. Setahu mereka, Tengku Hariz merupakan seorang yang tegas dan bukan pemarah, tetapi hanya pada beberapa perkara sahaja yang boleh membuatkan Tengku Hariz menjadi marah dan tegas. Pertama, jika pekerja bawahan tidak mengikuti peraturan yang telah ditetapkan oleh syarikat. Kedua, jika pekerja bawahan melawan serta membantah arahan yang telah dikeluarkan, maka surat cinta dari Bahagian Sumber Manusia akan diberikan ke atas pekerja tersebut. Ketiga, jika pekerja bawahan menyentuh barang peribadinya di dalam pejabat melainkan tukang cleaner yang telah diarahkan untuk mengemas pejabat. Keempat, jika pekerja bawahan mencampuri urusan peribadinya dan yang terakhir jika pekerja bawahan mencampur adukkan urusan peribadi dengan kerja. Dia amat pantang jika pekerja bawahan bermain cinta di syarikatnya. Bagi Tengku Hariz urusan cinta harus dilakukan luar dari syarikat.
“Nurul, where’s Aisya?” tanya Tengku Hariz dengan tiba-tiba mematikan lamunan Nurul terhadap Tengku Hariz. “Nurul, I’m talking with you!” sambung Tengku Hariz sedikit meninggi apabila tiada tindak balas dari secretarynya itu.
“Maaf Tengku, Cik Aisya belum masuk lagi,” jawabnya ikhlas sedikit gugup.
What do you mean with Cik Aisya belum masuk lagi?” ulang Tengku Hariz dengan nada yang masih keras. Matanya mencerlung ke arah Nurul. Menanti jawapan dari secretarynya itu.
Nurul tidak tahu bagaimana untuk menjawab soalan Tengku Hariz. Apa yang pasti, Aisya masih belum menampakkan batang hidungnya lagi. Jam di dinding sudah menunjukkan hampir ke angka 9.00 pagi. Waktu bekerja di Syarikat Menara Holding bermula dari pukul 8.30 pagi hingga ke 5.30 petang. Aisya sepatutnya prihatin dengan waktu bekerja memandangkan dia masih lagi dalam tempoh percubaan.
“Maaf kak saya terlewat,” suara Aisya dengan tiba-tiba mematikan lamunan Nurul lagi. Nurul yang agak terkejut dengan kehadiran Aisya. Sekilas itu dia memandang ke arah jam di dinding. “Kak, saya terlewat bangun dan maaf juga kerana tidak memberitahu akak terlebih dahulu,” bicara Aisya lembut apabila menyedari Nurul mengerling ke arah jam di dinding.
Nurul bangun dan menghampiri Aisya yang sedang sibuk mencapai fail dan menghidupkan komputer.
“Aisya, akak bukannya apa, bos pantang kalau stafnya masuk lambat tanpa memberitahunya terlebih dahulu. Aisya kena ingat semua ni,” nasihat Nurul sebelum memberitahu Aisya bahawa Tengku Hariz ingin berjumpa dengannya. Aisya hanya menganggukkan kepala menandakan faham dan mengerti akan apa yang dinasihatkan oleh Nurul itu.
Aisya melangkah berani menuju ke bilik Tengku Hariz. Dia dapat menduga dengan apa yang bakal dihadapi selepas sahaja dia menjejakkan kaki masuk ke dalam bilik itu. Dia tahu dia berbuat salah dan melanggari peraturan syarikat kerana lewat menghadirkan diri ke pejabat. Bukan sengaja untuk berbuat begitu. Disebabkan keletihan yang terlampau gara-gara kelewatan pulang semalam, membuatkan dia terlewat bangun dan lewat juga hadir ke tempat kerja. Apa yang menjadi tanda tanya, kenapa Nadia tidak membangunkannya? Ah! Mungkin aku yang tidur mati sampai tak sedar Nadia kejutkan aku. Agaknya dia pun akan terlewat kalau terus-terusan kejutkan aku, simpulnya di dalam hati namun debaran di hati tidak akan reda selagi dia tidak menjejakkan kaki ke dalam bilik Tengku Hariz.
“Masuk!” arah Tengku Hariz tegas dan keras. Menahan kemarahan di hati.
Aisya mengatur langkah menghampiri meja Tengku Hariz setelah tombol pintu di pulas.
“Maafkan saya Tengku di atas kelewatan saya hari ini,” jujur Aisya dengan nada yang terketar-ketar. Dia menundukkan muka memandang lantai.
“Maaf! Awak ingat ini company bapa awak yang punya ke, sesuka hati awak nak datang dan balik?” marah Tengku Hariz sambil membaling fail ke muka Aisya.
Tersentak Aisya dengan tindakan Tengku Hariz itu. Tidak menyangka Tengku Hariz sanggup berbuat begitu disebabkan kesalahan kecil yang dilakukan olehnya hari ini. Air mata sudah mulai bertakung di kelopak mata, hanya tunggu masa untuk gugur sahaja. Hatinya tersentuh tatkala Tengku Hariz menyebut perkataan ‘bapa’.
“Lagi satu, laporan yang awak buat ni, langsung tidak menepati kehendak syarikat. Rubbish!!’’ sambung Tengku Hariz dan kali ini dia melemparkan fail yang telah disediakan oleh Aisya semalam ke atas meja sehinggakan fail itu jatuh betul-betul di bawah kaki Aisya.
Aisya menyeka air mata di pipi. Hatinya benar-benar sakit apabila diperlakukan sebegitu oleh Tengku Hariz. Walau seteruk mana kesalahan serta seburuk mana hasil kerjanya, Tengku Hariz punya hak untuk mengkritik tapi Tengku Hariz tidak punya hak untuk menjatuhkan maruahnya. Dia terasa maruahnya dipijak-pijak oleh Tengku Hariz sewenang-wenangnya.
“Jika tiada apa-apa lagi, saya minta diri dulu,” pohon Aisya lemah. Dia tahu ketika itu dia harus mendiamkan diri. Jika dia bersuara seperti mencurahkan air ke daun keladi. Untuk tidak terus-terusan maruahnya di pijak-pijak, dia memohon diri untuk beredar dari ruangan yang menyesakkan nafas itu.
“Hey, aku belum habis cakap lagi,” tegur Tengku Hariz masih keras mematikan langkah Aisya. Matanya tajam merenung Aisya.
“Tengku nak kata apa lagi pada saya. Semua yang saya lakukan menjadi kesalahan bagi Tengku. Jadi ada baiknya saya keluar. Moga hati Tengku lebih mengingati ALLAH dan tidak mudah dihasut oleh syaitan,” luah Aisya seakan menyindir. Dia nekad untuk keluar dari bilik itu. Dia tidak hiraukan tindakan yang bakal diterima akibat melawan cakap bos, asalkan dia tidak diperlakukan sebegitu lagi.
Tengku Hariz terkejut dengan tindakan Aisya yang keluar tanpa arahannya. Belum pernah pekerja bawahan melawan arahannya melainkan Aisya. Dia benar-benar rasa tercabar dengan kedudukannya sebagai Pengarah Urusan di Menara Holding.


“Aisya!” panggil Nurul terketar-ketar kerana dikhuatiri akan mengganggu kerja Aisya.
Semasa menuju ke bilik Tengku Hariz untuk menghantar dokumen tadi, dia terdengar akan amukan dan amarah Tengku Hariz terhadap Aisya. Niatnya untuk masuk ke dalam bilik menghantar dokumen mati begitu sahaja kerana dikhuatiri akan dimarahi oleh Tengku Hariz pula.
“Ermm..” balas Aisya pendek.
Aisya masih lagi khusyuk dengan tugas membetulkan laporan yang dibuat olehnya semalam. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia membuang laporan tersebut ke dalam tong sampah. Dia kecewa kerana usahanya tidak dihargai oleh Tengku Hariz. Pulang lewat hampir ke satu pagi, semata-mata untuk menyiapkan laporan tersebut hanya sia-sia sahaja.
Nurul melangkah menghampiri Aisya yang masih tekun membuat kerja.
“Ada apa kak?” tanya Aisya apabila menyedari akan kehadiran Nurul di sisi. Nurul masih berperang untuk bersuara. “Kak, kalau tak ada apa-apa, boleh tak akak jangan kacau saya. Saya tengah banyak kerja ni,” sambung Aisya sedikit meninggi.
“Maaflah kalau akak ganggu Aisya,” ujar Nurul perlahan dan kembali semula ke tempat duduk. Mukanya berubah muram selepas ditegur oleh Aisya.
Melihatkan perubahan di wajah Nurul, lantas Aisya meminta maaf akan keterlanjuran kata-katanya tadi. Dia tidak berniat untuk berkata begitu. Nurul memahami situasi tekanan Aisya. Namun dia tidak ambil hati dengan kata-kata Aisya. Dia juga bersalah kerana membabitkan Aisya dalam hal tersebut.
“Nah! Saya nak awak siapkannya hari ini juga tanpa sebarang kesilapan. Laporan semalam sekali. Faham!” arah Tengku Hariz sambil mencampakkan sebuah fail betul-betul di hadapan mata Aisya dan hampir mengenai mata Aisya.
Aisya tersentak. Jari-jemari yang dari tadi khusyuk menekan papan kekunci termati dengan tiba-tiba. Astaghafirullahalazim!! Mengucap Aisya, terkejut dengan perbuatan Tengku Hariz sebentar tadi.
Tak guna punya bos. Sesuka hati kau aje nak campak benda depan aku. Kau ingat aku ni patung ke? Menyumpah Aisya di dalam hati. Betullah kata Kak Nurul, dia tu ikut suka hati dia aje nak marah atau tak. Aku tersalah anggap tentang dia. Tapi, takkanlah disebabkan insiden kat restoran ari tu sampai kau nak dera aku. Benda kecil pun nak dibesar-besarkan ke? Tak professional langsung, gerutu Aisya lagi. Dia berpendapat bahawa Tengku Hariz masih lagi menyimpan dendam di atas insiden yang lalu. Namun, dia tidak menyedari bahawa tingkah lakunya sedang diperhatikan oleh Tengku Hariz.
“Awak menyumpah saya ke Aisya?” sergah Tengku Hariz sedikit meninggi dan mendesak. Matanya tajam ke muka Aisya.
Aisya mengetap bibir. Sudah menjadi kebiasaan bagi mulutnya terkumat-kamit apabila memarahi seseorang di dalam hati. Ya! Memang aku tengah menyumpah kau. Ingin saja Aisya melontarkan kata-kata tersebut tetapi hanya setakat di kerongkongnya sahaja.
“Do it now!!” Arah Tengku Hariz nyaring dan hampir memecahkan suasana sunyi di pejabat itu. Nurul yang berada berhampiran dengan meja Aisya hanya tunduk membisu tanpa menjeling mahupun untuk melihat. Dikhuatiri tindakannya nanti dapat dihidu oleh Tengku Hariz.
Tengku Hariz menghempas pintu bilik. Bengang dan marah dengan Aisya tidak pernah surut. Walaupun dia tidak berapa jelas dengan kata-kata Aisya tadi, dia dapat merasakan yang Aisya sedang menyumpah seranah dirinya.
Huh! Dengus Tengku Hariz melepaskan kemarahan sambil tersandar lesu. Dia menggenggam tangan dengan erat sekali. Kau cabar aku Aisya. Kau tunggu apa yang aku akan buat pada kau nanti. Kau jangan ingat kau boleh senang bekerja kat sini. Aku akan pastikan kau berhenti dari kerja dan merayu-rayu aku supaya mengambil kau semula. Kita tunggu dan lihat saja Aisya, azam Tengku Hariz sambil ketawa sinis. Insiden yang berlaku di restoran tidak lama dulu membuatkan dirinya membenci dan berdendam dengan Aisya.
Mana mungkin dia tidak membenci dan berdendam dengan Aisya kerana Aisya telah memalukan dirinya di khalayak ramai. Aisya telah mempertikaikan harga kemejanya. Jika diikutkan hati ketika itu, mahu sahaja dia menampar Aisya. Tetapi, dia hanya mampu untuk menolak Aisya jatuh ke lantai. Walaupun begitu, hatinya tetap puas tatkala melihat Aisya jatuh tersungkur di depan orang ramai. Ah! Buat apa aku fikirkannya lagi. Aku perlu fikirkan cara untuk menyingkirkan dia dari syarikat aku, bisik Tengku Hariz.


“Mak Kiah!” laung Tengku Hariz dari dalam bilik. Terkocoh-kocoh Mak Kiah berlari meniti anak tangga menuju ke bilik Tengku Hariz yang terletak di tingkat atas. “Mana baju saya?” tanya Tengku Hariz sebaik sahaja Mak Kiah berada di hadapan.
“Baju yang mana satu Tengku?” tanya Mak Kiah tersekat-sekat. Alamak! Tertanya la pulak, bisik Mak Kiah di dalam hati. Tengku Hariz amat pantang jika sesiapa bersoal jawab dengannya semula.
Tengku Hariz mengangkat kening. Mak kiah tertunduk takut.
“Baju yang saya suruh Mak Kiah basuhkan pagi tadi. Mana dia baju tu?” jawab Tengku Hariz seraya menghulurkan tangan meminta dari Mak Kiah. Mak Kiah terkial-kial cuba mengingati arahan Tengku Hariz pagi tadi. Dia menepuk dahi apabila mengingatinya semula.
“Maafkan Mak Kiah Tengku Hariz, Mak Kiah benar-benar terlupa nak membasuhnya pagi tadi,” jujur Mak Kiah berkata-kata.
“Apa? Terlupa?” ulang Tengku Hariz sedikit meninggi. “Mak Kiah, kan saya dah pesan pagi tadi, basuh baju tu dan saya nak pakai malam ni,” sambung Tengku Hariz geram.
Mak Kiah tunduk membisu. Menyedari akan kesilapannya. Masuk kali ketiga dia terlupa membuat kerja yang telah diarahkan. Semenjak dia menjejakkan kaki ke dalam keluarga ini, tidak pernah sekali pun dia berbuat salah. Kesemua arahan yang diberikan di sempurnakan dengan penuh amanah dan dedikasi, kerana di sinilah tempat dia mencari rezeki yang halal walaupun kadang kala sikap keluarga Tengku Azman amat menyakitkan hati terutama Tengku Hariz. Mungkin aku dah tua dan ada baiknya aku berhenti dari pekerjaan ini, luahnya di dalam hati hiba dan sedih.
“Eh… eh… orang tua ni, mengelamun pulak. Jangan nak buat drama kat sini. Dah, keluar!” arah Tengku Hariz sambil mencapai sehelai T-Shirt berwarna biru laut dari dalam almari.
Mak Kiah akur dan segera beredar dari bilik itu. Hatinya benar-benar terasa dengan kata-kata Tengku Hariz sebentar tadi. Ditahan air mata agar tidak tumpah membasahi pipi tua itu.
Mak Kiah mengeluh berat. Dia kecewa dengan sikap dan perangai Tengku Hariz. Tidakkah Tengku Hariz ingat siapa yang menjaganya selama ini, dari kecil hinggalah dia sedewasa itu? Tidakkah dia tahu, tangan yang membelai dan mengusap rambutnya adalah tangan orang tua yang ditengking-tengking dan dihina-hina selama ini? Sejak kelahiran Tengku Hariz, Mak Kiahlah yang bertungkus lumus menjaga Tengku Hariz serba serbi sepertimana dia menjaga abangnya dahulu. Sharifah Rohana Binti Syed Aziz terlalu sibuk dengan urusannya. Sehabis saja berpantang, Puan Sharifah Rohana kembali ligat dan aktif berpersatuan dan sentiasa menghadiri jamuan-jamuan di luar. Tengku Azman Bin Tengku Imran! Boleh dikira berapa jam dia duduk dan berada di rumah. Sentiasa ada urusan di luar negara, mungkin panas punggungnya jika berada di rumah. Cuma sejak akhir-akhir ini, Tengku Azman sentiasa berada di rumah. Mungkin disebabkan usianya yang sudah lewat ataupun sudah ada pengganti yang boleh menggantikannya menguruskan syarikat.
“Apa yang bising-bising tadi tu Mak Kiah?” sapa seseorang mematikan lamunan Mak Kiah.
“Eh, bila Puan Sharifah balik?” Mak Kiah sengaja menukar topik. Tidak mahu membesar-besarkan perkara yang kecil dan boleh diselesaikan tanpa bertelagah.
“Mak Kiah lupa nak basuh baju Riz ma, Riz marah dia tadi,” sampuk Tengku Hariz jujur sambil menuruni anak-anak tangga dengan pantas.
Mak Kiah tertunduk dan terkedu untuk berkata-kata. Puan Sharifah Rohana menghampiri Mak Kiah yang masih lagi tertunduk memandang lantai.
“Maafkan saya Puan Sharifah, saya benar-benar terlupa tadi.” Belum sempat Puan Sharifah Rohana berkata-kata, Mak Kiah sudah pun mengakui akan kesalahannya. Tengku Hariz hanya tersenyum sinis dan beredar keluar dari rumah.
“Lain kali jangan buat macam ni lagi. Mak Kiah bukannya tak kenal dengan perangai Hariz. Dia memang pantang kalau orang lupa dengan arahannya,” nasihat Puan Sharifah Rohana sambil menepuk lembut bahu Mak Kiah. Kemudian dia meninggalkan Mak Kiah yang masih lagi dirundung rasa bersalah. Mak Kiah menyambung semula kerjanya yang tertangguh tadi dengan rasa kesalan dan pilu di hati.


Tengku Hariz segera keluar setelah memarkirkan kereta di hadapan bangunan Menara Holding. Dia boleh terlupa untuk membawa sekali briefcase pulang ke rumah kerana ke semua dokumen yang diperlukan berada di dalam briefcase tersebut. Malam ini dia terpaksa akur dengan arahan Tengku Azman yang memintanya menghadiri sebuah perjumpaan bersama rakan-rakan perniagaan Tengku Azman di sebuah restoran ternama di Kuala Lumpur. Kalau diikutkan hati, ingin saja dia menolak arahan Tengku Azman itu kerana dia sudah pun berjanji untuk makan malam bersama Sharifah Aleeya. Namun siapalah dia untuk membantah arahan Tengku Azman. “Mahu ataupun tidak, Hariz kena pergi juga,” kata-kata Tengku Azman yang tegas masih terngiang-ngiang di cuping telinga. Walaupun hati membantah, arahan Tengku Azman terpaksa diikutkan juga.
“Ya, aku tahu Nadia. Kau janganlah marahkan aku. Aku tengah usaha siapkannya dengan cepat,” jelas Aisya berharap Nadia akan faham situasinya ketika itu. Dia tidak ada masa untuk melayan karenah Nadia yang memarahinya apabila pulang lewat untuk kali yang kedua semata-mata menyiapkan laporan untuk bos yang dianggap gila itu.
Aisya mematikan talian telefon ketika Nadia masih lagi membebel di hujung talian. Jika dia tidak berbuat begitu, sudah pastilah Nadia akan terus-terusan memarahinya. Aisya mengalihkan tumpuan semula ke screen komputer sambil jari-jemari menekan papan kekunci.
“Ish!! Bunyi apa tu?” keluh Aisya dengan tiba-tiba dan mematikan segala perbuatannya. Bingkas dia bangun dan mengamati bunyi tersebut yang datangnya dari pintu utama. Jika dia tidak silap, dia telah berpesan kepada Hisham agar mengunci pintu utama kerana dia akan pulang lewat menyiapkan laporan yang diminta oleh Tengku Hariz. “Takkan pencuri kot?” soalnya sambil mencapai sesuatu dari bilik pantry. Dia melangkah perlahan-lahan menghampiri pintu utama dan menyorok di belakang pintu. Sekurang-kurangnya bila aku di sini, aku boleh pukul pencuri tu dari arah belakang, fikirnya dan segera membatukan diri menunggu kemunculan pencuri tersebut. Sebaik sahaja melihat sesusuk tubuh masuk ke dalam pejabat, dengan pantas dia memukul belakang susuk tersebut.
“Aduh!!” rengek Tengku Hariz seraya jatuh tersungkur menyembah lantai. Dia cuba bangun tetapi dirasakan bahunya kesakitan amat sangat, begitu juga lengannya.
“Ya ALLAH, Tengku Hariz!!” jerit Aisya terkejut dengan kehadiran lelaki itu di pejabat, rasa bersalah yang amat sangat sedang menghantui diri ketika ini. “Maafkan saya Tengku, saya tak sengaja. Saya ingatkan pencuri tadi, rupa-rupanya Tengku. Maafkan saya,” jelas Aisya dengan riak bersalah. Dia cuba untuk membantu Tengku Hariz berdiri namun ditepis keras oleh Tengku Hariz.
Tengku Hariz merasakan bahunya bagai nak tercabut dari badan. Terasa sakit dilengan kerana dia menghimpit lengannya sendiri ketika jatuh tadi.
“Awak ni bodoh ke? Takkan saya nak mencuri masuk office saya sendiri!” tengking Tengku Hariz sambil memicit-micit bahu yang kesakitan dengan menggunakan tangan sebelah kiri.
“Maafkan saya, saya memang tak sengaja nak pukul Tengku. Saya ingatkan pencuri yang nak masuk dalam office ni tadi,” jelas Aisya lagi. Dia berasa tidak selesa apabila direnung tajam oleh Tengku Hariz. Dia tunduk membisu seketika seusai menjelaskan perkara sebenar kepada Tengku Hariz.
“Maaf? Maaf kepala otak kau. Kau ingat dengan perkataan maaf boleh menyelesaikan semua masalah!” tengking Tengku Hariz kuat dan melangkah masuk ke dalam bilik. Dia mencari briefcase berwarna hitam miliknya di dalam pejabat itu.
Entah mengapa Aisya membenarkan semua kata-kata Tengku Hariz yang dilemparkan sebentar tadi. Mungkin dia tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan mahupun untuk memperbesar-besarkan hal yang tidak disengajakan. Dia sudah pun meminta maaf kepada Tengku Hariz. Di atas perbuatan yang di luar tindakan refleksnya. Tetapi kata-kata maafnya itu tidak diendahkan oleh Tengku Hariz.
“Tengku!” panggil Aisya.
Langkah Tengku Hariz terhenti dengan panggilan itu.
“Saya tahu saya bersalah, tapi itu tidak bermakna Tengku ada hak untuk menengking saya. Saya tidak diajar untuk menjawab ataupun membalas tengkingan seseorang kerana saya tahu bagaimana untuk menghormati orang, bukan seperti Tengku yang berlagak bagus seolah-olah Tengku berkuasa untuk menghukum orang. Hanya ALLAH sahaja yang berhak menghukum umat-umatNYA,” khutbah Aisya panjang lebar. Dia menundukkan muka. Malas untuk bertentangan mata dengan Tengku Hariz.
Tengku Hariz mengangkat kening dan memandang tajam ke arah Aisya, seperti singa yang sedang lapar, menunggu masa untuk membaham mangsanya.
“Mak ayah awak tak ajar awak bagaimana untuk menggoda lelaki kaya sekali ke?” sindir Tengku Hariz diikuti dengan ketawa sinisnya yang sengaja dan cukup menjengkelkan Aisya.
Aisya terkejut dengan lontaran kata-kata Tengku Hariz. Dia mengangkat muka dan merenung tajam ke wajah Tengku Hariz.
“Kenapa perlu libatkan mak ayah?” suara Aisya perlahan menahan kesabaran namun masih didengari oleh Tengku Hariz. Tengku Hariz masih meneruskan tawanya.
“Sebab mak ayah kau tu bodoh, dah tu ajar anak yang bodoh macam kau… bertambah bodoh la,” sambung Hariz dan segera melangkah jalan menuju ke pintu utama. Masih kedengaran sisa tawanya itu.
Menyirap darah Aisya mendengar setiap inci perkataan Tengku Hariz. Dia terasa dihina dan dikutuk oleh Tengku Hariz. Jika dia saja yang dihina dan dikutuk, dia masih boleh menerimanya, tetapi apabila melibatkan orang tua, dia tidak boleh bersabar lagi.
Pangggg!!!!
Satu tamparan hangat mengenai pipi Tengku Hariz. Tersentak Tengku Hariz dengan tindakan Aisya itu. Di luar jangkaannya.
“Woi… cari nahas betul minah ni!!” marah Tengku Hariz sambil meraba-raba pipi yang terasa sakit dan kebas. Matanya tajam menusuk ke muka Aisya.
“Sakit?” soal Aisya mengejek. “Begitu jugalah sakitnya hati saya apabila awak menghina dan mengutuk keluarga saya. Ya, memang saya tidak diajar dengan baik oleh arwah abah saya, tapi saya masih berpegang dengan ajarannya walaupun arwah sudah lama pergi meninggalkan saya. Jangan sesekali awak menghina orang lain. Mana tau suatu hari nanti, orang yang awak hina itu akan membantu awak ketika awak dalam kesusahan. Saya minta maaf sekali lagi. Mulai esok saya berhenti bekerja dari syarikat awak. Terima kasih di atas tunjuk ajar yang awak berikan walaupun tunjuk ajar awak itu hanyalah penghinaan, tengkingan dan kemarahan awak terhadap saya. Maaf juga jika saya telah memalukan awak di khalayak ramai atas insiden yang berlaku di restoran dulu. Saya minta diri dulu!!” luah isi hati Aisya dan terus mencapai beg tangan dari dalam laci dan segera beredar dari situ. Ketika itu dia benar-benar memerlukan seseorang untuk merembeskan air mata yang sudah lama di seka agar tidak gugur di hadapan Tengku Hariz.
Kau perlu kuat Aisya. Ini baru sedikit. Kau pernah terima yang lagi dahsyat dari hari ini, bisiknya seolah-olah memberi kata-kata semangat buat dirinya sendiri. Masih jelas diingatan bagaimana dia dihina dan diherdik setiap hari oleh Tengku Azizul bekas suaminya dulu. Tidak pernah terlintas dan terdetik di fikiran mahupun berangan-angan untuk menjadi isteri kepada seorang Tengku, kaya dan terkenal seperti Tengku Azizul kerana dia tahu akan status dan kedudukannya di mata Tengku Azizul. Dia terjebak dengan dunia Tengku Azizul yang terlalu egois dan bongkak. Benarlah orang tua-tua kata ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’. Begitulah yang terjadi kepadanya lima tahun yang lepas. Kenangan yang tidak mudah untuk dilupakan sehingga ke akhir hayatnya juga. Disebabkan itu jugalah, dia terlalu sukar untuk mempercayai dan menerima insan yang bernama ‘lelaki’ di dalam hidupnya.
“Cik Aisya!” tegur seseorang dari belakang mematikan lamunan Aisya. Aisya menoleh dan terlihat Mr. Raja sedang tersenyum memandangnya. “Cik overtime lagi ke?” sambung Mr. Raja. Aisya hanya menganggukkan kepala sahaja. “Nak saya tolong panggilkan teksi?” pelawa Mr. Raja apabila melihat Aisya hanya tunduk membisu.
“Eh, tak mengapalah Uncle, kawan saya datang ambil,” tolak Aisya lemah. Ketika ini dia tiada mood untuk berbual panjang dengan Mr. Raja.
Kemudian itu, dia menuruni anak tangga dengan cermat untuk menuju ke perhentian teksi yang terletak tidak jauh dari bangunan Menara Holding. Belum sempat dia melangkah menuruni anak tangga, lengannya sudah di tarik seseorang. Aduh! Nak apa lagi dia ni dengan aku. Tak puas hati lagi ke? Marah Aisya di dalam hati. Aisya menoleh dan memandang tepat ke anak mata Tengku Hariz yang sedang merah menyala seolah-olah sedang menahan kemarahan.
“Aku ada hadiah nak berikan pada kau.” Belum sempat Aisya membalas kata-kata Tengku Hariz, Tengku Hariz sudah pun mengucup bibirnya dengan rakus sekali. Ya ALLAH! Hanya nama itu saja yang terbit dari dalam hati Aisya. Dia cuba melepaskan diri tetapi Tengku Hariz masih kuat memegangnya.
“Baru puas hati aku!” sorak Tengku Hariz meraikan kemenangan seraya menolak Aisya ke belakang. Aisya jatuh tersungkur. Kemudian, Tengku Hariz segera menghidupkan enjin kereta dan memecut laju meninggalkan bangunan Menara Holding. Aisya masih lagi tergamam dengan tindakan Tengku Hariz. Mr. Raja yang sedari tadi menjadi pemerhati, segera menuju ke pondok pengawal sambil mulutnya terkumat-kamit menuturkan sesuatu.
“Ayoyo kadawaley!” suara Mr. Raja mengejutkan Pak Mat yang sedari tadi ralit menonton televisyen. Dia memandang sekilas ke arah rakan sekerjanya itu.
“Kamu ni kenapa Raja? Dari tadi aku menengok mulut kamu tu macam menyumpah seranah seseorang saja, kenapa?” soal Pak Mat. Jelas kerisauan di wajah tuanya itu.
Ayoyo Mat, itu budak sedang… sedang…” Agak sukar Mr. Raja untuk melontarkannya. Berkerut dahi Pak Mat menunggu ayat yang masih tidak dikeluarkan dari mulut Mr. Raja.
“Sedang apa Raja oii!” ulang Pak Mat dengan nada yang ditekankan sedikit.
“Ala… itu orang muda zaman sekarang la Mat… itu… sedang…” jawab Mr. Raja sambil menunjuk isyarat tangan seperti orang bercium kepada Pak Mat. Bulat mata Pak Mat melihat isyarat Mr. Raja itu.
“Ala, apa yang nak dikesahkan sangat Raja. Zaman sekarang ni, mana-mana tempat pun boleh jadi. Dahlah, aku nak ke tandas kejap, kamu tunggu ya,” bidas Pak Mat dan segera meninggalkan pondok pengawal. Belum sempat Pak Mat melangkah jauh, dia menoleh semula ke arah Mr. Raja dan bersuara.
“Rugi pulak aku tak menengoknya ya Raja.” Mr. Raja terkejut dengan kata-kata Pak Mat. Dia memandang ke arah Pak Mat yang berjalan longlai menuju ke tandas. Jelas kedengaran bunyi ketawa Pak Mat selepas melontarkan kata-kata itu tadi. Namun dalam hati Mr. Raja, dia masih tertanya-tanya akan tindakan berani Tengku Hariz mencium Aisya. Seolah-olah Aisya tidak merelakan perbuatan Tengku Hariz itu. Aduh! Amma, macam mana ini? Anne banyak kesian sama itu Cik Aisya, bisik Mr. Raja sendirian.


“Aisya!” panggil Nadia sambil menurunkan cermin kereta.
Aisya menoleh sambil menyeka air mata yang hampir gugur. Dia melangkah masuk ke dalam kereta sambil melemparkan sebuah senyuman hambar kepada Nadia. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu Nadia menyedari akan perubahan di mata serta di wajahnya.
“Kau tertidur kat lantai tu ke tadi?” tanya Nadia dengan tiba-tiba memecahkan kesunyian di dalam kereta. “Kalau ya pun aku lambat, janganlah sampai tidur kat situ, macam pengemis pulak aku tengoknya,” sambung Nadia lagi diikuti dengan gelak tawanya yang nakal.
Aisya hanya tersenyum pahit. Tidak mahu membalas kata-kata Nadia. Apa yang dia mahukan ketika ini ialah pulang ke rumah dan membersihkan diri daripada kesan noda yang ditinggalkan Tengku Hariz sebentar tadi.
“Kau ada apa-apa nak bagitau aku, Aisya?” soal Nadia lagi apabila menyedari tiada tindak balas yang dipamerkan oleh Aisya ke atas gurauannya sebentar tadi.
Aisya hanya membisu dan menggelengkan kepala sahaja. Nadia menoleh sekilas pandang ke arah Aisya yang sedang duduk di kerusi sebelah pemandu. Terpancar ketakutan dan kesedihan di wajah Aisya ketika itu. Huh! Satu keluhan dilepaskan oleh Nadia. Sampai bila kau nak jadi macam ni Aisya? Dulu kau tak macam ni. Kalau orang mengutuk dan menghina kau, kau akan lawan dan membalasnya balik. Kenapa kau membisu dan mendiamkan diri bila orang mengambil kesempatan ke atas diri kau? Mana Aisya Lyana Sofea yang aku kenal dulu. Seorang yang tegas, periang, nakal, bijak dan manja. Aku merindui kau Aisya! Ingin saja Nadia melontarkan luahan itu kepada Aisya, namun ianya bagaikan tersekat-sekat di anak tekaknya sahaja.


“Ha… ha… ha… baru padan muka kau Aisya. Kau nak main-main dengan aku. Ini Tengku Harizlah. Jangan kau ingat senang nak kenakan aku!” sorak Tengku Hariz sebaik sahaja keretanya melepasi bangunan Menara Holding. Hatinya gembira. Senyuman gembira terukir di bibir. “Aku pasti lepas ni kau akan berhenti dari syarikat aku,” sambungnya lagi. Dia memutar stereng menuju ke rumah. Niatnya untuk mewakilkan Tengku Azman menghadiri perjumpaan dibatalkan begitu saja. Dia tidak peduli dengan kemarahan Tengku Azman. Apa yang penting, dia sudah membalas dendam terhadap Aisya dan kemenangan berpihak kepadanya.
Tengku Hariz menyeluk poket seluar apabila menyedari telefon bimbitnya bergetar. Lantas dia menekan butang hijau dan menunggu butir bicara dari pihak sebelah.
“Riz kat mana ni?” tanya Tengku Azman sebaik sahaja Tengku Hariz melekapkan telefon bimbit ke telinga. Keluhan berat terlepas jua. “Kenapa tak pergi perjumpaan tu? Mereka dah lama tunggu Riz!” sambung Tengku Azman sedikit meninggi.
“Riz tak sihat la papa. Tiba-tiba aje rasa pening kepala dan sakit-sakit badan. Riz on the way ke klinik ni,” bohong Tengku Hariz. Mungkin dengan cara ini, dia dapat melepaskan diri daripada menghadiri perjumpaan tersebut. Mungkin juga disebabkan tamparan Aisya tadi memberi hikmah padanya. Dan dia punya alasan yang kukuh untuk mengelak.
Bukan niatnya untuk membohongi Tengku Azman. Tetapi disebabkan sikap kawan-kawan Tengku Azman membuatkan dia terasa berat hati untuk berjumpa. Dia khuatir dia tidak cukup iman untuk melawan nafsu syaitannya nanti. Pada kebiasaannya jika dia menghadiri perjumpaan sebegitu, sudah pastilah perempuan-perempuan cantik akan melayani mereka. Mereka juga akan dijamukan dengan minuman keras dan berkaraoke. Walaupun imannya tidak sekuat mana, tetapi dia masih boleh membezakan yang mana buruk dan yang mana baik serta halal dan haram. Bercium tu halal ke? Dahinya berkerut tiba-tiba.
“Riz jangan nak susahkan papa. Riz tahu tak betapa pentingnya perjumpaan tu,” ujar Tengku Azman geram. Sakit hati apabila Tengku Hariz mengendahkan arahannya.
“Papa… Riz minta maaf. Kepala Riz benar-benar sakit. Okeylah papa, Riz nak jumpa doktor. Nanti Riz telefon papa balik,” beritahu Tengku Hariz dan segera mematikan talian telefon. Dia menarik nafas lega. Terlepas dari paksaan Tengku Azman.
Tengku Hariz memberhentikan kereta di bahu jalan. Nafasnya dihela panjang. Wajah Aisya yang tenang meniti di tubir mata. Entah mengapa wajah itu selalu mengganggu tidurnya setiap malam. Hatinya sentiasa berdebar tatkala wajah itu terlintas di fikiran. Apakah dia sudah jatuh cinta pada wajah itu? Apakah dia sudah angau pada wajah itu? Apakah hatinya sudah terpaut pada wajah itu? Apakah wajah itu pemilik kunci hatinya? Ah!! Kenapa aku berfikiran seperti ini? Aku benci dia! Aku benci dengan wajah itu! Aku benci! Bentak hatinya.
Tengku Hariz menyandarkan badan ke belakang. Tindakan mencium Aisya, mengganggu fikirannya. Kenapa dia tergamak bertindak seperti itu? Seolah-olah Aisya tidak punya maruah dan harga diri. Apakah syaitan telah merasuknya ketika itu? Adakah dia berniat untuk melakukannya? Adakah hatinya gembira ketika melakukannya? Semua persoalan memerlukan jawapan. Kemenangan sudah berpihak padanya. Dia tersenyum lebar. Jika Aisya nekad untuk meletakkan jawatan, sudah pastilah dia orang pertama yang akan meraikan kemenangan itu.
“Terimalah nasib kau pompuan!” kutuk Tengku Hariz dan tertawa sinis. Seminit kemudian, dia menghidupkan enjin kereta dan memandu pulang ke rumah. Rumah adalah tempat yang terbaik untuk merehatkan fikiran yang sedang kusut ketika ini.




8 ulasan:

  1. jahatnya hariz......

    BalasPadam
  2. sure hariz angau gan aisya....pas ni abg hariz b'temu aisya&terjadilah konflik 2 beradik...sj speku.hehehe...padan muka t.hariz&t.azizul!!

    BalasPadam
  3. best ....cepat sambung ya.

    BalasPadam
  4. dua2 beradik memang ego..!!

    BalasPadam
  5. a bit weird --- tak kn aisya tak tahu adik beradik ex hubby dia --- plus nama papa tu kn sama ---- then all this while aisya tak tahu ex hubby dia ada syarikat ..... mcm pelik je ---- dah berapa lama aisya kawen dulu? tak pernah jumpa famili ex hubby? peliksssss

    -coolz

    BalasPadam
  6. coolz... persoalan tu akn terjwb dlm bab 19... bc bab seterusnya ya.. thanks coz membaca HM..

    BalasPadam
  7. klu nak tau segala jawapan pada persoalan tu.. kene la teruskan membace bab-bab berikutnya...:-)

    BalasPadam