Jumaat, 23 Februari 2018

Hate Or Love You? - Bab 2







“SAYA nak awak uruskan client ni Nurin,” beritahu Puan Fauziah sambil menghulurkan sebuah fail kepada Nurin.
Nurin membalas huluran. Dia membuka fail lalu membaca maklumat di dalam fail tersebut. Cuba untuk memahami kehendak pelanggan.
“Awak ikut seperti yang diminta client. Kalau ada yang tak faham, awak boleh tanya saya,” jelas Puan Fauziah dalam nada serius.
Due date?” tanya Nurin seraya menutup fail.
“Majlis tu akan berlangsung 3 bulan dari sekarang. Awak masih ada masa, Nurin.” Puan Fauziah menyandarkan tubuh ke kerusi. Wajah Nurin di hadapan dipandang mesra.
Client ni…” Nurin menggantungkan ayat.
“Anak rakan kongsi syarikat kita ni.” Puan Fauziah berterus-terang. Dia mahu Nurin mengenali setiap pelanggan yang berurusan dengan syarikat mereka.
Nurin menganggukkan kepala.
“Pastikan awak buat yang terbaik untuk client ni, Nurin. Saya yakin awak boleh buat,” kata Puan Fauziah lagi. Menaruh harapan kepada Nurin.
“Insya-Allah, puan. Saya akan cuba buat yang terbaik untuk client ni. Saya tak akan hampakan puan,” balas Nurin berserta senyuman di bibir. Dia yakin tidak akan menghampakan Puan Fauziah.
“Saya tahu, awak tak akan hampakan saya sebab awak pekerja terbaik yang saya ada.” Puan Fauziah turut sama tersenyum. Itulah pandangannya terhadap Nurin.
“Kalau tak ada apa lagi, saya minta diri dulu puan.” Nurin bangun dari duduk. Dia melangkah jalan menuju ke muka pintu bilik.
Puan Fauziah mengangguk. Dia turut sama bangun dari duduk sambil memandang langkah Nurin keluar dari bilik.
“Nur!” Puan Fauziah memanggil.
Nurin mematikan langkah. Dia menoleh ke wajah Puan Fauziah.
“Sampaikan salam mak ngah pada mak Nur,” pesan Puan Fauziah beserta senyuman di bibir. Wajah anak saudaranya itu dipandang.
“Insya-Allah mak ngah,” balas Nurin lalu beredar dari situ.
Puan Fauziah menghela nafas ringan. Dia duduk semula ke kerusi. Wajah kakaknya, Puan Noraishah menyapa mata. Agak lama dia tidak melawat kakaknya itu. Semoga Puan Noraishah sihat. Bisiknya dalam hati.


NURIN menyandarkan tubuh ke kerusi. Mata dipejam rapat sambil otaknya memikirkan kisah lama. Disentuh dadanya yang terasa sebu. Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata Encik Nazaruddin. Masih segar di ingatan walaupun sudah 5 tahun peristiwa itu berlalu.
Nurin masih berfikir. Dia menarik nafas lalu dihembusnya lembut. Wajah Puan Noraishah terlayar di mata. Mak! Sebutnya perlahan lalu membuka mata.
“Nur sayangkan mak,” ungkapnya selepas itu.
“Nur mengaku yang Nur penyebab semua yang terjadi. Nur bersalah pada mak dan arwah ayah,” sambung Nurin pula. Rasa sebak menghuni di hati. Wajah Encik Nazaruddin menyapa mata ketika ini.
Seminit kemudian, dia menarik laci paling bawah. Sekeping gambar yang terselit di celahan buku ditarik keluar.
“Siapa kau yang sebenarnya?” soal Nurin sambil menatap gambar.
“Aku akan cari kau sampai dapat. Aku akan pastikan kau dapat pembalasan yang setimpal atas apa yang telah kau lakukan dulu,” kata Nurin dalam nada serius. Digenggam erat tangan. Sekadar melepaskan rasa marah yang terbuku di hati selama ini.
“Nur janji akan tebus kesalahan Nur pada mak dan arwah ayah,” janji Nurin kepada dirinya sendiri. Dia menyandarkan tubuh sambil melepaskan nafas ringan.
“Nurin!” tegur Shida, tiba-tiba dari arah muka pintu.
Nurin tersentak. Dia menghalakan mata ke arah Shida yang sudah pun melangkah masuk ke dalam bilik. Pantas, dia menyimpan gambar ke dalam laci.
“Kau kenapa?” tegur Shida berserta kerutan di dahi. Pucat wajah Nurin dilihatnya.
“Haa… kenapa apa?” tanya Nurin sedikit kalut.
Shida masih berkerut. Riak Nurin diperhati penuh minat.
“Kau nak apa?” Nurin bertanya lagi. Serba tidak kena ketika ini.
“Yang kau kalut sangat ni, kenapa?” Pelik Shida melihat Nurin. Seperti ada sesuatu yang dirahsiakan oleh Nurin.
“Kalut? Mana ada aku kalut,” tukas Nurin berserta nafas ringan.
Shida melabuhkan duduk di kerusi. Wajah kalut Nurin masih dipandang. Dia perasan dengan tingkah laku Nurin sebentar tadi. Seperti ada sesuatu yang Nurin sembunyikan daripadanya.
“Kau nak apa?” Untuk kali kedua Nurin bertanya. Sekadar menghalau pemikiran Shida tentang tingkah lakunya sebentar tadi.
“Puan Fauziah minta kita ke butik. Check stock,” beritahu Shida.
Check stock?” ulang Nurin. Dia berkerut dahi.
“Kau ni dah kenapa, Nurin? Sejak akhir-akhir ni kau macam orang ‘blur’ saja aku tengok.” Shida menegur. Dia mendengus kasar.
“Aku bukan ‘blur’. Cuma pelik. Kenapa kita yang kena pergi check stock? Bukan kerja Harlina ke?” tanya Nurin masih pelik.
“Kita kan ada projek yang perlu disiapkan. So, kita kena pergi check stock. Dibuatnya tak cukup ke apa. Siapa yang susah? Bukan kita ke nanti? Lagipun, Harlina tak tahu material apa yang kita nak guna untuk projek ni,” terang Shida seraya menggelengkan kepala.
Nurin berfikir sejenak. Projek? Hatinya bertanya.
“Ohhhhhh…”
“Dah ingat?”
Nurin tersengih. Dia menganggukkan kepala.
“Macam mak nenek.”
Nurin masih tersengih. Sungguh, dia hampir terlupa dengan projek menyiapkan pakaian untuk sebuah sekolah. Projek amal yang dilaksanakan oleh syarikat pada setiap tahun.
So, jomlah kita pergi. Nanti lambat pula sampai. Time macam ni jalan mesti sesak,” ajak Shida lalu bangun dari duduk.
“Okey, sekejap! Aku nak kemas meja,” balas Nurin sambil mengemas meja ala kadar.
Shida hanya memandang. Dia melangkah menuju ke pintu bilik.
“Nur, kau ada rahsiakan sesuatu daripada aku ke?” tanya Shida sambil menoleh ke wajah Nurin. Menanti jawapan daripada kawan baiknya itu.
Nurin mematikan tingkah laku. Dia berkira-kira dalam hati. Ada baiknya dia tidak menjawab pertanyaan Shida itu.


“NAK makan ke nak balik terus?” tanya Shida sehabis sahaja kerja mereka selesai. Nafas ditarik lalu dilepaskannya ringan. Mereka melangkah menyusuri deretan kedai menuju ke parkir kereta.
Nurin tidak membalas. Dia melangkah jalan sambil melilaukan mata. Sekadar melihat-lihat kawasan di situ.
“Kau nak makan ke nak balik terus?” Shida bertanya lagi. Nurin masih tidak menjawab pertanyaannya.
Nurin masih melilaukan mata. Pandangannya jatuh ke arah seorang lelaki yang sedang melangkah tidak jauh dari dia berada.
“Nurin!” Shida bengang. Dia menghentikan langkah. Kawannya itu sedang leka memandang sesuatu.
Nurin menoleh. Wajah bengang Shida menyapa mata. Tanpa membalas, dia menghalakan mata ke arah yang dipandang sebentar tadi. Berkerut dahinya tatkala lelaki yang dilihatnya tadi hilang.
“Mana dia?” tanya Nurin sendirian.
Tanpa menunggu, dia beredar dari situ. Dia perlu mencari lelaki yang dilihatnya sebentar tadi. Melilau matanya mencari. Namun, kelibat lelaki tadi hilang begitu sahaja.
Shida tersentak dengan tingkah laku Nurin. Dia berlari anak mengejar Nurin yang sudah pun menjauh. Apa yang sedang berlaku? Kenapa dengan Nurin? Pertanyaan yang sedang berlegar-legar dalam mindanya ketika ini.
“Ya Allah! Mana dia?” tanya Nurin sedikit kalut. Peluh sudah membasahi kemeja yang dipakainya.
“Allah! Mana dia?” ulang Nurin lagi. Melilau matanya mencari kelibat lelaki yang dilihatnya sebentar tadi.
“Nurin!” panggil Shida dari jauh. Tercungap-cungap nafasnya mengejar Nurin.
Nurin tidak membalas. Dia melangkah menuju ke sebuah restoran berhampiran. Cuba untuk mencari lelaki itu.
Shida merengus kasar. Dia menyambung langkah mengejar Nurin.
“Ya Allah! Kau temukan aku dengan dia,” doa Nurin sendirian.
Satu persatu manusia yang berada di dalam restoran itu diperhati. Dia hampa dan kecewa. Lelaki yang dicarinya tadi tidak ditemui.
“Nur… Rin… Nur….Nurin…” Tersekat-sekat suara Shida memanggil. Kepenatan amat terasa akibat lariannya tadi.
Nurin beredar dari restoran itu. Rasa hampa masih menghuni di hati. Jejaknya hilang begitu sahaja.
“Nurin…” panggil Shida sambil menstabilkan nafas.
Namun, panggilannya tidak bersambut. Matanya memandang langkah Nurin yang sudah pun beredar dari situ. Dia melepaskan lelah buat seketika.
Nurin tidak mengendahkan Shida. Dia masih melangkah sambil otaknya memikirkan sesuatu. Wajah lelaki yang dilihatnya sebentar tadi cuba untuk diingat.
“Dia yang aku jumpa malam tu,” kata Nurin lalu mematikan langkah.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan