Khamis, 20 Ogos 2015

Mr. Fussy Or Mr. Cool? - Bab 1







“WEI!! Jangan lari!!” laung seseorang dari arah belakang.
Dhieya menoleh. Wajah tegang seorang lelaki menyapa mata. Tanpa berlengah, dia segera berlari dari situ. Cuba untuk melepaskan diri daripada lelaki itu.
“Woi!! Jangan lari!!” jerit Zharif Farhan, lantang.
Dhieya tidak mengendahkan jeritan Zharif. Jantungnya berdegup dengan pantas. Mengawal pernafasan akibat lariannya itu. Jauh di sudut hati, dia berdoa agar Zharif tidak dapat mengejarnya. Jika tidak, mampus dikerjakan oleh lelaki itu.
“Kau nak lari ke mana?” sergah Zharif seraya merentap lengan Dhieya.
Terhenti larian Dhieya akibat rentapan itu. Dengusan kasar terlepas daripada bibir.
“Kau nak lari ke mana? Kan aku suruh kau berhenti tadi. Apasal kau tak berhenti?” marah Zharif sambil cuba mengawal pernafasan.
“Apa masalah encik ni?” tanya Dhieya sambil meronta untuk dilepaskan.
“Masalah? Masalah kau tanya? Kau dah kotorkan baju aku, boleh lagi kau tanya apa masalah aku?” geram Zharif.
“Ala, setakat baju berapa puluh ni pun nak heran ke?” cebik Dhieya, meluat.
“Woi, mak cik! Kau ingat sepuluh dua puluh aje ke harga baju aku ni? Beratus kau tahu tak?” balas Zharif, kasar.
Tertawa Dhieya mendengarnya. Ditarik lengannya dari pegangan tangan Zharif dan berpeluk tubuh di situ. Zharif di hadapan dipandang dari atas ke bawah.
“Apa masalah kau tengok aku dari atas ke bawah ni?” tegur Zharif tatkala terpandangkan tingkah Dhieya. Dikepalkan tangan menahan kemarahan.
“Encik ni….” Dhieya mematikan ayat. Dia melangkah mengelilingi Zharif sambil memandang lelaki itu dari atas ke bawah. “Anak orang miskin berlagak kaya, kan?”
What?” Zharif terjerit kecil mendengarnya.
“Ala, bro… relax la. Kita sekapal. Saya pun bukannya anak orang kaya tapi berlagak kaya,” ujar Dhieya, tersengih.
Zharif berkerut dahi. Wajah sengihan gadis itu ditatap benci.
“Kau beli baju ni kat Chow Kit, kan? Tak pun kat Petaling Street. Kat situ kan tempat branded yang chokia punya,” sambung Dhieya. Masih tersengih.
“Apa yang kau merepek ni?”
“Aku ada baik punya tempat. Semua barang nampak macam ori. Kau nak tahu tak?”
“Kau….”
“Jom! Aku bawa kau ke sana,” ajak Dhieya seraya menarik tangan Zharif.
“Wei, mak cik!” tegur Zharif, keras.
“Jomlah!” ajak Dhieya lagi sambil menarik kuat lengan Zharif. Dah macam tarik gajah pulak aku rasa dia ni. Makan apa la mamat ni, bisik Dhieya sendirian.


“SAYA nak awak buang baju tu, cepat!” arah Zharif, tegas.
Nazila merangkap setiausaha Zharif mengangguk laju. Pantas, baju kemeja dari atas meja diambil lalu membawanya keluar dari bilik. Kecut perut melihat wajah tegang bosnya itu. Belum pernah lagi bosnya beriak seperti itu. Jika ada pun sewaktu Zharif bergaduh besar dengan seorang lelaki tidak lama dahulu. Itu pun disebabkan kesalahan kecil yang lelaki itu lakukan. Sekadar mengotorkan baju Zharif tanpa disengajakan.
“Nazila!” panggil Zharif, meninggi.
Terhenti langkah Nazila dek kerana panggilan itu. Dipusingkan badan dan menatap wajah tegang Zharif. Air liur ditelan terasa kelat.
“Kenapa meja saya ni berhabuk? Awak tak lap meja saya ke?” tegur Zharif, keras. Jarinya mencalit muka meja dan ditunjukkan kepada Nazila.
“Err… maaf, Encik Zharif. Hari ni Kak Maznah cuti, jadi…”
“Berapa lama awak dah kerja bawah saya, Nazila?” pintas Zharif, laju.
“Dua tahun, Encik Zharif,” jawab Nazila, perlahan dan menunduk.
So? Nak saya ajar awak semula ke?” sindir Zharif sambil bersandar di meja kerja.
“Maafkan saya, Encik Zharif. Saya uruskan sekarang,” ujar Nazila dan beredar dari situ.
Zharif menghantar langkah Nazila dengan ekor matanya sahaja. Diperhatikan meja kerjanya yang tidak terurus dan berhabuk. Ikutkan hati, mahu sahaja dia menghamburkan kemarahan kepada setiausahanya itu. Sudah berkali-kali dipesan agar mengemas serta memastikan meja kerjanya bersih dari segala kesan habuk. Tetapi setiausahanya itu masih melakukan kesalahan. Dengusan kasar terlepas daripada bibir untuk kesekian kali.
“Apa kes ni?” tegur Hazyrul Nizam, tiba-tiba.
Tersentak Zharif mendengarnya. Dihalakan mata ke arah Hazyrul yang sedang menapak masuk ke dalam bilik.
“Kau marahkan apa pulak hari ni?” sambung Hazyrul sambil melabuhkan duduk di sofa.
“Perempuan!” balas Zharif, sepatah. Dia melangkah ke sofa dan duduk di situ.
“Perempuan mana pulak ni? Kau ni Rif, tak habis-habis nak mengamuk. Cuba jadi seorang lelaki yang cool macam aku ni,” kata Hazyrul seraya mengangkat kening.
Zharif mencebik meluat. Geli geleman mendengar kata-kata Hazyrul itu.
“Cuba kau cerita pada aku. Perempuan mana yang buat kau marah ni?”
Zharif mendengus kasar. Sakit hatinya tatkala mengingati peristiwa sebentar tadi. Berani sungguh perempuan itu mempermain-mainkannya. Ikutkan hati aku tadi, nak aje aku sumpah dia jadi bola. Boleh aku tendang-tendang dia masuk pintu gol. Tak pun biar kena lenyek dipijak pemain bola tu semua, monolog Zharif. Dia menyimpan sengihan daripada terbias di bibir.
“Kau sengihkan apa?” tegur Hazyrul tatkala terpandangkan sengihan di bibir Zharif.
“Eh, mana ada aku sengih,” tukas Zharif. Malu tatkala Hazyrul menegurnya sebegitu.
“Mesti hebat perempuan tu. Kalau tidak, tak adalah kau tersengih macam kerang busuk.”
“Hebat? Huh! Macam tomboy pun ada minah tu.”
“Oh… minah tomboy. Dia dah berjaya permain-mainkan kau la.”
“Aku? Aku dipermain-mainkan? No way! Ini Zharif Farhan la. Sesiapa pun tak boleh permain-mainkan aku,” tukas Zharif bernada bangga.
Hazyrul ketawa. Gelengan diberikan pada sepupunya itu. Dia bingkas bangun dari duduk dan melangkah ke muka pintu bilik.
“Mengaku sajalah yang kau dah dipermain-mainkan oleh minah tomboy tu. Kalau tak, muka kau tak sekelat itu,” ujar Hazyrul, mengejek.
Zharif mengepal tangan. Sakit telinganya mendengar ejekan Hazyrul.
“Kau jangan lupa game kita malam nanti. Aku pasti akan menang. Ini Hazyrul Nizam tak mudah mengaku kalah,” pesan Hazyrul dan beredar dari situ.
Zharif merengus. Semakin panas telinganya mendengar kata-kata bangga Hazyrul. Selama ini, dia tidak mudah kalah dengan sesiapa termasuklah dengan Hazryul. Dia akan membuktikan bahawa dia yang paling hebat daripada Hazyrul Nizam, sepupunya itu.


“HUH! Penat betul hari ni,” keluh Dhieya sambil menghela nafas ringan.
Peluh dingin yang membasahi dahi diseka dengan tuala kecil yang dibawa bersama. Kepenatan amat dirasai ketika ini. Menunggu masa untuk direhatkan.
“Air!” ujar Faris seraya menghulurkan sebotol air mineral kepada Dhieya.
“Terima kasih!” balas Dhieya dan meneguk rakus air dari dalam botol itu.
Faris mengangguk. Dilabuhkan duduk dan memandang tingkah Dhieya. Gelengan diberikan buat gadis itu.
“Kau dapat berapa hari ni?” soal Dhieya sehabis sahaja air minuman diteguk.
“Adalah sikit. Kau?” jawab Faris, tersenyum.
“Cukuplah untuk belanja seminggu. Kalau kau ada kerja lain, kau bagitau pada aku. Jangan nak makan sorang pulak.”
“Mak cik! Selama ini, ada ke aku makan sorang? Aku kan selalu makan dengan kau.”
Dhieya menepuk dahi. Lain yang dimaksudkan, lain pula yang dijawab Faris. Abaikan sajalah, Dhieya. Lagi kau layan, lagi menjadi bengap dia tu, bisik Dhieya, tersengih.
“Apa kes kau dengan mamat campuran ‘miska’ tu?” tanya Faris, ingin tahu.
Dhieya berkerut dahi. “Miska?”
“Yalah, campuran ayat miskin kaya. Jadilah ‘miska’. Bijak tak aku?” sengih Faris.
“Bijak! Bijak!” akui Dhieya, terangguk-angguk.
“Aku tengok mamat tu berlagak semacam aje. Gaya dia tak macam orang miskin berlagak kaya. Tapi kan, macam ‘pondan’ pun ada juga aku tengok,” komen Faris, selamba.
“Pondan?” ulang Dhieya, kurang faham.
“Yalah! Kau tengok tak gaya dia tadi? Eee.. meluat aku. Terkinja sana, terkinja sini. Macam tak pernah datang kat tempat tu pulak. Dia punya jalan, selagi boleh dikecikkan badan tu selagi itulah dia kecikkan. Macam geli pun ada gaya dia tu aku tengok.”
“Terkinja tu macam mana?”
“Eee.. mak cik ni. Macam gaya orang ‘gediks’ gitu.”
Dhieya yang mendengar ketawa besar. Faris tidak lepas dari lawaknya. Setiap kali dia bersama Faris, pasti ada bahan gurauan yang dihidangkan Faris. Selama dua tahun berkawan, perangai dan sikap Faris sudah sebati dalam dirinya.
“Miska tu marah kat kau ke tadi? Aku tak sempat nak tengok drama sebabak kau dengan dia. Maklumlah, time tu aku pergi ‘tunaikan hajat’,” ujar Faris. Matanya memandang wajah tersengih Dhieya. Apa yang disengihkan oleh kawan baiknya itu?
“Itulah kau. Rugi betul kau tak tengok tadi. Bukan setakat marah, mengamuk mamat tu tadi kat sana,” balas Dhieya sambil mengimbas semula peristiwa siang tadi. Tersengih-sengih dia tatkala mengingatinya.
“Woi, mak cik! Dah la tu tersengihnya. Dah macam angau pulak aku tengok,” tegur Faris bingkas bangun. “Aku balik dululah! Dah jauh malam ni. Kau tu perempuan. Jangan balik jauh malam sangat.”
“Yalah, pak cik! Aku nak balik la ni. Kau ni pun satu, macam la tak kenal dengan kakak aku tu. Balik lambat sikit, mulalah bebel dia sampai esok pun tak habis.”
“Haa.. kalau dah tahu, apa lagi… shuh… shuh… pergi balik!” halau Faris, selamba. Seminit kemudian, dia ketawa dengan ayatnya itu.
Dhieya turut sama ketawa. Tanpa membuang masa, dia segera beredar dari situ. Jam di tangan dikerling buat seketika. Masa sudah merangkak ke sepuluh malam. Dia perlu pulang ke rumah sebelum kakaknya, Syazreen Amira mengamuk.


“KAU kalah lagi,” kata Hazyrul, mengejek.
Zharif mendengus kasar. Sakit hatinya mendengar ejekan Hazyrul itu.
“Selama-lamanya kau akan kalah dengan aku, Zharif. Aku kan juara badminton di universiti dahulu.”
“Kau jangan nak berlagak sangatlah Erul. Aku bagi chance kat kau aje tadi.”
Hazyrul mencebik. Zharif masih tidak mahu mengalah walaupun terang-terangan lelaki itu kalah di tangannya.
Next game, kemenangan pasti di tangan aku. Kau tunggu dan lihat sajalah,” azam Zharif. Tidak mahu mengalah.
“Okey, aku tunggu. Apa yang pasti, kau kalah di tangan aku,” balas Hazyrul, sinis.
Panas telinga Zharif mendengarnya. Wajah selamba Hazyrul ditatap meluat. Tak apa, hari ni kau menang. Esok lusa, belum tentu lagi kau akan menang. Ini Zharif Farhan la. Mana boleh kalah dengan sesiapa even kau sendiri, Hayzrul Nizam. Zharif bermonolog sendirian.
“Aku takkan kalah, Erul,” ujar Zharif, tenang.
Hazyrul menggelengkan kepala. Zharif masih dengan sikap tidak mahu mengalah. Dia kenal Zharif. Sejak dari kecil lagi, sepupunya itu seorang yang tidak mudah mengalah. Selalu nak menang even dengan dia sekali pun. Zharif juga seorang yang cerewet. Dalam beberapa bulan ini, sudah dua tiga kali pembantu rumah Zharif ditukar. Semuanya tidak tahan dengan sikap cerewet Zharif. Ada saja yang tidak kena dari pandangan mata Zharif. Hazyrul mengeluh dalam hati. Siapa yang mampu bertahan dengan sikap cerewet Zharif itu? Dia sendiri pun tidak tahan inikan pula orang lain. Semoga perangai Zharif berubah nanti.
“Dah lewat ni. Jom balik!” suara Zharif sambil bangun dari duduk.
Hazyrul tersentak. Lamunannya yang pendek berterbangan begitu sahaja. Matanya memandang langkah Zharif yang sudah pun meninggalkan gelanggang badminton itu.
“Kau tak cerita pada aku lagi pasal minah tomboy tu,” ujar Hazyrul sebaik sahaja menyaingi langkah Zharif.
Terhenti langkah Zharif dek kerana ujaran itu. Dengusan kasar terlepas daripada bibir. Kenapa itu yang ditanya oleh Hazyrul? Aku nak lupa pasal tu, dia pergi tanya. Sakit hati aku dengan minah tomboy tu. Kalau aku jumpa, tau la macam mana aku nak kerjakan dia, azam Zharif dalam hati. Tangan dikepal menahan kemarahan terhadap gadis itu.
“Zharif?” seru Hazyrul.
“Tak penting!” balas Zharif dan melajukan langkah.
Hazyrul ketawa kecil dan menggeleng. Pasti perkara itu memalukan Zharif. Jika tidak, mustahil Zharif akan bersikap begitu. Tak apa, lambat laun aku akan tahu juga, bisik Hazyrul dan mengekori langkah Zharif.


“ADUH! Mati aku macam ni,” gusar Dhieya sendirian.
Dilajukan langkah menuju ke rumah. Khuatir akan dimarahi Syazreen disebabkan kelewatannya itu.
“Assala….” Belum sempat Dhieya memberi salam, tubuhnya sudah ditarik oleh Syazreen sehingga membuatkan dia terdorong ke hadapan.
“Balik pun Dhieya. Ingatkan Dhieya tak ingat jalan balik tadi,” sindir Syazreen.
“Apa akak ni? Main tarik-tarik. Nasib baik adik tak jatuh,” tegur Dhieya, keras.
Sorrysorry. Akak excited sangat nak bagitau Dhieya.”
“Kalau excited pun, janganlah macam beruk kena belacan.”
“Amboi, selamba betul mulut tu. Akak cili nanti baru tahu.”
Dhieya tersengih. Kepala yang tidak gatal digaru. Kemudian, dibawa langkah menuju ke sofa dan melabuhkan duduk di situ.
“Akak dah dapatkan kerja untuk Dhieya,” beritahu Syazreen, teruja.
Bulat mata Dhieya mendengarnya. Wajah Syazreen ditatap meminta kepastian.
“Nak kerja tak? Office sebelah office akak tu nak pakai orang. Akak dah isikan borang untuk Dhieya. Esok, Dhieya pergi interview ya,” cerita Syazreen, bersungguh.
Interview? Ala… ingatkan dah dapat terus,” keluh Dhieya.
“Eh, kira bagus lah akak dah tolong Dhieya dapatkan interview tu. Beratur orang nak isi jawatan tu tau,” cerita Syazreen lagi. Ditatap kasih wajah adiknya itu.
Dhieya berfikir sejenak. Wajah teruja kakaknya itu ditatap berserta kerutan di dahi.
“Nak tak?” tanya Syazreen.
“Yalah! Adik pergilah esok,” jawab Dhieya, mengalah.
Syazreen tersenyum senang. Dia bingkas bangun dan melangkah menuju ke bilik.
“Akak, esok pinjam baju. Adik tak ada baju yang elok nak pergi interview tu,” ujar Dhieya sebelum kakaknya itu masuk ke dalam bilik.
“Dhieya carilah dalam almari akak tu nanti,” balas Syazreen dan menutup pintu bilik.
Thanks kak!” ucap Dhieya, girang. Tidak sabar untuk menghadiri interview itu. “Baik aku call Faris bagitau pasal ni. Boleh la aku minta tolong dia hantarkan aku esok ke sana.”
Tanpa berlengah, telefon bimbit Nokia 1280 dikeluarkan dari dalam poket seluar jean. Nombor Faris didail dan menanti panggilan dijawab.
“Pak cik!” sergah Dhieya sebaik sahaja talian bersambut.
“Mak cik! Pekak telinga aku la,” rungut Faris.
Sorry, aku tak sengaja. Excited ni,” kesal Dhieya, tersengih.
“Kalau excited pun, janganlah macam beruk kena belacan.”
Aik! Macam ayat aku aje tu tadi. Pak cik ni dengan kakak aku memang ada chemistry sebenarnya. Kalau aku kenen-kenenkan dia orang berdua mesti best, bisik Dhieya dalam hati sambil tersengih. Terbayang-bayang persandingan kakaknya bersama Faris.
“Mak cik!” tegur Faris sedikit meninggi.
“Ya.. ya… selamat pengantin baru Faris dan Syazreen,” balas Dhieya, terangguk.
“Oit mak cik! Sejak bila pulak aku kahwin dengan kakak kau?”
“Alamak! Aku terlebih berangan.”
“Kau nak apa call aku malam-malam buta ni? Kau tahu tak aku dalam proses nak bermimpikan Tasha Shilla,” tanya Faris, serius. Malas bermain kata dengan Dhieya lagi.
“Apa kelas Tasha Shilla. Kita main…”
“Dah… dah.. Kau nak apa sebenarnya ni?” pintas Faris, laju. Lebih lama dia melayan, lebih merepek Dhieya tu nanti.
“Aku nak minta tolong kau hantarkan aku ke office kakak aku, boleh tak?” beritahu Dhieya sambil menghela nafas ringan.
“Kenapa?”
“Aku dapat interview kat office sebelah office kakak aku. Jadi, aku nak minta tolong kau hantarkan aku esok, boleh?”
“Kenapa tak pergi dengan Eren?”
“Kakak aku pergi kursus esok. Takkan nak suruh dia hantar aku kut,” beritahu Dhieya. Perkara itu sudah dikhabarkan oleh Syazreen beberapa hari yang lepas.
“Oh!” balas Faris, sepatah.
“Boleh tak?” tanya Dhieya ingikan kepastian.
“Okey! Duit minyak kau support,” jawab Faris ketawa kecil.
“Ala… dengan bakal adik ipar pun nak berkira.”
“Sejak bila pulak kau…”
“Esok amik aku dalam pukul lapan pagi kat rumah,” potong Dhieya dan mematikan talian. Jika tidak dimatikan, entah apa lagi yang akan dibebelkan oleh Faris itu.
Tanpa berlengah, dia melangkah menuju ke bilik. Kepenatan yang dirasai perlu direhatkan. Semoga malam ini dia bermimpikan yang indah-indah sahaja. Miska! Terdetik perkataan itu di benak hati. Dia menggeleng tatkala mengingati peristiwa siang tadi.




Sabtu, 15 Ogos 2015

Mr. Fussy Or Mr. Cool? - Prolog







“AKU minta maaf. Aku terpaksa putuskan pertunangan ni,” ujar Puan Rasidah, serba-salah. Kotak cincin berwarna merah dihulurkan pada Puan Dayana dan menatap mesra wajah wanita itu. Sukar untuk menafsirkan riak di wajah Puan Dayana.
            Puan Dayana berkerut dahi. “Kenapa tiba-tiba nak putus?”
            “Ammar yang minta, Yana. Aku tak tahu sebab apa dia minta putus,” jawab Puan Rasidah, tenang. Rasa bersalah menyerbu diri.
            Puan Dayana tidak membalas. Matanya menatap kotak cincin berwarna merah dengan perasaan sebak. Bagaimana untuk mengkhabarkan perkara itu pada Dhieya Amiera? Adakah anaknya itu dapat menerima perkara ini nanti?
            “Aku minta diri dulu, Yana. Maafkan aku,” suara Puan Rasidah dan bangun dari duduk.
            Puan Dayana turut sama bangun dari duduk. Hanya anggukan yang diberikan pada Puan Rasidah. Kelu lidahnya untuk berkata-kata. Rasa terkejut masih lagi bersisa.
           “Mak cik dah nak balik?” tegur Dhieya, ramah.
           Puan Rasidah sekadar tersenyum. Dibawa langkah keluar dari halaman rumah Puan Dayana. Rasa bersalah semakin mencengkam diri. Bukan niatnya untuk memutuskan pertunangan itu. Atas kehendak Ammar Ziqri dia terpaksa melakukannya. Berharap, Puan Dayana dan Dhieya Amiera tidak akan menyalahkannya.
           “Ibu, kenapa dengan Mak cik Shidah tu?” soal Dhieya, berkerut.
           Puan Dayana serba-salah. Perlukah dia berterus-terang pada anaknya itu?
           “Ibu, kenapa ni?” tegur Dhieya pula.
           Puan Dayana menghela nafas berat. Tangan Dhieya dicapai lalu meletakkan kotak cincin ke telapak tangan anaknya itu. Wajah anaknya ditatap kasih. Seminit kemudian, dia beredar dari situ. Memberi ruang persendirian kepada Dhieya.
           Dhieya hanya memandang. Bekas cincin di telapak tangan ditatap berserta kerutan di dahi. Apa maksud kotak cincin itu? Lantas, dibuka lalu menatap cincin dari dalam kotak itu.
          “Bukan ke ini cincin Ammar?” soal Dhieya sendirian. Hatinya berdebar-debar ketika ini.
          “Ammar minta putus!” ujar Puan Dayana, berat.
          Tersentap Dhieya mendengarnya. Dia menoleh ke wajah Puan Dayana yang sedang memandang ke arahnya. Meminta kepastian daripada ibunya itu.
          “Mak cik Shidah pulangkan semula cincin tu. Kata dia, Ammar minta putuskan pertunangan,” jelas Puan Dayana.
          Dhieya tidak membalas. Tanpa berlengah, dia segera beredar dari situ. Dia perlu berjumpa dengan Ammar untuk mengesahkan perkara itu. Kenapa dengan tiba-tiba Ammar memutuskan pertunangan mereka? Kenapa Ammar tidak berbincang dengannya terlebih dahulu?
          “Dhieya!” laung Puan Dayana dari dalam rumah.
          Matanya memandang langkah Dhieya yang sudah pun menjauhi kawasan rumah. Keluhan berat terlepas daripada bibir. Semoga Dhieya tidak melakukakan apa-apa tindakan di luar batasan.


THANKS sayang!” ucap Afiqah, ceria.
          “I rasa bersalah, Fiqa,” ujar Ammar, lemah.
          “Bersalah? Why?”
          “Putuskan pertunangan kami.”
          “Hello! You sendiri yang nak putus, kan? Kenapa pulak nak rasa bersalah?”
          Ammar tidak menjawab. Rasa bersalah kerana memutuskan pertunangan masih lagi terasa. Bukan niatnya untuk berbuat begitu. Atas sebab-sebab tertentu maka dia terpaksa mengambil keputusan itu. Semoga Dhieya dapat menerimanya dengan hati yang terbuka.
          “Ammar Ziqri!” jerit Dhieya dari jauh.
          Terkejut Afiqah dan Ammar mendengar jeritan itu. Masing-masing menghalakan mata ke arah Dhieya yang semakin menghampiri.
          “Apa ni?” soal Dhieya, keras. Diunjukkan kotak cincin di hadapan Ammar.
          “Hai, takkan tak faham-faham lagi kut?” sindir Afiqah.
          “Apa ni, Ammar?” ulang Dhieya masih keras. Tajam matanya ke wajah Ammar.
          “Dhieya, Am…” Sukar untuk Ammar bersuara. Semakin bersalah dirasakan ketika ini.
          “Kenapa Am? Kenapa? Apa salah Dhieya? Kenapa putuskan pertunangan kita?” tanya Dhieya bertubi-tubi. Rasa sebak hadir dengan tiba-tiba.
          Ammar menundukkan muka. Tidak berani untuk bertatapan dengan Dhieya.
          “Dah dia tak nak kat kau, terima ajelah,” sampuk Afiqah, selamba.
          Dhieya menoleh ke wajah Afiqah. Dikepalkan tangan menahan kemarahan di hati.
          “Kau nak tahu sebab apa?” ujar Afiqah, tersenyum sinis.
          “Kau diam! Kau sibuk, kenapa?” marah Dhieya tidak tertahan.
          “Dhieya!” tegur Ammar seraya mengangkat wajah.
          Terkejut Dhieya mendengar teguran Ammar. Dihalakan mata ke wajah tegang Ammar.
          “Am dah bosan dengan Dhieya. Hubungan kita sampai di sini saja. Keputusan Am muktamad!” sambung Ammar dan berlalu pergi.
          Tidak mahu berlama di situ. Jika tidak, khuatir hatinya akan tersentuh tatkala melihat air mata Dhieya.
          “Well! The best women win!” ujar Afiqah ketawa kecil.
          Dhieya hanya memandang. Sebak di dada mendengar keputusan muktamad Ammar. Apa salah dia? Kenapa Ammar memutuskan pertunangan mereka? Sebab apa Ammar membuat keputusan sebegitu? Adakah kerana Afiqah, Ammar memutuskan hubungan mereka? Pelbagai persoalan sedang berlegar-legar di minda.
          Pada siapa dia harus bertanya? Tidak semena-mena, air mata mengalir perlahan membasahi pipi. Rasa sebak tatkala Ammar memutuskan pertunangan mereka. Percintaan selama lima tahun, putus begitu sahaja. Adakah dia tidak cukup baik buat lelaki yang bernama Ammar Ziqri?