Selasa, 7 Ogos 2018

Hate Or Love You? - Bab 6








“MACAM mana?” Nurin bertanya sehabis sahaja Puan Fauziah melihat rekaannya.
Puan Fauziah menutup fail. Dia memandang ke wajah Nurin di hadapan.
So?” tanya Nurin lagi. Pandangan Puan Fauziah dibalas.
“Dalam minggu depan client kita akan datang untuk tengok rekaan ni. Mereka akan buat keputusan, rekaan mana yang sesuai untuk majlis mereka nanti,” beritahu Puan Fauziah bernada tenang. Itulah yang diberitahu kepadanya beberapa jam yang lepas.
“Minggu depan?” ulang Nurin sedikit terkejut.
“Ya, Nurin.”
“Tak terlalu awal ke, puan?”
“Kita kena ikut kehendak client, Nur.”
“Saya faham, puan.”
“Rekaan Nur kesemuanya cantik dan menepati citarasa client.”
Nurin tidak membalas. Dia berfikir sejenak.
“Kenapa, Nur?” Puan Fauziah bertanya tatkala melihat wajah termenung Nurin.
“Minggu depan dalam hari apa, puan?” tanya Nurin sekadar ingin tahu.
“Tak pasti pula saya, Nurin,” jawab Puan Fauziah, tenang.
“Tak apalah kalau macam tu.”
“Kenapa, Nur?”
“Tak ada apa.”
Puan Fauziah mengangguk perlahan. Wajah Nurin masih dipandang. Seperti ada sesuatu yang mengganggu fikiran Nurin melihatkan riak di wajah anak saudaranya itu.
“Kalau tak ada apa-apa lagi, saya minta ke bilik dulu,” ujar Nurin bingkas bangun dari duduk. Dia melangkah menuju ke pintu bilik.
“Nur!” Puan Fauziah memanggil.
Nurin mematikan langkah. Dia menoleh ke wajah Puan Fauziah.
“Jangan lupa dengan majlis amal hujung minggu ni,” beritahu Puan Fauziah.
Nurin sedikit tersentak. Hampir dia terlupa dengan majlis itu. Seminit kemudian, dia mengangguk tanda faham dan beredar dari situ.
Puan Fauziah hanya memandang. Matanya mengerling ke kalendar di sisi. Hampir 5 tahun pemergian abangnya, Encik Nazaruddin. Rasa rindu mencengkam diri. Peristiwa 5 tahun yang lepas masih segar dalam minda.
“Zie pegang pada janji, along. Bila tiba masanya nanti, Zie akan berterus-terang pada Nurin perkara yang sebenar,” kata Puan Fauziah sendirian. Nafas dihela ringan. Semoga hari itu tiba tidak lama lagi.


“WOW! Makin hebat aku tengok kau ni, Nurin. Makin berkualiti rekaan kau,” puji Shida sambil melihat rekaan Nurin dari dalam telefon bimbit.
Nurin tidak membalas. Dia hanya tersenyum.
“Ini ke rekaan untuk client penting kita tu?” tanya Shida ingin tahu.
“Yup!” balas Nurin, sepatah.
“Mesti VVIP client kita tu,” duga Shida masih meneliti rekaan Nurin.
“Mak ngah kata business partner kita,” beritahu Nurin akan apa yang diketahuinya.
Shida mematikan tingkah laku. Dia memandang ke wajah Nurin.
“Orang penting dalam syarikat ni,” sambung Nurin lagi.
“Siapa?” tanya Shida ingin tahu.
“Entah!” Nurin menjungkitkan bahu. Sungguh, dia juga tidak tahu siapa client yang dimaksudkan oleh Puan Fauziah.
“Kau rasa anak pengarah syarikat ni ke?”
“Mana la aku tahu. Kau ingat aku busy body macam kau ke?”
“Amboi mulut! Mengata depan-depan nampak.”
Nurin ketawa. Sengaja mengusik Shida.
“Mesti grand majlis tu.”
Nurin tidak membalas.
“Eh, Nurin! Hujung minggu ni kau ke majlis amal tu, kan?” Shida bertanya. Dia menghulurkan telefon bimbit kepada Nurin.
Nurin sekadar mengangguk sambil membalas huluran Shida.
“Bukan ke kau kata nak balik kampung?” Shida memandang ke wajah Nurin. Itulah yang diberitahu oleh Nurin seminggu yang lepas.
Nurin mengeluh ringan. Dia serba salah ketika ini.
So?” Shida masih bertanya.
“Aku serba salah nak pergi atau tidak. Kalau aku tak pergi, apa kata mak ngah aku nanti? Kalau aku pergi, aku akan rasa kekok. Aku tak kenal sesiapa pun,” beritahu Nurin akan kegusarannya.
“Kau nak aku temankan kau? Bab makan free ni, aku on saja.” Shida menawarkan diri. Dia tersengih kepada Nurin.
“Kalau boleh. Masalahnya tak boleh,” keluh Nurin perlahan.
Shida turut sama mengeluh. Nurin di dalam dilema.
“Lagi pun, dah lama aku tak balik kampung melawat kubur arwah ayah aku,” adu Nurin dalam nada lemah.
Shida mengangguk perlahan. Memang sudah lama Nurin tidak balik ke kampung.
“Aku ke ladies sekejap,” ujar Nurin bingkas bangun dari duduk. Dia segera beredar dari situ.
Shida hanya memandang. Dia melilaukan mata melihat suasana di dalam restoran itu. Agak lama dia tidak berjumpa dengan Asrel. Ada baiknya dia cuba menelefon pemuda itu. Sekadar berbual-bual bertanya khabar antara satu sama lain.


NURIN menyandarkan tubuh ke kerusi. Laptop di hadapan dibuka. Dia menekan tetikus mencari maklumat tentang Farid Aiman. Satu persatu maklumat yang diperolehi dibaca dan difahami. Walaupun dia tidak yakin sama ada Farid Aiman bin Amir Hakim yang dicarinya selama ini, dia tetap akan mencari siapa Farid Aiman yang sebenarnya.
“Betul ke dia?” soal Nurin sehabis sahaja membaca maklumat.
Nafas ditarik lalu dilepaskan ringan. Otaknya sedang ligat berfikir. Mencari jawapan kepada pertanyaannya tadi.
“Mungkin dia. Wajah dia masih sama dan tak berubah,” jawab Nurin masih berfikir.
Dia bangun dari duduk lalu keluar dari bilik. Matanya menangkap kelibat Puan Noraishah di ruang tamu. Lantas, dia melangkah menghampiri Puan Noraishah di situ.
“Mak!” panggil Nurin setibanya di ruang tamu.
Puan Noraishah sedikit tersentak.
“Mak nak ke mana?” tanya Nurin tatkala terlihat beg pakaian Puan Noraishah di sisi.
Puan Noraishah tidak membalas. Dia memandang beg pakaian yang berada di sisi. Dia perlu pulang ke kampung memandangkan tarikh pemergian arwah suaminya semakin hampir. Dia juga perlu mengadakan majlis tahlil buat arwah Encik Nazaruddin.
“Mak?” Nurin memanggil. Dia berdiri di hadapan Puan Noraishah.
“Aku nak balik kampung,” beritahu Puan Noraishah bernada serius.
“Balik kampung?” ulang Nurin sambil berkerut dahi.
“Kau tak faham ke? Aku nak balik kampung.” Puan Noraishah mendengus kasar.
Nurin sekadar tersenyum. Panggilan yang digunakan oleh Puan Noraishah tidak mengejutkan. Sejak pemergian Encik Nazaruddin, sejak itu Puan Noraishah membahasakan ‘aku’ dan ‘kau’ ketika bercakap.
“Aku dah panggil teksi. Aku nak balik jumpa suami aku,” sambung Puan Noraishah lagi. Dia menggerakkan kerusi roda menuju ke pintu utama.
Nurin hanya memandang. Dia tidak akan menghalang jika itu keputusan Puan Noraishah. Tidak mahu mengeruhkan lagi hubungan yang sudah sedia keruh.
Puan Noraishah masih menggerakkan kerusi roda. Dia segera keluar dari ruangan itu. Tidak dihiraukan pandangan Nurin.
“Mak!” Nurin memanggil tatkala Puan Noraishah sudah berada di luar rumah.
Puan Norishah mematikan tingkah laku. Dia menoleh ke wajah Nurin. Menanti butir bicara yang seterusnya.
“Nur hantarkan,” pelawa Nurin selepas itu.
Puan Noraishah tidak membalas. Dia berkira-kira untuk menerima pelawaan Nurin.
“Nur hantarkan mak ke kampung,” suara Nurin lagi. Dia menanti jawapan daripada Puan Noraishah.
“Aku tak nak! Nanti malang kau tu terkena pada aku pula,” balas Puan Noraishah sebaik sahaja kelibat teksi tiba.
Nurin tersentak. Malang? Sebutnya dalam hati.


Rabu, 4 April 2018

Calon Suami Buat Novelis


Assalamualaikum,

Alhamdulillah, karya saya yang ke 11 bakal terbit pada bulan Mei di bawah Karnadya Publishing. Pada yang pernah membaca kisah Qaira Nur Imani dan Hadif Asyraf, boleh baca sambungan kisah mereka dalam versi cetak. Cerita ni sudah lama saya up di blog. Pada tahun 2014 dulu. 






Nak cari calon suami bukan semudah ABC. Bukan macam pilih sayur di pasar. Kenalah pilih yang betul-betul sesuai dan kena dengan jiwa. Begitulah yang terjadi kepada Qaira Nur Imani. Cadangan Puan Noraini memperkenalkan dia dengan beberapa calon suami membuatkan dia rasa sesak nafas.

“Kau ingat nak cari suami macam cari sayur kat pasar tu ke? Boleh main pilih-pilih saja? Main tunjuk saja?” – Qaira Nur Imani

Pelbagai helah digunakan demi mengelak pertemuan dengan calon itu semua. Malah, tidak ada seorang pun yang dapat menggetarkan naluri perempuannya. Kalau boleh, dia menginginkan seorang suami sama seperti hero-hero dalam novelnya.

Pertemuan dengan Hadif Asyraf telah merubah segala-galanya. Pemuda itu tidak percaya dengan perkahwinan yang diatur oleh keluarga. Demi mengelak rancangan Hajah Halijah dan Haji Saiful, dia dijadikan sasaran pemuda itu.

Lain pula dengan Hadif Asyraf. Sekian lama berkenalan dengan Qaira Nur Imani, perasaan cinta hadir tanpa disedari. Untuk tidak mahu Qaira Nur Imani jatuh ke tangan lelaki lain, dia mengatur rancangan. Dia perlu mengahwini Qaira Nur Imani walau apa cara sekalipun.

“Kalau kau tak setuju, aku akan beritahu satu Malaysia yang kau ni terdesak nak cari calon suami. Semua surat khabar akan cerita tentang kau. Kau tu kan novelis. Semua peminat novel mesti kenal dengan kau. So, kalau cerita kau keluar kat media sosial. Dengan tajuk ‘Novelis Tia Alisya terdesak nak berkahwin’. Siapa yang malu? Kau juga, kan?” - Hadif Asyraf

Rancangan apa yang diatur oleh Hadif Asyraf? Berjayakah Qaira Nur Imani mencari calon suami yang diimpikan sama seperti hero-hero ciptaannya itu?




In shaa Allah, novel Calon Suami Buat Novelis akan berada di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2018. Boleh dapatkan novel CSBN masa itu nanti. 


Pada yang berminat, boleh dapatkan CALON SUAMI BUAT NOVELIS di Karnadya Publishing atau di website Karnadya


Akhir kata, terima kasih pada yang menyokong serta membaca. Tanpa anda semua, siapalah saya ketika ini.



Jumaat, 23 Mac 2018

Hate Of Love You? - Bab 5








TUAN HAJI ZUHURI menghela nafas ringan. Dia memandang makanan yang telah terhidang di atas meja. Kelibat Farid tidak juga muncul-muncul. Mungkinkah cucunya sudah keluar ke pejabat?
Tuan Haji Zuhuri mencapai tongkat di sisi meja. Dia bangun lalu melangkah perlahan-lahan menuju ke ruang tamu. Sejak dia mengalami strok 5 tahun yang lalu, dia berusaha untuk pulih. Alhamdulillah, pergerakannya sudah semakin pulih walaupun mengambil masa bertahun.
“Datuk!” tegur Farid, tiba-tiba dari arah belakang.
Tuan Haji Zuhuri menghentikan langkah. Dia menoleh ke belakang.
“Datuk dah makan?” tanya Farid sambil membantu Tuan Haji Zuhuri duduk di sofa.
“Datuk ingat kamu dah ke office,” balas Tuan Haji Zuhuri sambil melepaskan lelah.
“Farid ada meeting pukul 10.00 nanti,” beritahu Farid. Dia menghampiri meja makan lalu mengambil sandwich dan secawan kopi. Dihulurkan kepada Tuan Haji Zuhuri selepas itu.
Tuan Haji Zuhuri membalas huluran. Wajah cucunya dipandang seketika.
“Ayah mana?” Farid melabuhkan duduk di sofa. Melilau matanya mencari kelibat Encik Amir.
“Ayah kamu kan outstation ke Kedah. Kamu dah lupa?” Tuan Haji Zuhuri menggelengkan kepala. Dia menjamah sandwich yang diberi Farid sebentar tadi.
Farid menepuk dahi. Hampir dia terlupa yang Encik Amir ke Kedah atas urusan kerja. Sudah 2 hari ayahnya berada di Kedah.
“Farid lupa datuk,” ujar Farid selepas itu.
“Macam mana dengan kerja, Farid?” Tuan Haji Zuhuri berbasa-basi.
“Biasa saja datuk,” jawab Farid sambil menghulurkan cawan kopi.
“Kerja… kerja juga, Farid. Kesihatan tu kena juga jaga. Jangan nanti jadi macam datuk. Sibuk bekerja sampai tak ada masa untuk diri sendiri,” tegur Tuan Haji Zuhuri bernada lembut. Air kopi dihirup perlahan.
“Farid tahu, datuk.”
“Majlis pertunangan Farid dah tak lama lagi. Macam mana dengan persiapan?”
“Farid minta Aunty Fauziah uruskan semuanya.”
“Fauziah?” Tuan Haji Zuhuri berkerut dahi.
“Yang uruskan syarikat serta rakan kongsi arwah ibu,” beritahu Farid mengingatkan Tuan Haji Zuhuri.
Tuan Haji Zuhuri mengangguk perlahan. Hampir dia lupa dengan syarikat yang dikendalikan oleh arwah menantunya dahulu. Malah, arwah menantunya juga mempunyai sebuah butik dan diuruskan oleh syarikat tersebut.
“Farid minta diri dulu datuk,” ujar Farid bingkas bangun dari duduk.
Dia mengerling jam di pergelangan tangan. Masa sudah menginjak ke pukul 9.00 pagi. Dihulurkan tangan untuk bersalaman dengan datuknya.
“Macam mana dengan pertolongan datuk tu, Farid?” Tuan Haji Zuhuri bertanya. Matanya memandang wajah Farid.
Farid mengangkat wajah sehabis sahaja bersalaman. Pandangan Tuan Haji Zuhuri dibalas. Permintaan datuknya beberapa hari yang lepas meniti dalam minda. Permintaan supaya mencari seseorang.
 “Datuk faham,” suara Tuan Haji Zuhuri sambil menepuk lembut tangan Farid. Dia tersenyum kepada cucunya itu.
Farid turut sama tersenyum. Dia beredar dari situ.
Tuan Haji Zuhuri bangun dari duduk. Dia melangkah perlahan menuju ke bilik.
“Datuk!” Farid memanggil.
Tuan Haji Zuhuri mematikan langkah. Dia menoleh ke arah Farid di muka pintu rumah.
“Farid janji akan usahakannya sampai dapat,” janji Farid kepada Tuan Haji Zuhuri lalu beredar dari situ.
Tuan Haji Zuhuri tersenyum. Dia turut berharap agar Farid dapat mengotakan janjinya.



