Selasa, 4 September 2012

Suara Cinta - Prolog


PROLOG

“MACAM mana?” tanya Haji Marwan.
“Masih sama bang haji. Risau Yati tengoknya,” jawab Hajah Norhayati.
Haji Marwan mengeluh berat. Matanya masih lagi menatap wajah Nur Edleen yang sedang tidur. Kasihan dia melihat anak bongsunya itu. Begitu berat dugaan yang diterima oleh Nur Edleen. Dia sebagai ayah tidak mampu untuk melihat inikan pula untuk menanggungnya.
“Banyak-banyaklah kita berdoa Yati agar Leen kuat dan tabah hadapi dugaan dariNya. Jangan tunjukkan kita lemah walaupun sebenarnya kita sendiri pun tak kuat,” nasihat Haji Marwan dan mengeluh untuk kesekian kalinya.
“Tapi bang haji, boleh ke Leen terima semua ini sebagai takdir dalam hidupnya? Bang haji sendiri tahu macam mana anak kita selama ini. Yati takut Leen akan memencilkan dirinya selepas ini,” luah Hajah Hayati risau. Terpancar kerisauan di wajahnya kala itu.
“Insya-Allah, banyak-banyaklah kita berdoa pada Allah. Semoga dipermudahkan segala urusan kita.” Hanya itu yang mampu Haji Marwan luahkan. Sungguh tidak tertanggung dugaan yang terpaksa Nur Edleen hadapi. Hanya iringan doa serta kekuatan yang mampu diberikan pada Nur Edleen ketika ini. Tanpa berlengah, segera dia beredar dari bilik rawatan Nur Edleen. Tidak sanggup untuk menatap wajah pucat Nur Edleen lagi.
“Ummi… ummi….” Racau Nur Edleen perlahan.
Hajah Norhayati yang mendengar bingkas duduk di birai katil. Tangannya menggenggam erat tangan Nur Edleen. Sayu hatinya melihat keadaan Nur Edleen ketika ini. Kemalangan yang dialami oleh Nur Edleen telah meragut segala-galanya.
“Ummi ada ni sayang. Sayang tidurlah dulu,” suara Hajah Norhayati cuba untuk menenangkan Nur Edleen yang sedikit meracau. Tangannya masih erat menggenggam tangan Nur Edleen.
“Assalamualaikum,” tegur seseorang menyentak Hajah Norhayati. Segera dihalakan matanya ke arah suara tersebut.
“Ummi…” seru Ezzura perlahan seraya memeluk tubuh Hajah Norhayati. “Macam mana dengan Leen, ummi?” tanyanya pula dan meleraikan pelukan.
“Masih tak sedarkan diri Zura. Ummi risaukan Leen,” luah Hajah Norhayati dan teresak kecil. Tangisan yang ditahan-tahan sedari tadi.
“Insya-Allah ummi, Leen tak ada apa-apa. Banyak-banyaklah kita berdoa agar Leen cepat sedar,” pujuk Ezzura lembut.
Ezzura tahu Hajah Norhayati pasti merasa sedih dengan apa yang berlaku terhadap Nur Edleen. Hati ibu mana yang tidak sedih melihat anak terlantar di hospital. Malah keadaan Nur Edleen membuatkan sesiapa yang melihat berasa sebak dan hiba. Kemalangan yang dialami oleh Nur Edleen sukar untuk kita yang normal berfikir secara waras. Kereta yang dipandu Nur Edleen terbabas melanggar sebatang pokok. Hampir separuh badan kereta Nur Edleen terbakar. Mujurlah orang ramai yang melihat kemalangan itu datang menghulurkan bantuan, jika tidak, sudah pastilah Nur Edleen maut di dalam kemalangan tersebut.
“Abah mana ummi?” tanya Ezzura tatkala menyedari ketiadaan Haji Marwan. Tiada batasan di antara Ezzura dengan keluarga Nur Edleen. Semenjak dari sekolah menengah, Haji Marwan yang banyak membantu keluarganya dari segi kewangan. Malah dirinya sudah dianggap seperti keluarga sendiri oleh Haji Marwan selepas kematian kedua-dua orang tuanya akibat kemalangan jalan raya beberapa tahun yang lalu.
“Abah ke kantin agaknya,” jawab Hajah Norhayati lemah. Seakan tidak bermaya dirasakan ketika ini.
“Ummi dah makan?” tanya Ezzura prihatin.
Hajah Norhayati hanya menggeleng. Bingkas dia bangun dari duduk dan menapak ke sofa. Keluhan berat terlepas dari bibir.
“Kalau ummi nak makan, Zura boleh tolong belikan untuk ummi,” pelawa Ezzura dan mengikut tingkah Hajah Norhayati duduk di sofa.
“Tak mengapalah Zura, ummi tak lapar lagi. Ummi nak tunggu Leen sedar. Ummi takut Leen akan meracau bila sedar nanti. Tambah-tambah dengan apa yang berlaku akan menambahkan lagi kekecewaan Leen.”
“Insya-Allah ummi. Zura yakin, Leen akan tabah untuk hadapinya nanti,” yakin Ezzura dan tersenyum ke arah Hajah Norhayati. Cuba untuk mengusir kerisauan di hati orang tua itu.
“Ummi pun harap macam tu lah Zura. Harap Leen dapat terima dengan reda,” sokong Hajah Norhayati dan tersenyum hambar.
Ezzura hanya mengangguk. Ini merupakan ujian yang perlu dihadapi oleh Nur Edleen dan keluarganya. Semoga ummi dan abah serta Leen tabah dalam menghadapi segala ujian dari-Nya, doa Ezzura di dalam hati.


HAJI MARWAN mengeluh untuk kesekian kalinya. Mee goreng di hadapan dipandang dengan pandangan kosong. Hilang seleranya tatkala terkenangkan Nur Edleen. Bagaimana keadaan Nur Edleen sebaik sedar nanti? Adakah Nur Edleen dapat menerima kenyataan dengan apa yang terjadi? Sedangkan dia sebagai ayah tidak sanggup atau mampu untuk hadapi, inikan pula Nur Edleen. Ya Allah, tabahkan hati anak aku, doanya di dalam hati.
Tanpa menjamah, bingkas Haji Marwan bangun dari duduk. Hatinya kurang enak tiba-tiba. Adakah sesuatu akan berlaku terhadap Nur Edleen?
“Abah!” panggil Ezzura mematikan langkahnya. Segera dia menoleh dan wajah Ezzura menyapa mata.
“Zura!” balas Haji Marwan lemah.
Ezzura segera menyalam tangan Haji Marwan. Wajah Haji Marwan ditatap kasih. Ada riak kerisauan dan kesedihan di wajah itu. Mungkin disebabkan Nur Edleen, Haji Marwan beriak begitu. Hatinya menjadi sayu dan sebak dengan tiba-tiba.
“Abah dah makan ke?” tanya Ezzura tatkala matanya melihat sepinggan mee goreng belum dijamah.
“Abah tak ada selera Zura. Abah risaukan Leen,” beritahu Haji Marwan.
“Abah, kita semua risaukan Leen, tapi abah dengan ummi kena jaga kesihatan. Kalau abah dan ummi sakit, siapa yang nak tengokkan Leen. Mesti Leen lagi sedih kalau abah dan ummi sakit,” kata Ezzura bernada nasihat.
Haji Marwan sekadar mendengar. Ada benarnya kata-kata Ezzura. Kalau mereka berdua sakit, siapa yang akan menjaga Nur Edleen?
“Abah betul-betul tak ada selera Zura. Abah nak ke bilik Leen,” ujar Haji Marwan perlahan dan berlalu dari situ.
Ezzura hanya memandang. Keluhan terlepas dari bibir. Apa lagi yang perlu dibuat agar semangat Haji Marwan dan Hajah Norhayati kuat dan tidak lemah. Tanpa membuang masa, segera dibawa kakinya ke tempat hidangan makanan. Mencari-cari makanan yang sesuai buat Hajah Norhayati dan Haji Marwan.


“TIDAK! Tak mungkin! Tak mungkin!” raung Nur Edleen.
“Leen, sabar nak. Semua ni dugaan dariNya,” pujuk Hajah Norhayati.
“Leen tak sanggup ummi. Leen tak sanggup,” esak Nur Edleen.
Hajah Norhayati segera memeluk tubuh Nur Edleen. Diusap lembut belakang Nur Edleen dan cuba menyabarkan Nur Edleen.
“Kenapa ummi? Kenapa Leen kena hadapi semua ini,” luah Nur Edleen pula dan masih lagi menangis.
“Ummi tahu nak. Banyak-banyakkan bersabar. Leen perlu bersyukur kerana Leen masih lagi bernafas,” pujuk Hajah Norhayati.
“Leen!” panggil Haji Marwan seraya duduk di hadapan Hajah Norhayati dan Nur Edleen.
“Abah!” panggil Nur Edleen seraya memeluk Haji Marwan. “Leen tak sanggup nak hadapinya abah. Leen tak sanggup,” luahnya lagi.
“Abah tahu Leen. Abah juga tahu yang anak abah ni seorang yang kuat,” pujuk Haji Marwan pula dan mengusap lembut belakang Nur Edleen.
Nur Edleen hanya membisu dan mendengar. Hatinya sebak dan pilu ketika ini. Kenapa ujian seberat ini yang diterima olehnya? Sungguh tidak tertanggung dugaan yang telah diberikan oleh Allah terhadap dirinya. Semoga dia tabah menghadapi semua dugaan tersebut.


12 ulasan:

  1. Kak knpa dengan Leen.... Trujanya nk bc bab sterusnya....

    BalasPadam
  2. aduiiiiiiiii... dugaan aper nie, kak Ros..
    Ezzura ni kakak si Edleen ker..huhuhuuuu, jgn lamer2 tau. nk ep 1 secepat yg mgkin..plzzzzzzzz

    BalasPadam
    Balasan
    1. huhu.. bab2 ke atas tahulah dugaan apanya.. Ezzura bukan kakak Leen, tp kawan baik Leen..

      Padam
  3. Balasan
    1. terima kasih kak ida coz sudi singgah dan membc SC.. (^__^)

      Padam