Rabu, 4 Julai 2012

Gurauan Berkasih - Teaser Bab 51



“Kenapa tengok Lia macam tu? Malulah!” tegur Liyana dan tertunduk malu.
“Ha… Lia cantik malam ni,” puji Amirul pantas berdiri. “Berbeza dengan Lia yang Rul jumpa lima tahun lepas. Rul masih ingat lagi masa tu. Pertama kali Rul jumpa dengan makhluk macam Lia ni. Takut Rul tengoknya,” beritahu Amirul bernada usikan.
“Yalah, ada orang tu siap kutuk kita lagi. Sekarang padan muka dengan dia sebab termakan dengan kata-katanya dulu,” kutuk Liyana selamba.
Amirul tertawa kecil. Tidak dinafikan dengan kata-kata Liyana itu. Seminit kemudian, dia menarik kerusi buat Liyana. Sebaik sahaja berbuat begitu, dia memerhatikan Liyana yang asyik menunduk memandang kaki. Dia tergeleng kecil melihat tingkah Liyana. Apa yang Liyana malukan pun dia sendiri tidak tahu.
“Hai… kaki tu lagi handsome dari Rul ke?” tegur Amirul sebaik melabuhkan duduknya semula. Dia tersenyum melihat Liyana.
Liyana mengangkat muka. Malu tatkala Amirul menegurnya sebegitu.
“Tak payahlah nak malu dengan Rul. Letihlah tengok muka Lia asyik blushing aje. Nak jugak tengok muka Lia yang manja dan menggoda. Boleh cair tak hati Rul tengoknya,” komen Amirul sekadar mengusik.
Liyana menelan liur. Kelat dirasakanya ketika itu. Muka manja dan menggoda? Hisy.. mengada-ngadalah mamat hingus ni. Ada ke suruh aku buat macam tu. Manalah aku tau semua tu. Makin lama makin aku tak paham dengan perangai dia. Mengada-ngada dan manja, bisik Liyana sendirian.
“Laparlah! Lia makan dulu ya,” balas Liyana.
Lalu dicapainya sudu dan garpu. Nasi goreng yang sudah lama terhidang disuapkan ke dalam mulut. Entah macam mana nasi goreng tu berada di hadapannya, dia sendiri tidak pasti. Mungkin Amirul terlebih awal memesan makanan dan minuman buat mereka berdua.
Amirul melemparkan senyuman. Dia turut mengikuti tingkah Liyana. Nasi goreng paprik disudu dan disuapkan ke mulut. Matanya tidak lekang dari memandang wajah Liyana. Jika boleh dibelah hatinya ketika itu, mahu sahaja dia menunjukkan pada Liyana, betapa berdebarnya dia ketika itu. Bagaimana untuk bertanya Liyana? Benarkah Liyana turut merasai dengan apa yang dirasainya itu? Niat di hati ingin bertanya Liyana siang tadi, disebabkan keasyikan dan kelekaannya berjalan bersama Liyana, hilang segala-galanya dari kotak fikirannya. Dan malam ini, dia harus bertanya pada Liyana. Tentang luahan Liyana malam semalam. Benar ataupun tidak?
“Err… Lia. Boleh Rul tanya sesuatu?” suara Amirul memecahkan kesunyian.
“Nak tanya apa? Tanya ajelah!” balas Liyana lemah.
Dia menunduk sambil menguis-nguis nasi di dalam pinggan. Entah kenapa seleranya hilang begitu sahaja. Fikirannya merewang entah ke mana.
“Lia suka hadiah Rul siang tadi?”
“Suka!”
Amirul tersenyum. Liyana seperti tidak menyedari dengan apa yang dicakapkannya itu. Ada peluang nak kenakan dia ni, bisik hati nakal Amirul.
“Comel tak?”
“Comel!”
“Simpan elok-elok hadiah Rul tu ya,”
“Okey!”
Erm… minah ni tengah mengelamun lagi. Lia.. Lia.. tak pernah nak berubah, komen Amirul di dalam hati. Matanya menjamah wajah Liyana.
“Lia suka kat Rul?” tanya Amirul sekadar menguji.
“Suka!” jawab Liyana sambil mengangguk.
“Sayang Rul tak?”
“Sayang!”
“Cintakan Rul tak?”
“Cinta!”
Amirul tersenyum mendengar jawapan Liyana.
“Kalau Rul nak cium Lia, boleh tak?” tanya Amirul dan tersenyum nakal.
“Boleh!” jawab Liyana tanpa menyedari akan jawapannya itu.
“Boleh?” ulang Amirul sambil mengangkat kening.
“Boleh? Boleh apa?” ulang Liyana berserta kerutan. Dia mengangkat muka memandang Amirul. Terukir senyuman nakal di wajah Amirul.
“Cium Lia?” ulang Amirul.
“Haaaa!! Cium!!” jerit Liyana terkejut. “Mana boleh!” bantahnya pula.
“Hahaha… tulah. Mengelamun lagi. Badan aje kat sini, tapi fikiran tu entah ke mana. Nasib baik mintak cium aje, kalau mintak lebih tadi, entah apa jawapan Lia akan bagi pulak. Alahai! rugi pulak tak mintak lebih-lebih tadi,” komen Amirul berserta keluhan.
“Sengaja tau nak kenakan orang. Benci betul!” rungut Liyana dan menjeling geram.
“Lia.. Lia.. suka sangat mengelamun. Bila nak berubah ni? Kalau lelaki lain tadi, dah lama ambil kesempatan pada Lia,” nasihat Amirul ikhlas.
“Rul sanggup ke lelaki lain ambil kesempatan pada Lia?” tanya Liyana sekadar menduga perasaan Amirul.
Tersentak Amirul dengan pertanyaan Liyana itu. Mujurlah dia sempat menelan air minumannya, jika tidak mahu disemburkan ke muka Liyana akibat terkejut.
“Lia pulak bagaimana? Sanggup ke perempuan lain ambil kesempatan pada Rul?” tanya Amirul memulangkan soalan yang sama pada Liyana.
Terkedu Liyana seketika. Orang tanya dia, dia boleh tanya kita balik. Apa aku nak jawab ni? Sanggup… tak sanggup… hisy.. pening kepala akulah dibuat dia ni, rungut Liyana sendirian.
“Okey! Rul dah tahu jawapannya,” suara Amirul tatkala menyedari kebisuan Liyana.
“Macam mana Rul tahu jawapan Lia? Lia tak jawab pun lagi soalan Rul tu,” tanya Liyana pelik. Aku tak jawab apa-apa lagi, dia dah tahu jawapannya. Memang pakai tok nujumlah dia ni, sambung Liyana di dalam hati.
“Riak muka Lia pun Rul dah dapat baca. Lia memang sanggupkan kalau perempuan lain ambil kesempatan pada Rul. Lia tak pernah nak faham isi hati Rul,” jawab Amirul lemah.
“Lia…”
“Rul marah bila Lia tak nak ambil tindakan pada Ashraf dulu. Tapi, itu keputusan Lia dan Rul tak ada hak nak halangnya. Lagipun siapalah Rul di hati Lia. Rul kan tak penting bagi Lia,” keluh Amirul.
Kemudian dia membuang pandang ke arah pantai. Cuba menghalau rasa kecewanya ketika itu. Harap-harap dia percaya dengan lakonan aku ni. Kalau dulu dia suka berlakon, kali ini biar aku aje yang berlakon. Seronok pulak rasanya berlakon ni. Boleh lawan Azhar Sulaiman tak? monolog Amirul di dalam hati.
“Rul penting di hati Lia,” bidas Liyana tegas. “Lia tak sanggup perempuan lain ambil kesempatan pada Rul. Lia tak sanggup kehilangan Rul. Lia sayangkan Rul. Lia cintakan Rul,” luah Liyana ikhlas. Entah mengapa dapat dirasakan matanya mulai berkaca. Sedih mendengar kata-kata Amirul itu.
Amirul menoleh. Sebuah senyuman terukir di wajahnya. Hatinya bergendang riang. Luahan Liyana kedengaran ikhlas. Memang sukar untuk menduga perasaan Liyana. Jika dia tidak berbuat begitu tadi, mustahil Liyana akan meluahkan isi hatinya itu.
“Hey… kenapa ni?” tanya Amirul tatkala menyedari air mata Liyana mengalir perlahan membasahi pipi. Bingkas dia bangun dan duduk bersebelahan Liyana. Wajah Liyana ditatap sayang.
“Maafkan Rul kalau kata-kata Rul tadi buatkan Lia sedih. Rul tak berniat nak buat Lia sedih,” ujar Amirul kesal.
“Tak. Lia yang terlalu sensitif sejak akhir-akhir ini. Sebab itu senang aje air mata Lia nak keluar,” bidas Liyana lembut.
Amirul menarik nafas dan menghembuskannya. Dia menarik tangan Liyana lalu digenggamnya erat. Sukar untuk melepaskan tangan Liyana pada lelaki lain. Sukar untuk melepaskan Liyana pergi jauh lagi. Dan dia tidak sanggup untuk berpisah dengan Liyana.
“Okey… lepas ni Rul tak berlakon lagi. Rul janji!” janji Amirul dan tersenyum.
“Berlakon?” ulang Liyana seraya memandang ke arah Amirul.
Amirul meleraikan genggaman tangannya. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Rul berlakon merajuk aje tadi. Janganlah marah sayang,” jujur Amirul dan tersengih. “Aduh!!” rengek Amirul pula tatkala Liyana mencubit lengannya.
“Jahat. Buat habis air mata orang aje menangis tadi. Bencilah dengan dia ni!” bentak Liyana seraya bangun. Tidak sanggup berlama di situ. Pasti Amirul akan mengusiknya lagi.
“Benci.. benci pun tetap sayangkan?” duga Amirul seraya menarik tangan Liyana.
Eh… macam ada something aje kat jari dia ni. Sebelum ni macam tak ada aje, bisik Amirul sendirian. Dia pakai cincin aku ke? tanyanya pula. Lantas matanya menghala ke jari manis Liyana. Betul tekaannya. Liyana memakai cincin pemberiannya tiga tahun yang lepas. Makin melebar senyuman di bibirnya itu.
“Lia terima Rul seikhlas hati Lia?” tanya Amirul inginkan kepastian.
Liyana menoleh. Dia melabuhkan duduknya semula.
“Lia ikhlas terima cinta Rul? Lia ikhlas terima diri Rul sebagai sebahagian hidup Lia? Lia ikhlas terima Rul dalam hati Lia?” sambung Amirul lagi.
Bertubi-tubi soalan yang ditanyakan Amirul pada Liyana. Dia perlu tahu jawapan Liyana. Jika tidak, hatinya tidak akan tenteram dan aman.
“Kenapa tanya macam tu?” tanya Liyana tidak berpuas hati.
Apakah selama ini Amirul meragui cintanya? Apakah Amirul tidak mempercayai akan luahan hatinya semalam? Rasa sebak tatkala Amirul meragui keikhlasannya itu.
“Lia tahukan isi hati Rul pada Lia selama ini? Rul sayangkan Lia. Rul cintakan Lia. Rul nak Lia sentiasa berada di sisi Rul,” luah Amirul jujur.
“Lia tahu isi hati Rul. Lia juga rasa apa yang Rul rasakan. Lia sayangkan Rul. Lia cintakan Rul seikhlas hati Lia. Hanya Rul yang ada dalam hati Lia dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menggantikan tempat Rul dalam hati Lia,” balas Liyana sambil menggenggam tangan Amirul. Senyuman manis terukir di bibirnya.
Amirul tersenyum. Wajah Liyana ditatap kasih dan sayang.
“Terima kasih Lia. Terima kasih kerana menyintai Rul. Hanya Lia yang berada dalam hati Rul. Hanya Lia yang Rul cinta dan sayang. Dan terima kasih kerana sudi memakai cincin yang Rul berikan tiga tahun lepas. Ini bermakna Lia terima Rul jadi kekasih Lia, betulkan?” luah Amirul pula.
“Err… kalau pakai cincin ni, maknanya itu ke?” tanya Liyana sambil meleraikan genggaman tangannya.
Amirul mengangguk. Tangan Liyana ditarik semula.
“Niat Rul sebenarnya kalau Lia pakai cincin tu, Rul nak Lia jadi kekasih Rul dalam erti kata yang sebenarnya. Jadi Lia dah pakai, so sekarang ni Lia kekasih Rul,” jelas Amirul dan tersenyum. Dia mengelus lembut jari jemari Liyana. Bermain-main dengan cincin tersebut.
“Oh.. macam tu,” sahut Liyana dan mengangguk kecil.
Yes dear!”
“Kalau Lia tanggalkan, jadi apa?”
“Rul bukan kekasih Lia. Dan Lia bukan kekasih Rul,”
“Kalau macam tu, nak tanggallah cincin ni. Sakit pulak jari ni memakainya,” ugut Liyana pula sekadar mengusik.
“Kenapa pulak nak tanggalnya?” ulang Amirul berserta kerutan.
“Kalau tanggalkan, Rul tak jadi kekasih Lia kan?”
“Yalah, kenapa?”
“Lia tanggal ya?” acah Liyana sekadar mengusik. Dia berpura-pura menarik keluar cincin itu dari jari manisnya. Sekadar bergurau dengan Amirul.
What? Oh no.. no.. please Lia. Jangan main-main Lia. Jangan buat Rul macam ni,” risau Amirul sambil menggeleng.
Liyana tertawa. Geli hati melihat wajah kerisauan Amirul. Niatnya sekadar untuk bergurau dan gurauannya itu berjaya merisaukan hati Amirul.
“Lia gurau ajelah. Jom kita balik, dah lewat ni. Nanti ibu dengan ayah cari pulak,” ajak Liyana seraya bangun dari duduknya.



2 ulasan:

  1. mne bab 21 dan seterusnye,, tiba-tiba dah ade
    bab 51

    BalasPadam
    Balasan
    1. Yg ni sekadar teaser. Gurauan Berkasih dah terbit dlm bentuk cetak tahun 2012 under Penerbitan Kaki Novel. Boleh dptkan novel GB di kedai2 buku berhampiran atau penerbit.

      Terima kasih. :)

      Padam