Rabu, 30 Disember 2015

Luahan Hati - Bab 7





FIRDAUS bersandar di kerusi. Otaknya sedang ligat berfikir. Peristiwa dua hari yang lepas masih meniti di tubir mata. Pertemuannya dengan Elisya. Benarkah Elisya, gadis yang berkerusi roda itu? Tetapi, kenapa gadis itu menafikan?
Nafas ditarik lalu melepaskan ringan. Jika benar gadis berkerusi roda itu adalah Elisya, apa yang terjadi kepada Elisya selama dua tahun ini? Adakah Elisya mengalami kemalangan? Adakah Elisya mengalami peristiwa buruk? Ya Allah, bagaimana caranya untuk aku mengetahui sekali gus berjumpa dengan Elisya?
Deringan telefon mematikan lamunan pendek Firdaus. Diintai nama yang tertera di skrin telefon buat seketika. Nama Alif tertera di situ.
“Jom lunch!” ajak Alif sebaik sahaja salam bersambut.
Firdaus mengerling jam di dinding. Masa sudah menghampiri ke angka dua belas tiga puluh minit tengah hari. Agak lama dia termenung memikirkan tentang Elisya. Kerja yang berada di atas meja tidak dihiraukan. Keinginan untuk mencari dan mengetahui kisah Elisya melebihi segala-galanya.
“Daus!” tegur Alif dari hujung talian.
“Ha… apa dia?” soal Firdaus sedikit tersentak.
“Aku nak ajak kau lunch sama. Kau nak ke tidak?” beritahu Alif semula.
“Oh, aku ingatkan apa tadi,” kata Firdaus sambil mengangguk.
So, nak tak?” Alif masih lagi bertanya.
“Kau ada masa nak ke sini ke?” tanya Firdaus pula berkerut dahi.
“Aku ada meeting berhampiran dengan office kau. Sebab itulah aku ajak kau lunch sama,” jelas Alif lalu menggeleng kecil. Apa kena dengan Firdaus ketika ini?
“Oh!” balas Firdaus, sepatah.
“Kau ni dah kenapa? Macam orang tak berperasaan saja,” tegur Alif pula.
“Tak ada apa-apa. Kenapa?” soal Firdaus pula.
“Habis tu, apasal suara kau lain macam saja aku dengar? Macam orang tengah sedih saja.”
Firdaus menghela nafas berat. Hatinya berkira-kira sendiri. Perlukah dia memberitahu kepada Alif tentang Elisya? Pertemuannya dengan Elisya pada dua hari yang lepas.
“Daus… Daus…” panggil Alif sedikit menekan.
“Aku jumpa Elisya,” ujar Firdaus, perlahan.
Alif termati kata-kata tatkala mendengarnya.


ELISYA menggerakkan kerusi rodanya. Melilau matanya mencari barang yang diingini. Sejak pukul sebelas tiga puluh minit pagi lagi dia berada di pasaraya itu. Mencari barang peribadi. Kebetulan dia berjumpa dengan client berhampiran dengan pasaraya itu. Maka ada baiknya dia membeli sekali.
Elisya masih lagi mencari. Ke satu-satu bahagian dia menjelajah namun barang yang ingin dicari tidak juga berjumpa. Nafas ditarik lalu melepaskannya berat. Terasa kekurangan diri ketika ini. Alangkah bagusnya kalau dia boleh berjalan seperti kehidupannya yang lepas.
Namun, semua itu tidak mungkin diputar kembali. Dia kini seorang gadis cacat. Berkerusi roda. Malah dia juga banyak menyusahkan Dahlia. Rasa bersalah kerana menyusahkan Dahlia selama ini.
“Ya Allah, tabahkan hati aku menghadapi ujianMu,” doa Elisya sendirian.
Tanpa menunggu, digerakkan kerusi roda menuju ke bahagian pakaian. Dia perlu membeli beberapa helai pakaian memandangkan dia sering menghadiri mesyuarat.


“APA mimpi kau belanja aku hari ni? Selama ini bila aku suruh bukan main banyak mengelat. Itu la. Ini la. Banyak alasan yang kau bagi,” kata Firdaus lalu ketawa kecil.
“Ala, ada rezeki lebih sikit aku belanja la. Kalau tak ada, itu yang banyak alasan aku bagi,” balas Alif, tersengih. Kepala yang tidak gatal digaru.
“Alhamdulillah. Aku sentiasa mendoakan agar kau dimurahkan rezeki,” doa Firdaus buat teman baiknya itu.
“Aamiin. Terima kasih, Daus. Itu sebab aku sayangkan kau,” ujar Alif sambil meraup muka. Senyuman menghiasi bibir.
Firdaus mencebik. Kepala menggeleng kecil.
“Eh, temankan aku ke pasaraya sekejap. Nak beli barang untuk orang rumah,” ajak Alif tatkala terlihat sebuah pasaraya tidak jauh dari tempat mereka berada.
“Nak beli ‘adik’ untuk orang rumah ke?” tanya Firdaus sekadar mengusik.
Seminit kemudian, dia ketawa. Geli hati dengan ayatnya itu. Sudah lama dia tidak mengusik Alif. Semenjak Alif berkahwin, masa mereka berdua terbatas. Jarang sekali mereka berdua berjumpa. Hanya sesekali sahaja. Itu pun kalau salah seorang di antara mereka kebetulan berada berhampiran dengan pejabat masing-masing. Seperti yang berlaku hari ini.
“Gelaklah! Bila kau kahwin nanti tahulah kau. Mesti kau alami perkara yang sama juga,” tegur Alif bernada geram. Rasa malu menumpang dalam hati.
Sorry, aku tak sengaja nak gelakkan kau,” kesal Firdaus masih ketawa.
No hal la Daus. Aku tahu kau bergurau. Tapi, ada betul tekaan kau tu. Memang aku nak cari ‘adik’ untuk orang rumah aku,” akui Alif lalu ketawa besar.
Buntang mata Firdaus mendengarnya. Dia sekadar mengusik tetapi usikannya itu benar.
“Kau nak temankan aku ke tidak?”
Firdaus berkira dalam hati.
“Kalau kau malu, kau jalanlah ke bahagian lain.”
Firdaus masih berfikir. Kemudian, dia mengangguk setuju.
“Kau kata tadi kau jumpa dengan Elisya. Kat mana kau jumpa dengan dia?” tanya Alif tatkala teringatkan tentang itu.
“Kat kedai buku. Aku tak sure betul ke tidak Elisya yang aku jumpa tu,” jawab Firdaus sambil berjalan beriringan dengan Alif menuju ke pasaraya.
“Kenapa pulak tak pasti?” soal Alif, berkerut dahi.
“Sebab….” Firdaus termati kata-kata tatkala telefon bimbit Alif berbunyi.
“Sekejap! Aku jawab call ni,” suara Alif seraya mengeluarkan telefon bimbit dari dalam poket seluar. Dia melangkah menjauhi Firdaus.
Firdaus hanya memerhati. Pasti Wahida, isteri Alif yang menelefon melihatkan senyuman di bibir kawan baiknya itu. Adakah dia akan seperti Alif? Berkahwin dan memiliki kebahagiaan yang diingini selama ini.
Firdaus melangkah menuju ke bahagian pakaian lelaki. Melilau matanya melihat keadaan sekeliling. Orang ramai tidak putus-putus berkunjung ke pasaraya tersebut walaupun hari ini hari bekerja. Entah kenapa matanya terpandangkan seseorang. Seperti mengenali orang tersebut.
Tanpa menunggu, dia melangkah menghampiri orang tersebut. Hatinya tertanya-tanya. Adakah Elisya yang dilihatnya sebentar tadi? Diamati betul-betul gadis berkerusi roda yang sedang membelek sehelai pakaian.
“Elisya!” sebut Firdaus kemudian.
Dia yakin, gadis itu adalah Elisya. Perlahan-lahan dibawa langkah menuju ke tempat di mana Elisya berada. Belum sempat dia menghampiri, seorang lelaki sudah menghampiri Elisya. Siapa lelaki itu? Kelihatan mesra sekali. Adakah suami atau teman lelaki Elisya?
“Kau cari apa?” tegur Alif seraya memegang bahu Firdaus.
Terkejut Firdaus dengan pegangan itu. Dihalakan mata ke wajah Alif.
“Jom balik! Tak jadi nak beli ‘adik’. Wife aku beli sendiri,” beritahu Alif.
Firdaus tidak membalas. Matanya mencari kelibat Elisya. Ke mana Elisya pergi?
“Kau tengok apa, Daus?” tanya Alif tatkala melihat tingkah laku Firdaus.
Seperti mencari seseorang. Siapa yang dicari oleh Firdaus itu? Adakah kenalan Firdaus?
Firdaus masih membisu. Meliar matanya mencari Elisya. Keluhan ringan terlepas daripada bibir. Ternyata dia hilang jejak.
“Kau cari siapa?” Alif masih lagi bertanya. Berkerut dahinya ketika ini.
“Tak ada apa-apa,” balas Firdaus sambil menggeleng.
“Tak ada apa-apa?” ulang Alif masih berkerut.
“Jomlah! Dah lewat ni,” ajak Firdaus sambil mengerling jam di pergelangan tangan.
Alif mengangguk. Tingkah laku Firdaus masih menjadi tatapan mata. Kenapa dengan Firdaus? Lagak seperti mencari seseorang. Siapa yang dicari oleh Firdaus itu?
Firdaus memulakan langkah. Disentuh dadanya yang terasa sebu dengan tiba-tiba. Kenapa dia berkeadaan begitu? Adakah disebabkan Elisya bersama dengan seorang lelaki maka dia berkeadaan begitu? Tetapi, betulkah Elisya yang dilihatnya sebentar tadi?
Keluhan dilepaskan untuk kesekian kali. Matanya masih lagi meninjau mencari kelibat Elisya. Sekadar mencari kepastian. Ternyata matanya tidak silap melihat. Elisya sedang berbual bersama dengan seorang lelaki sambil menunjuk sehelai pakaian. Lelaki itu pasti suami Elisya.
“Kau ni kenapa? Dari tadi senyap saja,” tegur Alif seraya memandang wajah Firdaus.
Firdaus sekadar menggeleng. Dia melajukan langkah. Jam di pergelangan tangan dipandang. Masa sudah menginjak ke pukul dua tiga puluh minit petang. Terlalu lama mereka berjalan di pasaraya itu.
Alif masih lagi berkerut. Apa yang tidak kena dengan Firdaus? Adakah Firdaus terlihat sesuatu melihatkan dari gaya kawan baiknya itu. Tanpa menunggu, laju dibawa langkah menyaingi langkah Firdaus. Ada baiknya dia bertanya Firdaus kemudian nanti.


“TERIMA kasih,” ucap Elisya, tersenyum.
“Sama-sama, Sya,” balas Aidid turut sama tersenyum.
Elisya memandang ke wajah Aidid. Senyuman masih menghiasi bibirnya.
“Kenapa tengok Aidid macam tu?” tegur Aidid tatkala menyedari pandangan Elisya.
Elisya sekadar menggeleng. Entah kenapa dia ingin menatap wajah Aidid. Mungkinkah wajah Aidid seiras dengan wajah Firdaus. Firdaus? Hati Elisya berbisik. Kenapa nama itu meniti di benak hati?
“Macam mana dengan proposal? Dah siap?” tanya Aidid sekadar ingin tahu.
“Alhamdulillah. Dah siap. Cuma tunggu hari interview sahaja,” jawab Elisya, tenang.
“Alhamdulillah. Esok Aidid datang ambil Sya,” ucap Aidid lalu mengangguk perlahan.
“Maaf sebab susahkan Aidid,” ujar Elisya bernada kesal.
“Susah apanya? Aidid yang nak temankan Sya,” tukas Aidid bernada ikhlas.
“Tapi, Sya banyak menyusahkan Aidid dengan Dahlia.”
It’s okey Sya. Aidid ikhlas. Mungkin Dahlia juga ikhlas lakukan semua ni.”
“Tapi…”
“Yang penting, Sya happy. Kalau Sya happy, Aidid turut sama happy,” pintas Aidid seraya menoleh sekilas ke wajah Elisya.
Elisya membalas pandangan Aidid. Rasa bersalah masih menghuni di hati. Bersalah kerana menyusahkan Aidid dan Dahlia. Sejak dia lumpuh sehinggalah ke hari ini, dia banyak bergantung kepada Aidid dan Dahlia.
Aidid Haikal, lelaki yang dikenali dua tahun yang lepas. Semoga hubungan persahabatan mereka berkekalan hingga ke akhir hayat.
“Ayah kirim salam pada Sya,” ujar Aidid memecah lamunan pendek Elisya.
“Ha… Waalaikumussalam,” balas Elisya sedikit terpinga.
Aidid ketawa kecil. Kepala menggeleng. Pasti Elisya sedang mengelamunkan sesuatu.
“Sya nak tanya sesuatu boleh?” suara Elisya, perlahan.
“Sejak bila pulak kena minta izin ni?” tegur Aidid masih ketawa.
“Soalan bersifat peribadi. Kenalah minta izin dulu sebelum bertanya.”
“Okey! So, Sya nak tanya apa?”
“Kenapa Aidid tak kahwin? Adakah disebabkan Sya, Aidid….”
Elisya mematikan soalan. Berharap Aidid faham akan pertanyaannya itu. Selama ini itu yang difikirkannya. Kenapa sehingga ke hari ini Aidid tidak berkahwin? Malah melihat Aidid bersama dengan mana-mana perempuan pun tidak pernah. Adakah disebabkan dia maka Aidid tidak mempunyai teman wanita? Jika benar, semakin bersalah dirasakannya.
Aidid tidak membalas. Hatinya berkira-kira untuk menjawab. Memang selama dua tahun ini dia tidak bersama dengan mana-mana perempuan. Hanya Elisya sahaja yang berada di sisinya. Semenjak peristiwa itu, dia menolak untuk jatuh cinta dengan perempuan. Sebab apa, dia sendiri tidak pasti. Mungkinkah rasa cinta terhadap Elisya mulai bercambah dalam hatinya itu.
“Kenapa Aidid?” tanya Elisya lagi. Berdebar-debar ketika ini.
“Ada kereta rosak kat depan tu. Kita berhenti sekejap tengok. Mana tahu dia perlukan bantuan,” beritahu Aidid menolak pertanyaan Elisya.
Elisya memandang ke luar tingkap. Sebuah kereta tersadai di tepi jalan menyapa mata. Seminit kemudian, kereta diberhentikan di bahu jalan. Matanya memerhati tingkah laku Aidid yang sudah pun keluar dari dalam perut kereta.
“Firdaus!”
Terpancul nama itu daripada bibir Elisya.



InsyaAllah, LUAHAN HATI bakal keluar pada bulan hadapan. Pada yang berminat, boleh dapatkan LUAHAN HATI dari Penerbitan BesQ

Terima Kasih.


Sabtu, 19 Disember 2015

Luahan Hati - Bab 6







Dua tahun kemudian.

“TAHNIAH, Daus!” ucap Alif seraya berjabat.
Thanks Alif,” kata Firdaus sambil membalas jabatan tangan.
“Cita-cita kau nak buka syarikat sendiri akhirnya berjaya. Aku tumpang gembira untuk kau,” kata Alif lagi.
“Alhamdulillah. Akhirnya cita-cita aku tercapai juga. Aku bersyukur dengan rezeki yang Allah bagi pada aku sekeluarga. Kalau bukan tindakan kerajaan ambil alih tanah arwah ayah aku tu, tak mungkin aku dapat buka syarikat ni,” jelas Firdaus, tenang.
“Rezeki kau sekeluarga. Walaupun syarikat kau tak sebesar mana, tapi aku yakin kau dapat majukannya nanti,” doa Alif, ikhlas. Senyuman terbias di wajah.
“Insya-Allah, Alif. Aku akan berusaha untuk majukan syarikat ni.”
“Aku doakan kau berjaya. Lagipun, kau kan ada Master dalam bidang perniagaan. So, mudahlah bagi kau nak uruskan syarikat. Buat apa kau belajar bertahun-tahun kalau kau tak gunakannya. Kau pun dah ada pengalaman kerja di syarikat Dato Jalil kat kampung tu dulu. Masa nilah kau kena gunakan kedua-duanya,” terang Alif sekali gus memberi semangat buat Firdaus. Wajah kawan baiknya itu ditatap mesra.
Firdaus hanya mengangguk faham. Otaknya cuba merencana penjelasan Alif. Ada benarnya dengan apa yang diperkatakan oleh Alif itu.
“Oh ya, mak dan adik kau tak datang sekali ke? Tak nampak pun mereka berdua?” tanya Alif sambil melilaukan mata mencari kelibat Mak Jah dan Farah Asyikin.
“Mereka ada kat sana. Temankan saudara mara aku,” jawab Firdaus sambil mengunjuk ke arah di mana Mak Jah dan Farah berada.
Alif turut sama memandang ke arah yang ditunjuk. Senyuman diberikan tatkala bertembung pandang dengan Mak Jah dan Farah.
“Mana wife kau? Bukan ke kau datang dengan dia tadi?” tanya Firdaus, prihatin.
“Hai, tiba-tiba saja tanya pasal wife aku ni kenapa?” tanya Alif kurang senang.
“Alah, takkan tak boleh pulak?”
“Memang tak boleh. Aku cemburu, kau tahu tak?”
Tertawa Firdaus mendengarnya. Gelengan diberikan kepada kawan baiknya itu.
“Kau dah jumpa dia?” tanya Alif, tiba-tiba.
Terhenti ketawa Firdaus dek kerana pertanyaan itu. Apa jawapan yang harus diberikan kepada Alif? Selama dua tahun ini dia mencari Elisya. Puas dia bertanya daripada kenalan rapat Elisya tetapi hampa. Mereka tidak tahu di mana Elisya berada.
Jika dulu, selepas berpindah ke Australia Elisya sering mengutus surat tetapi tidak pada kali ini. Elisya pergi tanpa khabar berita.
“Wei, aku tanya kau ni. Boleh pulak kau termenung,” tegur Alif seraya menyiku lengan Firdaus. Matanya memandang wajah keliru Firdaus.
“Haa.. apa dia? Kau tanya apa kat aku?” tanya Firdaus sedikit terpinga-pinga.
“Kan aku tanya kau tadi, kau dah jumpa dengan dia ke?” ulang Alif sambil menggeleng.
“Belum lagi la Alif. Aku tak tahu kat mana nak cari dia. Lepas dia pindah ke Australia, selalu juga dia kirim surat pada aku. Masa dia nak balik kampung dulu pun, dia beritahu aku melalaui surat. Tapi sekarang ni, satu surat pun dia tak kirim pada aku. Nombor phone dia pun dah ditamatkan perkhidmatan. Aku menyesal buat dia macam tu, Alif,” keluh Firdaus, kesal.
“Tak mengapalah, Daus. Kalau jodoh kau dengan dia kuat, kau akan berjumpa dengan dia semula,” kata Alif memberi semangat kepada temannya itu.
“Insya-Allah, Alif. Aku berharap sangat dapat jumpa dengan dia semula. Aku nak minta maaf dengan apa yang telah aku lakukan pada dia dulu,” balas Firdaus sambil mengangguk kecil.
Alif turut sama mengangguk. Bahu kawannya itu dipegang kejap. Sekadar memberi semangat kepada kawan baiknya itu. Berharap, Firdaus dapat bertemu semula dengan Elisya.


“ALHAMDULILLAH, semuanya selamat,” ucap Mak Jah lalu tersenyum.
Dilabuhkan duduk di sofa sebaik sahaja majlis kenduri kesyukuran selesai. Sekadar melepaskan lelah di situ.
“Alhamdulillah, mak. Semuanya berjalan dengan lancar,” balas Firdaus turut sama melabuhkan duduk di sofa.
Mak Jah mengangguk perlahan. Bersyukur dengan rezeki yang diberikan oleh Allah kepada mereka sekeluarga. Jika bukan disebabkan tindakan kerajaan mengambil alih tanah milik arwah suaminya dulu, mustahil mereka akan hidup senang ketika ini.
Tidak mungkin juga Firdaus dapat membuka syarikat sendiri. Tidak sia-sia Firdaus menimba pengalaman serta pembelajaran dalam bidang perniagaan. Berbekalkan pengalaman serta Master dalam bidang tersebut, sudah cukup bagi Firdaus untuk menguruskan syarikat.
“Abang, nanti bolehlah Farah kerja di syarikat abang,” sampuk Farah, tersengih.
“Kena isi borang dan hadiri temuduga seperti calon yang lain,” beritahu Firdaus sekadar mengusik adiknya itu.
“Ala, itu pun nak kena isi borang ke? Tak patut betullah abang ni,” cebik Farah sambil duduk di sisi Mak Jah. Dijulurkan lidah kepada abangnya itu.
“Kena juga. Nanti orang kata abang pilih kasih pulak,” tegas Firdaus.
“Mak, tengoklah abang ni. Sengaja nak kenakan Farah,” rengek Farah manja.
Mak Jah yang mendengar hanya menggelengkan kepala. Tercuit hatinya melihat gelagat adik-beradik itu. Entah kenapa hatinya sebu dengan tiba-tiba. Rasa rindu turut sama hadir di dalam hati. Adakah dia sedang merindui seseorang? Elisya! Terdetik nama itu di benak hati.
“Mak, kenapa ni?” tegur Firdaus tatkala terpandangkan wajah sedih maknya.
Mak Jah menghela nafas berat. Senyuman hambar diberikan kepada anaknya itu.
“A’ah mak. Kenapa ni? Sedih saja Farah tengok muka mak. Mak penat ke?” tanya Farah pula, prihatin.
“Mak rindukan Elisya,” luah Mak Jah, sebak.
Tersentak Firdaus dan Farah mendengarnya. Masing-masing menghalakan pandangan ke arah Mak Jah. Ada riak kesedihan pada wajah itu.
“Farah pun rindukan Kak Sya. Kat mana Kak Sya sekarang ni, kan abang?” akui Farah sambil mengeluh ringan. Rasa rindu terhadap Elisya bertandang di hati.
Firdaus hanya membisu dan mendengar. Wajah Mak Jah dan Farah dipandang silih berganti. Dia turut merasai dengan apa yang dirasai oleh Mak Jah dan Farah. Betapa rindunya dia terhadap gadis yang bernama Elisya Emran.
“Apa khabar dia sekarang ni, Daus? Kamu tak dengar apa-apa cerita pasal dia ke?” tanya Mak Jah seraya memandang ke wajah Firdaus.
Firdaus sekadar menggeleng. Sungguh, dia tidak ada jawapan pada pertanyaan Mak Jah.
“Farah pun ada juga tanya dengan Kak Midah. Dia pun tak tahu ke mana Kak Sya pergi,” beritahu Farah bernada sebak.
“Insya-Allah, satu hari nanti kita akan jumpa dengan Elisya semula,” ujar Firdaus.
Sekadar menyedapkan hati Mak Jah dan Farah. Jauh di sudut hati, dia berdoa agar suatu hari nanti dia akan berjumpa semula dengan Elisya.
“Mak, abang, Farah laparlah! Jomlah kita makan KFC. Teringin la,” rengek Farah.
Diangkat punggung lalu duduk di sisi Firdaus. Lengan abangnya dipaut mesra. Menagih simpati daripada abang tersayang.
“Hai, tadi kan dah makan. Tak kenyang-kenyang lagi ke?” sindir Firdaus, tergelak.
“Mana kenyang. Tong Farah kan besar,” balas Farah, tersengih.
“Mak nak ikut tak?” tanya Firdaus.
“Tak apalah. Daus pergilah dengan Farah. Mak tunggu kat rumah saja,”balas Mak Jah
“Kalau macam tu, kami keluar sekejap. Kalau ada apa-apa, mak call Daus atau Farah,” pesan Firdaus bingkas bangun. Farah yang berada di sisi turut sama bangun.
Mak Jah hanya mengangguk. Matanya menghantar langkah Firdaus dan Farah sehingga hilang di sebalik pintu utama. Setelah itu, dia bingkas bangun lalu melangkah menuju ke bilik.
Mujurlah mereka mengupah catering untuk majlis tersebut. Jika tidak, tidak menang tangan dibuatnya. Semenjak mereka berpindah ke Kuala Lumpur, hanya sesekali sahaja mereka pulang ke kampung. Sekadar untuk melawat orang-orang kampung di sana.


“LIA, aku ke sana sekejap!” beritahu Elisya.
“Kau nak aku temankan tak?” tanya Dahlia, prihatin.
“Tak mengapalah Lia. Aku boleh pergi sendiri. Kau janganlah manjakan aku. Susah aku nanti kalau kau tak ada,” jawab Elisya, perlahan.
“Sya, aku…”
“Aku tak nak susahkan kau. Dah banyak kali aku susahkan kau. Setiap hari kau hantar aku ke office. Itu pun dah cukup buatkan aku rasa bersalah kerana menyusahkan kau,” pintas Elisya lalu tersenyum hambar.
“Sya, janganlah cakap macam tu. Aku ikhlas lakukannya,” balas Dahlia.
Kurang senang mendengar kata-kata Elisya. Selama ini, dia ikhlas membantu Elisya dan tidak mengharapkan balasan daripada kawan baiknya itu.
“Aku tetap rasa macam tu. Selama dua tahun kau berada di sisi aku,” sebak Elisya.
“Sya… aku tak minta balasan daripada kau pun. Janganlah kau rasa kekurangan dan malu dengan aku. Sedih aku dengar,” luah Dahlia bernada ikhlas.
Elisya hanya membisu dan mendengar. Matanya memandang ke wajah Dahlia. Jelas riak keikhlasan pada wajah itu.
“Aku tak nak kau sedih-sedih lagi. Aku nak kau happy macam dulu.”
Happy? Dah tak ada istilah ‘happy’ dalam hidup aku lagi Lia. Hidup aku hanya menyusahkan orang sahaja,” ujar Elisya, perlahan.
“Sya, please… jangan cakap macam tu. Aku tak nak….”
“Aku ke sana dulu!” pintas Elisya, laju.
Tidak mahu Dahlia meneruskan kata-kata. Hatinya akan bertambah sebu. Rasa bersalah turut menumpang di hati.
Dahlia hanya memandang. Pasti Elisya tidak mahu dia mengungkit kisah lama. Jika dia di tempat Elisya, dia juga akan merasai dengan apa yang dirasai oleh Elisya ketika ini.


ELISYA menggerakkan kerusi rodanya ke kedai buku yang berhampiran. Sebuah majalah hiburan yang terletak di sebuah rak menarik minatnya. Pantas digerakkan kerusi roda menuju ke kedai buku tersebut.
Setibanya di kedai buku, majalah tersebut dicapai lalu membeleknya. Tersenyum dia melihat pelakon pujaannya Ady Putra menghiasi muka hadapan majalah itu. Seminit kemudian, matanya terpandangkan sebuah buku masakan yang diingini selama ini di sebuah rak.
Tanpa menunggu, dihampiri rak di mana buku masakan itu berada. Tangannya cuba mencapai buku tersebut tetapi tidak berjaya. Diangkat tubuhnya pula tetapi tetap sama. Keluhan berat terlepas daripada bibir. Pada siapa dia harus meminta tolong? Melilau matanya mencari petugas di kedai buku tersebut. Sesiapa pun tidak kelihatan.
“Aduh! Macam mana aku nak ambil ni?” keluh Elisya sendirian.
Matanya memandang sayu ke arah buku masakan itu. Perlahan-lahan digerakkan kerusi rodanya rapat ke rak. Berharap, dia berjaya mencapai buku masakan tersebut.
“Tak sampai juga! Baik aku minta tolong kat lelaki tu,” kata Elisya lagi.
Digerakkan kerusi rodanya ke arah seorang lelaki yang sedang berdiri di suatu sudut tidak jauh dari situ. Berdoa agar lelaki tersebut sudi untuk menolongnya.
“Encik!” panggil Elisya setiba di belakang lelaki itu.
“Aduh! Terjatuh la pulak,” rungut Elisya kemudian.
Majalah hiburan yang berada di paha terjatuh dengan tiba-tiba. Ditundukkan badan sambil cuba mencapai majalah yang berada di atas lantai.
Tersentak lelaki itu mendengarnya. Dia menoleh ke belakang dan mencari gerangan yang memanggil. Matanya terpandangkan seorang gadis yang berkerusi roda sedang mencapai majalah dari bawah lantai. Kasihan dia melihat gadis itu. Tanpa berlengah, dijatuhkan tubuh dan membantu mengutip majalah tersebut. Dihulurkan majalah itu kepada gadis tersebut.
“Terima kasih!” ucap Elisya sambil membalas huluran lelaki itu.
“Sama-sama!” balas lelaki itu lalu mengangkat muka.
Elisya turut sama mengangkat muka. Bagaikan terhenti jantungnya tatkala wajah lelaki itu menyapa mata. Majalah yang sudah berada di tangan terjatuh semula ke lantai.
“Elisya!” seru Firdaus, perlahan.


“ELISYA!” seru Firdaus, lembut.
“Elisya? Siapa Elisya? Encik salah orang,” tukas Elisya, bergetar.
Tanpa menunggu, digerakkan kerusi rodanya untuk beredar dari situ. Namun, ditahan oleh Firdaus.
“Saya yakin awak Elisya,” tegas Firdaus akan kata-katanya sebentar tadi.
“Encik salah orang. Saya minta diri dulu. Kawan saya dah tunggu kat luar,” dalih Elisya sersya menolak lembut tangan Firdaus dari memegang kerusi rodanya.
“Saya yakin awak Elisya. Awak tak boleh nak menipu saya, Elisya Emran,” kata Firdaus tidak mahu mengalah.
Dia yakin dengan kata-katanya itu. Gadis berkerusi roda di hadapannya ini adalah Elisya Emran. Gadis yang dirinduinya selama dua tahun.
Elisya tidak mengendahkan kata-kata Firdaus. Digerakkan kerusi rodanya sekuat hati agar cepat beredar dari situ. Tidak mahu berjumpa dengan Firdaus lagi. Degupan jantungnya berlari dengan laju. Kenapa dia perlu berjumpa dengan lelaki itu semula?
“Saya rindukan awak, Elisya,” luah Firdaus penuh syahdu.
Terhenti tingkah laku Elisya daripada menggerakkan kerusi rodanya. Dipejamkan mata buat seketika. Tidak semena-mena, air matanya mengalir perlahan membasahi pipi. Tidak dinafikan dia turut merindui Firdaus. Siapalah dia untuk merindui Firdaus? Sudah tentulah Firdaus masih membencinya.
Tanpa membalas, digerakkan kerusi rodanya keluar dari kedai buku itu. Matanya terpandang Dahlia di hadapan sebuah kedai. Dia segera menuju ke arah Dahlia. Tidak diendahkan Firdaus yang sedang memandang ke arahnya.


“AIR untuk kau!” ujar Dahlia seraya menyerahkan secawan Milo panas kepada Elisya.
“Terima kasih,” balas Elisya sambil menyambut huluran Dahlia. Dihirup perlahan Milo panas tersebut.
So, apa kata dia lepas jumpa kau tadi?” tanya Dahlia sambil melabuhkan duduk di sofa.
Elisya hanya membisu. Cawan berisi Milo diletakkan di atas meja dan mengeluh berat. Entah kenapa hatinya sebu ketika ini. Ingatannya memutarkan semula pertemuan dengan Firdaus di kedai buku siang tadi.
“Elisya!” seru Dahlia, perlahan.
Elisya menghalakan mata ke arah Dahlia di sisi. Senyuman hambar diberikan buat kawan baiknya itu.
“Dia kata apa pada kau?” ulang Dahlia.
“Dia rindukan aku!” beritahu Elisya.
“Rindukan kau?”
Elisya sekadar mengangguk.
“Kau rindukan dia juga, kan?” tebak Dahlia lalu tersenyum.
Elisya menarik nafas lalu melepaskannya berat. Diraup wajahnya beberapa kali. Apa jawapan yang harus diberikan kepada Dahlia?
“Betul, kan?” tanya Dahlia inginkan kepastian.
“Aku akuinya, Lia. Aku memang rindukan dia. Tapi, siapalah aku untuk merindui dia? Mungkin dia masih membenci aku seperti dulu,” jawab Elisya berserta keluhan untuk kesekian kali. Matanya dibuang ke arah televisyen yang sedang menyiarkan drama melayu.
“Sya, apa kurangnya kau? Aku pasti dia tak membenci kau. Dia cintakan kau. Kalau tak, takkan dia luahkan kerinduan dia pada kau tadi,” jelas Dahlia.
“Aku kan lumpuh,” ujar Elisya bernada sebak.
Dahlia terkedu. Ternyata, dia tersalah berbicara. Secara tidak sengaja dia melukakan hati Elisya. Bukan niatnya bermaksud begitu.
“Aku masuk bilik dulu. Dah mengantuk!” ujar Elisya lalu menggerakkan kerusi rodanya.
“Sya, aku tak sengaja,” kesal Dahlia.
“Tak mengapa Lia. Aku dah biasa,” balas Elisya sambil tersenyum.
Dahlia menghela nafas ringan. Matanya menghantar Elisya sehingga hilang dari pandangan. Bagaimana untuk menyelesaikan masalah Elisya? Perlukah dia berjumpa dengan Firdaus dan berterus-terang kepada lelaki itu? Tetapi, di mana dia perlu mencari Firdaus?


FIRDAUS meraup wajah berserta keluhan berat. Dipejamkan mata buat seketika sambil cuba mengimbas semula pertemuannya dengan Elisya siang tadi. Benarkah Elisya, gadis yang berkerusi roda itu? Hatinya menafikan tetapi akal mengiyakan.
Ya Allah, jika benar gadis itu Elisya, apa yang berlaku kepada Elisya selama dua tahun ini? Adakah Elisya mengalami kemalangan?
“Abang!” panggil Farah, tiba-tiba.
Firdaus menoleh. Wajah Farah menyapa mata.
“Abang, Farah nak tanya sesuatu boleh?” tanya Farah sambil menapak masuk ke dalam bilik. Senyuman diberikan kepada abangnya itu.
Firdaus mengangguk perlahan. Dibetulkan duduk dan menanti Farah di meja kerja. Matanya mengekori langkah Farah sehinggalah gadis itu duduk di birai katil.
“Abang, tadi masa kat pasaraya, Farah terpandang seorang gadis ni. Bila dua tiga kali Farah tengok, macam Kak Sya pun ada,” mulai Farah.
Tersentak Firdaus mendengarnya. Adakah Farah turut sama terserempak dengan Elisya?
“Tapi, gadis tu…”
“Berkerusi roda, kan?” potong Firdaus.
Farah mengangguk lemah.
“Abang pun terserempak dengan gadis tu,” beritahu Firdaus.
“Maknanya, Farah tak salah pandang la ya.”
“Abang yakin, gadis tu Elisya.”
“Abang, kenapa Kak Sya berkerusi roda? Kak Sya lumpuh ke?” tanya Farah ingin tahu.
“Abang tak tahu Farah,” jawab Firdaus, perlahan. Diraup wajahnya sekali dan melepaskan keluhan berat.
“Kita cari Kak Sya, abang. Farah rindu sangat-sangat kat Kak Sya,” luah Farah, sebak.
“Abang pun rindukan dia,” ujar Firdaus seakan berbisik.
“Kesian Kak Sya. Pasti ada perkara yang berlaku kepada Kak Sya selama dua tahun ini, kan abang?” tutur Farah seraya menghela nafas ringan.
Firdaus hanya mendengar. Hatinya mengiyakan kata-kata Farah. Semakin bersalah Firdaus rasakan ketika ini. Rasa bersalah kerana menyakitkan hati Elisya dahulu. Aku mesti cari dia sampai dapat, azam Firdaus dalam hati.