Khamis, 2 Februari 2017

Terus Mencintaimu - Prolog





“ERY!” tegur Encik Qamarul.
 Ery yang sejak dari tadi menanti segera menghampiri Encik Qamarul. Berdebar-debar ketika ini. Menanti perkhabaran daripada Encik Qamarul.
“Macam mana uncle?” tanya Ery tidak sabar.
Encik Qamarul menanggalkan cermin mata lalu meraup wajah. Keluhan berat terlepas daripada bibir.
“Macam mana uncle?” Ery mengulangi pertanyaannya tadi.
Encik Qamarul masih lagi membisu. Matanya memandang wajah Ery yang sedang menanti jawapan darinya.
Uncle!” seru Ery pula. Semakin berdebar jantungnya melihatkan reaksi Encik Qamarul yang hanya membisu.
“Kau buat apa kat sini?” Marah satu suara dari arah belakang.
Ery dan Encik Qamarul yang mendengar terkejut. Serentak mereka menoleh ke arah yang bersuara. Wajah Hanif Qairin menyapa mata mereka berdua.
“Kau buat apa kat sini?” ulang Hanif berserta pandangan tajam.
Ery menelan liur. Wajah Hanif dipandang berserta perasaan takut.
“Aku tanya, kau buat apa kat sini?” Hanif masih lagi bertanya. Dikepalkan tangan. Wajah Ery di hadapan dipandang bagai nak telan sahaja.
“Hanif!” Encik Qamarul menegur. Kurang senang dengan tingkah laku anaknya itu.
Hanif mendengus kasar. Tanpa membalas, dia beredar dari situ menuju ke bilik rawatan. Semakin dia berdendam terhadap Ery.
“Maafkan Ery, uncle. Ery….”
“Tak apa, Ery. Bukan salah Ery.” Encik Qamarul memintas. Sekadar menghalau rasa di hati Ery.
Ery menunduk memandang kaki sendiri. Rasa bersalah menghuni di hati. Bersalah atas apa yang berlaku terhadap Haidar Qairen.
“Mari Ery!” pelawa Encik Qamarul.
“Ha….” Ery sedikit tersentak.
“Kita tengok Haidar,” beritahu Encik Qamarul.
“Ery…. Ery….” Ery tersekat-sekat.
“Jangan risau. Uncle akan tegur Hanif,” balas Encik Qamarul berserta senyuman.
Ery tersenyum hambar berserta anggukan di kepala. Perlahan-lahan dia melangkah mengekori langkah Encik Qamarul menuju ke bilik rawatan. Berdedar-debar ketika ini. Bagaimana untuk berhadapan dengan Hanif semula?


“MACAM mana keadaan anak saya, doktor?” tanya Encik Qamarul setibanya di bilik rawatan. Matanya memandang ke tubuh Haidar yang sedang berbaring di atas katil.
“Tak ada apa yang perlu dibimbangkan. Keadaan anak encik stabil,” beritahu doktor yang bernama Faizul itu.
“Alhamdulillah,” ucap Encik Qamarul berserta nafas lega.
“Bila dia sedar nanti, kita beritahu perkara yang sebenarnya,” cadang Doktor Faizul.
“In shaa Allah, doktor. Saya harap anak saya dapat terima keadaannya ketika ini,” balas Encik Qamarul, berat.
“Mudah-mudahan, encik. Saya akan bawakan kes anak encik ke pihak tertentu. Sama-sama kita berusaha agar Haidar kembali pulih,” kata Doktor Faizul bernada nasihat. Bahu Encik Qamarul disentuh lembut.
Encik Qamarul sekadar mengangguk lemah. Matanya tidak lekang dari memandang ke wajah Haidar. Berdoa agar anaknya dapat menerima dengan apa yang terjadi ketika ini.
“Saya minta diri dulu. Kalau ada apa-apa, boleh panggil saya di bilik atau nurse yang bertugas,” ujar Doktor Faizul, lembut.
“Baiklah, doktor. Terima kasih,” ucap Encik Qamarul berserta senyuman.
Doktor Faizul mengangguk. Dia beredar dari bilik rawatan itu. Senyuman diberikan kepada Encik Qamarul dan Ery.
Uncle!” panggil Ery tatkala kelibat Doktor Faizul menghilang.
Encik Qamarul menghalakan mata ke wajah Ery.
“Boleh saya jaga Haidar?” pinta Ery, bergetar.
“Jaga?” Encik Qamarul berkerut dahi.
“Saya nak tebus kesalahan saya. Benarkan saya jaga Haidar,” beritahu Ery lalu menunduk. Rasa bersalah membelenggu diri ketika ini.
Encik Qamarul tidak membalas. Dia melabuhkan duduk di birai katil. Keluhan berat dilepaskan untuk kesekian kali.
Please uncle! Benarkan Ery jaga Haidar. Ery akan cuba sembuhkan Haidar.” Ery merayu. Berharap, Encik Qamarul bersetuju dengan permintaannya itu.
“Ery, uncle….”
Encik Qamarul termati kata-kata. Dia bingkas bangun lalu menghampiri Ery.
Please uncle!” Buat kali ketiga Ery merayu namun lelaki tua itu masih membisu.
Uncle keluar sekejap,” balas Encik Qamarul, lemah.
Tanpa menunggu, dia melangkah beredar dari bilik itu. Dia perlu menenangkan hati dan perasaan. Walaupun dia beriak tenang, jauh di sudut hati, perasaan risau tetap ada. Risau akan penerimaan Haidar sebaik sahaja sedar nanti. Adakah Haidar dapat menerima keadaannya yang lumpuh?
Ery hanya memandang. Keluhan berat terlepas daripada bibir. Dia menghalakan mata ke wajah Haidar. Semakin bersalah tatkala melihat wajah itu. Disebabkan dia, Haidar menerima akibat. Bagaimana untuk menebus segala kesalahan tersebut?
“Kau buat apa kat sini?” tegur Hanif dari arah muka pintu bilik.
Ery yang baru hendak membetulkan selimut Haidar tersentak.
“Jangan kau berani nak sentuh Haidar!” Hanif memberi amaran.
Ery mematikan tingkah laku. Dia memandang ke wajah tegang Hanif. Sejak dari dulu lagi Hanif membencinya. Sebab apa? Dia sendiri tidak pasti. Puas dia berfikir namun dia tidak menemui jawapan. Kenapa Hanif begitu membencinya?
“Kau ni memang tak tahu malu, kan?” Hanif bersuara sinis.
Ery hanya mendengar. Tidak berniat untuk membalas. Matanya memerhati tingkah laku Hanif yang sedang mundar mandir di hadapannya.
“Dan tak faham bahasa,” sambung Hanif masih sinis.
“Hanif, aku….”
“Kau berambus dari sini! Aku benci tengok muka kau!” marah Hanif seraya menolak kasar tubuh Ery.
Ery tersentak. Tolakan Hanif begitu menyakitkan.
“Sampai mati aku takkan maafkan kau atas apa yang terjadi pada Haidar. Kau akan terima balasannya nanti,” amarah Hanif sambil menolak kasar tubuh Ery.
Terlalu lama dia mendendami Ery. Ditambah dengan apa yang berlaku kepada Haidar ketika ini. Disebabkan Ery, Haidar mengalami kecederaan dan disahkan lumpuh. Ikutkan hati, mahu sahaja dia membunuh Ery di hadapannya itu.
“Hanif, aku….” Sukar untuk Ery bersuara. Dia menahan kesakitan akibat tingkah laku Hanif. Sedaya upaya Hanif menolaknya supaya keluar dari bilik itu.
“Kau berambus!” amarah Hanif seraya menutup pintu bilik dengan kasar.
Terhenjut tubuh Ery dengan tingkah laku Hanif itu. Dia meraba lengannya yang berasa sakit. Dipejamkan mata sambil cuba mencari kekuatan.
Setelah hampir sepuluh minit menenteramkan diri, Ery melangkah pergi dari situ. Dia perlu mencari peluang untuk berjumpa dengan Haidar. Meminta maaf daripada pemuda itu atas apa yang telah berlaku. Semoga dia berpeluang untuk berjumpa dengan Haidar nanti.
Getaran dari arah telefon mematikan langkahnya. Poket seluar digagau lalu mengeluarkan telefon bimbit. Ditatap nama di skrin buat seketika.
“Ada apa?” tanya Ery sebaik sahaja talian bersambung.
“Aku ada perkara nak beritahu pada kau,” balas Alif dari hujung talian.
“Pasal apa?”
“Haidar!”
“Haidar?”
“Sebenarnya Ery….”
Belum sempat Alif meneruskan ayat, telinganya disapa dengan jeritan seseorang. Diamati dan cuba untuk mengetahui dengan apa yang terjadi.
“Ery!” panggil Alif kemudian.


Terima kasih sudi baca. 
:* 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan