Isnin, 20 Oktober 2014

Seandainya Tuhan Mengizinkan! - Bab 6





ENCIK ZAHRIN masih ralit menatap fail. Dengusan kasar terlepas daripada bibir. Ditolak kasar fail itu. Sakit hati membaca laporan yang ditulis oleh orang bawahannya. Pantang sekali jika laporan yang diminta tidak menepati kehendak.
Encik Zahrin mengeluh berat. Ingatannya mengingati Zafira dan Zairiel. Rasa rindu terhadap kedua-dua anaknya itu. Bukan niatnya untuk mengongkong hidup Zafira dan Zairiel. Demi kebaikan Zafira dan Zairiel maka dia berbuat begitu.
Bingkai gambar yang berada di atas meja dicapai lalu menatap sayu wajah-wajah di dalam gambar itu. Selepas kematian isteri tersayang, dia berusaha menyara dan membesarkan Zafira dan Zairiel. Memberi yang terbaik kepada anak-anaknya. Namun, usahanya itu hanyalah sia-sia sebaik sahaja Zafira mengambil keputusan untuk berkahwin.
Bukannya dia tidak setuju. Disebabkan kedudukan dan kelayakan pemuda itu maka dia menolak keras perkahwinan Zafira. Natijahnya, Zafira bertekad untuk meninggalkan rumah sekaligus memutuskan hubungan dengannya. Sungguh, dia merasa sedih dan kecewa ketika itu.
Kini, Zairiel mengikut jejak langkah kakaknya, Zafira. Untuk tidak mahu pisang berbuah dua kali, diletakkan syarat kepada Zairiel. Syarat yang akan mengikat Zairiel agar sentiasa berada di sisinya. Namun, semuanya sia-sia belaka. Zairiel dengan sikap memberontak dan keputusan yang diambil oleh Zairiel telah melukakan hatinya.
“Encik Zahrin!” panggil Sally dari muka pintu.
Encik Zahrin menoleh. Wajah Sally menyapa mata.
“Maafkan saya, encik. Saya dah ketuk tapi encik tak dengar,” beritahu Sally, jujur.
“Tak apa. Ada apa, Sally?” tanya Encik Zahrin.
“Dato Amrannak berjumpa dengan Encik Zahrin,” beritahu Sally sambil menapak masuk ke dalam bilik.
“Dato Amran?” ulang Encik Zahrin, berkerut dahi.
Sally sekadar mengangguk.
“Kalau macam tu, suruh Dato masuk,” arah Encik Zahrin.
Sally akur. Dia melangkah keluar dari bilik untuk memanggil Dato Amran.
Encik Zahrin hanya memandang. Hatinya tertanya-tanya dengan kedatangan Dato. Jarang sekali Dato Amran ke Zahrin Holdings. Jika ada pun sekadar menghadirkan diri untuk bermesyuarat sahaja.
“Aku mengganggu kau ke?” tegur Dato Amran berserta senyuman sinis.
Tersentak Encik Zahrin dek kerana teguran itu. Senyuman paksa diberikan kepada Dato Amran sekaligus mempelawa lelaki tua itu duduk di kerusi.
“Apa tujuan kau ke mari?” tanya Encik Zahrin. Tidak mahu membuang masa.
Dato Amran ketawa kecil. Senyuman sinis masih terbias di wajah.
“Pasal business ke?”
“Kau ni, macam tak sabar-sabar nak halau aku dari office kau saja.”
“Aku tak suka buang masa. Tujuan apa kau ke mari?”
“Pasal anak aku dan anak kau.”
“Anak kau? Siapa? Adila?” Sinis Encik Zahrin bertanya.
Dato Amran mengepal tangan. Erat!
“Kau datang ke sini, ke office aku semata-mata nak bincang pasal anak kau dan anak aku? Aku ingatkan kau nak bagi aku business besar,” sindir Encik Zahrin.
Dato Amran mengeratkan lagi genggaman di tangan. Sakit hatinya mendengar sindiran Encik Zahrin. Wajah sinis Encik Zahrin ditatap benci.
“Berapa kali aku nak beritahu pada anak kau, Amran? Walau apa cara sekali pun yang anak kau lakukan, aku tetap tak berkenan.”
“Aku pun tak berkenan dengan anak kau.”
So, kalau kau dah tak berkenan, buat apa kau datang jumpa aku bincangkan hal ni lagi?”
Dato Amran menarik nafas dan menghembusnya lembut. Wajah tegang Encik Zahrin ditatap berserta senyuman sinis.
“Aku ada kerja yang nak dibuat. Keputusan aku tetap sama. Sampai bila-bila pun aku takkan terima anak kau. Aku dah ada calon yang terbaik untuk anak aku,” tegas Encik Zahrin.
“Okey, aku pun tak ingin anak aku berkawan dengan anak kau. Disebabkan kasih sayang seorang ayah, nak tak nak aku terpaksa lakukannya,” balas Dato Amranlalu bangun dari duduk.
Encik Zahrin mencebik. Kata-kata Dato Amran buat dengar dan tidak dengar sahaja.
“Tak apa, aku masih boleh bersabar dengan kau, Zahrin. Kalau tahap kesabaran aku dah menipis, tahulah kau langit tu tinggi ataupun rendah,” sambung Dato Amran sekadar peringatan.
Langkah dibawa menuju ke muka pintu bilik. Matanya memandang wajah tegang Encik Zahrin. Pasti Encik Zahrin sedang memikirkan akan maksud kata-katanya itu.
“Kau nak ugut aku, Amran?”
“Aku tak ugut. Sekadar nak ingatkan kau saja. Tak selama-lamanya kita berada di atas dan setiap perbuatan itu ada balasannya.”
“Kau jangan nak berlagak pandai depan aku la, Amran. Kau ingat, kau tu bagus sangat ke?” bidas Encik Zahrin.
Dato Amran segera beredar dari situ. Rasa kesal menumpang di hati. Jika bukan kerana Adila, tidak ingin dia menjejakkan kaki ke pejabat Encik Zahrin. Disebabkan rasa kasih dan sayang, digagahkan juga berjumpa dengan Encik Zahrin walaupun dia tahu jawapan yang bakal keluar daripada mulut Encik Zahrin akan mengecewakan hati Adila.


“APA? Papa tak tipu Dila?” tanya Adila dari hujung talian.
“Papa kan dah beritahu pada Dila, tapi Dila yang degil,” balas Dato Amran.
Adila mendengus kasar. Sakit hatinya mendengar penjelasan Dato Amran. Ternyata, Encik Zahrin masih tidak dapat menerima dirinya. Apa kurangnya dia jika nak dibandingkan dengan perempuan-perempuan lain? Jika diikutkan, dia terlebih layak buat Zairiel.
“Papa nak Dila lupakan Zairiel.” Tegas Dato Amran bersuara.
“Papa kan tahu pendirian Dila.”
“Papa tahu dan papa tak nak Dila dipandang rendah oleh Zahrin lagi.”
“Dila tak faham la papa. Kenapa Uncle Zahrin tu tolak Dila? Dila tak cantik ke?”
Dato Amran melepaskan nafas lembut. Bagaimana untuk menjawab persoalan Adila itu?
“Zairiel tolak Dila disebabkan perempuan tu. Perempuan tu dah lama pergi, papa.”
“Dila, dengar sini. Dila bukannya tak cantik… cantik. Tapi, Zahrin tu yang tak pandai nak menilai Dila,” pujuk Dato Amran, lembut.
Adila hanya mendengar. Keluhan berat terlepas daripada bibir. Selama ini, hanya persoalan itu yang bermain-main di minda. Kenapa Encik Zahrin menolaknya? Apa kurangnya dia jika nak dibandingkan dengan perempuan itu?
“Satu hari nanti, sikap angkuh dan sombong Zahrin tu akan memakan dirinya sendiri. Kita tunggu dan lihat saja apa yang Zahrin tu buat sekarang ni,” sambung Dato Amran, yakin.
Adila masih lagi mendengar. Otaknya cuba merencanakan penjelasan Dato Amran.
“Papa ada kerja ni. Lain kali kita berbual lagi,” dalih Dato Amran.
“Papa ada rancangan ke?” tanya Adila.
“Jangan balik lewat sangat Dila,” pesan Dato Amran dan mematikan talian.
“Papa! Papa!” panggil Adila.
Namun, panggilan itu tidak bersambut. Dato Amran sudah pun mematikan talian.
“Papa aku ni ada rancangkan sesuatu ke? Aku kena korek daripada papa aku ni.”
Tanpa membuang masa, dia segera beredar dari situ. Jam di tangan dikerling buat seketika. Masa sudah pun merangkak ke pukul tiga petang. Dia perlu berjumpa dengan seseorang. Orang yang diupah untuk mencari perempuan yang menjadi halangan selama ini.


“ALHAMDULILLAH, semuanya berjalan dengan lancar,” ucap Puan Jamilah, tersenyum. Matanya menatap mesra wajah Nur Syahirah.
“Syukur alhamdulillah, puan. Semuanya berjalan seperti yang kita rancangkan,” sokong Nur Syahirah turut sama tersenyum.
“Betul tu, Syira, Puan Jamilah. Semuanya berjalan dengan lancar. Mujur juga kita dapat sumbangan tu. Kalau tidak, susah juga untuk kita uruskan program bersama kanak-kanak kurang upaya ni,” sampuk Nora pula.
“Sebut tentang sumbangan, macam mana Kak Nora dapat sumbangan tu?” tanya Nur Syahirah, ingin tahu.
Nora dan Puan Jamilah tersenyum. Masing-masing menghalakan pandangan ke wajah berkerut Nur Syahirah.
“Kenapa?” tanya Nur Syahirah, berkerut dahi.
“Saya ke sana dulu nak uruskan sesuatu,” pamit Puan Jamilah.
Sekadar memberi ruang untuk Nora menjelaskan kepada Nur Syahirah. Dia tersenyum tatkala mengingati kisah Nora dua hari yang lepas.
Nora dan Nur Syahirah sekadar mengangguk. Mata mereka menghantar langkah Puan Jamilah sehingga hilang di sebalik orang ramai.
“Macam mana Kak Nora dapat sumbangan tu?” ulang Nur Syahirah lagi.
“Sumbangan tu semua Doktor Zairiel yang bagi,” jawab Nora, tersenyum.
“Doktor Zairiel? Papa Daniel Iman ke?”
“A’ah, papa Daniel Iman.”
“Kalau macam tu, kita kena ucapkan terima kasih pada dia Kak Nora.”
“Memang wajib ucap dan tugas tu Puan Jamilah minta Syira yang lakukan.”
“Err… Syira? Kenapa Syira pulak?” tanya Nur Syahirah, terkejut.
“Syira yang paling sesuai untuk ucapkan terima kasih pada doktor tu. Kak Nora, tak sesuai,” jawab Nora, selamba.
“Tapi, bukan ke Kak Nora yang minta sumbangan tu? Jadi, Kak Nora la yang kena berterima kasih pada dia,” tukas Nur Syahirah.
“Kak Nora ni tak sesuai. Syira yang paling sesuai. Umur Syira dengan doktor tu sebaya. Lagi mudah nak berkomunikasi. Macam Kak Nora ni dah tua. Segan dan malu pun ada juga.”
“Tapi Kak Nora…”
“Ala, Syira bawa surat dan serahkan pada dia. Tapi, kalau Syira nak mengurat doktor tu pun apa salahnya. Handsome dan smart Kak Nora tengok,” potong Nora, tersenyum makna.
“Hisy, Kak Nora ni. Ke situ pulak,” bidas Nur Syahirah, tersenyum kelat.
“Betul Syira. Kak Nora rasa, Syira dengan doktor tu bagai pinang dibelah dua. Masa Kak Nora nak jumpa dia minta sumbangan hari tu, nyaris Kak Nora tak tercium dengan dia,” cerita Nora, tersengih.
“Tercium? Maksud Kak Nora?” tanya Nur Syahirah, berkerut.
“Masa Kak Nora nak masuk bilik dia, kebetulan dia pun nak keluar. Nasib baik Kak Nora sempat bagi emegency break. Kalau tidak, mahu tercium akak dengan doktor tu,” cerita Nora lagi ketawa kecil. Masih terngiang-ngiang di minda akan peristiwa itu.
Tertawa Nur Syahirah mendengarnya. Gelengan kecil diberikan kepada Nora.
“Boleh ya, Syira.” Nora memujuk.
“Hurm, nanti Syira fikirkan,” balas Nur Syahirah.
“Alah, tak payahlah nak fikir-fikir lagi. Syira pergi saja kat klinik dan serahkan surat tu pada Doktor Zairiel. Kalau kita nak suruh orang hantarkan bagi pihak kita, tak manis dan tak elok pulak Kak Nora rasa. Yalah, orang tu dah bagi sumbangan pada kita seikhlas hati. So, kita pun kenalah tunjukkan keikhlasan hati kita juga,” terang Nora, panjang lebar.
Nur Syahirah tersenyum. Otaknya cuba merencana penerangan Nora. Ada benarnya juga dengan kata-kata Nora itu.
“Macam mana, Syira? Alah, tak payahlah nak malu. Syira pun dah kenal dan jaga Daniel Iman. Mestilah Syira kenal dengan papanya juga,” sambung Nora masih mencuba.
“Baiklah, Kak Nora. Nanti Syira tolong hantarkan surat penghargaan tu pada dia.”
“Alhamdulillah. Nanti Puan Jamilah bagi surat tu pada Syira. Terima kasih, Syira.”
“Perkara kecil saja, Kak Nora.”
“Kak Nora ke sana dulu. Nak tolong Puan Jamilah,” pamit Nora berlalu pergi.
Nur Syahirah sekadar mengangguk. Tanpa berlengah, dia melangkah menuju ke bahagian pentas untuk mengemas peralatan yang telah digunakan. Seketika itu, telefon bimbitnya berbunyi. Digagau beg tangan dan mencapai telefon bimbit dari dalamnya.
“Kenapa, Hana?” tanya Nur Syahirah sebaik sahaja salam berjawab. Tanpa menyedari gerangan yang menelefonnya.
“Cik Syira, saya ni. Zairiel,” jawab Zairiel.
“Err.. maaf. Saya tak perasan tadi. Ingatkan housemate saya yang call.”
“Tak apa. Saya ada perkara nak bincang dengan Cik Syira.”                    
“Perkara? Perkara apa?”
“Saya rasa, ada baiknya kalau kita berjumpa. Kalau kita nak bercakap dalam telefon ni, satu hari pun tak boleh habis.”
“Jumpa?” ulang Nur Syahirah, terkejut.
Ketawa kecil Zairiel mendengar suara terkejut Nur Syahirah. Pasti Nur Syahirah terkejut dengan permintaannya itu. Bukan dia sengaja hendak berjumpa, tetapi hatinya didesak untuk berbuat begitu. Ada sesuatu yang menarik minatnya untuk berkenalan dengan pengasuh Daniel Iman yang bernama Nur Syahirah itu.
“Perlu ke?” tanya Nur Syahirah, inginkan kepastian.
“Saya rasa perlu.” Selamba Zairiel menjawab.
“Err… buat masa sekarang ni, saya sibuk dengan urusan sekolah. Lain kali sajalah doktor,” dalih Nur Syahirah.
Jantungnya sudah berlari laju. Disentuh lembut dadanya itu. Kenapa jantungnya berdegup dengan pantas?
“Bukan sekarang, Cik Syira. Kalau Cik Syira free, baru kita jumpa. Saya tak memaksa.”
Nur Syahirah tersenyum kelat. Terasa malu ketika ini.
“Boleh, kan Cik Syira?” Zairiel masih mencuba.
“Haa.. boleh… boleh…” jawab Nur Syahirah, tersekat-sekat.
“Cik Syira ni kelakar juga orangnya. Sama macam kawan saya. Bila dia takut, suara dia macam Cik Syira juga. Terketar-ketar,” beritahu Zairiel, jujur.
Nama Nur Syahirah meniti di benak hati. Sungguh, dia amat merindui gadis itu.
Gulp! Nur Syahirah menelan liur. Kelat! Siapakah yang dimaksudkan oleh Zairiel itu?
“Cik Syira..” seru Zairiel, lembut.
Tersentak Nur Syahirah mendengar seruan itu. Ditelan air liurnya berkali-kali. Suara itu amat dikenali. Adakah Zairiel yang sedang berbual bersama ketika ini ialah Zairiel Iqwan? Lelaki yang pernah menjadi sebahagian dalam hidupnya dahulu.
“Cik Syira…” panggil Zairiel lagi.
“Err.. maaf, doktor. Saya mengelamun sekejap,” balas Nur Syahirah.
“Maaf, kalau saya mengganggu.”
“Eh, tak adalah. Saya ni suka mengelamun.”
“Sama macam kawan saya tu. Dia pun suka mengelamun,” cerita Zairiel, ketawa kecil.
Masih segar di ingatan tingkah laku Nur Syahirah sewaktu mereka berdua berkawan dahulu.
Semakin berdebar Nur Syahirah rasai ketika ini. Perlukah dia berjumpa dan bersemuka dengan Zairiel? Sekadar meleraikan setiap pertanyaan di mindanya ketika ini.
“Saya letak dulu. Kalau Cik Syira free, Cik Syira beritahu pada saya,” suara Zairiel.
“Insya-Allah, nanti saya beritahu pada doktor,” balas Nur Syahirah.
“Assalamualaikum,” ucap Zairiel dan mematikan talian.
“Waalaikumussalam,” jawab Nur Syahirah turut sama mematikan talian.
Hatinya tertanya-tanya. Siapakah Doktor Zairiel yang sebenar? Adakah Doktor Zairiel itu merupakan Zairiel Iqwan?
“Ya Allah, kalau benarlah dia, apa aku nak buat?” bisik hati Nur Syahirah, sendirian.

Terima kasih sudi baca. Jumpa lagi!
J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan