Selasa, 3 Mac 2015

My Dream Husband - Bab 2






SMART?” ulang Izreen, berkerut.
“Yalah, SMART!” balas Zafira sambil mengangguk.
“Kalau tak silap aku, kebanyakan lelaki yang along kenalkan dengan kau semuanya smart. Tapi, kau tetap tolak,” kata Izreen. Otaknya ligat berfikir.
“Memanglah smart. Tapi smart di luar bukan di dalam.”
Izreen berkerut dahi. Apa yang dimaksudkan oleh Zafira itu?
“Kau tak faham ke?” soal Zafira melihatkan wajah berkerut Izreen.
“Memang aku tak faham.”
Zafira menghentikan langkah. Wajah Izreen ditatap.
Smile, mature, attract, reliable, thankful. Kelima-lima ni kena ada pada lelaki yang bakal menjadi suami aku nanti,” jelas Zafira sambil menunjuk kelima-lima jemarinya.
Izreen cuba memahami penjelasan Zafira.
“Yang pertama, smile. Aku nak lelaki tu sentiasa tersenyum walaupun dalam keadaan marah sekalipun. Kedua, mature. Aku nak lelaki yang matang. Bukan macam kebudak-budakan. Yang ketiga, attract. Walaupun dia tak handsome, tapi menarik pada pandangan mata aku. Keempat, reliable. Mesti lelaki yang boleh dipercayai dan yang terakhir thankful. Lelaki itu sentiasa bersyukur dengan apa yang diperolehi,” terang Zafira, jelas dan nyata.
Izreen masih setia mendengar. Otaknya cuba merencanakan kenyataan Zafira.
“Senyum, matang, menarik, dipercayai dan bersyukur. Semua tu kriteria-kriteria suami yang aku nak,” ujar Zafira pula.
“Sekejap! Aku tengah nak cuba fahamkan penjelasan kau tadi,” celah Izreen.
Zafira berkerut dahi. Wajah Izreen dipandang mesra.
“Kalau tersenyum time marah… itu tak ada perasaan namanya. Kalau matang pun tak syok juga. Sesekali nak tengok dia kebudak-budakkan dan manja. Kalau perangai dia tak menarik mata kau, macam mana? Dipercayai? Yang ni aku rasa… tak kesemua lelaki boleh dipercayai. Mana la tahukan depan kau dia baik, tapi belakang kau dia hantu. Dan yang terakhir, sentiasa bersyukur. Yang ni… no komen,” jelas Izreen, panjang lebar.
Zafira hanya mendengar. Cuba untuk memahamkan penerangan Izreen sebentar tadi.
“Faham tak?” soal Izreen, tersenyum.
“Entah! Aku pun tak faham apa yang kau cakap.”
“Aku pun tak faham juga.”
Zafira ketawa dan menggeleng. Otaknya masih merencana penerangan Izreen. Sedikit sebanyak, ada benarnya kata-kata Izreen itu.
“Jomlah! Dah lambat ni,” ajak Izreen melihatkan Zafira seakan mengelamun.
Zafira sedikit tersentak. Disambung langkah menuju ke pawangan. Entah kenapa matanya terpandangkan seseorang. Seperti pernah melihat orang tersebut sebelum ini.
“Kau nak tengok cerita apa?” tanya Izreen setibanya di ruang legar pawagam.
Zafira tidak membalas. Matanya masih terpahat ke arah sesusuk tubuh yang sedang membeli popcorn.
“Fira, kau nak tengok cerita apa?” ulang Izreen bernada tinggi.
“Apa-apa sajalah. Aku nak ke sana sekejap,” balas Zafira dan beredar dari situ.
Izreen sedikit tersentak. Matanya memerhati langkah Zafira yang sedang menghampiri  seorang lelaki. Siapa lelaki itu?
“HR! Hitrik Roshan!” tegur Zafira sedikit teruja.
Iqwan yang sedang membayar harga popcorn sedikit tersentak. Dihalakan mata ke arah yang memanggil. Berkerut dahinya memandang gadis di hadapannya itu.
“Saya! Awak tak ingat ke?” sambung Zafira.
Iqwan segera menghampiri Zafira sebaik sahaja membayar harga popcorn. Diperhatikan Zafira daripada atas ke bawah.
“Ala… takkan tak ingat? Semalam kan kita jumpa. Yang saya panggil awak HR tu. Hitrik Roshan!” tambah Zafira lalu tersenyum.
Iqwan berfikir sebentar. Diamati wajah gadis di hadapannya itu.
“Ala… macam orang tua la awak ni. HR, Hitrik Roshan,” sebut Zafira lagi. Cuba untuk mengingatkan lelaki di hadapannya itu.
Iqwan masih berfikir. HR? Hitrik Roshan? Hatinya mengulangi dua perkataan itu. Seperti pernah mendengarnya sebelum ini.
“Kau…” Iqwan mematikan ayat tatkala mengingatinya.
“Tak sangka kita jumpa lagi. Maknanya kita ada jodoh,” pintas Zafira, tersengih.
Iqwan tidak membalas. Wajah sengihan Zafira ditatap berserta cebikan di bibir.
“Nak tengok wayang ke?” tanya Zafira, ramah.
“Kau sibuk, kenapa?” balas Iqwan dan beredar dari situ.
Dengusan kasar terlepas daripada bibir. Kenapalah dia boleh berjumpa dengan gadis itu lagi? Entah dari planet mana minah ni datang. Macam tak betul pun ada, kutuk Iqwan dalam hati.
Zafira sedikit tersentak. Matanya mengekori langkah Iqwan yang sudah pun menjauh.
“Fira, apasal ni?” tegur Izreen, tiba-tiba.
Zafira menghalakan mata ke arah Izreen. Gelengan diberikan kepada kawannya itu. Tanpa membalas, dia segera beredar dari situ.
Izreen berkerut dahi. Matanya memandang pemergian Zafira. Apa yang tidak kena dengan Zafira? Siapa lelaki yang Zafira jumpa sebentar tadi?


“APA kes?” tanya Khairil setibanya Iqwan di hadapan.
“Minah gila!” jawab Iqwan sambil melabuhkan duduk.
“Minah gila? Takkanlah minah tadi tu gila? Kau biar betul Wan?”
“Yalah, gila. Orang gila saja yang panggil aku Hitrik Roshan.”
Khairil cuba memahami kata-kata Iqwan. Seminit kemudian, dia ketawa mendengarnya.
“Kau senyap, boleh?” tegur Iqwan, keras.
“Lawaklah bro.”
“Apa yang lawaknya? Kau ingat ni Maharaja Lawak Mega ke?”
Khairil tergelak. Geli hati mendengar kata-kata Iqwan.
“Aku ni dia anggap HR. Hisy, kalau aku jumpa dia lagi, aku sekeh-sekeh kepala dia. Padan muka dia!” bebel Iqwan pula.
Semakin galak Khairil ketawa. Geli hati mendengar bebelan Iqwan.
“Suka hati saja minah tu nak panggil aku HR,” geram Iqwan sambil mengepal tangan.
“HR?” soal Khairil lalu mematikan ketawa.
“Yalah, HR stand for hantu raya!” Iqwan membalas dalam nada geram.
Ketawa besar Khairil mendengarnya. Ditatap wajah mencuka Iqwan.
“Aku ingatkan HR tu Hitrik Roshan. Rupa-rupanya hantu raya,” gelak Khairil lagi.
Iqwan berkerut dahi. Otaknya cuba merencana kata-kata Khairil.
“Kau sendiri kata tadi yang minah tu panggil kau Hitrik Roshan. HR tu bukan ke short form pada Hitrik Roshan?” jelas Khairil pula.
Iqwan hanya mendengar. Ada benarnya kata-kata Khairil itu.
“Melainkan kalau maksud minah tu memang hantu raya pada kau.”
“Kau pun sama macam minah tu. Gila!” geram Iqwan sambil mendengus kasar.
Khairil ketawa kecil. Geli hati melihat riak di wajah Iqwan. Belum pernah lagi Iqwan beriak begitu. Selama ini hanya riak tidak berperasaan sahaja yang terlukis di wajah kawan baiknya itu.
Selepas apa yang berlaku pada dua tahun yang lepas, Iqwan lebih suka menyendiri. Tidak suka bercampur dengan sesiapa dan hari ini, dia melihat perubahan itu. Semoga dia dapat melihat perubahan seterusnya daripada Iqwan.


“KAU biar betul, Fira?” tanya Izreen, inginkan kepastian.
“Aku tak tipu. Memang Hitrik Roshan,” jelas Zafira penuh yakin.
“Ah! Tak mungkin Hitrik Roshan datang sini. Menipulah kau ni, Fira.”
“Mata dia macam mata Hitrik Roshan.”
Izreen menggelengkan kepala. Riak teruja Zafira ditatap.
“Kalau dia jadi suami aku, kan best,” ujar Zafira, teruja.
Izreen berkerut dahi. Seminit kemudian, dahi kawannya itu dipukul.
“Aduh! Apa ni?” tegur Zafira sambil mengusap dahi.
“Berangan! Macamlah kau kenal dengan lelaki tu.”
“Satu hari nanti, aku akan kenal dengan dia.”
Izreen menghela nafas ringan. Belum pernah lagi dia mendengar kata-kata seperti itu tadi daripada mulut Zafira.
“Aku nak minta tolong Abang Aqil siasat pasal dia,” ujar Zafira, tersenyum.
Terhenti langkah Izreen mendengarnya. Kenapa Zafira berkata begitu?
“Aku pasti dia suami idaman aku selama ini,” sambung Zafira lagi.
“Fira…” panggil Izreen.
Zafira mematikan langkah. Dia menoleh ke belakang. Kenapa dengan Izreen?
“Fira…” seru Izreen lagi.
“Kenapa?” soal Zafira, berkerut dahi.
“Aku tak nak pisang berbuah dua kali. Kau dah lupa dengan apa yang terjadi pada dua tahun yang lepas?” Izreen sekadar mengingatkan.
Zafira cuba merencana penjelasan Izreen. Nafas berat dilepaskan. Mana mungkin dia melupakan dengan apa yang terjadi pada dua tahun yang lepas. Peristiwa yang telah meragut segala-galanya.
“Aku sekadar nak ingatkan kau saja. Aku tak nak kau terluka lagi.” Izreen bersuara. Wajah Zafira ditatap kasih. Sungguh, dia tidak mahu Zafira mengalami pengalaman yang sama.
“Tak salah kalau aku mencuba untuk kali yang kedua,” ujar Zafira, perlahan.
Dia menundukkan wajah memandang kakinya sendiri. Rasa sebak hadir dengan tiba-tiba. Peristiwa lama menggamit memori.
“Aku tak kesah. Tapi, aku risaukan kau. Kalau perkara yang sama berulang, macam mana? Aku tak nak tengok kau bersedih lagi.”
“Insya-Allah, tak.”
“Syukur alhamdulillah. Itulah yang aku harap-harapkan selama ini, Fira. Kalau boleh, aku tak nak kau terlalu memikirkan peristiwa lepas. Aku tak nak peristiwa lama bagi kesan negatif pada diri kau.”
“Aku tak nak kau menolak untuk bahagia. Kau berdendam dengan apa yang telah berlaku dan kau tutup pintu hati kau untuk terima cinta daripada seorang lelaki,” terang Izreen sambil melepaskan nafas ringan. Ucapan syukur meniti di benak hati.
Zafira hanya tersenyum. Mungkin ada benarnya kata-kata Izreen itu. Selama ini, dia takut untuk berkenalan dengan lelaki. Semuanya gara-gara peristiwa dua tahun yang lepas. Sudah acapkali abangnya, Aqil Danish memperkenalkan dia dengan beberapa kenalan lelaki.
Tetapi, semuanya ditolak mentah-mentah kerana pada waktu dan ketika itu, dia belum bersedia untuk menerima cinta seorang lelaki. Peristiwa lama telah meninggalkan kesan luka yang paling dalam.
Apalah gunanya dia terus bersikap begitu. Ia menambahkan lagi kesusahan kepada abang dan kakak iparnya. Ada baiknya dia meneruskan kehidupan. Dia juga tidak mahu membuat Izreen berasa sedih lagi. Cukuplah dengan apa yang berlaku selama ini dan dia akan cuba membahagiakan abang, kakak ipar serta kawan baiknya itu.
“Hey… dah sampai Ipoh ke?” tegur Izreen seraya memegang bahu Zafira.
“Haa.. sorry. Aku mengelamun sekejap,” balas Zafira sedikit tersentak.
“Minggu depan kau start kerja dengan along, kan?”
“A’ah. Along minta aku tolong dia. Ikutkan hati, malas la nak buat kerja-kerja office ni. Tak bebas! Asyik mengadap komputer saja.”
“Apasal pulak? Sebelum ni kan kau kerja mengadap komputer. Pembantu pengurus lagi.”
“Yalah! Masa tu aku terpaksa sebab dah tak ada kerja lain. Kau juga yang ajak aku kerja kat syarikat tu. Tak ada kawan la, apa la,” ungkit Zafira, menjeling manja.
Izreen tersengih. Memang benar apa yang diperkatakan oleh Zafira itu. Dia yang merekemenkan Zafira bekerja di Syarikat Sinar Sdn Bhd. Kini, dia dinaikkan pangkat menggantikan tempat Zafira selepas kawannya itu meletak jawatan sebulan yang lepas.
“Habis tu, kau buat kerja apa kat office along?” tanya Izreen kemudian.
“Jadi tea lady!” jawab Zafira, selamba dan melajukan langkah.
Bulat mata Izreen mendengarnya. Biar betul?
“Kau biar betul? Takkan kau nak jadi tea lady kat office along?” tanya Izreen kurang percaya. Dilajukan langkah agar dapat menyaingi langkah Zafira.
“Kenapa? Jawatan tu tak bagus ke?”
“Eh… bukan tak bagus. Aku….”
“Yang penting halal!” pintas Zafira dan beredar dari situ.
Izreen berkerut dahi. Hatinya menolak kenyataan yang keluar daripada mulut Zafira. Mustahil Zafira bekerja sebagai tea lady di pejabat Aqil.
“Fira! Fira!” panggil Izreen sambil cuba mengejar Zafira.
Zafira ketawa kecil melihat tingkah laku Izreen. Kawannya itu mudah ditipu dan tertipu. Tea lady! Dia tersenyum buat seketika.
Memang itu jawatan yang dimohon daripada abangnya tetapi ditolak keras oleh Aqil. Nak tak nak, terpaksalah dia menerima jawatan yang telah ditetapkan oleh Aqil Danish.


“MINGGU depan kau jangan lupa pasal meeting kita kat Cempaka tu. Dia orang dah bising dengan aku yang kau selalu tak ada masa meeting,” beritahu Khairil sekadar mengingatkan.
“Boleh tak jangan cakap pasal hal kerja? Orang nak bercuti pun tak senang. Tak habis-habis nak bercerita pasal meeting,” rungut Iqwan, keras.
“Okey… okey… aku minta maaf,” ucap Khairil, menggeleng kecil.
Iqwan merengus. Dibawa langkah menuju ke sebuah restoran. Perut yang terasa lapar perlu diisi. Teringin untuk makan nasi goreng ikan masin. Nasi goreng kegemarannya selama ini.
Khairil menghela nafas ringan. Langkah Iqwan yang sedang menuju ke sebuah restoran diperhati penuh minat. Sukar benar untuk menyedarkan Iqwan.
Selepas apa yang terjadi, Iqwan dilihatnya tidak mengambil berat tentang syarikat. Paling ketara selepas Iqwan mengetahui kisah yang sebenar.
Malah, sikap acuh tak acuh Iqwan turut menyukarkan perjalanan syarikat. Sudah penat dia menasihati Iqwan. Namun, nasihatnya itu dibuat endah tak endah sahaja.
“Boleh saya duduk?” tegur seseorang mematikan tingkah laku Iqwan.
Khairil tidak terkecuali. Diangkat wajah dan memandang ke wajah gadis yang berada di hadapan mereka berdua.
“Wah! Tak sangkakan kita jumpa lagi. Dalam satu hari, dua kali kita berjumpa. Kuat betul jodoh kita berdua, kan?” ujar Zafira, tersengih.
Dilabuhkan duduk di hadapan Iqwan. Tingkah laku Iqwan yang sedang makan diperhati penuh minat. Kemudian, senyuman diberikan kepada Khairil.
Iqwan tidak mengendahkan kehadiran Zafira. Dia meneruskan suapan nasi ke dalam mulut. Malas untuk melayan gadis di hadapannya itu.
Khairil berkerut dahi. Siapa gadis ini? Adakah dia mengenali Iqwan?
“Boleh berkenalan?” Ramah Zafira bertanya.
Iqwan masih meneruskan tingkah laku. Tidak berminat untuk menjawab pertanyaan Zafira.
“Fira!” tegur Izreen sambil menghampiri Zafira. Berkerut dahinya melihat dua orang jejaka di hadapan Zafira. Siapa mereka berdua?
“Reen, dia ni la yang aku cakap tadi. HR!” balas Zafira, tersenyum.
Tersedak Iqwan mendengarnya. Diangkat wajah dan memandang tajam ke wajah Zafira.
“Oh, dia ke HR yang kau cakap tadi? Hurm… ada la ciri-ciri HR,” balas Izreen sambil mengangguk kecil. Wajah lelaki di hadapannya itu diperhati penuh minat.
Tergelak Khairil mendengarnya. Adakah ‘hantu raya’ yang dimaksudkan oleh gadis-gadis itu? Dikerling sekilas ke wajah Iqwan. Kelat dan mencuka.
“Kan? Aku cakap kau tak percaya. Betul tak apa yang aku cakap tadi? Mata dia macam HR,” beritahu Zafira masih tersengih.
Sakit hati Iqwan mendengarnya. Tajam matanya ke wajah tersengih Zafira.
“Awak…”
“Kau boleh blah dari sini tak?” pintas Iqwan, keras.
“Wan, control sikit,” tegur Khairil. Kurang senang dengan kata-kata Iqwan.
Control? Minah ni memang tak makan saman. Dia ingat aku ni hantu raya ke? Suka hati saja nak gelarkan aku macam tu,” marah Iqwan, keras.
Zafira berkerut dahi. Apa yang dimaksudkan oleh Iqwan?
“Kau blah dari sini sebelum aku mengamuk,” arah Iqwan, meninggi.
“Fira, jomlah!” ajak Izreen tatkala melihat wajah tegang Iqwan.
Zafira bingkas bangun. Hatinya tertanya-tanya. Apa yang tidak kena dengan lelaki itu? Perkara apa yang telah dilakukan sehingga lelaki itu beriak tegang dan marah?
“Maaf, cik! Kawan saya ni bad mood hari ni,” ujar Khairil, serba salah.
“Tak apa, encik. Maafkan tingkah laku kawan saya tadi,” balas Izreen mewakili Zafira.
Khairil sekadar mengangguk. Gelengan kecil diberikan kepada Iqwan.
Izreen tersenyum. Tanpa berlengah, ditarik tubuh Zafira beredar dari situ. Belum sempat dia menjauhi, Zafira sudah menahannya. Bekerut dahinya memerhati langkah Zafira yang sedang menghampiri lelaki itu semula.
“Saya tak gelarkan awak ‘hantu raya’. HR tu bermaksud Hitrik Roshan. Saya suka tengok mata awak sebab mata awak macam mata Hitrik Roshan. Maafkan saya atas sikap dan perangai saya,” jelas Zafira dan beredar dari situ.
Iqwan yang mendengar terkedu. Matanya menghantar langkah Zafira dan Izreen yang sudah pun keluar dari restoran.
“Haaa… siapa yang malu sekarang?” sindir Khairil, selamba.
Iqwan tidak membalas. Dengusan kasar terlepas daripada bibir. Tanpa berlengah, dia bingkas bangun dan beredar dari situ. Sakit hatinya mendengar sindiran Khairil itu.
Khairil ketawa kecil. Geli hati melihat tingkah laku Iqwan. Seminit kemudian, dia bangun dan beredar dari restoran itu setelah membuat bayaran. Nafas ringan dilepaskan.
Wajah gadis yang menegur Iqwan meniti di tubir mata. Adakah gadis itu bakal merubah sikap dan perangai Iqwan tidak lama nanti?


Jumpa lagi!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan