Jumaat, 24 Februari 2017

Terus Mencintaimu - Bab 8






“MATA kau tu letak kat mana? Kepala lutut?” marah Hanif sedikit meninggi.
Iris mengusap dahi yang terasa sakit. Wajah Hanif di hadapan dipandang tajam.
“Huh! Tak guna!” rengus Hanif pula.
“Helo! Kau tu yang rempuh aku dulu nak salahkan aku pulak? Banyak handsome muka kau?” balas Iris, bengang.
“Memang aku handsome.” Selamba Hanif membalas.
“Perasan!” cebik Iris meluat.
Hanif ketawa kecil. Iris di hadapan dipandang jelak.
“Tak sedar diri muka tu tak handsome. Nabil Ahmad tu lagi handsome dari kau la.”
Hanif yang mendengar melepaskan ketawa. Geli hati mendengar kata-kata Iris.
Pelik Iris melihat Hanif. Apa yang lawak sehingga menyebabkan lelaki itu ketawa?
“Kau sebenarnya nak kata aku handsome tapi kau malu. Betul tak?”
Iris mencebik. Dia berpeluk tubuh.
“Kau dah jatuh cinta dengan aku, kan?” kata Hanif sekadar mengusik. Dia menghampiri Iris yang sedang berpeluk tubuh.
“Aku? Aku jatuh cinta dengan kau? Mati hidup semula pun aku tak teringin nak bercinta dengan kau.” Selamba Iris berkata. Senyuman sinis diberikan kepada Hanif.
Hanif tidak membalas. Wajah sinis Iris ditatap.
“Sinar mata kau penuh dengan kebencian,” suara Iris lagi.
“Apa maksud kau?” soal Hanif kurang faham.
Iris menghela nafas ringan.
“Apa maksud kau?” ulang Hanif pada pertanyaannya tadi.
“Kau bencikan seseorang? Kau berdendam dengan seseorang?” Iris bertanya. Menolak pertanyaan Hanif.
Berkerut dahi Hanif tatkala mendengar pertanyaan itu.
“Aku pasti, kau benci dan berdendam dengan seseorang. Sinar mata kau membuktikannya,” sambung Iris lagi.
Setelah menuturkannya, dia beredar dari situ. Senyuman meniti di bibir. Dia yakin dengan firasat hatinya. Lelaki itu membenci dan berdendam dengan seseorang.
Hanif hanya memandang. Kata-kata Iris terngiang-ngiang di minda. Apa maksud Iris? Sinar matanya penuh dengan kebencian? Dia melihat wajahnya di cermin kedai yang berada di situ. Adakah benar sinar matanya penuh dengan kebenciaan?
“Oh ya! Sebelum aku terlupa.” Iris bersuara. Dia menghentikan langkah lalu menoleh ke belakang.
Hanif tersentak. Dia memandang ke arah Iris. Gadis itu dilihatnya sedang menggagau beg tangan.
“Bil kereta aku. Jangan lupa bayar,” ujar Iris sambil menghulurkan sehelai kertas kepada Hanif. Kemudian, dia beredar dari situ.
Hanif membalas huluran. Dia menatap kertas di tangan lalu membacanya.
“RM1,500.00?” sebut Hanif sedikit terkejut.
Iris yang mendengar ketawa kecil. Rasakan kau! Nak sangat, kan? Ejek Iris dalam hati.


“IN SHAA ALLAH, ayah. Kalau ayah perlukan apa-apa, beritahu saja pada Haidar,” suara Haidar bernada lembut.
Encik Qamarul hanya tersenyum. Wajah anaknya ditatap kasih.
“Pasal Hanif tu, ayah serahkan pada Haidar. Tahu la macam mana Haidar nak nasihatkan Hanif,” kata Haidar. Cuba meyakinkan Encik Qamarul.
Encik Qamarul menghela nafas ringan. Anggukan kecil diberikan kepada Haidar.
“Hanif tu terlalu ikutkan emosi. Peristiwa lama masih berbekas di hati dia.”
“Ayah bukannya apa, Haidar. Ayah tak nak suatu hari nanti dendam dan benci akan memakan diri dia sendiri.”
“Haidar tahu ayah. Haidar pun tak nak Hanif berdendam dan membenci.”
“Hanif masih ingat dengan peristiwa lama. Peristiwa tu memalukan serta menjatuhkan maruah dia.”
Haidar tidak membalas. Diakui dengan kata-kata Encik Qamarul. Hanif berdendam dan membenci selepas peristiwa memalukan itu.
“Ayah minta diri dulu. Bila selesai sahaja urusan penjualan Harmoni Sdn Bhd, ayah akan balik kampung,” beritahu Encik Qamarul akan perancangannya.
Itulah perancangannya. Selesai sahaja urusan penjualan Harmoni Sdn Bhd, dia akan pulang ke kampung. Mengabadikan diri di sana. Mendekatkan diri kepada Sang Pencipta. Sudah tiba masanya untuk dia berehat.
Bertahun lamanya dia mengusahakan Harmoni Sdn Bhd. Jika nak diikutkan, rasa sayang untuk melepaskan syarikat tersebut. Malah, dia juga boleh menyerahkan syarikat itu kepada Hanif. Tetapi, disebabkan keengganan Hanif dan ketidaksudian Haidar, maka dia terpaksa menjualnya.
Haidar mempunyai kerjaya sendiri. Kerjaya yang dicita-citakan selama ini iaitu doktor. Begitu juga dengan Hanif. Bercita-cita menjadi seorang usahawan yang berjaya. Syarikat pembinaan yang diusahakan oleh Hanif agak berjaya dan dikenali. Ditambah dengan adanya Aidil di sisi Hanif.
“Ayah!” Haidar menegur. Sejak dari tadi dia melihat Encik Qamarul seakan mengelamun. Apa yang sedang dilamunkan oleh ayahnya itu?
Encik Qamarul menghalakan mata ke wajah Haidar. Anaknya itu sedang tersenyum.
“Apa-apa hal, jangan lupa beritahu pada Haidar,” pesan Haidar, lembut.
“In shaa Allah. Haidar pun kena jaga kesihatan. Ayah tengok muka Haidar tu lesu dan pucat. Kerja… kerja juga. Kesihatan pun kena jaga,” nasihat Encik Qamarul.
“Banyak kes ayah. Tak sempat nak berehat. Ini pun dah kurang kes kat hospital tu.”
“Haidar masih lagi mencari?” Encik Qamarul bertanya. Sekadar ingin tahu tentang penyiasatan Haidar selama beberapa tahun ini.
“Masih ayah!” balas Haidar, perlahan.
Encik Qamarul menghela nafas ringan. “Ada apa-apa berita?”
“Buat masa sekarang ni tak ada, ayah.”
“Dah lama Haidar mencari dan menyiasat. Ayah….”
“Haidar pasti akan berjumpa dengan dia, ayah. Haidar yakin dengan firasat hati Haidar.”
“Dah sepuluh tahun, Haidar. Sampai sekarang Haidar tak jumpa apa-apa pun pasal dia. Mungkin dia….”
“Baru-baru ni Badrul ada beritahu pada Haidar. Berkemungkinan dia masih hidup dan ada di sini,” pintas Haidar. Dia tahu apa yang hendak diperkatakan oleh Encik Qamarul.
“Badrul?” ulang Encik Qamarul berserta kerutan. Cuba untuk mengingati sebaris nama itu.
“Penyiasat yang Haidar upah,” beritahu Haidar.
Encik Qamarul menganggukkan kepala. Wajah anaknya ditatap mesra.
“Cuma sekarang ni ada masalah sikit.”
“Masalah? Masalah apa?”
“Badrul ke kampung cari maklumat. Tapi, seorang pun tak kenal dengan dia. Nombor yang dia pakai dulu pun dah lama tak ada dalam perkhidmatan.”
Encik Qamarul cuba untuk merencanakan kata-kata Haidar.
“Mustahil seorang pun tak kenal dengan dia, ayah,” keluh Haidar, perlahan.
“Boleh jadi juga Har. Manusia ni kan berubah.”  Encik Qamarul memberi pendapat.
“Maksud ayah?”
“Mungkin wajah dia dah berubah. Itu yang tak kenal.”
Haidar berfikir sejenak. Ada benarnya kata-kata Encik Qamarul.
“Tak apalah, Har. Ayah doakan pencarian Haidar tidak sia-sia.”
“Haidar yakin yang suatu hari nanti Haidar akan jumpa dengan dia.
Encik Qamarul hanya tersenyum. Mudah-mudahan usaha anaknya itu berhasil.
“Ayah balik dulu. Apa-apa hal nanti ayah beritahu Haidar,” ujar Encik Qamarul selepas itu. Dia bangun dari duduk.
“Baiklah ayah. Hati-hati memandu,” pesan Haidar, lembut turut sama bangun.
Encik Qamarul turut sama tersenyum. Setelah berpamitan, dia beredar dari situ. Rasa senang di hati. Niatnya sudah dijelaskan kepada Hanif dan Haidar. Walaupun Hanif kurang bersetuju, dia tetap dengan keputusannya. Semoga suatu hari nanti Hanif memahami akan tindakannya ini.


“MACAM dah tak ada orang lain lagi aku nak jumpa. Balik-balik mamat perasan handsome tu. Huh!” Iris membebel sendirian. Laju dibawa langkah menuju ke tandas. Dengusan kecil terlepas daripada bibir.
“Kenapa aku asyik jumpa dengan dia saja?” soal Iris pula. Langkah diperlahankan.
“Wajah dia mengingatkan aku pada seseorang,” suara Iris lagi. Wajah Hanif meniti di tubir mata. Rasa pernah berjumpa dengan Hanif sebelum ini.
“Memanglah kau pernah jumpa. Kan kes kau langgar dia hari tu,” jawab Iris pada pertanyaannya tadi.
Deringan telefon menyentak lamunan pendek Iris. Digagau poket seluar jeans lalu mengeluarkan telefon bimbit. Nama Zakry tertera di skrin.
“Aku baru nak ke tandas,” beritahu Iris kemudian.
“Baru? Kau biar betul, Iris? Dah sejam aku tunggu kau kat sini,” kata Zakry kurang percaya.
“Nanti aku cerita pada kau. Tunggu aku!” balas Iris lalu mematikan talian. Nafas dihela ringan. Langkahnya menuju ke tandas.
“Assalamualaikum,” sapa seseorang, tiba-tiba.
Iris mematikan langkah. Dia menghalakan mata ke arah yang menyapa.
“Cik ni yang saya jumpa dua minggu yang lepas, kan? Di tepi highway,” beritahu Haidar berserta senyuman di bibir.
Iris mengamati wajah di hadapannya itu. Otaknya dikerah berfikir.
“Cik nyaris nak langgar saya,” tambah Haidar.
“Oh! Iya! Saya dah ingat,” balas Iris berserta anggukan kecil.
“Alhamdulillah dah ingat.” Haidar turut sama mengangguk.
Iris hanya tersenyum. Matanya menilik wajah pemuda itu. Seperti pernah melihat wajah itu sebelum ini. Tetapi di mana? Disentuh dadanya buat seketika. Entah kenapa perasaan sebak menghuni di hati. Ya Allah! Kenapa aku rasa sebak? Soal hati Iris.
“Cik… Cik….” Haidar memanggil. Pelik melihat gadis itu.
“Haa… Maaf, saya mengelamun sebentar,” balas Iris, kesal.
“Tak apa,” kata Haidar masih tersenyum.
Iris turut sama tersenyum. Matanya tidak lepas memandang Haidar.
“Kepala cik masih sakit?” Haidar sekadar bertanya. Teringat dengan tingkah laku Iris sewaktu kemalangan itu.
Iris berkerut dahi. Apa maksud pemuda itu?
“Cik nyaris nak terbabas disebabkan kesakitan di kepala. Betul, kan?” jelas Haidar. Dia pasti dengan telahannya itu.
“Macam mana encik….”
“Saya Haidar Qairen. Doktor Haidar Qairen.” Haidar memperkenalkan diri. Senyuman masih meniti di bibir.
“Doktor?” ulang Iris kurang percaya.
Haidar sekadar mengangguk. Wajah Iris ditatap mesra.
“Patutlah! Alhamdulillah, saya dah okey. Mungkin masa tu saya stress. Itu yang effect pada kepala,” terang Iris bernada lembut.
“Kalau ada masalah, boleh jumpa dengan saya di hospital.”
“In shaa Allah. Terima kasih kerana bertanya.”
Haidar tidak membalas. Dompet dari poket belakang ditarik lalu mengeluarkan kad nama dan diserahkan kepada Iris.
Iris membalas huluran. Ditatap kad nama tersebut buat seketika. Haidar Qairen Bin Qamarul! Sebut Iris dalam hati. Perasaan sebu hadir ketika itu juga.
“Saya minta diri dulu. Jumpa lagi!” ujar Haidar lalu beredar dari situ.
Iris hanya mengangguk dan memandang. Setelah kelibat Haidar menghilang, dijatuhkan mata ke kad nama Haidar. Diamati nama Haidar dengan penuh minat.
“Haidar Qairen!” sebut Iris, perlahan. Wajah Haidar menyapa mata.
“Mak cik! Lama aku tunggu kau kat dalam restoran tu. Panas punggung aku ni, kau tahu tak?” tegur Zakry setibanya di hadapan Iris. Panas hatinya ketika ini.
Iris tersentak. Diangkat wajah dan memandang Zakry di hadapan. Kelat wajah itu dilihatnya.
“Kau dengar ke tidak ni?” tanya Zakry sedikit bengang.
“Aku dengar. Sorry!” jawab Iris serba salah.
Zakry mendengus ringan. Dia mengipas dirinya sendiri. Cuba untuk meredakan kemarahan di hati. Kad nama yang dipegang Iris menarik minat untuk dilihat. Lantas, ditarik kad nama itu lalu membaca nama yang tertera di kad tersebut.
“Haidar Qairen Bin Qamarul? Siapa dia ni?” Zakry bertanya sehabis sahaja menyebut nama di kad.
Iris tidak membalas. Rasa sebu masih menghuni hati. Kenapa perasaan itu hadir dengan tiba-tiba tatkala melihat pemuda itu? Perasaan yang sama ketika pertama kali mereka berjumpa dahulu.
“Wow! Doktor!” suara Zakry sedikit teruja.
“Kau ingat tak, aku nyaris nak langgar orang kat highway hari tu?”
Zakry yang sedang membelek kad nama menghentikan tingkah laku. Otaknya cuba mengimbas semula peristiwa itu. Seminit kemudian, dia mengangguk tatkala mengingatinya.
“Dialah orangnya.”
“Dia?”
Iris mengangguk lemah. Perlahan-lahan kaki melangkah. Beredar dari ruangan itu. Niat untuk ke tandas terbatal begitu sahaja.
“Habis tu, kenapa muka kau monyok saja?” Zakry bertanya. Wajah Iris diamati.
Iris mematikan langkah. Dia menoleh ke wajah Zakry di sisi.
“Aku perasan dari tadi lagi muka kau tu monyok. Sebab apa? Kau jumpa dengan sesiapa ke selain daripada doktor ni?” Zakry masih lagi bertanya. Berminat untuk tahu.
“Aku tak tahu, Zack. Ini kali kedua aku berjumpa dengan dia dan perasaan sebak akan hadir di hati aku bila aku pandang wajah dia,” jelas Iris sambil menyentuh dada sendiri.
Zakry hanya mendengar. Tidak berniat untuk membalas.
“Aku rasa aku pernah buat salah pada dia,” beritahu Iris lagi. Rasa bersalah turut sama menghuni di hati.
“Tak ada kut. Kau janganlah risau. Mungkin kau risaukan projek kat Bangi tu,” balas Zakry sekadar menyedapkan hati Iris. Otaknya cuba menafsir kenyataan Iris sebentar tadi.
Iris menghela nafas ringan. Mungkin ada benarnya kata-kata Zakry. Memang dia risaukan projek di Bangi. Khuatir projek itu tidak dapat disiapkan seperti tarikh yang telah ditetapkan.
“Dahlah! Jom kita balik. Dah lewat!” ajak Zakry sambil melihat jam di pergelangan tangan. Masa sudah merangkak ke pukul sebelas malam.
Iris turut sama melihat jam di pergelangan tangan. Dia mengangguk tanda setuju. Tanpa berlengah, dia melangkah beriringan dengan Zakry menuju ke tempat letak kereta. Semoga perasaan terhadap pemuda bernama Haidar Qairen tidak benar belaka.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan