Ahad, 17 Jun 2012

Aku Juga Ingin Dicintai - Teaser Bab 50



“Kau dengar cakap aku Lin. Aku tak nak jadi apa-apa pada kau,” kata Saiful bernada risau. Matanya menatap mesra wajah Haslinda.
“Kenapa kita perlu takut dengan dia? Dia bukannya tuhan untuk kita takutkan,” balas Haslinda tidak berpuas hati.
“Lin, kau tak kenal lagi dengan dia. Sekali kau dah terjebak, susah untuk kau kembali ke pangkal jalan. Aku tak nak dia usik kau. Aku sayangkan kau Lin,” kata Saiful bernada pujuk.
Tersentak Haslinda mendengarnya. Matanya membalas tatapan Saiful. Sejak bila Saiful menyayanginya?
“Aku sayangkan kau Lin. Aku tak nak apa-apa terjadi pada kau. Aku dah lama sukakan kau. Memang aku sakit hati lepas Nur Ain tolak pinangan aku, tapi lepas aku fikir-fikir balik sekarang ni, mungkin betul tindakan Nur Ain tu dulu,” luah Saiful jujur.
“Macam mana kau boleh terjebak dengan ‘dia’?” tanya Haslinda sekadar ingin tahu.
Saiful menghembus nafas lembut. Matanya dihalakan ke arah jalan raya yang penuh sesak dengan kenderaan.
“Semuanya bermula dengan niat Qistina nak kenakan Nur Ain,” mulai Saiful.
“Qistina?” ulang Haslinda.



Rabu, 13 Jun 2012

Aku Juga Ingin Dicintai - Teaser Bab 48 & Bab 49


BAB 48

Deringan telefon menyentak lamunan Nur Ain. Bingkas dia bangun dan mencapai telefon bimbit di atas meja di sisi sofa. Butang hijau ditekan dan dilekapkan ke telinga, menanti sapaan dari hujung talian.
“Apa khabar Nur Ain?” tanya suara di hujung talian.
Terkedu Nur Ain buat seketika. Belum pernah lagi dia mendengar suara tersebut. Dihalakan telefon ke hadapan dan melihat nombor yang tertera di screen telefon. Hatinya tertanya-tanya akan nombor tersebut.
“Siapa ni?” tanya Nur Ain sebaik sahaja telefon kembali ke telinganya.
“Siapa aku, kau tak perlu tahu. Aku nak bagitau kau, semua rahsia kau ada dalam poket aku. Gambar, kes fitnah kau dan Hazrul, semuanya aku tahu. Aku nak ingatkan kau, jangan cuba nak bertindak lebih, kalau tidak, aku tak teragak-agak untuk hapuskan kau dari muka bumi ni,” balas suara itu bernada ugutan.
Terkejut Nur Ain mendengarnya. Jantungnya sudah berlari laju. Siapa di hujung talian yang mengugutnya itu? Apa kena-mengena dirinya dengan suara tersebut?
“Aaa… aaa… awak siapa?” ulang Nur Ain terketar-ketar. Dahinya sudah dibasahi peluh. Hatinya menjadi tidak keruan ketika ini.
“Kan aku dah kata tadi, kau tak perlu tahu siapa aku. Yang pasti, aku sedang perhatikan kau dan kau jangan cuba nak berlagak pandai,” kata suara itu dan tertawa.
Nur Ain melangkah menghampiri jendela. Matanya mengintai ke luar jendela. Berkerut dahinya tatkala melihat kelibat yang sedang berdiri di sebelah sepohon pokok. Semakin laju jantungnya mengepam. Siapakah gerangan yang sedang memerhatikannya itu?
“Kau dah nampak aku kan? So, ingat pesanan aku tadi,” sambung suara itu dan mematikan talian.
Nur Ain hanya mendengar. Ketakutan menguasai dirinya ketika ini. Perlukah dia memberitahu Hazrel akan perkara ini? Jika diberitahu, adakah Hazrel akan mempercayainya? Selama seminggu Hazrel seakan meminggirkan dirinya dan tingkah Hazrel turut menggores hatinya juga.
“Mak!” jerit Nur Ain sebaik sahaja menyedari bahunya disentuh seseorang.



BAB 49

Eddie menghela nafas lembut. Wajah Hazrel yang beriak curiga diperhatikan. Matanya melilau pula mencari kelibat Nur Ain. Ke mana Nur Ain pergi? Bukan ke tadi Nur Ain ada bersama mereka di ruang tamu.
“Ain mana?” Terluah juga pertanyaan itu dari bibir Eddie.
Hazrel dan Humaira serentak menoleh. Ternyata Nur Ain tiada di sisi mereka.
“Ain!” panggil Hazrel.
“Mungkin ada kat biliknya Haz,” duga Humaira.
Hazrel mengangguk. Bingkas dia bangun dari duduk dan menapak masuk ke bilik Nur Ain. Pintu bilik dikuak perlahan. Dilihatnya Nur Ain sedang berbaring di atas katil.
“Sayang!” panggil Hazrel lembut.
Nur Ain yang mendengar hanya membisu. Rasa di hati masih lagi bersisa. Tatkala menyedari mereka bertiga rancak berbual, dia segera masuk ke dalam bilik dan kebetulan telefon bimbitnya berbunyi nyaring dan minta diangkat. Adakah disebabkan keadaannya yang mengandung maka dia cepat berasa sensitif?
“Sayang, kenapa ni?” tanya Hazrel pula.
Dilabuhkan duduk di sisi Nur Ain yang sedang berbaring. Wajah Nur Ain ditenung sayang. Keruh dilihatnya wajah itu. Kenapa Nur Ain beriak begitu? Adakah disebabkan tegurannya tadi membuatkan isterinya itu beriak begitu?
“Sayang marah kat abang ke?” tanya Hazrel masih mencuba.
Nur Ain sekadar menggeleng.
“Habis tu, kenapa senyap aje bila abang panggil. Kalau sayang marah sebab abang tegur sayang tadi, abang minta maaf. Sayang kan tahu abang risaukan sayang, tambah-tambah dalam keadaan sayang macam ni,” luah Hazrel seraya menarik tangan Nur Ain.
Nur Ain membiarkannya sahaja. Bukan sahaja hatinya terasa, tetapi panggilan yang baru diterimanya turut menambah rasa di hati.
“Sayang, janganlah macam ni,” pinta Hazrel bernada sebak.
Nur Ain yang mendengar, bingkas bangun dari pembaringan. Wajah Hazrel ditenung sayang. Perlukah dia memberitahu Hazrel tentang panggilan tersebut?
“Abang…”
Sukar untuknya berkata-kata. Nafas ditarik dan melepaskannya lembut. Dia memerlukan kekuatan untuk memberitahu Hazrel perkara sebenarnya.
“Ada apa sayang?” Lembut Hazrel bertanya. Matanya tertancap ke muka isteri tersayang.
“Ain dapat panggilan lagi. Dia suruh Ain tinggalkan abang. Kalau Ain tak tinggalkan abang, dia ugut nak cederakan Ain,” beritahu Nur Ain jujur.
Berkerut Hazrel mendengarnya. Siapa ‘dia’ yang dimaksudkan Nur Ain itu?
“Siapa ‘dia’? Lelaki ke perempuan?” tanya Hazrel.
“Lelaki!”

Jumaat, 8 Jun 2012

Aku Juga Ingin Dicintai - Teaser Bab 47


“Siapa yang datang malam-malam buta ni?” tanya Nur Ain pada dirinya sendiri.
Matanya dikerling ke arah jam di dinding. Masa sudah menginjak ke angka sepuluh malam. Mungkinkah Hazrel yang pulang dari berjumpa dengan Izzuddin. Tetapi, kenapa perlu menekan loceng rumah? Hati Nur Ain tertanya-tanya dan  kurang enak dirasakan ketika ini.
“Mungkin abang terlupa nak bawa kunci kot,” duga Nur Ain seraya melangkah ke pintu utama. Dibuka dan mengintai dari jauh akan gerangan yang datang ke rumahnya itu.
“Datin Salina!”
Terpacul nama itu di bibir Nur Ain. Jantungnya berdegup dengan pantas. Dahinya berpeluh dengan tiba-tiba. Kenapa Datin Salina datang ke rumahnya malam-malam begini? Adakah Datin Salina ingin menyerangnya?
Tanpa berlengah Nur Ain mengatur langkah menuju ke pagar rumah. Sebuah senyuman dihadiahkan buat Datin Salina.
“Hazrel mana?” tanya Datin Salina kasar sebaik sahaja Nur Ain menghampiri.
“Abang keluar jumpa Izzuddin,” jawab Nur Ain perlahan.
“Kau tak nak bagi aku masuk ke? Kau tahu tak sejuk kat luar ni,” kata Datin Salina dan mendengus kasar.
Nur Ain hanya membatu. Matanya menatap wajah tegang Datin Salina. Hatinya berkira-kira untuk membenarkan Datin Salina masuk ke dalam rumah.
“Kenapa? Kau takut aku apa-apa kan kau ke?” duga Datin Salina melihatkan wajah Nur Ain yang beriak curiga.
Nur Ain menggelengkan kepala. Lantas tangannya menekan remote pintu pagar dan membenarkan Datin Salina masuk ke dalam rumah.
“Jemput masuk Datin!” pelawa Nur Ain ramah.


Jumaat, 1 Jun 2012

Gurauan Berkasih - Teaser




Amirul melepaskan keluhan ringan. Dia menyeluk poket dan mengeluarkan sekeping nota yang ditinggalkan oleh Liyana. Dibaca berulang-ulang kali ayat di dalam nota tersebut.  Seketika dia tersenyum sendiri selepas membacanya.
“Seronok juga merajuk ni ya,” bisik Amirul dan tersenyum.
“Hai! Senyum sorang-sorang ni kenapa?” tegur Liyana seraya duduk bersebelahan Amirul. Sebuah senyuman terukir di bibirnya.
Terkejut Amirul buat seketika. Kenapa Liyana berada di sini? Persoalan yang terdetik di kepala otaknya itu. Dia memandang Liyana tidak berkelip. Kurang percaya dengan apa yang dilihatnya itu. Benarkah Liyana berada di sebelahnya sekarang?
“Kenapa? Tak percaya?” tanya Liyana dan membalas tatapan Amirul.
Sebenarnya Liyana juga cuba mengawal riak terkejut. Ketika berjalan menyusuri pantai, matanya tertancap ke arah sesusuk tubuh yang amat dikenalinya. Dihampiri susuk tersebut dan alangkah terkejut Liyana melihatkan Amirul berada di pulau ini juga.
“Lia buat apa kat sini?” tanya Amirul kurang percaya.
Liyana tertawa melihat riak polos Amirul. Ditatap wajah Amirul buat seketika. Tumpah rasa cinta dan kasih pada wajah itu.
“Dah tak merajuk lagi ke?” tanya Liyana menepis pertanyaan Amirul.
Amirul mengerutkan dahi. Matanya menatap mesra wajah Liyana.
“Tu.. dah tukar panggilan. Mesti dah tak merajuk lagikan?” duga Liyana pula.
Alamak! Terkantoi la pulak. Macam mana nak reverse ni? bisik hati Amirul.
Erm.. perkembangan bagus ni. Mesti dia cair dengan nota dan coklat yang aku bagi hari tu. Fuh! Lega rasanya. So, tak payahlah aku nyanyi lagu ‘Relaku Pujuk’, bisik hati Liyana pula.
“Awak buat apa kat sini?” ulang Amirul pada soalan yang sama.
“Erk… Rul buat apa kat sini pulak?” tanya Liyana pada soalan yang sama.
“Bercutilah, buat apa lagi,” balas Amirul.
Matanya diluruskan ke hadapan. Tidak mahu menatap wajah Liyana lagi.
“Oh… ingatkan kejar Lia sampai ke sini,” ujar Liyana dan tersengih. “Tu kertas apa? Nak baca boleh?” sambung Liyana. Matanya tertancap ke kertas kecil yang dipegang oleh Amirul. Macam kenal aje kertas itu.
“Kertas hutang!” jawab Amirul pendek.
Segera dia memasukkan kertas tersebut ke dalam poket seluarnya. Tidak mahu Liyana mengesani tingkahnya itu.
“Hutang? Rul ada hutang ke?” tanya Liyana sengaja lurus.
Tergelak Amirul mendengar pertanyaan Liyana itu. Kenapalah lurus benar dia ni? Kutuk Amirul di dalam hati. Bingkas dia bangun dari situ dan melangkah jalan menuju ke persisiran pantai. Teringin untuk berbuat begitu.
Liyana turut mengekori tingkah Amirul. Dia mempercepatkan langkah untuk bersaing dengan Amirul. Dia perlu berusaha untuk memujuk hati Amirul. Dia pasti Amirul masih berkecil hati dengannya. Jika tidak, mustahil Amirul akan melayannya begitu.
Hisy.. susah betullah nak pujuk hati orang tua ni. Dah macam-macam perkara aku buat, satu pun tak menarik minat dia. Tak ada pilihan ni, kena nyanyi juga lagu ‘Relaku Pujuk’ tu. Nyanyi pun nyanyilah, gerutu Liyana sendirian.
“Cik abang janganlah merajuk lama-lama, cik adik dah tak tau nak pujuk macam mana. Nanti cik adik nyanyi lagu Hindustan nak?” ujar Liyana sambil mencuit lengan Amirul. Berharap Amirul akan menoleh ke arahnya.
Amirul memberhentikan langkah. Badannya dipusing dan menatap wajah Liyana. Jika diikutkan hatinya, mahu saja dia mencium Liyana ketika itu. Namun disabarkan hati agar tidak melakukannya. Geram melihat wajah manja Liyana. Sabar… sabar Amirul. Kau jangan ikutkan bisikan syaitan tu, Amirul mengingatkan dirinya sendiri.
“Malas nak layan awak,” balas Amirul dan menyambung langkahnya.
Liyana terkedu. Matanya mengekori langkah Amirul.
“Hilang sabar dah ni. Semua pun tak jalan, nak suruh aku buat apa lagi ni,” geram Liyana sendirian. “Takkan nak cium dia kot baru nak elok,” duga Liyana pula. “Hisy… mana boleh macam tu. Bukan muhrim. Lainlah kalau dia laki aku, bolehlah,” bidas Liyana dan tergeleng kecil. “Terpaksalah ni,” tambahnya lagi.
“Nantilah dulu!” arah Liyana sambil berlari anak mengejar Amirul.
Amirul tersenyum sendiri. Berjaya juga membuat Liyana termakan dengan lakonannya itu. Jika dulu Liyana suka berlakon, kali ini biar dia sahaja yang berlakon.
“Awak nak apa lagi ni?”
“Nak bagi benda.”
“Benda? Benda apa?”
Liyana mengeluarkan sebentuk key chain dari dalam poketnya. Key chain yang dibeli di luar negara untuk simpanan peribadinya. Malah dia sentiasa membawa key chain tersebut ketika keluar berjalan atau bekerja. Key chain yang terukir nama Amirul. Sengaja Liyana mengukir nama Amirul di key chain tersebut sebagai tanda ingatannya terhadap Amirul.
“Untuk Rul,” ujar Liyana sambil menghulur key chain kepada Amirul.
Berkerut Amirul melihatnya. Benda apa yang Liyana berikan padanya?
“La… tak nak ke?” tanya Liyana melihatkan Amirul tiada tanda-tanda untuk menerimanya. “Susah tau nak jumpa benda ni. Benda ni lain daripada yang lain, special pulak tu,” cerita Liyana bersungguh.
Amirul hanya membisu. Memerhatikan gelagat Liyana.
“Hai key chain, kesian kat kau. Disebabkan kau kecik, orang tu tak nak kat kau,” keluh Liyana sendirian sambil menatap key chain tersebut. “Menyesal pulak tulis nama Raziff kat sini, kalau tulis nama orang tu, mesti dia nak kat kau key chain,” simpati Liyana pula.
Sengaja menguji perasaan Amirul. Lantas dibelek-belek key chain tersebut. Menggambarkan nama Raziff terukir di key chain itu.
Mendengarkan nama Raziff disebut, pantas Amirul merampas key chain tersebut dari tangan Liyana. Dia membelek-belek key chain itu dan mencari-cari nama Raziff.
“Hahaha.. tahu pun cemburu. Ingatkan tak ada perasaan tadi,” kutuk Liyana dan melangkah jalan beredar dari situ. Geli hati melihat tingkah Amirul sebentar tadi.
Berhasil juga. Nasib baik otak aku ni bijak, kalau tak… merajuk sampai ke tualah mamat hingus tu, bisik Liyana dan tersenyum.
Amirul menggaru kepalanya yang tidak gatal. Terasa malu dengan tingkahnya sebentar tadi. Disebabkan cemburu, dia terus merampas key chain tersebut dari tangan Liyana. Dia juga tidak suka nama lelaki lain meniti di bibir Liyana. Panas telinganya mendengar nama itu. Walaupun dia tidak begitu mengenali Raziff, dia pasti lelaki itu yang dikenali Liyana sewaktu di Tanjung Karang dahulu.
Amirul membelek key chain tersebut. Terukir sebuah senyuman di bibirnya. Nama ‘Amirul Arif Iskandar’ terpahat kemas di atas key chain tersebut. Hatinya berbunga riang. Tenyata Liyana sentiasa mengingati dan merinduinya ketika di luar negara. Kenapa Liyana tidak mengakuinya sebelum ini? Kenapa Liyana cuba menyembunyikan perasaannya sendiri? Bukankah lebih elok diluahkan daripada dipendam, fikir Amirul. Tapi, kalau dia rasa apa yang aku rasakan, kenapa dia tak pakai hadiah pemberian aku tu, bisik hati Amirul.

Sekadar melepaskan rindu pd Amirul & Liyana
(^____^)