Khamis, 23 Oktober 2014

Seandainya Tuhan Mengizinkan! - Bab 8








“DOKTOR ZAIRIEL!” panggil Sakinah dari muka pintu.
Zairiel mengangkat muka. Wajah Sakinah menyapa mata.
“Doktor dah makan?” tanya Sakinah, berbasa-basi.
“Belum lagi. Dah pukul berapa, Kak Kinah?” tanya Zairiel, ramah. Sudah bertukar panggilannya itu. Sebagai menghormati orang yang lebih tua darinya.
Sakinah menapak masuk ke dalam bilik. Dilabuhkan duduk di kerusi berhadapan dengan Zairiel. Senyuman diberikan buat doktor muda itu.
“Pukul satu, doktor.”
Zairiel tersentak. Dikerling jam di pergelangan tangan. Ternyata masa sudah pun merangkak ke angka satu petang. Keluhan ringan terlepas daripada bibir.
“Masih ada pesakit lagi ke Kak Kinah?”
“Tak ada lagi doktor,” beritahu Sakinah,menggeleng.
“Alhamdulillah, ramai yang datang ke klinik saya. Terima kasih pada Kak Kinah kerana tolong saya promosikan klinik saya ni,” ucap Zairiel, ikhlas.
“Perkara kecik saja doktor. Lagipun, klinik doktor ni lagi murah dari klinik yang sedia ada. Doktor pun ramah dan baik. Tentu ramai yang suka datang ke sini,” kata Sakinah berserta kata-kata pujian buat Zairiel.
“Hisy, tak adalah Kak Kinah. Saya ni biasa-biasa saja,” bidas Zairiel, malu.
Malu, tatkala dipuji oleh Sakinah. Bukan itu yang diharapkan selama ini. Asalkan pesakit selesa berurusan, sudah memberi kepuasan padanya.
“Doktor ni, malu-malu pulak. Apa yang Kak Kinah cakapkan ni ada benarnya. Ramai yang puji doktor. Bukan Kak Kinah sahaja tau,” terang Sakinah, tersenyum.
Zairiel hanya tersenyum. Disandarkan badan sekadar melepaskan lelah buat seketika. Matanya memandang bekas yang dibawa oleh Sakinah. Hatinya tertanya-tanya akan isi di dalam bekas makanan itu.
“Eh, lupa pulak Kak Kinah. Ini ha, ada kuih sikit. Doktor makanlah!” kata Sakinah, tersengih. Hampir dia terlupa tentang bekas makanan di tangannya itu.
“Kuih?”
“A’ah! Kuih karipap, doktor.”
“Kak Kinah beli ke?”
“Tak doktor. Pak Hamdan bagi tadi. Dia kata, kat tadika ada buat jamuan hari ni. Jadi, Syira bagi sikit pada Pak Hamdan dan suruh bagi kat doktor sekali,” beritahu Sakinah. Bekas makanan di tangan ditolak mendekati Zairiel lalu membukanya.
“Cubalah doktor. Susah nak dapat karipap macam ni.”
Berkerut dahi Zairiel mendengarnya. Apa yang dimaksudkan oleh Sakinah itu?
“Hanya Syira sahaja yang pandai buat karipap sedap macam ni. Karipap Syira tak boleh lawan dengan karipap-karipap yang ada kat pekan ni,” cerita Sakinah bersungguh.
Ketawa kecil Zairiel mendengarnnya. Tanpa bersuara, dicapai seketul karipap dari dalam bekas makanan lalu dimasukkan ke dalam mulut dan mengunyahnya.
“Macam mana, doktor?” tanya Sakinah tidak sabar.
Zairiel masih lagi mengunyah. Berkerut dahinya sambil otaknya dikerah berfikir. Seakan pernah merasai karipap seperti ini. Tetapi, di mana?
“Macam mana, doktor?” ulang Sakinah masih menanti.
“Sedap!” balas Zairiel, sepatah.
“Kan Kak Kinah dah cakap tadi. Sedap, kan?”
Zairiel mengangguk. Membenarkan kata-kata Sakinah. Otaknya masih lagi memikirkan sesuatu. Sesuatu berkaitan dengan karipap itu.
“Nanti Kak Kinah beritahu pada Syira yang doktor suka dengan karipap dia.”
“Syira? Maksud Kak Kinah, Syira yang buat karipap ni?”
“Ya Allah! Doktor ni, kenapa? Takkan baru makan seketul, doktor dah hilang ingatan.”
Zairiel berkerut dahi. Kurang mengerti akan kata-kata Sakinah.
“Kan Kak Kinah dah beritahu tadi, Syira yang buat karipap ni. Doktor dah lupa ke?”
“Oh, yalah. Kak Kinah dah beritahu tadi. Maaf, saya tak perasan.”
“Tak apa. Kak Kinah faham. Mesti baru pertama kali doktor rasa karipap ni. Tu yang jadi blur,” kata Sakinah ketawa kecil.
“Sebelum ni, saya pernah rasa karipap seperti ni Kak Kinah,” mulai Zairiel sehabis sahaja kuih karipap dimakan.
“Maksud doktor?” tanya Sakinah berkerut dahi.
“Kawan baik saya. Rasanya sama seperti karipap yang Syira buat,” jawab Zairiel, tersenyum. Dicapai botol mineral dari atas meja lalu meneguk air dari dalamnya.
Sakinah yang berada di hadapan hanya memerhatikan sahaja tingkah laku Zairiel.
“Bila saya makan karipap ni tadi, saya teringat kat dia. Saya rindukan dia,” luahZairiel pula tanpa segan silu di hadapan Sakinah.
“Dia tu, girlfriend doktor ke?” tanya Sakinah sekadar ingin tahu.
Zairiel tersenyum. Apa jawapan yang harus diberikan kepada Sakinah?Girlfriend? Jika Nur Syahirah menjadi girlfriendnya dahulu, pasti gelaran ‘isteri’ telah diberikan buat gadis itu. Tetapi, semuanya sudah terlambat. Nur Syahirah pergi tanpa khabar berita.
“Doktor… doktor…” panggil Sakinah, lembut.
“Eh… apa dia, Kak Kinah?” Zairiel terpinga-pinga.
“Doktor mengelamun ke? Kalau macam tu Kak Kinah minta diri dulu. Doktor makanlah karipap tu. Kalau doktor nak lagi, Kak Kinah boleh minta Syira buatkan untuk doktor,” terang Sakinah bingkas bangun. Senyuman diberikan kepada Zairiel.
“Eh, tak payahlah susah-susah. Apa pulak kata Syira nanti,” tegah Zairiel, malu.
“Tak apa. Syira pun mesti tak kesah. Kak Kinah pun suka juga kalau doktor dengan Syira. Bagai pinang dibelah dua,” balas Sakinahlalu tersenyum penuh makna. Tanpa menunggu, dia segera beredar dari bilik itu.
Zairiel tersenyum kelat. Rasa rindu terhadap Nur Syahirah mencengkam diri. Adakah Nur Syahirah turut sama merinduinya ketika ini?


“SYIRA ni memang sengaja, kan?” tegur Nora.
Nur Syahirah sekadar tersengih. Bukan niatnya menyusahkan Nora. Tetapi atas sebab-sebab yang boleh difikirkan munasabah, maka dia tidak perlu berjumpa dengan Doktor Zairiel. Alasan kerana berjumpa dengan pegawai di Pejabat Kesihatan Daerah.
Maka dari itu, Nora diarahkan pergi berjumpa dengan Doktor Zairiel sekali gus menyerahkan surat penghargaan kepada doktor itu.
“Puan Jamilah suruh dia, dia suruh kita pulak,” rungut Nora.
“Alah Kak Nora ni, janganlah marah. Sorry sangat-sangat. Bukannya Syira tak nak pergi jumpa dengan Doktor Zairiel tu. Kan Syira kena…”
“Yalah, Kak Nora faham. Kalau tak nak tu, macam-macam alasan bagi. Nasib baik alasan Syira tu boleh diterima pakai. Kalau tidak….” Nora mematikan ayat. Berharap, Nur Syahirah memahami akan gantungan ayatnya itu.
“Okey… okey… lepas ni, kalau Kak Nora suruh Syira jumpa dengan sesiapa pun Syira akan pergi. Tapi bukan Doktor Zairiel,” kata Nur Syahirah, tersenyum.
“Kenapa pulak macam tu?”
“Syira segan la nak jumpa dengan dia. Tambah-tambah bila Kak Nora kata dia tu handsome dan smart, lagilah Syira jadi takut.”
“Kenapa pulak nak takut?”
“Takut jatuh cinta!” kata Nur Syahirah ketawa kecil.
“Hisy, ada-ada sajalah Syira ni. Apa salahnya kalau jatuh cinta dengan doktor tu? Sepadan dengan Syira, Kak Nora rasa,” usik Nora, tersengih.
“Hisy, tak nak la Syira. Syira ni siapa, dia tu siapa. Bagai langit dengan bumi. Bagai enggang dengan pipit. Mana nak sepadan,” bidas Nur Syahirah.
“Hai, belum apa-apa lagi dah mengalah. Belum cuba belum tahu. Sudah cuba baru tahu,” terang Nora, ketawa kecil.
Nur Syahirah tersenyum kelat. Otaknya cuba merencana kata-kata Nora. Perlukah dia mencuba untuk bercinta lagi? Bercinta lagi? Dahinya berkerut tiba-tiba. Adakah selama ini dia bercinta? Tidak! Dia tidak pernah bercinta.
Apa yang pasti, dia pernah merasai perasaan jatuh cinta. Perasaan kasih dan sayang serta cinta terhadap seseorang lelaki. Lelaki yang bernama Zairiel Iqwan. Adakah rasa cinta terhadap Zairiel Iqwan masih kekal di hatinya itu?
So, apa kata pegawai PKD tu?” tanya Nora menyentak lamunan Nur Syahirah.
“PKD?” ulang Nur Syahirah, berkerut.
“Hai, mengelamun ke? Ingatkan Doktor Zairiel?” usik Nora.
Nur Syahirah tidak membalas. Matanya memandang wajah sengihan Nora.
“Kan Syira pergi jumpa pegawai kat Pejabat Kesihatan Daerah. So, apa kata pegawai tu?”
“Oh, tentang tu. Pegawai tu akan uruskan semuanya untuk kita. Apa-apa nanti, mereka hantar surat pada kita.”
“Hurm, tak mengapalah kalau dah macam tu. Kita tunggu sajalah!”
Nur Syahirah sekadar mengangguk. Matanya memandang tingkah laku anak-anak murid yang sedang menjamu selera. Hari ini mereka mengadakan jamuan kesyukuran sempena kejayaan program bersama kanak-kanak kurang upaya pada minggu lepas.
“Daniel Iman mana?” tanya Nora tatkala menyedari ketiadaan Daniel Iman.
Nur Syahirah turut sama melilaukan mata. Kelibat Daniel Iman tidak kelihatan.
“Bukan ke Iman ada kat sini tadi?”
“A’ah, tadi ada. Tapi, sekarang tak ada pulak,” beritahu Nora.
Nur Syahirah berdebar-debar. Perasaan risau menumpang di hati. Ke mana Daniel Iman pergi?
“Syira…”
“Syira pergi cari Iman sekejap,” pintas Nur Syahirah berlalu pergi.
Nora sekadar mengangguk. Matanya menghantar langkah Nur Syahirah sehingga hilang di sebalik bangunan. Ke mana Daniel Iman pergi?


“ZAIRIEL!” tegur seseorang dari muka pintu bilik.
Zairiel tersentak. Diangkat wajah dan memandang sesusuk tubuh yang menegurnya sebentar tadi. Buntang matanya melihat susuk tubuh itu.
“Kenapa? You terkejut tengok I ke?” tanya Adila sambil menapak masuk ke dalam bilik. Dilabuhkan duduk dan menatap kasih wajah di hadapannya itu.
“You buat apa kat sini? Macam mana you tahu klinik I?” tanya Zairiel, tegas.
Adila tersenyum. Matanya masih menatap wajah Zairiel. Betapa rindunya dia terhadap Zairiel. Walaupun baru sebulan, rasa rindu itu semakin mencengkam diri.
“Macam mana you tahu klinik I?” ulang Zairiel lalu bersandar ke kerusi.
“Farid!” jawab Adila, sepatah.
“Farid?” ulang Zairiel, berkerut.
Adila sekadar mengangguk. Senyuman masih terbias di wajah. Otaknya mengimbau semula pertemuan tidak sengaja dengan Farid di sebuah pasaraya dua hari yang lepas. Mujur juga Farid mahu memberi alamat Zairiel.
Jika tidak, sampai ke hari ini dia tidak akan tahu di mana Zairiel tinggal. Hendak bertanya sendiri daripada Zairiel, pasti jawapan hampa yang akan diperolehinya.
So, you nak apa daripada I sekarang ni Dila?”
“I belum hilang penat lagi you dah nak halau I, Zairiel?”
“I tak suruh pun you datang ke sini? You yang sendiri cari masalah.”
Adila menghela nafas berat. Sukar benar untuk memahamkan lelaki di hadapannya itu. Bagaimana untuk membuktikan keikhlasannya kepada Zairiel?
“I tengah sibuk, Dila. Ramai pesakit nak jumpa dengan I. Ada baiknya you beredar dari klinik I sekarang.” Zairiel beralasan.
“Sampai hati you buat I macam ni Zairiel. Apa salah I selama ni? I dah buat yang terbaik untuk you. I dah korbankan banyak masa untuk you,” luah Adila, sebak.
Zairiel menghela nafas berat. Pen di tangan diletakkan di atas meja. Diraup mukanya sekali dan memandang tepat ke wajah menunduk Adila.
“I sanggup jaga anak you asalkan you terima I,” sambung Adila.
“Dila, dah banyak kali I beritahu pada you. I anggap you sebagai kawan dan tak lebih daripada itu. I harap sangat you faham,” balas Zairiel, perlahan.
“Tapi, I tak kisah dengan status you.”
“I tahu. Tapi, you tahukan macam mana ayah I? Sehingga ke hari ini, ayah I tetap tak galakkan I berkawan dengan you. You sendiri tahu penerimaan ayah I terhadap you, bukan?”
Adila mengangguk lemah. Ada benarnya kata-kata Zairiel itu. Sehingga ke hari ini, Encik Zahrin tidak dapat menerimanya. Sebab apa, dia sendiri tidak tahu.
“You ke sini dengan siapa?” tanya Zairiel, berbasa-basi.
“Seorang. I drive ke sini,” jawab Adila.
Zairiel mengangguk perlahan. Wajah Adila ditatap mesra. Sungguh kasihan dia melihat Adila. Sudah terlalu lama Adila memendam perasaan. Tetapi apakan daya. Dia tidak mampu untuk membalas cinta Adila. Mungkin ada yang lebih baikbuat Adila.
“Mari, I belanja you makan,” ajak Zairiel seraya bangun.
Adila berkerut dahi. Wajah Zairiel ditatap meminta kepastian.
“You tak sibuk ke?”
“Tak apalah. I temankan you sekejap,” balas Zairiel dan menapak ke muka pintu bilik.
Adila yang melihat bingkas bangun dari duduk. Langkah diatur mengekori Zairiel daripada belakang. Senyuman terbit di bibirnya ketika itu.
“Kak Kinah, ada pesakit lagi tak?” tanya Zairiel setibanya di kaunter.
“Err.. tak ada doktor,” jawab Sakinah, bergetar.
“Kalau macam tu, saya nak keluar sekejap. Sebelum Kak Kinah balik nanti saya masuk,” beritahu Zairiel sambil mengerling jam di dinding.
“Baiklah, doktor!” balas Sakinah, tersenyum.
Matanya memandang gadis yang sedang berdiri di sisi Zairiel. Cantik dan menawan.
Come, Dila!” ajak Zairiel lalu melangkah keluar dari klinik.
Adila yang sedikit tersentak mengekori Zairiel daripada belakang. Senyuman diberikan kepada pembantu Zairiel.
“Hurm, cantik! Girlfriend doktor kut?” luah Sakinah, sendirian.
Matanya mengekori langkah Zairiel dan Adila.
“Jangan-jangan, dia ni kut yang doktor cerita kat aku pagi tadi.”
Tanpa membuang masa, peralatan dikemas dan melangkah masuk ke dalam bilik Zairiel. Sekadar untuk memastikan keadaan bilik itu kemas ataupun tidak.
Thanks, Zairiel!” ucap Adila setibanya di kereta.
Thanks? For what?”
“Luangkan masa untuk I walaupun you tak suka dengan I.”
“I bukannya tak suka dengan you. I suka berkawan dengan you. Tapi, seperti yang I beritahu pada you selama ni, I anggap you sebagai kawan dan tak lebih dari itu. Hati I tetap pada dia,” jelas Zairiel seraya menekan punat unlock kereta.
“Tapi, sampai bila Zairiel? Dia dah tak ada. Dia dah pergi daripada hidup you,” tanya Adila tidak berpuas hati.
“Selagi hati I masih pada dia,” jawab Zairiel lalu masuk ke dalam perut kereta.
Adila mendengus ringan. Dia memboloskan diri masuk ke dalam kereta. Wajah Zairiel yang sedang menjawab telefon ditatap berkerut. Kenapa wajah Zairiel beriak terkejut?
“Anak I hilang, Dila!” beritahu Zairiel sebaik sahaja mematikan talian.
Adila terkejut. Matanya memandang tingkah laku Zairiel yang sudah pun memulakan pemanduan. Ke mana Zairiel hendak pergi ketika ini? Adakah ke tempat makan ataupun menyelesaikan masalah kehilangan anaknya itu?



Tiada ulasan:

Catat Ulasan