“ENCIK FARID!” sapa Liza selaku setiausaha Farid.
Farid mengangkat wajah. Matanya disapa dengan tubuh Liza.
“Ini senarai jemputan untuk majlis amal kita hujung minggu ni,” beritahu Liza sambil menghulurkan sebuah fail.
Farid membalas huluran. Dia meneliti senarai yang telah disediakan.
“Kalau ada yang tertinggal, Encik Farid boleh beritahu pada saya,” ujar Liza pula.
Farid masih meneliti senarai jemputan. Matanya jatuh ke satu nama yang tidak dikenali.
“Nurin Natasya?” sebut Farid selepas itu. Dia berkerut dahi.
“Wakil dari Mahligai Impian, Encik Farid,” beritahu Liza, tenang.
“Mahligai Impian?” ulang Farid. Bukankah itu anak syarikat mereka? Milik arwah ibunya, Puan Farisya.
“Kenapa bukan Puan Fauziah wakilnya?” Farid masih lagi bertanya. Dia menyandarkan tubuh ke kerusi. Wajah setiausahanya dipandang.
“Puan Fauziah ada hal yang tak dapat nak dielakkan, Encik Farid. Jadi, dia hantar Cik Nurin mewakili syarikat,” jelas Liza berserta senyuman di bibir.
“Oh!” balas Farid, sepatah berserta anggukan di kepala.
“Kalau tak ada apa-apa lagi, saya minta diri dulu Encik Farid,” suara Liza seminit kemudian. Dia melangkah keluar sebaik sahaja mendapat arahan daripada Farid.
Farid bersandar ke kerusi. Macam mana dia tidak tahu kewujudan pekerja bernama Nurin Natasya di Mahligai Impian.
“Nurin Natasya!” sebut Farid, perlahan.
Dia menarik laptop. Nama Nurin Natasya dicari. Sekadar mencuba. Seperti ada yang menarik pada nama Nurin Natasya.
“Hurm… siapa Nurin Natasya?”
Tidak banyak maklumat yang diperolehi dari carian nama itu. Dia bermain-main dengan telefon bimbitnya.
“Kenapa aku rasa macam dah lama kenal dengan nama ni?” soal Farid berserta nafas ringan. Nama Nurin Natasya masih meniti dalam minda.
“Siapa dia?” ulang Farid untuk kesekian kali. Dia perlu tahu siapa Nurin Natasya yang sebenarnya.



“TERIMA kasih!” ucap Farid sebaik sahaja pelayan meletak makanan dan minuman. Dia tersenyum kepada pelayan tersebut.
“Awak tak busy ke hari ni?” tanya Dahlia seraya memandang ke wajah Farid.
“Untuk awak tak ada istilah busy,” jawab Farid berserta kenyitan di mata.
“Awak ni memang bermulut manis.”
“Kalau tak manis, tak kan awak suka dengan saya, kan?”
Dahlia ketawa kecil. Farid memang pandai bermain kata-kata.
“Saya ada meeting berhampiran dengan pejabat awak. So, tak salah kan kalau saya ajak awak keluar makan tengah hari sama,” beritahu Farid masih tersenyum.
“Minggu depan kita cari barang, nak tak?”
“Barang?”
“Iyalah! Kan tinggal berapa bulan saja lagi kita nak bertunang.”
Farid menghentikan suapan. Dia berfikir sejenak.
“Awak!” panggil Dahlia tatkala Farid membisu.
“Saya dah minta Aunty Fauziah uruskan,” beritahu Farid, tenang.
“Aunty Fauziah?” ulang Dahlia berserta kerutan di dahi.
“Yang uruskan butik arwah ibu,” jelas Farid pula.
Dahlia mengangguk perlahan. Hampir dia terlupa dengan butik peninggalan arwah Puan Farisya.
“Minggu depan kita jumpa dengan Aunty Fauziah,” cadang Farid selepas itu.
Dahlia tidak membalas.
“Saya minta Aunty Fauziah uruskan pakaian untuk majlis pertunangan kita nanti. Minggu depan tu kita tengok rekaan mereka,” sambung Farid lagi.
“Awak minta Aunty Fauziah reka pakaian pertunangan kita?” tanya Dahlia inginkan kepastian. Rasa teruja menujah ke hati.
Farid sekadar mengangguk. Dia menyambung menjamah makanan semula.
Thanks, awak!” ucap Dahlia seminit kemudian.
Thanks? For what?” tanya Farid berserta kerutan di dahi.
“Segala-galanya,” balas Dahlia. Senyuman meniti di bibir. Rasa bersyukur kerana memiliki lelaki sehebat Farid.
“Saya ke washroom sekejap,” ujar Farid lalu bangun dari duduk.
Dahlia sekadar mengangguk. Dia memandang pemergian Farid sehingga hilang dari pandangan mata.
Farid melangkah menuju ke washroom. Langkahnya mati dengan tiba-tiba tatkala terlihat seseorang yang amat dikenalinya. Lantas, dia keluar dari restoran lalu menghampiri orang tersebut.
“Ayah?” tegur Farid setibanya di belakang Encik Amir.
Encik Amir terkejut. Dia menoleh untuk melihat gerangan yang menegur.
“Ayah buat apa kat sini? Bukan ayah ke Kedah?” Farid bertanya. Dia berasa pelik berjumpa dengan Encik Amir di situ.
Encik Amir yang mendengar menelan air liur sendiri.
“Ayah dari Kedah terus ke sini nak jumpa dengan client.” Encik Amir cuba bertenang. Dia masih lagi terkejut melihat Farid.
Client?” Farid berkerut dahi.
Encik Amir masih beriak tenang. Dia melilaukan mata melihat keadaan sekeliling.
“Ayah?” panggil Farid. Seperti ada yang dirahsiakan oleh Encik Amir ketika ini.
“Ayah pergi dulu,” balas Encik Amir lalu beredar dari situ. Dia melepaskan nafas lega.
Farid hanya memandang pemergian Encik Amir. Hatinya berasa curiga dengan tiba-tiba.
“Awak!” tegur Dahlia dari arah belakang.
Farid tersentak. Dia menoleh ke belakang. Wajah Dahlia menyapa mata.
“Awak pergi mana? Lama saya tunggu kat dalam tu.” Dahlia menghampiri Farid.
“Saya terserempak dengan kawan tadi.” Farid membalas. Dia tersenyum kepada Dahlia.
“Kawan?” ulang Dahlia berserta kerutan di dahi.
“Jomlah saya hantar awak ke pejabat,” ajak Farid. Ada baiknya dia beredar dari situ. Dia akan mencari jawapan kepada perjumpaannya dengan Encik Amir tadi.


Isnin, 12 Mac 2018

Hate Or Love You? - Bab 4





  
“JEMPUTAN ke majlis amal?” baca Nurin berserta kerutan di dahi. Dia mengangkat wajah memandang Puan Fauziah sehabis sahaja membaca.
Puan Fauziah mengangguk perlahan.
“Bukan ke puan yang pergi sebelum ni?” tanya Nurin sedikit pelik.
“Saya tak dapat pergi Nurin. Saya nak balik kampung pada hari tu,” beritahu Puan Fauziah seraya memandang ke kalendar yang berada di sisi.
“Kampung?” ulang Nurin masih berkerut dahi.
“Nur…” Puan Fauziah menyeru. Dia tersenyum seketika.
Nurin berfikir seketika.
“Tarikh tu kan tarikh ayah Nur meninggal. Abang mak ngah,” jelas Puan Fauziah dalam nada tenang. Wajah Nurin di hadapan dipandang.
Nurin sedikit tersentak. Dia menatap kad di tangan semula. Kemudian, dia mengangguk perlahan. Tarikh pemergian ayahnya. Hampir 5 tahun pemergian Encik Nazaruddin.
“Nurin!” Puan Fauziah memanggil. Anak saudaranya itu kelihatan termenung.
“Haa…” Nurin tersentak.
“Kenapa?” tanya Puan Fauziah ingin tahu.
“Nur… teringatkan ayah,” balas Nurin bernada sebak.
Puan Fauziah tidak membalas.
“Nur penyebab kematian ayah,” adu Nurin pula.
“Nur, kenapa cakap macam tu?” tegur Puan Fauziah kurang senang.
Nurin mengeluh ringan. Itulah hakikat yang sebenar. Dia penyebab kepada kematian Encik Nazaruddin.
“Ajal dan maut semua tu di tangan tuhan, Nur. Sudah ditakdirkan yang ayah Nur pergi dulu dari kita semua,” kata Puan Fauziah dalam nada lembut.
“Nur tahu mak ngah. Tapi, Nur tetap penyebab kematian ayah.” Nurin menegaskan.
Puan Fauziah menggeleng perlahan. Wajah anak saudaranya masih dipandang.
“Nur bersalah pada ayah. Pada mak. Nur tak pandai nak jaga maruah diri. Maruah keluarga.” Nurin menjelaskan. Fikirannya kembali kepada peristiwa lama.
“Sudahlah! Jangan diingatkan lagi. Yang pergi tetap pergi. Nur masih ada mak yang perlu dijaga. Ambil peluang ni untuk tebus kesalahan Nur yang lepas,” nasihat Puan Fauziah. Berharap Nurin mengambil iktibar atas apa yang telah terjadi.
Nurin sekadar mengangguk. Rasa bersalah masih menghuni di hati. Sekian lama dia menanggung kekesalan atas apa yang terjadi dahulu.
“Nur keluar dulu. Nak jumpa dengan supplier,” ujar Nurin bingkas bangun dari duduk.
Puan Fauziah sekadar mengangguk.
“Insya-Allah, Nur akan hadir majlis ni,” kata Nurin lalu melangkah ke pintu bilik.
Puan Fauziah hanya memandang. Rasa simpati kepada Nurin menujah ke hati.
“Nur!” panggil Puan Fauziah selepas itu.
Nurin mematikan langkah. Dia menoleh ke wajah Puan Fauziah.
“Insya-Allah, suatu hari nanti semuanya akan kembali selepas biasa,” sambung Puan Fauziah beserta senyuman di bibir.
Nurin membalas senyuman. Mungkin, mak ngah. Bisik Nurin dalam hati. Dia keluar dari bilik itu.



“KAU biar betul, Nurin?” tanya Shida inginkan kepastian.
Nurin sekadar mengangguk. Dia tersenyum seketika.
“Kenapa aku tak tahu?” Shida tidak berpuas hati.
“Itulah kau. Aku dah ajak kau datang tapi kau tu yang tak nak. Tak percaya pada aku.” Nurin menyindir. Dia menjeling kepada Shida.
“Lama betul aku tak jumpa dengan Asrel.”
“Dia pun dah lama tak jumpa dengan kau.”
“Macam mana kau jumpa dengan dia?”
“Aku terserempak dengan dia kat Speed Mart. Makin handsome dia kau tahu tak?”
Handsome?”
Nurin menganggukkan kepala.
 “Kau ada tanya dia tak, Nurin?” Shida bersuara selepas berfikir seketika.
“Tanya? Tanya apa?” Nurin berkerut dahi. Kurang faham.
“Kenapa dia hilangkan diri selama 5 tahun?” balas Shida seraya memandang ke wajah Nurin. Meminta penjelasan daripada kawannya itu.
Nurin menghentikan langkah.
“Kau dah lupa ke yang dia hilangkan diri selepas ayah kau meninggal dunia.” Shida mengingatkan. Perisitiwa lama meniti dalam minda.
Nurin menyambung langkah. Kata-kata Shida bermain-main dalam minda.
“Tup-tup sekarang dia muncul. Kau tak rasa pelik ke, Nurin?” Shida menyambung. Berkerut-kerut dahinya memikirkan tentang Asrel.
“Hish! Kau ni, Shida. Apa yang peliknya? Tak ada yang pelik pun bagi aku,” tukas Nurin sambil menggelengkan kepala.
“Kau tak pelik ke Nurin? Kenapa tiba-tiba dia muncul?” Shida mengulangi kata-katanya yang tadi.
“Sudahlah, Shida! Tak baik bersangka buruk pada orang,” tegur Nurin masih menggelengkan kepala. Pelik melihat tingkah laku Shida.
Well! Suka hati kau la, Nurin. Aku cuma terfikir saja,” balas Shida sambil menjungkitkan bahu. Malas untuk membincangkan tentang Asrel lagi.
Nurin hanya membisu. Dia melabuhkan duduk di sofa. Kata-kata Shida bermain-main dalam minda. Ada benarnya juga dengan anggapan Shida.
By the way, kau cari siapa semalam?” Shida bertanya. Dia turut sama melabuhkan duduk di hadapan Nurin.
“Cari? Maksud kau?” Nurin berkerut dahi.
“Yang kau terkejar-kejar semalam tu apa?” Shida mendengus kasar.
“Oh! Pasal tu,” balas Nurin berserta anggukan di kepala.
Shida mencebik meluat. Nurin seringkali mengelak jika bertanyakan tentang tingkah laku gadis itu.
“Aku nak kejar orang jual aiskrim.” Selamba Nurin membalas. Dia meneguk air dari dalam botol.
“Jual aiskrim? Mengarut!” tukas Shida bernada keras.
Nurin ketawa. Riak di wajah Shida dipandang.
“Kau suka main-mainkan aku Nurin,” kata Shida tidak berpuas hati. Dia berpeluk tubuh lalu bersandar ke sofa.
Nurin masih lagi ketawa. Kepala menggeleng perlahan.
“Aku serius Nurin!” tegur Shida tatkala Nurin masih ketawa.
Nurin mematikan ketawa. Gerun pula dia melihat wajah bengang Shida.
“Sejak akhir-akhir ni aku tengok kau macam ada rahsiakan sesuatu daripada aku saja. Apa yang kau rahsiakan, Nurin?”
“Kau ni curiga tak habis-habis.”
“Aku tak curiga tapi firasat hati aku kuat menyatakan yang kau ada rahsiakan sesuatu daripada aku.”
“Terpulang pada kau la Shida. Selama ini, semua masalah aku tak lepas dari pengetahuan kau, kan?” Nurin mengalah. Dia malas memanjangkan isu.
Shida tidak membalas. Dia berfikir sejenak.
“Aku pernah beritahu kau yang aku nak bersihkan nama aku, kan?”
“Nurin, kau kan…”
“Lupa? Semudah itu kau minta aku lupakan dengan semua yang terjadi?”
Shida masih membisu. Wajah Nurin di hadapan dipandang.
“Selagi aku tak dapat jawapan, aku tetap akan teruskannya Shida,” sambung Nurin seraya memandang ke wajah Shida.
Shida masih memandang. Riak terluka terlukis di wajah Nurin.
“Kau tak berada di tempat aku. Aku yang merasa sakitnya,” luah Nurin lagi.
“Nurin, aku…”
“Cik Nurin!”
Panggilan seseorang dari arah belakang mematikan perbualan Nurin dan Shida. Mereka berdua menoleh ke arah yang memanggil.
“Maaf kalau saya terlewat,” kata Encik Razman bernada kesal.
“Eh, tak apa Encik Razman. Kami pun baru saja sampai,” tukas Nurin bingkas bangun dari duduk. Dia melangkah menghampiri Encik Razman.
Shida turut sama bangun dan menghampiri Encik Razman. Hari ini, mereka menghadiri mesyuarat bersama dengan pembekal.
“Silakan Cik Nurin, Cik Shida,” jemput Encik Razman selepas itu.
Nurin dan Shida mengangguk. Mereka mengekori langkah Encik Razman menuju ke pejabat. Nurin melihat keadaan bangunan pejabat itu. Pandangannya terpahat ke susuk tubuh seorang lelaki. Serta-merta dia mematikan langkah.
“Nurin!” panggil Shida dari arah lift.
Nurin menoleh ke arah Shida. Dia melangkah menuju ke arah lift yang sudah dibuka. Pandangannya masih terpahat ke susuk tubuh lelaki itu.
“Kau tengok apa?” tanya Shida sebaik sahaja Nurin masuk ke dalam perut lift. Pelik melihat tingkah laku Nurin sebentar tadi.
“Tak ada apa-apa,” balas Nurin berserta gelengan di kepala.
Shida hanya mengangguk. Pasti ada yang tidak kena pada Nurin melihatkan riak di wajah kawannya itu.



“TERIMA kasih atas kerjasama yang diberikan Encik Razman,” ucap Shida berserta senyuman di bibir.
“Sama-sama. Terima kasih juga atas kepercayaan yang diberikan kepada kami. Insya-Allah, kami akan bekalkan seperti yang diminta,” balas Encik Razman turut sama tersenyum.
Shida masih lagi tersenyum. Matanya mencari kelibat Nurin. Hampir 10 minit Nurin ke bilik air. Sehingga ke saat ini bayang Nurin tidak kelihatan.
“Cik Nurin?” Encik Razman bertanya. Dari tadi dia tidak nampak kelibat Nurin.
“Err… Nurin ke ladies sekejap,” kata Shida sambil menggaru kening.
Encik Razman mengangguk faham. Dia memandang jam di pergelangan tangan.
“Saya minta diri dulu. Mungkin Nurin tunggu di bawah,” ujar Shida tatkala menyedari tingkah laku Encik Razman. Mungkin Encik Razman perlu menyambung kerja.
“Baiklah, Cik Shida. Apa-apa nanti, saya hubungi Cik Shida atau Cik Nurin,” pamit Encik Razman lalu beredar dari situ.
Shida hanya memandang Encik Razman sehingga hilang dari pandangan mata. Dia segera beredar dari situ untuk turun.
“Ke mana pula minah ni pergi? Tak kan lama sangat pergi toilet?” bebel Shida sendirian. Dia segera keluar dari dalam perut lift setibanya di tingkat G.
“Mana pula Nurin ni?” tanya Shida sebaik sahaja berada di ruang legar bangunan. Melilau matanya mencari batang tubuh Nurin.
“Haish!!! Angin aku macam ni,” bengang Shida tatkala tidak berjumpa.
Dia melangkah keluar dari ruang legar itu menuju ke parkir kereta. Ada baiknya dia menunggu Nurin di kereta sahaja. Berharap Nurin tidak meninggalkannya di situ.



NURIN melabuhkan punggung ke kerusi. Dia meraup wajah sambil melepaskan nafas berat. Peristiwa tadi bermain-main dalam minda. Demi untuk mengetahui siapa lelaki yang dilihatnya tadi, dia telah ke bahagian receptionist. Sekadar untuk bertanya di situ.
“Maksud cik, Encik Farid Aiman?” tanya Ziela selaku penyambut di situ.
“Farid Aiman?” ulang Nurin berserta kerutan di dahi.
“Dari apa yang cik terangkan tadi, berkemungkinan Encik Farid yang cik maksudkan,” jelas Ziela lagi.
“Encik Farid tu…” Nurin menghentikan ayat.
“Encik Farid Aiman, client salah satu syarikat yang ada dalam bangunan ni cik,” beritahu Ziela berserta senyuman di bibir.
Nurin mengangguk faham. Dia beredar dari situ sebaik sahaja mengucapkan terima kasih. Dia perlu mencari maklumat tentang Farid Aiman.
“Farid Aiman!” sebut Nurin, perlahan.
Tanpa menunggu, dia menghidupkan laptop lalu menaip nama Farid Aiman di bahagian carian. Mungkin dia dapat sedikit maklumat tentang lelaki itu.
“Ramai yang miliki nama yang sama. Tapi, mana satu orangnya?” soal Nurin pula. Di hadapan matanya tertera beberapa maklumat tentang Farid Aiman.
“Farid Aiman bin Amir Hakim?” baca Nurin berserta kerutan di dahi.
Nurin membaca maklumat yang tertara di skrin laptop. Satu persatu tanpa tinggal. Keinginan untuk mengetahui siapa Farid Aiman berkobar-kobar di saat ini.
“Pernah terlibat dalam satu kemalangan yang hampir meragut nyawanya.” Nurin memberhentikan pembacaan.
“Kemalangan?” ulang Nurin sedikit terkejut.
Dia segera menggerakkan tetikus lalu membuka halaman gambar. Satu persatu gambar yang tertera di laman itu ditatap.
“Aa…”
“Nurin!”
Teguran Shida mengejutkan Nurin. Lantas, dia menutup laptop lalu memandang ke arah pintu bilik.
“Tak guna punya kawan. Kau tinggalkan aku kat sana,” marah Shida tidak tertahan. Berombak nafasnya itu.
Nurin berkerut dahi. Tidak faham dengan kemarahan Shida.
“Mati-mati aku ingat kau ada kat sana. Rupa-rupanya kau dah balik,” sambung Shida lagi. Dia merengus kasar.
Nurin masih berfikir. Masih kurang faham dengan kata-kata Shida. Seminit kemudian…
“Ya Allah, Shida. Sorry! Aku terlupa,” kata Nurin dalam nada kesal.
Shida memandang tajam ke wajah Nurin. Kawannya itu beriak tidak bersalah.
“Aku sakit perut tadi. Lepas tu aku terus balik. Aku lupa pasal kau. Sorry Shida,” jelas Nurin dalam nada serba salah.
“Banyaklah kau punya lupa. Satu jam aku tunggu teksi kat tempat tu. Kau sendiri tahu kan tempat tu macam mana?” kata Shida sedikit bengang.
Nurin tersengih. Dia mengaku akan kesalahannya itu.
“Sengih… sengih… ingat lawa sangat ke tu?” cebik Shida meluat.
Nurin ketawa kecil. Dia bangun dari duduk lalu menghampiri Shida. Dipeluk kejap tubuh kawan baiknya itu.
“Tak ada… tak ada… aku tak terima pelukan kau ni,” tolak Shida, keras.
“Okey!” balas Nurin lalu melepaskan pelukan.
“Apa masalah kau yang sebenarnya, Nurin?” Shida bertanya dalam nada serius. Pasti ada yang disembunyikan oleh Nurin.
Termati tingkah laku Nurin tatkala pertanyaan itu menyapa gegendang telinga.
“Rahsia apa yang kau sembunyikan daripada aku, Nurin?” Shida masih bertanya. Dia memandang tepat ke wajah Nurin. Menanti jawapan daripada kawan baiknya itu.