Jumaat, 13 Mac 2015

My Dream Husband - Bab 10






KHAIRIL menatap fail di hadapan dengan pandangan kosong. Fikirannya melayang entah ke mana. Pertunangan Iqwan dengan Zafira bakal berlangsung dalam beberapa hari lagi. Entah kenapa hatinya kurang senang dengan pertunangan itu.
Keputusan Iqwan begitu memeranjatkan. Kenapa dengan tiba-tiba Iqwan hendak bertunang dengan Zafira? Adakah Iqwan benar-benar ikhlas bertunang dengan Zafira?
Hatinya kuat menyatakan yang Iqwan mempunyai agenda tersendiri. Iqwan menyembunyikan sesuatu daripadanya. Dia yakin yang Iqwan ada merahsiakan sesuatu. Perlukah dia menyiasat tentang itu?
“Perlukah aku tanya Iqwan tentang ni?” soal Khairil kepada dirinya sendiri.
Nafas ringan dilepaskan. Disandarkan tubuh sambil berfikir. Serta-merta wajah seseorang menyapa mata ketika ini.
“Mungkin aku patut tanya pada kawan Zafira. Manalah tahukan dia tahu,” kata Khairil sambil cuba mengingati raut wajah gadis yang bersama dengan Zafira tidak lama dulu.
Ketukan di pintu menyentak lamunan Khairil. Dihalakan mata ke arah muka pintu bilik. Wajah Iqwan menyapa mata ketika ini.
“Kau free tak?” tanya Iqwan sambil melabuhkan duduk.
Free. Kenapa?” soal Khairil pula.
“Temankan aku cari cincin.”
“Cincin?”
“Yalah! Hantaran semua, aku minta tolong orang buatkan. So, aku nak cari cincin untuk pertunangan aku minggu depan.”
“Kau sepatutnya ajak Zafira bukannya aku.”
“Kenapa pulak nak kena ajak dia?” Iqwan bertanya seperti orang bodoh.
“Sebab cincin tu dia yang nak pakai dan bukannya aku,” jawab Khairil, tenang.
Iqwan berfikir sejenak. Ada benarnya kata-kata Khairil itu.
“Wan!” seru Khairil kemudian.
Iqwan menghalakan mata ke wajah Khairil. Memberi sepenuh tumpuan kepada kawannya itu.
“Kau ikhlas dengan Zafira?” tanya Khairil, cermat.
Iqwan berkerut dahi. Kenapa keikhlasan yang ditanya oleh Khairil itu?
“Aku tak nak kau mempermain-mainkan perasaan Zafira. Kalau kau…”
“Kau persoalkan keikhlasan aku, Khai?” pintas Iqwan, laju.
“Aku tak pertikaikan. Aku cuma…”
“Curiga? Kau curiga dengan aku, kan?”
Khairil termati kata-kata. Apa jawapan yang harus diberikan kepada Iqwan?
“Kalau kau tak nak tolong aku, it’s okey. Aku masih boleh terima. Tapi, kalau kau curiga keikhlasan aku pada Zafira, itu aku tak boleh nak terima,” luah Iqwan bernada kecewa.
Tanpa menunggu, dia beredar dari bilik itu. Rasa kecewa dengan sikap Khairil. Sebagai kawan, dia memerlukan sokongan dan bukannya kritikan.
Khairil terkedu. Rasa kesal menujah ke dalam hati. Kenapa dia boleh mencurigai Iqwan? Sebagai kawan, adalah lebih baik dia menyokong dan mendoakan kebahagiaan Iqwan.


“CANTIK tak?” tanya Zafira, tersenyum. Diunjuk sebentuk cincin di hadapan Iqwan.
Iqwan sekadar berdehem. Tidak berniat untuk menjawab.
“Kalau saya pilih yang ini, boleh?” soal Zafira, teruja.
“Kau pilih la mana yang kau suka. Aku tak kisah,” balas Iqwan, tenang.
Zafira tersenyum. Ditatap kasih wajah Iqwan buat seketika. Lama dia merenung wajah itu sehinggalah dia tersedar tatkala mendengar deheman dari arah Iqwan.
Iqwan berdehem. Rasa rimas tatkala menyedari pandangan Zafira. Kenapa Zafira memandangnya sebegitu?
“Saya nak yang ini,” beritahu Zafira tatkala promoter berbangsa Melayu bertanya.
“Baiklah cik! Cik nak apa-apa lagi?” tanya promoter itu pula.
“Tak ada! Berapa harga cincin ni?”
“RM535.00, cik.”
Zafira mengangguk. Dikeluarkan dompet dari dalam beg tangan.
“RM535.00?” sampuk Iqwan sedikit terkejut.
“Ya, encik. Kenapa?”
“Tak ada yang lagi mahal ke?”
“Ada, encik!”
“Tak apa, cik. Saya ambil yang ini saja,” beritahu Zafira.
“Takkan cincin murah ni?” tanya Iqwan sedikit menekan.
“Mahal ke murah, tak penting. Yang penting, niat di hati kita. Ikhlas ataupun tidak,” jawab Zafira, tenang. Senyuman terukir di bibir.
Iqwan terkedu. Kata-kata Zafira menusuk terus ke gegendang telinga.
“Ini wangnya cik,” ujar Zafira seraya menghulur beberapa keping not RM100.00.
Promoter itu mencapai not wang tersebut. Senyuman diberikan kepada Zafira. Kemudian, dihalakan mata ke wajah Iqwan. Tegang dilihatnya pada wajah itu.
“Lepas ni, kita pergi makan nak tak?” cadang Zafira kemudian.
Iqwan mengerling jam di pergelangan tangan. Masa sudah menginjak ke pukul satu petang. Perut yang terasa lapar minta diisi. Ada baiknya dia menerima cadangan Zafira itu.
“Aku ikut saja,” balas Iqwan bingkas bangun dari duduk.
Dia melangkah keluar dari dalam kedai emas itu. Nafas berat dilepaskan. Betulkah keputusan yang dibuatnya ketika ini? Bertunang dengan Nur Zafira Sofea.
Zafira segera bangun dari duduk sebaik sahaja mendapat resit pembayaran. Keluhan ringan dilepaskan. Ikhlaskah dia bertunang dengan aku? Persoalan itu menerjah di fikiran Zafira.


“HAI, monyok saja muka tu, kenapa?” tegur Aqil tatkala terpandangkan Zafira.
Zafira tersentak. Dihalakan mata ke arah Aqil yang sedang menapak masuk ke dalam bilik. Senyuman hambar diberikan kepada abangnya itu.
“Kenapa ni?” tanya Aqil sambil melabuhkan duduk.
“Penat!” jawab Zafira, sepatah.
“Macam mana? Dah beli cincin?”
Zafira sekadar mengangguk.
“Dah settle semuanya?”
Zafira masih lagi mengangguk. Kelu lidahnya untuk berkata-kata.
“Kenapa ni? Fira ada masalah ke? Iqwan sakitkan hati Fira?” tanya Aqil, berminat. Wajah suram adiknya itu ditatap kasih.
“Tak ada masalah apa-apa. Fira cuma penat sikit ikut Iqwan tadi,” jawab Zafira, perlahan. Menghalau rasa curiga di hati Aqil.
Aqil menghela nafas ringan. Wajah Zafira masih menjadi tatapan mata.
“Kalau Fira tak suka bertunang dengan Iqwan, kita boleh batalkan pertunangan ni. Along…”
“Fira suka. Along janganlah risau,” pintas Zafira, laju. Senyuman diberikan kepada Aqil.
“Along tetap risau. Fira adik along. Along bertanggungjawab dalam menjaga Fira. Itu janji along pada arwah ayah,” beritahu Aqil bernada sebak.
Zafira hanya mendengar. Perasaan sebak menghuni di hati. Sebak mendengar kata-kata Aqil. Selama dua tahun Aqil menjaganya.
Aqil bertanggungjawab ke atas kehidupannya selepas kematian ayah mereka. Rasa bersalah kerana menyusahkan Aqil dan Amylia. Rasa kasihan turut menumpang di hati.
“Dahlah termenungnya. Along janji akan membahagiakan Fira,” ujar Aqil, lembut. Ditarik tangan Zafira lalu menggenggamnya erat. Senyuman diberikan buat adiknya itu.
“Terima kasih, along. Terima kasih kerana menjaga Fira selama ini,” ucap Zafira, tersenyum. Dieratkan lagi genggaman di tangan.


“ANGIN tak ada, tiba-tiba nak bertunang? Kamu ni biar betul, Iqwan Hafiz?” tanya Hajah Noreha.
“Nenek ni sama juga macam Khairil. Kenapa? Tak percaya?” soal Iqwan pula.
“Nenek bukannya tak percaya. Nenek tak ada pulak dengar yang kamu ni bercinta ke apa. Tiba-tiba nak bertunang. Kamu biar betul, Iqwan?” jelas Hajah Noreha pula.
Dilabuhkan duduk di sofa dan menatap wajah cucunya itu. Sudah agak lama dia tidak berjumpa dengan Iqwan. Semenjak pemergian kedua-dua orang tua Iqwan, dia jarang mendengar cerita daripada cucunya itu.
Hanya sekali sekala sahaja dia akan melawat Iqwan. Nak harapkan Iqwan datang melawatnya, pelbagai alasan yang diberikan oleh cucunya itu.
“Nenek bukannya tak kenal dengan cucu nenek tu. Suka hati saja buat keputusan,” sampuk Khairil, tiba-tiba.
Hajah Noreha menoleh. Wajah Khairil menyapa mata. Sejuk matanya memandang Khairil. Rakan baik Iqwan sejak dari sekolah lagi. Khairil merupakan anak yatim piatu dan diambil sebagai anak angkat oleh keluarga Iqwan.
Kini, Khairil dipertanggungjawabkan dalam mengurus syarikat peninggalan keluarga Iqwan atas amanat yang ditinggalkan oleh Sharizal, anak tunggalnya itu.
“Aku seriuslah. Takkan aku nak main-main pulak?” geram Iqwan.
“Dah… dah… jangan nak bertekak pulak,” tegur Hajah Noreha.
“Maaf, nek!” ujar Khairil dan Iqwan, serentak.
Hajah Noreha menggeleng. Iqwan masih dengan sikap memberontak. Sukar untuk membaca hati Iqwan. Apa yang tersurat dan tersirat di hati cucunya itu.
So, nenek nak tolong ke tidak ni? Nak harapkan Khairil, bukan tahu apa pun,” suara Iqwan seraya memandang ke wajah Hajah Noreha.
“Nenek nak jumpa dengan bakal tunang Iqwan dulu,” balas Hajah Noreha.
“Jumpa? Nak buat apa?”  tanya Iqwan, berkerut.
“Boleh tak?”
“Setuju dengan nenek. Wan, tak salahkan kalau nenek nak jumpa dengan Zafira,” sokong Khairil. Wajah Iqwan dipandang seketika.
Ada baiknya kalau Hajah Noreha berjumpa dengan Zafira. Mungkin Hajah Noreha ada pandangan sendiri terhadap Zafira.
Iqwan menghela nafas ringan.
“Nanti Wan beritahu pada dia. Bila nak jumpa?”
“Lagi cepat lagi bagus. Wan nak bertunang cepat, kan?” Hajah Noreha mengusik.
“Dia lagi tak sabar nak kahwin nek. Kalau boleh, lepas tunang nak terus nikah,” usik Khairil pula. Dia ketawa dengan kata-katanya itu.
Iqwan menjegilkan mata. Sengaja Khairil mengusiknya.
“Baiklah! Nenek naik atas dulu. Penat pulak badan ni seharian bawa kereta,” ujar Hajah Noreha bingkas bangun.
Seminit kemudian, dia beredar dari situ menuju ke bilik di tingkat atas. Nafas lega dilepaskan. Ucapan syukur meniti di benak hati. Bersyukur kerana cucunya itu terbuka hati untuk mendirikan rumah tangga. Berharap, gadis itu dapat membahagiakan Iqwan.


“KENAPA awak nak bertunang dengan saya?” tanya Zafira, ingin tahu.
“Suka!” jawab Iqwan, sepatah.
“Suka? Awak suka kat saya?”
“Kenapa? Kau tak percaya?”
“Eh, bukan tak percaya. Cuma terkejut saja.”
Iqwan berpeluk tubuh. Wajah Zafira diperhati dalam diam.
“Terima kasih!” ucap Zafira, tiba-tiba.
For what?” tanya Iqwan, berkerut.
“Sebab terima saya.”
“Aku kesiankan abang kau saja.”
Zafira berkerut dahi. Apa maksud Iqwan?
“Kalau tidak….”
“Awak kesiankan along saya?” pintas Zafira, kurang faham.
Iqwan terkedu. Ternyata dia sudah terlepas cakap.
“Awak kesiankan along saya? Sebab itu awak bertunang dengan saya. Begitu?” soal Zafira seraya memandang ke wajah Iqwan.
“Eh.. mana ada. Aku memang sukakan kau sebab itu aku nak bertunang dengan kau. Lagipun, first time aku jumpa dengan perempuan macam kau. Itu sebabnya aku sukakan kau.” Iqwan membetulkan kata-katanya sebentar lagi.
Zafira berfikir sejenak. Otaknya cuba merencana penjelasan Iqwan.
“Aku nak pertunangan ni dirahsiakan. Aku tak nak orang lain tahu tentang ni kecuali kenalan-kenalan rapat kita saja,” sambung Iqwan bernada serius.
Zafira masih berkerut dahi. Rahsiakan? Hati Zafira mengulangi perkataan itu.
“Fira… Fira…” tegur Izreen bernada keras. Disentuh bahu kawannya itu.
“Haaa… apa dia?” Zafira terpinga-pinga.
Lamunannya tentang pertemuan dengan Iqwan mati di situ sahaja. Pertemuan beberapa hari yang lepas. Malah perkataan ‘rahsia’ sedang berlegar-legar di minda.
“Kau ni kenapa? Asyik termenung saja aku tengok,” tegur Izreen sambil melabuhkan duduk. Wajah kawannya itu ditatap berserta kerutan di dahi.
“Aku tengah fikirkan pasal pertunangan aku la.”
“Kenapa? Kau tak setuju dengan pertunangan tu ke?”
Zafira tidak membalas. Ditatap cincin yang dibelinya siang tadi dengan pandangan kosong.
“Alhamdulillah kalau kau tak jadi bertunang. Aku setuju sangat-sangat,” ujar Izreen sambil menadah tangan. Kemudian, diraup wajahnya seolah-olah mengaminkan doa.
“Bila masa pulak tak jadi? Jadilah aku bertunang dengan dia,” tukas Zafira sambil menjegilkan mata.
“Lor… aku ingatkan tak jadi,” keluh Izreen sambil menggeleng.
“Kau ni mendoakan aku bahagia ke tak bahagia?” tanya Zafira, serius.
“Eh, tentulah aku mendoakan kau bahagia,” jujur Izreen.
“Habis tu… yang tadi tu apa? Siap aminkan doa lagi.”
Izreen menggaru kepalanya yang tidak gatal. Sengihan diberikan kepada kawannya itu.
“Aku tahulah kau tak suka dengan pertunangan aku. Tapi, janganlah sampai kau mendoakan aku tak bahagia sekali,” luah Zafira, sebak.
Terkedu Izreen mendengarnya. Adakah perbuatannya tadi telah melukakan hati Zafira? Sungguh, bukan niatnya mendoakan Zafira sebegitu. Hanya sekadar gurauan semata-mata.
“Mungkin doa kau akan termakbul suatu hari nanti. Kau janganlah risau,” sambung Zafira dan beredar dari situ. Rasa kecewa menumpang di hati. Kecewa dengan penerimaan Izreen terhadap pertunangannya itu.
Izreen hanya memandang. Kelu lidahnya untuk membalas. Rasa kesal kerana berkata begitu sebentar tadi. Tidak terniat langsung untuk melukakan hati Zafira.
“Ya Allah, apa yang aku dah buat tadi?” bisik Izreen sendirian.

Jumpa minggu hadapan. 
Terima kasih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan