Khamis, 30 Ogos 2012

Special Entry - HM, GB & AJID



 TIGA CERITA DALAM SATU KISAH




Liyana menghela nafas lega. Ucapan syukur sentiasa meniti di benak hati. Syukur kerana business butiknya mendapat sambutan orang ramai. Matanya meliar melihat keadaan butik itu. Dia tersenyum melihatnya. Marina memang pandai menghias dan menggubah, pujinya sendirian.
“Eirul, kenapa masuk kat sini?” tanya Nur Ain seraya menarik tangan Hazrul Iskandar.
“Ala, Eirul nak tengok baju tu. Cantik sangat!” jawab Hazrul Iskandar.
Liyana tersenyum melihat ibu dan anak itu. Dibawa langkah menghampiri anak-beranak tersebut. Wajah anak kecil itu ditatap mesra.
“Adik suka baju yang mana? Biar auntie ambilkan untuk adik,” pelawa Liyana ramah.
“Betul auntie?” tanya Hairul Iskandar inginkan kepastian.
Liyana mengangguk mengiyakannya.
“Eirul, kenapa nak susahkan auntie?” tegur Nur Ain lembut.
“Eh, tak mengapa puan. Tak ada susahnya,” balas Liyana dan tersenyum. “Come, auntie bawa Eirul pusing-pusing butik auntie ni,” ajaknya pula.
“Oh yeah! Terima kasih auntie,” ucap Hazrul Iskandar girang. “Auntie ni cantiklah!” pujinya dan tersengih.
“Eirul!” tegur Nur Ain.
Tergelak Liyana mendengarnya. Tangan dihulur dan disambut baik oleh Hazrul Iskandar. Seminit kemudian, bayangan Liyana dan Hazrul Iskandar, hilang dari pandangan mata Nur Ain.
“Sayang,” tegur Hazrel tiba-tiba.
Nur Ain menoleh. Wajah Hazrel bersama anak kembar mereka berdua menyapa mata. Senyuman diberikan pada suaminya itu.
“Mana Eirul?” tanya Hazrel. Matanya melilau mencari kelibat Hazrul Iskandar.
Hero abang dah jumpa heroinnya,” jawab Nur Ain dan tersengih.
Heroin?” ulang Hazrel berkerut.
“Mama, cantik tak baju ni?” tanya Hazrul Iskandar tiba-tiba.
Nur Ain dan Hazrel menoleh. Wajah ceria Hazrul Iskandar menyapa mata.
Auntie bagi baju ni pada Eirul. Cantikkan mama?” beritahu Hazrul Iskandar lagi.
“Puan, tak perlulah. Saya boleh bayarnya,” kata Nur Ain.
“Eh, tak mengapa. Saya ikhlas bagi pada Eirul,” balas Liyana dan tersenyum.
“Terima kasih puan..”
“Nur Liyana Safiyah! Panggil saja Liyana,” pintas Liyana.
“Terima kasih Liyana. Buat susah-susah saja,” sambung Nur Ain. “Oh ya, ini suami saya, Hazrel Hardy. Saya Nur Ain Zafira, panggil Ain sahaja,” perkenalnya pula.
Liyana mengangguk ke arah Hazrel. Sebagai tanda perkenalan mereka berdua.
“Terima kasih Liyana sebab sudi hadiahkan baju tu pada hero kami,” ucap Hazrel dan tersenyum. Matanya melilau melihat pakaian yang ada di dalam butik tersebut.
“Sama-sama. Saya baru nak bergiat aktif dalam rekaan baju kanak-kanak. So, bila Eirul sukakan baju tu, saya rasa lega sebab rekaan saya diterima,” jelas Liyana dan tersenyum.
“Oh, yeke. Ikhlas saya katakan, rekaan Liyana cantik-cantik semuanya,” puji Hazrel jujur.
“Betul tu, rekaan Liyana semuanya cantik,” puji Nur Ain pula.
Liyana tersenyum. Anggukan kecil diberikan pada Nur Ain dan Hazrel. Matanya memandang kembar perempuan yang berada dalam pegangan Hazrel. Comel! Desis hatinya.
Auntieauntie…” panggil Hazrul Iskandar.
“Ada apa sayang?” tanya Liyana lembut.
Auntie dah kahwin?” tanya Hazrul Iskandar dan tersengih.
Liyana mengerutkan dahi.
“Eirul, kenapa tanya auntie macam tu?” tegur Hazrel keras.
“Eh, tak mengapa. Bijak juga anak Ain dan Hazrel ni,” balas Liyana. Matanya memandang wajah Hazrul Iskandar. “Dah. Auntie dah kahwin,” balasnya seraya mencubit pipi Hazrul Iskandar. Geram melihat Hazrul Iskandar.
“Ada handsome macam papa Eirul tak, auntie?” tanya Hazrul Iskandar sekadar ingin tahu. Wajah Liyana ditatap penuh minat.
“Eirul!” tegur Hazrel dan menjegilkan mata.
Hazrul Iskandar tertawa. Tanpa menunggu, ditarik tangan Allysa dan Allyza agar mengekorinya. Mulutnya terkumat-kamit bercerita dengan kedua-dua adik kembarnya itu.
Liyana turut sama tertawa. Tercuit hatinya dengan tingkah Hazrul Iskandar.
“Maafkan Eirul!” suara Nur Ain.
“Tak mengapa Ain. Saya suka dengan budak-budak,” balas Liyana dan tersenyum.
“Kami minta diri dulu Liyana. Terima kasih atas pemberian Liyana tadi. Insya-Allah, kalau ada rezeki, kita jumpa lagi,” kata Nur Ain turut sama tersenyum.
“Sama-sama. Pemberian ikhlas dari saya. Terima kasih sebab sudi singgah ke butik saya ni,” tutur Liyana ikhlas.
“Eirul, salam auntie,” arah Hazrel bernada tegas.
Hazrul Iskandar yang mendengar, membawa langkah ke arah Liyana. Tangan Liyana dicapai dan mengucupnya lembut. Kemudian dihulurkan tangan Allysa dan Allyza supaya bersalam. Terkial-kial adik-adiknya itu bersalaman dengan Liyana.
“Jangan nakal-nakal Eirul. Semoga Eirul jadi seorang abang yang bertanggungjawab,” pesan Liyana seraya mencubit lembut pipi Hazrul Iskandar.
“Baik auntie. Eirul akan jadi seorang abang yang kuat,” kata Hazrul Iskandar dan tertawa. Kemudian sengihan diberikan pada papa dan mamanya.
Tertawa Liyana mendengarnya. Tangannya melambai ke arah Hazrul Iskandar. Seminit kemudian, bayangan keluarga Nur Ain hilang dari pandangan mata. Nafas ringan dihela dan melepaskannya lembut. Matanya mengerling sekilas ke arah jam di dinding. Masa sudah pun merangkak ke tiga petang. Dia perlu segera pulang kerana telah berjanji dengan Amirul untuk ke rumah Tan Sri Khalil.



Tengku Hariz mengerling sekilas ke wajah Aisya. Kelat! Adakah disebabkan keengganannya tadi membuatkan isterinya itu masam mencuka. Dikerling ke wajah anak kembarnya, khusyuk bermain dengan permainan mereka. Nafas berat dilepaskan. Dicapai tangan Aisya dan cuba untuk menggenggamnya. Namun Aisya lebih pantas mengelak. Dia mengeluh. Bagaimana memujuk hati isterinya itu?
“Sampai hati abang,” luah Aisya bernada sebak.
“Sayang, abang…”
“Bukannya selalu Aisya minta, baru kali ni saja. Ini pun sebab anak dalam perut ni yang nak, bukannya Aisya,” luah Aisya dan masih sebak.
Tengku Hariz memberhentikan kereta di bahu jalan. Dia menoleh ke wajah mencuka Aisya. Sukar benar untuk memujuk Aisya semenjak dua menjak ini. Adakah disebabkan pembawakan budak membuatkan Aisya cepat sensitif dan merajuk. Nafas berat dilepaskan untuk kesekian kalinya.
“Aisya nak juga!” rengek Aisya dan menatap wajah Tengku Hariz.
Tengku Hariz menggaru kepala. Jawapan apa yang harus diberikan pada isterinya itu.
“Kalau abang tak belikan, Aisya nak mengadu dengan papa. Baru padan muka abang,” ugut Aisya dan memandang tajam wajah Tengku Hariz.
“Sayang, janganlah!” tegah Tengku Hariz. Mengharap pengertian dari Aisya.
Sungguh dia amat takut sekiranya Tengku Azman mengetahui tentang ini. Sudah banyak kali Tengku Azman memberi amaran padanya agar tidak melukakan hati Aisya. Tidak mahu peristiwa lama berulang kembali. Malah dia juga takut untuk kehilangan Aisya.
“Kalau abang tak nak Aisya bagitau pada papa, baik abang belikan juga benda tu,” desak Aisya dan menarik tangan Tengku Hariz.
“Tapi…”
“Tak ada tapi-tapi lagi. Aisya nak abang belikan basikal tu juga,” paksa Aisya lagi.
“Sayang bukannya pandai bawa basikal. Abang takut sayang jatuh nanti,” kata Tengku Hariz dan mengeluh berat.
Itulah perkara yang sebenarnya. Keinginan Aisya untuk memiliki basikal. Bukannya dia tidak mahu membelinya. Disebabkan keadaan Aisya yang sedang berbadan dua membuatkan dia tidak sanggup mengambil risiko tersebut.
“Aisya pandai bawa. Bolehlah abang. Aisya teringin sangat nak naik basikal,” pujuk Aisya lembut. Tangan Tengku Hariz dicapai dan mengucupnya lembut. Mengharap persetujuan dari suaminya itu.
Tengku Hariz mengeluh untuk kesekian kalinya. Hatinya berkira-kira untuk bersetuju. Matanya memandang wajah mencuka Aisya. Seminit kemudian, dia mengangguk sebagai tanda bersetuju akan permintaan Aisya itu.
“Betul ni?” tanya Aisya tatkala terpandangkan anggukan Tengku Hariz.
“Dengan syarat,” kata Tengku Hariz.
“Apa?”
“Abang yang bawa dan bukannya sayang,” tegas Tengku Hariz.
“Tapi Aisya…”
No tapi… tapi.. kalau sayang tak setuju, kita tak payah beli basikal tu. Full stop!” kata Tengku Hariz bernada serius dan menyambung pemanduan.
Aisya mengeluh berat. Dia berpeluk tubuh dan membuang pandang ke luar tingkap. Tidak menghiraukan pandangan Tengku Hariz. Tidak mengendahkan suara Tengku Darwisy Iskandar dan Tengku Arissa Sofea yang sedang berceloteh sesama sendiri.
“Allahuakbar!” ucap Tengku Hariz tiba-tiba.
Terkejut Aisya mendengarnya. Ditoleh ke arah Tengku Hariz di sebelah. Berkerut dahi suaminya itu. Apa yang sedang berlaku?
“Abang terlanggarkan kereta depan,” beritahu Tengku Hariz dan memberhentikan kereta.
“Langgar?” ulang Aisya terkejut.
“Sayang tunggu sekejap. Abang nak keluar, nak settlekan masalah ni,” amaran Tengku Hariz seraya membuka pintu kereta.
Aisya sekadar mengangguk. Matanya mengekori langkah Tengku Hariz yang sudah menapak keluar dari kereta. Dia menoleh ke belakang. Sejak bila anak-anaknya itu terlelap?
“Maaf, saya tak perasan tadi,” kata Tengku Hariz kesal.
“Mata awak tu letak kat mana? Awak tak nampak ke lampu merah tadi?” tegur Hazrel sedikit tegang. Tajam matanya ke muka Tengku Hariz.
“Abang, sabarlah!” tegur Nur Ain.
Gelengan diberikan buat Hazrel. Digenggam tangan Hazrel sekadar untuk meredakan kemarahan Hazrel. Bukankah Hazrel dapat mengawal kemarahannya selama ini? Tetapi kenapa hari ini Hazrel bersikap panas baran?
“Saya memang tak perasan lampu merah tadi. Saya minta maaf,” kata Tengku Hariz lagi.
“Abang, kenapa?” tegur Aisya dari arah belakang.
Tengku Hariz menoleh. Berkerut dahinya memandang Aisya.
“Kenapa?” ulang Aisya dan menghampiri Tengku Hariz.
“Sayang, kan abang kata tunggu kat dalam kereta. Darwisy dengan Arissa mana?” kata Tengku Hariz dan mendengus ringan.
“Budak-budak tengah tidur. Kenapa?” beritahu Aisya. Masih tidak berpuas hati.
“Maaf puan. Suami puan terlanggar kereta kami,” sampuk Nur Ain.
Aisya menoleh. Matanya memandang ke arah kereta milik lelaki dan wanita di hadapannya itu. Kemudian beralih ke kereta mereka pula.
“Saya akui salah saya. Saya tak perasankan lampu merah tu tadi,” akui Tengku Hariz seraya menyeluk poket seluarnya. Dikeluarkan sekeping kad dari dalam dompet dan dihulurkan pada Hazrel. “Kad saya. Lepas repair, encik claim dengan saya,” katanya pula.
“Maafkan kami. Memang kami tak perasankan lampu merah tadi,” ujar Aisya pula.
“Tak mengapalah. Perkara kecik saja ni,” balas Nur Ain. “Abang, jomlah kita balik. Nanti lambat pulak jumpa papa dengan mama,” ajaknya dan memaut tangan Hazrel.
Hazrel mengangguk. Senyuman diberikan pada Tengku Hariz dan Aisya.
“Kalau ada apa-apa, encik boleh call nombor tu,” beritahu Tengku Hariz lagi.
“Baiklah! Saya pun minta maaf sebab terkasar bahasa tadi,” balas Hazrel dan menatap business card milik Tengku Hariz.
“Kami minta diri dulu,” pamit Nur Ain.
“Baiklah! Kalau ada rezeki, kita jumpa lagi,” balas Aisya dan tersenyum.
Nur Ain turut sama tersenyum. Tanpa berlengah, langkah dibawa menuju ke kereta. Dia menggeleng kecil mengingati peristiwa sebentar tadi.
“Mari sayang!” ajak Tengku Hariz sebaik sahaja kereta milik Hazrel dan Nur Ain menghilang. Nafas ringan dihela dan meraup muka sekali.
“Maafkan Aisya!” ujar Aisya perlahan dan menunduk.
“Maaf? Maaf kenapa?” tanya Tengku Hariz berkerut.
“Kalau bukan disebabkan Aisya tadi, abang takkan langgar kereta orang,” jawab Aisya dan masih menunduk.
Tengku Hariz tersenyum. Wajah Aisya diangkat lalu menatap kasih wajah itu. Kemudian dibawa tangannya ke perut Aisya. Memberi isyarat pada isterinya itu.
“Terima kasih!” ucap Aisya sebak. Didakap tubuh Tengku Hariz. Mengerti akan maksud Tengku Hariz itu.
“Mama!” panggil Tengku Darwisy Iskandar tiba-tiba.
Serentak Tengku Hariz dan Aisya menoleh. Wajah Tengku Darwisy Iskandar menyapa mata. Dilihatnya Tengku Arissa Sofea sedang menangis. Pastinya Tengku Arissa Sofea menangis tatkala menyedari ketiadaan mereka berdua.
Tanpa membuang masa, langkah dibawa menuju ke kereta. Nafas lega dilepaskan. Ucapan syukur meniti di benak hati. Bersyukur kerana tidak mengalami apa-apa kecederaan. Jika tidak, pastinya Tengku Hariz akan merasa bersalah kerana tidak menjaga keluarganya dengan baik seperti yang dipesan oleh papanya, Tengku Azman dan juga abangnya, Tengku Azizul.



“Abang, cepatlah!” panggil Liyana sedikit meninggi. Diketuk pintu bilik air bertalu-talu. Agak lama menunggu Amirul keluar dari bilik air.
“Sekejap la sayang. Abang nak tenangkan hati sekejap,” balas Amirul turut sama meninggi. Nafas dihela ringan.
“Abang tahu tak dah pukul berapa sekarang ni? Apa kata papa dan mama nanti kalau kita lambat turun,” beritahu Liyana mendengus ringan.
“Abang tahu. Tapi, abang ada masalah sikit ni.”
“Masalah apa? Abang keluarlah dari bilik air ni.”
Amirul menghela nafas berat. Pantas tangannya memulas tombol pintu bilik air. Wajah Liyana menyapa mata sebaik sahaja pintu bilik dibuka.
“Masalah apa?” tanya Liyana sebaik sahaja Amirul keluar.
“Err… malu la sayang,” balas Amirul dan tersenyum malu.
Liyana mengerutkan dahi.
“Nanti sayang gelakkan abang,” kata Amirul perlahan.
“Nak gelak macam mana kalau abang tak bagitau Lia apa masalah abang,” bidas Liyana dan memandang wajah Amirul.
Amirul tersengih. Perlukah dia menyuarakan hasrat hatinya itu? Jika diberitahu, adakah Liyana akan mentertawakannya?
“Abang, cakaplah apa dia masalah abang tu?” desak Liyana.
“Lia janji jangan gelakkan abang,” pinta Amirul bernada serius.
“Err.. kena janji ke?” tanya Liyana.
Amirul sekadar mengangguk.
“Yalah.. yalah.. Lia janji takkan gelakkan abang,” kata Liyana mengalah. “So, apa masalah abang ni?” tanyanya pula sedikit mendesak.
Amirul membisu. Hatinya berkira-kira untuk menyuarakan hasrat di hati.
“Apa dia abang?” tekan Liyana.
“Ini ha, masalah abang,” ujar Amirul seraya menunjukkan seluar kepada Liyana.
Liyana mencapai seluar tersebut. Berkerut dahinya memandang seluar tersebut.
“Sayang boleh selesaikan masalah abang?” tanya Amirul dan tersenyum.
“Apa kena dengan seluar ni?” tanya Liyana kurang mengerti. Dibelek dan diperhatikan penuh minat seluar tersebut. Otaknya masih cuba merencanakan maksud seluar tersebut.
“Ala, malu la nak bagitau sayang,” ujar Amirul dan tersenyum malu.
Semakin tidak faham Liyana dibuatnya. Tangannya masih membelek seluar Amirul. Seminit kemudian, tingkahnya terhenti dek kerana terpandangkan sesuatu di seluar tersebut.
Amirul sudah menundukkan muka. Malu untuk bertatapan dengan Liyana.
“Abang…” terhenti ayatnya. Kemudian, pecah ketawanya tatkala melihat seluar tersebut.
“Sayang! Kan dah janji tak nak gelakkan abang,” geram Amirul.
“Oppss!! Sorry! Tak sengaja la. Dah nak gelak, nak buat macam mana. Gelak mana boleh ditahan-tahan, nanti gastrik,” balas Liyana selamba dan masih ketawa.
Mahu tidaknya dia tergelak. Seluar yang dipakai Amirul koyak sehingga menampakkan tetas jahitan. Bagaimana seluar itu boleh terkoyak?
“Macam mana boleh terkoyak ni?” tanya Liyana bingkas bangun dari duduk.
“Manalah abang tahu bila koyaknya?” balas Amirul perlahan.
“Maknanya, abang pakai seluar koyaklah siang tadi?” tebak Liyana. Seluar yang baru diambil dari dalam almari, dihulurkan pada Amirul dan duduk di birai katil.
Amirul sekadar mengangguk. Malu tatkala memikirkan peristiwa tadi. Mujurlah Adif yang menegurnya tadi, jika tidak mana nak disorok mukanya itu.
So, macam mana abang tahu seluar tu koyak?” tanya Liyana ingin tahu. Matanya memandang tingkah Amirul yang sedang memakai seluar.
“Adif tegur abang tadi,” jawab Amirul sebaik sahaja selesai memakai seluar.
“Nasib baik Abang Adif yang tegur, kalau orang lain, macam mana?” kata Liyana dan tertawa. Geli hati memikirkan tentang itu. “Nasib baik majlis ni dibuat malam, kalau siang….” Liyana menghentikan ayatnya. Pastinya Amirul mengerti akan maksud ayatnya itu. Masih lagi kedengaran ketawa dari arahnya juga.
“Nur Liyana Safiyah!” tegur Amirul keras.
“Okey… okey… sorry. Lia tak gelakkan abang lagi,” kata Liyana kesal. Tangannya menekup mulutnya sambil cuba menahan diri dari ketawa.
Amirul mendengus kasar. Sakit telinganya mendengar ketawa Liyana itu. Dari dulu sehinggalah sekarang, Liyana tidak pernah berubah. Suka menyakat dan mengusiknya.
“Abang ni, kalau marah, tak comel tau. Nampak lagi tua, tahu tak?” komen Liyana dan tersengih. Masih teringat gelaran yang diberikannya pada Amirul tidak lama dulu. Mamat hingus a.k.a orang tua, desis hatinya. Terlepas ketawa dari bibirnya.
“Alasan!” balas Amirul dan menapak menuju ke pintu bilik. Lebih lama dia melayan Liyana, boleh sakit jantung jadinya.
Liyana turut sama menapak dan menyaingi langkah Amirul. “Sayang abang!” luahnya seraya mengucup lembut pipi Amirul.
Tersentak Amirul dengan tingkah Liyana itu. Perlahan-lahan bibirnya mengukir senyuman. Liyana memang bijak memujuk hatinya.



Suasana bingit dengan hilai tawa manusia. Masing-masing rancak berbual mengenai diri masing-masing. Tan Sri Khalil tersenyum melihat kenalan dan kawan-kawannya yang sudah memenuhi kawasan halaman rumah. Hari ini merupakan majlis untuk meraikan pencapaian syarikatnya. Di samping menyambut ulangtahun perkahwinannya dengan Puan Sri Marissa.
“Khalil!” tegur Dato’ Zulkifli.
Tan Sri Khalil menoleh. Wajah besannya menyapa mata. Senyuman diberikan pada Dato’ Zulkifli dan Datin Suraya.
Sorry Lil, lambat,” kata Dato’ Zulkifli.
“Tak apa. Majlis pun baru nak mula,” balas Tan Sri Khalil.
“Amirul dengan Liyana mana?” tanya Datin Suraya tatkala menyedari ketiadaan anak menantunya itu.
“Belum turun lagi.”
“Hai, mengalahkan pengantin diorang berdua tu. Siapa yang dirai dan meraikan ni?”
“Ala, biasalah Su. Masih dalam mood honeymoon,” kata Tan Sri Khalil dan tertawa.
Dato’ Zulkifli dan Datin Suraya turut sama tertawa. Seminit kemudian, Datin Suraya meminta izin untuk beredar sebaik sahaja terpandangkan Puan Sri Marissa. Tan Sri Khalil dan Dato’ Zulkifli sekadar mengangguk. Mata mereka menghantar langkah Datin Suraya hingga hilang dari pandangan mata.
“Kau ingat tak lagi dengan rakan business yang aku bagitau kau dulu,” mulai Dato’ Zulkifli sedikit teruja.
“Yang mana? Yang invest dalam business kau tu ke Zul?” tebak Tan Sri Khalil.
Dato’ Zulkifli mengangguk. Senyuman terbias di wajah.
So, kenapa?”
“Aku ingat nak kenalkan kau dengan dia.”
“Oh, boleh saja. Manalah tahukan kut-kut dia pun boleh invest dalam business aku,” kata Tan Sri Khalil dan tertawa.
Dato’ Zulkifli turut sama tergelak. Gelengan diberikan pada besannya itu.
“Jom Zul. Aku nak kenalkan kau dengan rakan business aku pulak,” ajak Tan Sri Khalil.
Dato’ Zulkifli mengangguk. Seminit kemudian, dia mengekori langkah Tan Sri Khalil.



“Papa, betul ke ni rumahnya?” tanya Tengku Hariz berkerut.
“Papa rasa, betul dah ni,” balas Tengku Azman.
Tengku Hariz mengangguk. Matanya melihat keadaan rumah tersebut. Kagum dia melihatnya. Matanya mengerling sekilas ke wajah Aisya. Teruja! Itulah yang dilihatnya pada wajah isterinya itu.
“Mari Riz. Papa nampak kawan-kawan papa kat sana,” ajak Tengku Azman dan menapak masuk ke halaman rumah.
“Mari sayang!” ajak Tengku Hariz pula. “Darwisy, Arissa, come!” panggilnya pula.
“Oppss!! Sorry!” tegur seseorang tatkala terlanggarkan Tengku Hariz.
It’s okey! Saya yang salah,” balas Tengku Hariz.
“Tengku Hariz Iskandar?” tanya Hazrel inginkan kepastian.
Tengku Hariz mengangkat muka. Wajah Hazrel menyapa mata.
Well! Kita berjumpa lagi,” sambung Hazrel.
“Hazrel Hardy. Am I right?” sebut Tengku Hariz.
Hazrel mengangguk. Tangan dihulur dan bersalaman dengan Tengku Hariz.
“Awak pun…”
“Saya ikut papa saya ke sini,” pintas Tengku Hariz.
Hazrel mengangguk. Dia memanggil Nur Ain yang sedang melayan Hazrul Iskandar serta anak kembar mereka.
“Ada apa abang?” tanya Nur Ain setibanya di hadapan Hazrel.
“Kenal lagi tak?” tanya Hazrel pula seraya mengunjuk ke arah Tengku Hariz dan Aisya.
Nur Ain menoleh. Berkerut dahinya sambil cuba mengingati wajah di hadapannya itu.
“Tengku Hariz dan Aisya,” beritahu Hazrel.
“Ya, Ain ingat lagi. Kereta Tengku Hariz yang langgar kereta kita dua bulan yang lepas kan, abang?” teka Nur Ain.
Hazrel mengangguk.
“Apa khabar Aisya? Macam mana dengan kandungan awak?” tanya Nur Ain seraya menghulurkan tangan.
“Sihat alhamdulillah. Kandungan saya pun sihat,” balas Aisya dan tersenyum.
“Jom kita ke sana,” ajak Hazrel dan menapak jalan menuju ke sebuah meja yang sudah dikosongkan. Senyuman diberikan pada Tengku Hariz.
“Mari sayang!” ajak Tengku Hariz seraya menggenggam tangan Aisya.
“Eirul, bawa adik ke sini,” panggil Nur Ain.
“Mama… Eirul nampak auntie cantik,” beritahu Hazrul Iskandar.
Berkerut Nur Ain mendengarnya. Siapa yang dimaksudkan oleh Hazrul Iskandar itu?
“Kat sana tu!” kata Hazrul Iskandar seakan mengerti pandangan mamanya.
Nur Ain menoleh ke arah yang ditunjuk. Diamati wajah yang dimaksudkan Hazrul Iskandar. “Liyana!” sebutnya kemudian.
“Betul, kan mama?” tanya Hazrul Iskandar inginkan kepastian.
“A’ah, betul. Jom kita ke sana. Papa panggil tu,” arah Nur Ain.
“Nanti kita jumpa auntie cantik ya mama,” pesan Hazrul Iskandar.
Nur Ain mengangguk. Tangannya menarik tangan Allysa dan Allyza agar mengekorinya. Matanya memandang ke arah Liyana. Pasti lelaki di sebelah Liyana itu merupakan suaminya. Kacak dan segak seperti suaminya juga.



“Sayang ni, abang dengan Syakila mana ada apa-apa hubungan lagi. Sayang ni cuba la fikir positif sikit,” tegur Amirul.
Liyana mencebik. Dimasamkan muka dan berpeluk tubuh. Sedari tadi dia memerhatikan tingkah Amirul dan Syakila. Apa yang mereka bualkan, Liyana tidak pasti. Seakan ada perkara yang cuba disembunyikan oleh Amirul dan Syakila.
“Sayang, malu la sikit orang tengok. Apa kata papa dan mama nanti,” pujuk Amirul lembut. Tangan Liyana ditarik dan menggenggamnya erat.
“Peduli apa Lia. Biar padan muka abang,” balas Liyana dan memuncung.
“Cantik sangatlah mulut tu. Abang cium nanti baru tahu. Sayang dah lupa pesan abang dulu,” kata Amirul dan mengangkat kening.
Liyana mengerutkan dahi. Otaknya dikerah berfikir. Seminit kemudian, ditekup mulutnya sendiri sebaik sahaja dapat menangkap pesanan Amirul.
“Hahaha.. tahu pun takut.” Selamba Amirul berkata dan tertawa.
“Jahat!” balas Liyana seraya mencubit pinggang Amirul.
“Aduh! Sayang ni macam ketam la. Patut la Adif selalu pesan dengan abang suruh jaga tangan sayang tu,” luah Amirul dan meraba pinggangnya yang terasa sakit.
“Padan muka!” balas Liyana dan tertawa.
Auntie cantik!” panggil seseorang mematikan perbualan mereka. Dihalakan mata ke arah pemanggil tersebut.
“Eirul!” tegur Liyana dan tersenyum.
Auntie buat apa kat sini?” tanya Hazrul Iskandar. Senyuman diberikan buat Liyana.
“Ini rumah keluarga auntie,” jawab Liyana lembut. Dijatuhkan lutut agar sama paras dengan Hazrul Iskandar. Pipi budak kecil itu dicubit geram.
Amirul di sisi hanya memandang. Berkerut dahinya memandang budak kecil itu.
Auntie cantik!” puji Hazrul Iskandar jujur.
Liyana tersenyum malu. Pipi Hazrul Iskandar masih menjadi mangsa tangannya.
“Sayang, siapa ni?” tanya Amirul yang sedari tadi membisu.
“Budak yang Lia ceritakan pada abang dulu,” jawab Liyana. Matanya masih menatap wajah Hazrul Iskandar. Tatkala terpandangkan Nur Ain dan Hazrel, senyuman diberikan buat kedua-dua ibu bapa Hazrul Iskandar.
Auntie ni cantiklah. Kalau Eirul besar, Eirul nak mengorat auntie, boleh?” puji Hazrul Iskandar dan tersengih.
“Amboi, kecik-kecik lagi dah menggatal,” tegur Amirul keras. Dijegilkan mata kepada Hazrul Iskandar. Sakit telinganya mendengar pujian dari Hazrul Iskandar.
“Siapa pak cik tua ni auntie?” tanya Hazrul Iskandar sambil memandang Amirul.
“Pak cik tua!” ulang Amirul bernada geram.
“Abang ni, biasalah, budak-budak suka bergurau. Takkan itu pun abang nak ambil hati,” tegur Liyana dan menggeleng.
“Tak kira la budak ke apa ke, abang cemburu, tahu tak?” balas Amirul serius.
Tertawa Liyana mendengarnya. Amirul tidak pernah nak berubah. Dari dulu lagi, sikap cemburu Amirul sukar untuk dibendung. Jika dulu Amirul mencemburui Harris dan Raziff, kali ini dengan budak sebesar Hazrul Iskandar pula. “Abang… abang… dengan budak pun nak cemburu,” katanya dan masih lagi ketawa.
“Eirul!” pangil Nur Ain.
Hazrul Iskandar, Liyana dan Amirul menoleh. Wajah Nur Ain dan Hazrel berserta anak kembar mereka menyapa mata. Senyuman diberikan pada pasangan tersebut.
“Lia, Eirul cakap yang bukan-bukan lagi ke?” tanya Nur Ain pula.
“Tak adalah Ain. Eirul puji saya saja,” jawab Liyana dan tersenyum.
“Mama, malam ni auntie cantik, kan?” puji Hazrul Iskandar lagi.
“Eirul, dah lupa dengan pesanan papa?” tegur Hazrel bernada tegas.
Hazrul Iskandar mengangguk. Sengihan diberikan pada papanya itu.
“Oh ya, kenalkan suami saya, Amirul Arif Iskandar Tan Sri Khalil,” perkenal Liyana.
“Hazrel Hardy Dato’ Ridzuan. Ini isteri saya, Nur Ain Zafira Ibrahim,” perkenal Hazrel pula. Tangan dihulurkan dan disambut baik oleh Amirul.
“Hazrel, kami…” belum sempat Tengku Hariz menyudahkan ayat, matanya terpandangkan wajah Amirul. Berkerut dahinya sambil cuba mengingati wajah di hadapannya itu. Seakan pernah dilihatnya sebelum ini.
“Tengku Hariz Iskandar?” teka Amirul.
“Amirul! Kawan Fahem Daniel. Betul, kan?” teka Tengku Hariz pula.
Amirul mengangguk. Sebaik bersalaman dengan Hazrel, disalami tangan Tengku Hariz. Senyuman terbias di wajahnya kala itu.
“Lama kita tak jumpa. Selepas majlis perkahwinan Fahem Daniel dengan Fatin Nabilla dulu,” kata Tengku Hariz.
“A’ah. Masa tu lah kita berkenalan,” sokong Amirul.
“Abang…” panggil Liyana.
“Kalau tak silap, abang ada ceritakan pada sayang pasal Tengku Hariz dan Aisya. Fahem Daniel, ingat tak? Kawan yang abang jumpa masa abang pergi ke Sabah dulu. Kita, kan ada pergi majlis kahwin Fahem Daniel dan Fatin Nabilla. Sayang dah lupa ke?” terang Amirul.
Liyana hanya mendengar. Otaknya cuba merencanakan penerangan Amirul. Seminit kemudian, dia mengangguk tatkala mengingatinya.
“Nampaknya kita semua ni berjodoh,” sampuk Hazrel dan menggeleng kecil.
“Berjodoh?” ulang yang lain-lain serentak sambil berfikir. Kemudian mereka mengangguk faham. Mengerti akan kata-kata Hazrel itu.
“Betul tu Hazrel. Seolah-olah kita punya chemistry,” sokong Tengku Hariz dan mengangguk kecil. Senyuman diberikan buat mereka semua.
“Abang!” seru Aisya lembut.
Tengku Hariz menoleh. Matanya memandang wajah berkerut Aisya.
“Sakit!” beritahu Aisya sepatah.
“Sakit? Sakit apa?” tanya Tengku Hariz dan masih berkerut.
“Perut!”
“Perut? Kan abang dah pesan tadi, jangan makan banyak-banyak. Tengok, kan dah sakit perut,” tegur Tengku Hariz.
“Bukan sakit nak membuang, Aisya sakit nak beranak,” luah Aisya geram.
“Haaa.. nak beranak?” jerit kecil Tengku Hariz.
Mereka yang berada di situ, turut sama terkejut. Masing-masing menghalakan pandangan ke arah Aisya dan Tengku Hariz.
“Mari sayang kita ke hospital,” ajak Tengku Hariz seraya mencempung tubuh Aisya. Tanpa membuang masa, dibawa Aisya menuju ke kereta. Risau di hati hanya Allah sahaja yang tahu. Semoga dipermudahkan segala-galanya, doa Tengku Hariz di dalam hati.



“Tahniah Hariz, Aisya,” ucap mereka serentak.
“Terima kasih semua,” balas Tengku Hariz dan tersenyum.
“Syukur semuanya selamat. Papa tumpang gembira Riz, Aisya,” sampuk Tengku Azman.
“Alhamdulillah. Kami pun tumpang gembira,” celah Tan Sri Khalil.
“Terima kasih Uncle Lil. Maaf kalau majlis uncle tergendala disebabkan kami,” ucap Tengku Hariz bernada kesal.
“Tak apa Hariz. Yang penting, Aisya selamat melahirkan anak. Kebetulan majlis tu pun dah nak habis,” suara Puan Sri Marissa pula dan tersenyum.
“Kalau tak ada apa-apa, kami minta diri dulu. Anak-anak pun dah mengantuk,” potong Hazrel ramah.
“Baiklah, pandu kereta elok-elok Hazrel. Terima kasih kerana sudi datang ke majlis uncle,” balas  Tan Sri Khalil turut sama tersenyum.
Hazrel sekadar mengangguk. Sebaik sahaja bersalaman, langkah dibawa keluar dari bilik itu. Ucapan terima kasih meniti di bibir. Semoga Allah pertemukan mereka semula dalam suasana yang lain pula nanti.
Auntie cantik!” panggil Hazrul Iskandar sebelum beredar. Ditarik baju Liyana sebagai isyarat dan berharap Liyana mengerti akan maksudnya itu.
“Ada apa sayang?” tanya Liyana seraya menjatuhkan tubuhnya.
Hazrul Iskandar tersenyum. Perlahan-lahan pipi Liyana dikucup mesra. Seminit kemudian, dia membawa langkah menuju ke arah Nur Ain yang sudah menantinya di muka pintu bilik. Senyuman dihadiahkan buat Liyana dan yang lain-lain. “Jumpa lagi auntie cantik!” ucap Hazrul Iskandar seraya melambai tangan ke arah Liyana.
Membuntang mata Amirul melihatnya. Dengusan kasar terlepas dari bibir. Sakit matanya melihat tingkah Hazrul Iskandar sebentar tadi.
“Abang..” seru Liyana lembut. “Budak. Tak perlulah nak cemburu,” sambungnya. Mengerti akan pandangan Amirul itu.
Tertawa mereka yang berada di situ mendengarnya. Gelengan diberikan buat Amirul.
“Kami pun nak beransur dulu la Man. Apa-apa pun, tahniah dari kami sekeluarga,” suara Tan Sri Khalil tiba-tiba.
“Baiklah. Terima kasih Lil. Maaf kalau menyusahkan,” balas Tengku Azman dan tersenyum. Tangan dihulur untuk bersalaman dan disambut baik oleh rakan businessnya itu.
“Tahniah dari kami juga Hariz, Aisya. Semoga bahagia hingga ke akhir hayat. Insya-Allah, kalau ada rezeki dan diizinkan-Nya, kita berjumpa lagi,” kata Amirul pula.
“Insya-Allah, terima kasih Amirul,” balas Tengku Hariz dan berjabat tangan.
“Tahniah Aisya. Semoga awak bahagia di sisi suami,” ucap Liyana dan tersenyum.
“Terima kasih Liyana. Awak pun sama juga. Semoga butik awak dikenali ramai,” suara Aisya yang sedari tadi membisu dan mendengar.
Liyana mengangguk. Tanpa berlengah, dia menapak keluar mengekori Amirul. Tangannya memaut erat lengan Amirul. Dilentokkan kepala ke bahu Amirul. Senyuman terukir di wajahnya kala itu. Masih terbayang-bayang wajah anak Aisya dan Tengku Hariz di ruangan mata. Comel!
Amirul di sisi turut sama tersenyum. Matanya memandang langkah Tan Sri Khalil dan Puan Sri Marissa yang sudah menjauh ke hadapan. Nafas lega dilepaskan.
Bestkan ada baby. Bila kita nak ada baby lagi?” tanya Liyana tiba-tiba.
Terhenti langkah Amirul dek kerana pertanyaan Liyana itu. Matanya memandang wajah Liyana. Sudah agak lama dia memikirkan perkara itu. Adakah doanya akan diperkenankan oleh Allah tidak lama lagi? Semoga kebahagiaan mewarnai rumah tangganya juga.



“Terima kasih sayang,” ucap Tengku Hariz seraya mengucup lembut dahi Aisya. Matanya menatap kasih wajah anaknya yang sudah pun terlena selepas diberi susu. “Comel macam Aisya,” pujinya pula.
Aisya sekadar tersenyum. Matanya turut menatap kasih anak mereka. Sungguh bahagia dirasakan Aisya ketika ini. Segala dugaan dan rintangan yang pernah dilaluinya suatu ketika dulu, dijadikan kenangan dalam hidupnya.
“Tengku Danish Iskandar!” sebut Tengku Hariz lembut.
“Tengku Darwisy Iskandar, Tengku Arissa Sofea dan Tengku Danish Iskandar,” sebut Aisya satu persatu akan nama anak-anak mereka berdua.
Tengku Hariz mengangguk. Tangannya menggenggam erat tangan Aisya. Matanya memandang ke arah anak kembarnya yang sudah pun terlena di sofa. Ucapan syukur meniti di benak hati. Syukur kepada Allah kerana memiliki kebahagiaan yang diimpikan selama ini. Hanya pada Allah Tengku Hariz memohon doa agar hubungan serta rumah tangganya itu dirahmati selalu.
“Terima kasih ya Allah!” ucap Tengku Hariz separa berbisik.


TAMAT


Percubaan pertama dlm menulis cerpen.. tak tahu la ini dinamakan cerpen atau tak.. hope betul la ya..
Terima kasih kerana membaca...
(^___^)


Khamis, 9 Ogos 2012

Gurauan Berkasih - Edited



Okey Abang Amirul, dah sedia tak?” tanya Ismail dan tersenyum.
“Eh.. mestilah dah sedia. Apa Mail ingat abang tak terror ke? Belum cuba belum tahu tau,” puji Amirul pada dirinya sendiri. Dia tersengih seketika.
Ismail mencebik. Meluat mendengar kata-kata bangga Amirul itu.
“Alah, macamlah terror, baru suruh kait rambutan dah terjatuh,” kutuk Ismail selamba.
“Alah, abang acah aje tu. Saja aje nak tengok Kak Lia sayang kat abang ataupun tidak,” ujar Amirul dan tersengih. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Yalah tu, alasan!” cebik Ismail pula.
“Mulut tu abang potong buat sup baru tau. Asyik nak mencebik aje kat abang,” usik Amirul. “Eh, jomlah Mail. Kita mulakan operasi kita ni,” sambung Amirul teruja.
Tidak sabar rasanya untuk memulakan operasi menangkap ayam kampung. Syarat kedua yang dikenakan oleh mak angkat Liyana. Walaupun Liyana sudah menyatakan persetujuan untuk menerima lamarannya, namun syarat yang dikenakan oleh Mak Timah masih perlu dituruti. Kata-kata Mak Timah masih semat di kotak fikirannya.
“Walaupun Lia dah setuju, makcik tetap nak Amirul tunaikan syarat-syarat yang makcik bagi semalam. Kalau Amirul tak ikutnya, serta merta makcik reject Amirul. Makcik ada kuasa ‘betto’ daripada Liyana,” terang Mak Timah dengan seriusnya.
“Erk, kuasa ‘betto’?” ulang Amirul sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Pelik mendengar perkataan itu. Bukan veto ke? bisik Amirul sendirian.
“Yalah, kuasa ‘betto’. Apa kamu ingat makcik ni kolot sangat ke? Atau kamu yang kolot sampaikan kuasa ‘betto’ pun kamu tak tahunya,” jelas Mak Timah berserta kutukan.
Meletus ketawa Amirul mendengarnya. Ketawa yang ditahan sedari tadi.
“Makcik bukan ‘betto’ tapi ‘veto’,” ujar Amirul dan tertawa.
Berkerut dahi Mak Timah mendengar. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Alah, samalah tu bunyinya ‘betto’ dengan ‘veto’. Dahlah, malas makcik nak layan kamu. Apa-apa pun, esok pagi-pagi kamu tangkap ayam kampung tu. Makcik nak masak ayam kampung masak lemak cili api tengahari esok,” pesan Mak Timah selamba dan berlalu pergi.
Cuba untuk mengawal rasa malunya itu. Sungguh dia merasa malu dihadapan Amirul tadi. Hisy, buat malu aje. Nasib baik aku tak keluarkan ayat lagi power, kalau tidak mahu digelaknya budak Amirul tu, bisik Mak Timah dan tersengih.
Amirul tersenyum. Matanya memandang kelibat Mak Timah hingga hilang dari pandangan mata.
“Tangkap ayam kampung?” ulang Amirul dan tergaru. Dah macam beruk pulak lagaknya. “Macam mana nak tangkapnya?” tanyanya pula. “Mail. Mail mesti boleh tolong aku,” tambah Amirul lagi dan tersengih.
“Yang abang sengih sorang-sorang tu kenapa?” tegur Ismail sambil menepuk lembut lengan Amirul.
Tersentak Amirul dek tepukan itu. Lamunannya tadi berterbangan entah ke mana. Matanya dihalakan ke arah Ismail yang sedang tersengih ke arahnya.
“Adalah, mana boleh bagitau,” balas Amirul selamba. “Eh, jomlah kita pergi tangkap ayam kampung tu. Tak sabar dah ni,” sambung Amirul berkobar-kobar.
Rasa teruja datang dengan tiba-tiba. Belum pernah lagi dia menangkap ayam kampung dan baru hari ini dia merasa seronok dan teruja untuk melakukannya.
“Kejap… kejap… kaki abang tu dah okey ke tak? Tak pasal-pasal sakit pulak nanti.” Ismail menyuarakan kerisauannya.
“Dah okey. Mail janganlah risau. Kalau sakit, mak Mail kan ada untuk urutnya,” balas Amirul. “Hisy, Mail ni spoil betullah mood abang nak tangkap ayam kampung. Teruja dah ni,” rungut Amirul pula.
Ismail menggeleng. Memang ‘jakun’ betul pakwe Kak Lia ni, kutuk Ismail sendirian dan tersengih. Matanya menatap wajah Amirul yang sedang teruja itu.
“Ha… tu dia ayam yang kita cari-cari. Cepat Mail!” jerit kecil Amirul seraya berlari ke arah ayam kampung yang sedang bertenggek di atas tangga rumah.
“Abang Amirul ni, kalau jerit lagilah ayam tu lari. Kena senyap-senyap, baru boleh tangkapnya,” tegur Ismail turut sama berlari ke arah yang sama.
“Nanti terlepas. Cepatlah Mail!” arah Amirul sambil cuba mengepung ayam tersebut.
“Yalah!” balas Ismail turut sama merapati belakang Amirul.
“Mail jaga sana. Abang jaga sini.”
“Hisy abang ni. Janganlah bising. Nanti ayam tu lari.”
Amirul tidak mengendahkan amaran Ismail. Matanya tertumpu ke arah ayam yang sedang bertenggek di atas tangga. Langkah diatur perlahan-lahan. Semakin hampir dan hampir.
“Hai ayam! Cantik bertenggek kat atas tu. Boleh join sekali tak?” tegur Amirul bernada memujuk. Ismail di sebelah sudah tergelak besar.
“Abang ingat ayam tu manusia ke? Boleh bertegur sapa dengan abang,” tegur Ismail pula dan tertawa.
“Hisy Mail ni. Senyaplah. Itu strategik namanya. Abang belajar dari cerita kartun kat televisyen tu,” bidas Amirul keras.
“Suka hati abanglah. Lagi bengap Mail dengar ayat merapu abang tu,” balas Ismail berserta sisa ketawanya.
“Syhhh….” Tegur Amirul. Perlahan-lahan Amirul melangkah dan semakin menghampiri ayam tersebut. “Hah!!” jerit Amirul dan cuba untuk menerkam ayam tersebut.
“Abang!!” jerit Ismail pula tatkala Amirul terlanggar bucu tangga.
“Aduh!!” rengek Amirul sambil mengusap lembut dahinya yang terasa sakit.
“Hahahaha… abang ni buat lawaklah. Padan muka!” kutuk Ismail tidak berlapik.
“Mail!” tegur Amirul keras. Malu tatkala Ismail mentertawakannya seperti itu.
“Oppss!! Sorry bang. Tak sengaja. Tergelaklah pulak,” ucap Ismail dan tersengih.
“Dah… jom kita cari ayam tu,” arah Amirul keras seraya berlalu dari situ. Matanya membelingas mencari kelibat ayam tersebut.
Ismail masih lagi ketawa. Geli hati melihat reaksi Amirul sebentar tadi. Tak pasal-pasal lebam di dahi Amirul itu.

(^___^)