Jumaat, 23 Februari 2018

Hate Or Love You? - Bab 2







“SAYA nak awak uruskan client ni Nurin,” beritahu Puan Fauziah sambil menghulurkan sebuah fail kepada Nurin.
Nurin membalas huluran. Dia membuka fail lalu membaca maklumat di dalam fail tersebut. Cuba untuk memahami kehendak pelanggan.
“Awak ikut seperti yang diminta client. Kalau ada yang tak faham, awak boleh tanya saya,” jelas Puan Fauziah dalam nada serius.
Due date?” tanya Nurin seraya menutup fail.
“Majlis tu akan berlangsung 3 bulan dari sekarang. Awak masih ada masa, Nurin.” Puan Fauziah menyandarkan tubuh ke kerusi. Wajah Nurin di hadapan dipandang mesra.
Client ni…” Nurin menggantungkan ayat.
“Anak rakan kongsi syarikat kita ni.” Puan Fauziah berterus-terang. Dia mahu Nurin mengenali setiap pelanggan yang berurusan dengan syarikat mereka.
Nurin menganggukkan kepala.
“Pastikan awak buat yang terbaik untuk client ni, Nurin. Saya yakin awak boleh buat,” kata Puan Fauziah lagi. Menaruh harapan kepada Nurin.
“Insya-Allah, puan. Saya akan cuba buat yang terbaik untuk client ni. Saya tak akan hampakan puan,” balas Nurin berserta senyuman di bibir. Dia yakin tidak akan menghampakan Puan Fauziah.
“Saya tahu, awak tak akan hampakan saya sebab awak pekerja terbaik yang saya ada.” Puan Fauziah turut sama tersenyum. Itulah pandangannya terhadap Nurin.
“Kalau tak ada apa lagi, saya minta diri dulu puan.” Nurin bangun dari duduk. Dia melangkah jalan menuju ke muka pintu bilik.
Puan Fauziah mengangguk. Dia turut sama bangun dari duduk sambil memandang langkah Nurin keluar dari bilik.
“Nur!” Puan Fauziah memanggil.
Nurin mematikan langkah. Dia menoleh ke wajah Puan Fauziah.
“Sampaikan salam mak ngah pada mak Nur,” pesan Puan Fauziah beserta senyuman di bibir. Wajah anak saudaranya itu dipandang.
“Insya-Allah mak ngah,” balas Nurin lalu beredar dari situ.
Puan Fauziah menghela nafas ringan. Dia duduk semula ke kerusi. Wajah kakaknya, Puan Noraishah menyapa mata. Agak lama dia tidak melawat kakaknya itu. Semoga Puan Noraishah sihat. Bisiknya dalam hati.


NURIN menyandarkan tubuh ke kerusi. Mata dipejam rapat sambil otaknya memikirkan kisah lama. Disentuh dadanya yang terasa sebu. Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata Encik Nazaruddin. Masih segar di ingatan walaupun sudah 5 tahun peristiwa itu berlalu.
Nurin masih berfikir. Dia menarik nafas lalu dihembusnya lembut. Wajah Puan Noraishah terlayar di mata. Mak! Sebutnya perlahan lalu membuka mata.
“Nur sayangkan mak,” ungkapnya selepas itu.
“Nur mengaku yang Nur penyebab semua yang terjadi. Nur bersalah pada mak dan arwah ayah,” sambung Nurin pula. Rasa sebak menghuni di hati. Wajah Encik Nazaruddin menyapa mata ketika ini.
Seminit kemudian, dia menarik laci paling bawah. Sekeping gambar yang terselit di celahan buku ditarik keluar.
“Siapa kau yang sebenarnya?” soal Nurin sambil menatap gambar.
“Aku akan cari kau sampai dapat. Aku akan pastikan kau dapat pembalasan yang setimpal atas apa yang telah kau lakukan dulu,” kata Nurin dalam nada serius. Digenggam erat tangan. Sekadar melepaskan rasa marah yang terbuku di hati selama ini.
“Nur janji akan tebus kesalahan Nur pada mak dan arwah ayah,” janji Nurin kepada dirinya sendiri. Dia menyandarkan tubuh sambil melepaskan nafas ringan.
“Nurin!” tegur Shida, tiba-tiba dari arah muka pintu.
Nurin tersentak. Dia menghalakan mata ke arah Shida yang sudah pun melangkah masuk ke dalam bilik. Pantas, dia menyimpan gambar ke dalam laci.
“Kau kenapa?” tegur Shida berserta kerutan di dahi. Pucat wajah Nurin dilihatnya.
“Haa… kenapa apa?” tanya Nurin sedikit kalut.
Shida masih berkerut. Riak Nurin diperhati penuh minat.
“Kau nak apa?” Nurin bertanya lagi. Serba tidak kena ketika ini.
“Yang kau kalut sangat ni, kenapa?” Pelik Shida melihat Nurin. Seperti ada sesuatu yang dirahsiakan oleh Nurin.
“Kalut? Mana ada aku kalut,” tukas Nurin berserta nafas ringan.
Shida melabuhkan duduk di kerusi. Wajah kalut Nurin masih dipandang. Dia perasan dengan tingkah laku Nurin sebentar tadi. Seperti ada sesuatu yang Nurin sembunyikan daripadanya.
“Kau nak apa?” Untuk kali kedua Nurin bertanya. Sekadar menghalau pemikiran Shida tentang tingkah lakunya sebentar tadi.
“Puan Fauziah minta kita ke butik. Check stock,” beritahu Shida.
Check stock?” ulang Nurin. Dia berkerut dahi.
“Kau ni dah kenapa, Nurin? Sejak akhir-akhir ni kau macam orang ‘blur’ saja aku tengok.” Shida menegur. Dia mendengus kasar.
“Aku bukan ‘blur’. Cuma pelik. Kenapa kita yang kena pergi check stock? Bukan kerja Harlina ke?” tanya Nurin masih pelik.
“Kita kan ada projek yang perlu disiapkan. So, kita kena pergi check stock. Dibuatnya tak cukup ke apa. Siapa yang susah? Bukan kita ke nanti? Lagipun, Harlina tak tahu material apa yang kita nak guna untuk projek ni,” terang Shida seraya menggelengkan kepala.
Nurin berfikir sejenak. Projek? Hatinya bertanya.
“Ohhhhhh…”
“Dah ingat?”
Nurin tersengih. Dia menganggukkan kepala.
“Macam mak nenek.”
Nurin masih tersengih. Sungguh, dia hampir terlupa dengan projek menyiapkan pakaian untuk sebuah sekolah. Projek amal yang dilaksanakan oleh syarikat pada setiap tahun.
So, jomlah kita pergi. Nanti lambat pula sampai. Time macam ni jalan mesti sesak,” ajak Shida lalu bangun dari duduk.
“Okey, sekejap! Aku nak kemas meja,” balas Nurin sambil mengemas meja ala kadar.
Shida hanya memandang. Dia melangkah menuju ke pintu bilik.
“Nur, kau ada rahsiakan sesuatu daripada aku ke?” tanya Shida sambil menoleh ke wajah Nurin. Menanti jawapan daripada kawan baiknya itu.
Nurin mematikan tingkah laku. Dia berkira-kira dalam hati. Ada baiknya dia tidak menjawab pertanyaan Shida itu.


“NAK makan ke nak balik terus?” tanya Shida sehabis sahaja kerja mereka selesai. Nafas ditarik lalu dilepaskannya ringan. Mereka melangkah menyusuri deretan kedai menuju ke parkir kereta.
Nurin tidak membalas. Dia melangkah jalan sambil melilaukan mata. Sekadar melihat-lihat kawasan di situ.
“Kau nak makan ke nak balik terus?” Shida bertanya lagi. Nurin masih tidak menjawab pertanyaannya.
Nurin masih melilaukan mata. Pandangannya jatuh ke arah seorang lelaki yang sedang melangkah tidak jauh dari dia berada.
“Nurin!” Shida bengang. Dia menghentikan langkah. Kawannya itu sedang leka memandang sesuatu.
Nurin menoleh. Wajah bengang Shida menyapa mata. Tanpa membalas, dia menghalakan mata ke arah yang dipandang sebentar tadi. Berkerut dahinya tatkala lelaki yang dilihatnya tadi hilang.
“Mana dia?” tanya Nurin sendirian.
Tanpa menunggu, dia beredar dari situ. Dia perlu mencari lelaki yang dilihatnya sebentar tadi. Melilau matanya mencari. Namun, kelibat lelaki tadi hilang begitu sahaja.
Shida tersentak dengan tingkah laku Nurin. Dia berlari anak mengejar Nurin yang sudah pun menjauh. Apa yang sedang berlaku? Kenapa dengan Nurin? Pertanyaan yang sedang berlegar-legar dalam mindanya ketika ini.
“Ya Allah! Mana dia?” tanya Nurin sedikit kalut. Peluh sudah membasahi kemeja yang dipakainya.
“Allah! Mana dia?” ulang Nurin lagi. Melilau matanya mencari kelibat lelaki yang dilihatnya sebentar tadi.
“Nurin!” panggil Shida dari jauh. Tercungap-cungap nafasnya mengejar Nurin.
Nurin tidak membalas. Dia melangkah menuju ke sebuah restoran berhampiran. Cuba untuk mencari lelaki itu.
Shida merengus kasar. Dia menyambung langkah mengejar Nurin.
“Ya Allah! Kau temukan aku dengan dia,” doa Nurin sendirian.
Satu persatu manusia yang berada di dalam restoran itu diperhati. Dia hampa dan kecewa. Lelaki yang dicarinya tadi tidak ditemui.
“Nur… Rin… Nur….Nurin…” Tersekat-sekat suara Shida memanggil. Kepenatan amat terasa akibat lariannya tadi.
Nurin beredar dari restoran itu. Rasa hampa masih menghuni di hati. Jejaknya hilang begitu sahaja.
“Nurin…” panggil Shida sambil menstabilkan nafas.
Namun, panggilannya tidak bersambut. Matanya memandang langkah Nurin yang sudah pun beredar dari situ. Dia melepaskan lelah buat seketika.
Nurin tidak mengendahkan Shida. Dia masih melangkah sambil otaknya memikirkan sesuatu. Wajah lelaki yang dilihatnya sebentar tadi cuba untuk diingat.
“Dia yang aku jumpa malam tu,” kata Nurin lalu mematikan langkah.




Jumaat, 16 Februari 2018

Hate Or Love You? - Bab 1






“SELAMAT pagi, Kak Maziah,” tegur Nurin dengan ramah. Dia melemparkan senyuman kepada Maziah.
“Selamat pagi Cik Nurin,” balas Maziah turut sama tersenyum.
“Kau ke mana, Nurin? Dari malam tadi lagi aku call tapi tak berangkat. Kau tahu tak pagi ni kita ada meeting dengan client?” tegur Shida dengan tiba-tiba. Dia mengekori Nurin masuk ke dalam bilik.
Nurin tidak membalas. Dia memandang wajah Shida yang beriak bengang.
“Pasal rekaan Datin Hanum tu, kau dah siapkan ke belum? Dia call aku tanya pasal rekaan dia,” suara Shida lagi.
“Yang kau kelam kabut sangat ni kenapa, Shida?” tanya Nurin berserta gelengan di kepala. Dia melabuhkan duduk di kerusi.
“Mana aku tak kalut? Kau tu selalu buat hal,” balas Shida berserta dengusan kasar.
“Cuba kau istighfar, Shida. Tarik nafas dan hembus. Relaks okey!” suruh Nurin masih menggelengkan kepala. Dia ketawa kecil melihat tingkah laku Shida.
Shida duduk di kerusi. Wajah selamba Nurin dipandang.
“Aku dah siapkan rekaan datin tu. Kau janganlah risau,” beritahu Nurin. Dia menarik fail dari sisi meja lalu diserahkan kepada Shida.
Shida membalas huluran. Dia membuka fail lalu menatap rekaan yang telah direka oleh Nurin. Rasa kagum melihat rekaan-rekaan Nurin. Semakin cantik dan berkualiti.
So?” Nurin bertanya.
“Puas hati?” sambung Nurin sambil mengangkat kening.
Shida menutup fail. Dia tersengih kepada Nurin.
“Menyampah!” cebik Nurin, meluat.
Shida melepaskan ketawa. Dia bangun dari duduk lalu menghampiri Nurin. Tubuh kawannya itu didakap seketika.
Thanks, Nurin. Kau memang tak menghampakan aku,” ucap Shida berserta pelukan erat di tubuh Nurin.
“Ish! Dah! Dah! Geli aku!” kata Nurin sambil menolak tubuh Shida.
Shida ketawa. Dia kembali ke tempat duduknya.
“Kau ke mana semalam?” tanya Shida ingin tahu.
Nurin tidak membalas. Dia memandang ke wajah Shida.
“Aku call tak angkat. Kau ada masalah ke?” Shida masih lagi bertanya. Dia turut membalas pandangan Nurin.
Nurin masih membisu. Pertanyaan Shida dipandang sepi. Mungkin nanti dia akan memberitahu Shida ke mana dia pergi pada malam tadi.  


SO?” Shida bertanya. Dia memandang ke wajah Nurin.
So? Apa?” tanya Nurin kurang faham.
“Yang kau ni bengap sangat dah kenapa?” Selamba Shida mengutuk. Air minuman diteguk rakus.
“Cakap macam Bangla memang la aku tak faham.” Nurin tidak mahu mengalah.
“Haish! Ini yang malas nak bercakap dengan kau ni. Buat-buat bodoh,” bengang Shida berserta dengusan kasar. Tajam matanya ke riak selamba Nurin.
Nurin yang melihat ketawa. Kelakar melihat wajah bengang Shida.
“Aku serius Nurin,” tegur Shida, keras.
“Okey… okey… aku minta maaf.” Nurin mengalah. Gerun pula dia melihat wajah bengang Shida.
Shida merengus kasar.
“Aku kerja part time kat kedai burger,” ujar Nurin sebaik sahaja Shida tenang.
Buntang mata Shida mendengarnya. Kerja? Part time? Sebutnya dalam hati.
Nurin sekadar mengangguk. Itulah yang sebenarnya. Kenapa dia tidak menjawab panggilan Shida malam tadi.
“Kau ni dah kenapa, Nurin? Tak cukup-cukup lagi ke dengan gaji yang kau dapat setiap bulan tu?” Shida menggelengkan kepala tidak percaya.
Nurin menghentikan suapan nasi ke dalam mulut. Dia mencari jawapan yang sesuai.
Then, kau tak penat ke? Siang malam kau bekerja.”
“Salahkah aku kerja part time, Shida?”
“Tak salah. Tapi…” Shida mematikan ayat.
“Sekurang-kurangnya hati aku lebih tenang bila aku berada di luar Shida.”
Shida menghentikan suapan. Wajah Nurin di hadapan dipandang.
“Mungkin aku akan berjumpa…”
“Sudahlah Nurin. Kau kan dah janji dengan aku yang kau tak akan jejaki dia lagi,” pintas Shida, laju. Dia tahu apa yang hendak diperkatakan oleh Nurin itu.
Nurin menguis-nguis nasi di dalam pinggan.
“Kau dah berjanji yang kau nak lupakan semuanya bila kau dah berjaya. Kau dah lupa?”
“Aku tak pernah lupa Shida,” balas Nurin seraya mengangkat wajah. Pandangannya tepat ke wajah Shida.
So? Buat apa kau nak mencari lagi?”
“Memang aku dah berjanji pada kau yang aku tak nak mencari lagi. Aku cuma nak bersihkan nama aku saja Shida.”
“Kau nak bersihkan macam mana? Cuba kau beritahu pada aku, Nurin.” Shida sedikit meninggi. Nurin masih tidak melupakan kisah lama.
“Aku akan terus mencari Shida, putus Nurin. Pandangan mereka berdua berlaga.
Shida mendengus kasar. Dia menyambung menjamah makanan. Tidak dihiraukan pandangan Nurin.
Nurin memandang tingkah laku Shida yang sedang makan. Nafas ringan dilepaskan.
“Kalau kau ada masa malam nanti, kau datanglah ke gerai aku. Depan 7 Eleven,” beritahu Nurin lalu menyambung suapan. Berharap Shida menerima penjelasannya tadi.


“MACAM mana keadaan mak hari ni?” tanya Nurin seraya memeluk tubuh Puan Noraishah. Sebuah ciuman diberikan kepada maknya itu.
Puan Noraishah tidak membalas. Dia mengesat pipinya yang dicium oleh Nurin.
Nurin tersenyum tawar. Tindakan yang seringkali dilihatnya selepas dia mencium pipi Puan Noraishah. Seolah-olah berasa jijik dengan ciumannya tadi.
“Mak dah makan?” Nurin bertanya lagi. Wajah Puan Noraishah ditatap kasih.
Puan Noraishah melarikan pandangan. Pertanyaan Nurin tidak dijawab.
Nurin menghela nafas ringan. Dia menjatuhkan tubuh separas Puan Noraishah.
“Kalau belum, Nur ada belikan makanan kegemaran mak. Nanti Nur sediakan untuk mak,” suara Nurin lagi. Senyuman menghiasi bibir.
Puan Noraishah masih membisu. Tidak berniat untuk membalas.
“Mak ngah kirim salam pada mak,” beritahu Nurin. Sekadar untuk berbual bersama dengan Puan Noraishah.
Puan Noraishah menoleh. Dia berkerut dahi.
“Mak ngah kirim salam pada mak.” Nurin mengulangi kata-katanya sebentar tadi.
Puan Noraishah hanya mendengar. Entah kenapa terasa mulutnya terkunci untuk bersuara. Peristiwa lama terimbas di fikiran.
“Nur sediakan makanan untuk mak sekejap,” ujar Nurin lalu bangun dari duduk. Nafas ditarik lalu melepaskannya berat.
Puan Noraishah beriak tenang. Kata-kata Nurin seolah-olah masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Perasaannya kosong. Kenangan lama menggamit diri saat ini.
Nurin menatap wajah Puan Noraishah. Sampai bila Puan Noraishah akan berkeadaan begitu? Pelbagai cara sudah dilakukan demi mengambil hati Puan Noraishah. Namun, Puan Noraishah tidak ada tanda-tanda untuk menerima kehadirannya.
Nurin melangkah keluar dari bilik. Dia menyandarkan tubuh ke dinding lalu menyentuh dadanya yang terasa sebu.
“Ya Allah, cara apa lagi yang perlu aku lakukan demi untuk mengembalikan senyuman di bibir ibuku?” bisik Nurin sendirian. Semoga suatu hari nanti, dia dapat mengembalikan senyuman Puan Noraishah.


“AIR!” ujar Asrel seraya menghulurkan sebotol mineral.
Nurin membalas huluran. Dia meneguk air mineral tersebut.
“Kau okey?” tanya Asrel sambil duduk di hadapan Nurin.
“Okey! Kenapa?” balas Nurin sebaik sahaja habis meneguk air minuman.
“Muka kau tu aku tengok macam tak okey saja. Mak kau…” Asrel mematikan ayat. Dia pasti Nurin faham dengan pertanyaannya itu.
Nurin menghela nafas ringan. Dia membuang pandang jauh ke tengah jalan.
“Masih sama?” tanya Asrel ingin tahu.
“Selama-lamanya mak aku akan macam tu, Rel. Selama-lamanya juga dia akan membenci dan menyalahkan aku atas apa yang terjadi dulu,” luah Nurin dalam nada kecewa.
“Kau janganlah fikir macam tu, Nurin. Bagi masa pada mak kau. Lambat laun nanti, mak kau akan sedar juga,” balas Asrel sekadar nasihat buat Nurin. Dia memberi semangat kepada kawannya itu.
Bukannya dia tidak tahu kisah Nurin. Dia dan Nurin sekampung dan bersekolah di sekolah yang sama. Mereka juga berkawan sejak dari kecil lagi.
Selepas pertemuan mereka berdua semula, Nurin banyak bercerita tentang kehidupannya selama ini. Tidak mustahil dia mengetahui tentang hubungan Puan Noraishah dan Nurin.
“Masa? 5 tahun tu dah cukup lama, Rel.” Nurin berkata dalam nada sinis.
Asrel tidak membalas. Dia memandang wajah muram Nurin.
“Aku dah puas mencuba, Rel. Aku tak tahu cara apa lagi yang perlu aku buat untuk kembalikan mak aku,” adu Nurin dalam nada lemah.
Asrel tidak membalas. Dia memandang wajah Nurin yang beriak kecewa.
“Aku seorang anak yang tak berguna Rel,” luah Nurin pula.
“Apa yang kau cakapkan ni, Nurin?” tegur Asrel kurang senang.
Nurin mengeluh ringan. Dia meraup wajah.
“Semua yang berlaku pada kau pasti ada sebabnya.”
“Aku harap sangat semua yang berlaku sekadar mimpi saja, Rel.”
Asrel tidak membalas. Wajah Nurin diperhati penuh minat.
“Apa lagi yang perlu aku buat, Rel?” Nurin bertanya. Dia memandang ke wajah Asrel. Menanti jawapan daripada kawannya itu.
“Banyakkan berdoa pada Dia. Hanya Dia yang menentukan semuanya,” kata Asrel bernada nasihat. Senyuman diberikan kepada Nurin.
“Aku balik dulu.” Nurin bangun dari duduk.
“Baiklah! Sampaikan salam aku pada Shida.” Asrel berpesan. Dia memandang pemergian Nurin dari gerainya itu.
Nurin mengangguk. Dia beredar dari situ.
“Maaf! Tumpang tanya, boleh?” suara seseorang dengan tiba-tiba.
Nurin terkejut lalu mematikan langkah. Dia memandang ke wajah yang bersuara.
“Area sini ada stesen minyak ke?” tanya orang itu sambil membalas pandangan.
Nurin tergamam. Pandangannya tepat ke wajah lelaki di hadapannya itu.
“Afiq Aiman?” sebutnya, spontan.


Isnin, 12 Februari 2018

Hate Or Love You? - Prolog









“KAU penipu!!!” sergah Afiq dengan tiba-tiba. Dia menghampiri Nurin Natasya lalu merentap lengan gadis itu. Marahnya meruap selepas mengetahui tentang Nurin.
Nurin tersentak. Dia mengaduh sakit akibat cengkaman Afiq. Wajah Afiq dipandang tidak berkelip. Riak bengis terlukis di wajah itu.
“Aku ingat kau tak sama dengan perempuan-perempuan yang aku jumpa. Tapi, kau tetap sama dan lagi teruk dari yang aku sangkakan,” hambur Afiq pula.
Berkerut dahi Nurin mendengarnya.
“Kau perbodohkan aku. Permainkan aku dan kau memang mata duitan,” sambung Afiq lagi. Tajam matanya ke wajah Nurin.
“Abang, kenapa ni?” tanya Nurin terpinga-pinga.
“Aku bukan abang kau!” balas Afiq sedikit meninggi.
Bertambah berkerut di dahi Nurin. Sungguh, dia tidak tahu apa yang terjadi kepada Afiq ketika ini. Beberapa kenalan Afiq sedang memandang ke arah mereka berdua.
“Nurin Natasha binti Nazaruddin. Aku ceraikan kau dengan talak satu,” lafaz Afiq, senafas bersaksikan mereka yang berada di situ.
Terkejut Nurin mendengarnya. Dia bangun dari duduk. Tidak berkelip matanya memandang wajah Afiq di hadapan.
“Afiq!” Tuan Haji Zuhuri menegur sekali gus mengejutkan Afiq dan Nurin. Masing-masing menghalakan mata ke arah Tuan Haji Zuhuri.
“Apa yang kamu sebut tadi Afiq?” tanya Tuan Haji Zuhuri bernada keras.
“Afiq ceraikan Nurin dengan talak satu.” Selamba Afiq membalas. Dia menyandarkan tubuh ke almari pakaian lalu berpeluk tubuh di situ.
Nurin hanya membisu. Matanya berkaca-kaca. Tidak menyangka dia diceraikan dengan talak satu. Baru siang tadi mereka bernikah dan malam ini dia bertukar status.
“Apa sebab Afiq ceraikan Nurin?” Tuan Haji Zuhuri tidak berpuas hati. Dia menghampiri Afiq lalu memandang cucunya itu dengan pandangan yang tajam.
“Datuk tanyalah Nurin sendiri. Apa yang dia dah buat selama ini?” balas Afiq berserta dengusan kasar.
Tuan Haji Zuhuri memandang ke wajah Nurin.
“Perempuan yang datuk bangga-banggakan sangat tu rupanya perempuan kotor,” ujar Afiq bernada serius.
Nurin yang mendengar menoleh ke wajah Afiq. Berpasang-pasang mata turut sama memandang ke arahnya.
“Apa yang kamu cakapkan ni, Afiq?” Keras suara Tuan Haji Zuhuri bertanya. Dia memegang dada sendiri. Terasa sakit dengan tiba-tiba.
“Apa maksud abang?” Nurin memberanikan diri bertanya. Wajah Afiq dipandang meminta kepastian.
“Huh! Pura-pura tak tahu. Kau sendiri yang kotor, kau tanya aku pula?” Sinis Afiq membalas. Dia mencebik meluat memandang wajah polos Nurin.
“Nurin tak faham, abang. Apa maksud abang? Kenapa abang kata Nurin perempuan kotor?” Nurin masih lagi bertanya. Dia ingin tahu perkara yang sebenarnya.
Tuan Haji Zuhuri masih lagi memegang dada. Dia turut ingin mengetahui perkara yang sebenar.
Afiq keluar dari bilik. Dia perlu membuktikan akan kata-katanya sebentar tadi. Dia tidak mahu dianggap sebagai menabur fitnah.
“Tuan haji!” Nurin menghampiri Tuan Haji Zuhuri yang sudah pun duduk di birai katil. Dilihatnya Tuan Haji Zuhuri sedang memegang dada.
“Nurin!” sahut Tuan Haji Zuhuri.
“Ayah, kenapa ni?” Encik Amir Hakim menerpa ke arah Tuan Haji Zuhuri. Dari tadi dia terdengar bunyi bising dari arah luar rumah.
“Ayah tak ada apa-apa,” balas Tuan Haji Zuhuri.
“Ayah sakit ke? Pucat saja muka tu Amir tengok.” Encik Amir masih bertanya. Matanya tepat ke wajah pucat ayahnya itu.
“Ini buktinya!” suara Afiq dengan tiba-tiba. Dia menghulurkan sekeping gambar kepada Nurin.
Mereka yang berada di situ tersentak. Masing-masing menghalakan mata ke arah Afiq.
Nurin membalas huluran. Dia menatap gambar di tangan. Buntang matanya melihat gambar tersebut.
Tuan Haji Zuhuri yang melihat reaksi Nurin segera menarik gambar dari tangan gadis itu. Dia turut ingin mengetahui isi gambar tersebut.
Astaghfirullahalazim.” Tuan Haji Zuhuri mengucap panjang.
“Itu sebab Afiq ceraikan perempuan ni,” suara Afiq dalam nada serius.
“Mana kamu dapat gambar ni, Afiq? Kamu jangan nak main tuduh saja. Kalau gambar ni tak benar, jatuh fitnah jadinya. Kamu tahu tak menfitnah tu lebih besar dosanya dari membunuh,” suara Tuan Haji Zuhuri dalam nada bergetar. Semakin sakit di dada sebaik sahaja melihat gambar tersebut.
Mereka yang berada di situ hanya mendengar. Masing-masing berbisik sesama sendiri.
“Cerai?” Encik Amir menyampuk. Dia memandang anaknya meminta kepastian.
Afiq sekadar mengangguk. Dia berlagak tenang.
Nurin tidak membalas. Dia masih terkejut dengan apa yang terjadi. Nasibnya diserahkan kepada Allah.
“Allah!” sebut Tuan Haji Zuhuri.
“Ayah!” panggil Encik Amir bernada risau.
“Tuan haji!” panggil Nurin pula.
“Datuk tak percaya dengan apa yang kamu cakapkan ni, Afiq. Datuk tak percaya dengan gambar ni. Kamu sengaja nak fitnah Nurin.” Tegas Tuan Haji Zuhuri berkata. Dia menafikan tuduhan cucunya, Afiq.
Nurin yang mendengar menghalakan mata ke wajah Tuan Haji Zuhuri. Rasa terharu dengan kepercayaan lelaki tua itu.
“Terpulang pada datuk nak percaya atau tidak. Yang pasti perempuan ni kotor,” balas Afiq tidak mahu mengalah. Menegakkan kebenaran.
“Afiq!” tegur Tuan Haji Zuhuri, meninggi. Dia cuba bangun dari duduk. Seminit kemudian dia rebah di atas katil.
“Ayah!” panggil Encik Amir.
“Datuk!” Afiq turut sama memanggil.
“Tuan Haji!” Nurin terkejut.
Encik Amir segera meminta pertolongan. Rasa risau menujah ke dalam hati.
“Kau jauhkan diri kau dari datuk aku. Perempuan kotor!” tegah Afiq dalam nada marah tatkala Nurin cuba menghampiri datuknya. Tajam matanya ke wajah Nurin.
“Abang, Nurin...” Nurin termati kata-kata.
“Kau pergi dari sini!” marah Afiq lalu menolak kasar tubuh Nurin sehingga membuatkan gadis itu jatuh.
Tanpa menunggu, dia segera beredar dari bilik itu. Dengusan kasar terlepas dari bibir. Rasa marah terhadap Nurin meruap-ruap.
“Dan aku bagi amaran pada kau, jangan sesekali kau muncul lagi dalam keluarga aku. Ingat!” amaran Afiq sebelum beredar dari bilik itu.
Nurin hanya memandang. Dia cuba bangun dari jatuhan. Terasa sakit di seluruh tubuhnya akibat tolakan kasar Afiq.
“Allah!” sebut Nurin sambil menahan kesakitan.
“Nurin!” panggil Shida sebaik sahaja masuk ke dalam bilik.
“Shida!” balas Nurin bernada sebak.
“Apa yang terjadi ni, Nurin?”
“Shida, bawa aku ke hospital. Tuan haji sakit.”
“Hospital? Kenapa dengan tuan haji?”
Please, Shida! Bawa aku ke hospital. Aku nak tengok tuan haji,” rayu Nurin pula. Dia bangun dari jatuhan sambil dibantu oleh Shida.
“Tapi, Nur...” Belum sempat Shida menyudahkan kata-kata, Nurin sudah pun rebah di hadapannya. Terkejut melihat Nurin yang rebah dengan tiba-tiba.



Sabtu, 15 April 2017

Terus Mencintaimu



Assalamualaikum,


Alhamdulillah, karya saya yang ke 10 bakal terbit pada bulan Mei di bawah Karnadya Publishing. Pada yang pernah membaca kisah Hanif Qairin dan Iris Eryna, boleh baca sambungan kisah mereka dalam versi cetak. 






Kebencian Hanif Qairin menjentik tangkai hati Ery. Ditambah dengan apa yang terjadi kepada Haidar Qairen membuatkan dia berasa bersalah. Akibat satu peristiwa, dia pergi membawa diri. Menghilangkan diri membawa duka di hati.

Kehilangan Ery memberi kesan kepada Haidar Qairen. Selama 10 tahun dia mencari namun pencariannya hanya sia-sia. Kehadiran Iris Eryna telah mengubah segala-galanya. Gadis itu mengingatkan dia kepada Ery.

“Wajah awak mengingatkan saya pada seseorang. Seseorang yang amat saya rindui selama ini. Dia pembakar semangat bagi saya untuk teruskan kehidupan saya satu ketika dulu.” – Haidar Qairen

Kehebatan Iris Eryna telah mengganggu gugat Hanif Qairin. Dia berasa tercabar. Setiap kali bertembung, pasti ada pertelingkahan yang berlaku di antara mereka berdua. Disebabkan itu, dia membenci dan mendendami Iris Eryna. Tahap kebencian Hanif Qairin bertambah selepas dia mengetahui siapa Iris Eryna yang sebenarnya.

“Kau ingat aku hadap sangat nak kahwin dengan kau. Kalau bukan disebabkan ayah aku, tak ingin aku nak berkahwin dengan orang cacat macam kau ni. Hey, Iris! Cermin diri kau tu dulu. Kau memang tak layak untuk aku.” – Hanif Qairin

Iris Eryna akur dengan takdir Allah. Hati dan perasaannya terdera akibat perbuatan Hanif Qairin. Demi untuk tidak terluka lagi, keputusan perlu dibuat.

“Aku tahu, kau tak sayangkan aku. Selama-lamanya kau tetap membenci aku. Tapi kali ini aku minta sangat pada kau, tolong lepaskan aku, Hanif. Aku janji akan pergi jauh dari hidup kau seperti yang kau minta dulu.” – Iris Eryna

Masih adakah sinar bahagia buat Iris Eryna? Adakah Hanif Qairin akan terus membenci dan mendendami Iris Eryna? Bagaimana pula dengan Haidar Qairen? Adakah pencariannya terhadap gadis bernama Ery akan berakhir?

In shaa Allah, novel Terus Mencintaimu akan berada di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2017. Boleh dapatkan novel TM masa itu nanti. 

Saya juga akan berada di booth Karnadya Publishing pada 01.05.2017 dari pukul 11.00 am hingga 1.00 petang.


Pada yang berminat, boleh dapatkan TERUS MENCINTAIMU di Karnadya Publishing atau di website Karnadya


Akhir kata, terima kasih pada yang menyokong serta membaca. Tanpa anda semua, siapalah saya ketika ini.