Selasa, 29 November 2011

Hatimu Milikku - Bab 5


BAB 5

“Aisya!” panggil Puan Suhaila mematikan lamunan Aisya tentang kejadian dua minggu yang lepas. Sekilas Aisya menoleh. Puan Suhaila sudah pun menghenyakkan punggung duduk di sisi Aisya. “Macam mana dengan keputusan Aisya? Mak tak paksa Aisya untuk terimanya. Tapi, kalau Aisya dah ada pilihan lain, Aisya berhak untuk menolak lamaran keluarga Pak Long,” sambung Puan Suhaila bersungguh-sungguh. Dalam hati, dia berharap agar Aisya menerima lamaran Aidil Ahmad Bin Zakuan, anak abangnya itu.
“Mak, Aisya perlukan masa untuk memikirkannya. Aisya harap mak hormati keputusan Aisya ini,” balas Aisya dan segera bangun menuju ke bilik.
Puan Suhaila hanya memerhatikan langkah Aisya hingga hilang dari pandangan mata. Bingkas dia bangun menuju ke dapur untuk mengemas saki baki yang tertinggal.           
“Mak, kak Aisya mana?” tanya Syikin tiba-tiba membuatkan Puan Suhaila hampir melepaskan pinggan dari tangannya.
“Ish budak ni, bukannya tau nak bagi salam ke apa, nasib baik tak jatuh pinggan ni dibuatnya,” bebel Puan Suhaila sambil mengurut dada. Syikin sekadar tersengih. Kemudian dia meninggalkan Puan Suhaila yang masih lagi membebel disebabkan perangainya sebentar tadi.
Syikin menuju ke bilik Aisya. Pintu bilik diketuk dan dikuak perlahan-lahan apabila diarahkan berbuat begitu. Kemudian dia duduk di birai katil sambil tersengih-sengih.
“Yang tersengih-sengih macam kerang tak cukup rebus ni kenapa?” tanya Aisya bernada usikan. Hairan melihat Syikin tersengih-sengih di birai katil.
“Tak ada apa. Saja aje nak berbual dengan akak, tak boleh ke?” balas Syikin sambil bangun dan menghampiri Aisya yang sedang berdiri di tepi tingkap. “Kak, Aidil tu kan handsome, macho, pandai, bijak dan lain-lain. Kenapa akak tak nak terima lamaran keluarga Pak Long?” Syikin meletakkan tangannya di bahu Aisya. “Kalau akak tak nak, biar Syikin sajalah yang kahwin dengan Aidil tu, boleh?” Aisya tergelak besar mendengar pengakuan Syikin. Seakan tidak percaya dengan apa yang didengarnya sebentar tadi. “Eh, orang betul-betul… akak gelak pulak,” rajuk Syikin sambil melepaskan bahu Aisya.
“Betul ke ni? Sejak bila?” soal Aisya inginkan kepastian.
Syikin tersenyum malu dengan pertanyaan dari kakaknya itu.
Okey, kalau macam tu… Syikin pergilah bagitau kat mak yang Syikin nak kahwin dengan Aidil tu, akak tak kisah,” cadang Aisya sambil menarik tangan Syikin untuk berjumpa dengan Puan Suhaila di dapur. Namun, langkah Aisya seolah-olah mati. Tidak sanggup untuk memusnahkan harapan Puan Suhaila yang menginginkan dia berkahwin dengan Aidil Ahmad. Syikin kehairanan.
“Mak tak kisah Aisya, asalkan kita tak malukan keluarga Pak Long,” sampuk Puan Suhaila dengan tiba-tiba. Aisya dan Syikin serentak menoleh.
“Mak!” panggil Syikin inginkan kepastian.
Puan Suhaila mengangguk. Syikin menjerit kegembiraan. Tidak dapat dibayangkan bagaimana perasaannya ketika itu. Syikin segera mendakap Puan Suhaila yang masih tercegat di muka pintu diikuti dengan Aisya. Terima kasih mak kerana memahami Aisya, bisik hati kecil Aisya sambil tersenyum memandang Syikin dan Puan Suhaila yang masih lagi berpelukan.


Benarlah apa yang diperkatakan oleh Syikin kepada Aisya pagi tadi. Rupa-rupanya, Syikin dan Aidil sudah lama memendam perasaan sejak pertemuan mereka di kenduri kahwin anak Mak Lang suatu ketika dulu. Aidil seakan membantah apabila Pak Long ingin menjodohkannya dengan Aisya. Aidil cuba menolak tetapi atas desakan Pak Long, dia terpaksa akur menerima arahan tersebut. Namun, dia bersyukur kepada ALLAH kerana Aisya menolak lamaran Pak Long dan diterima baik oleh Syikin. Kegembiraan jelas terpancar di wajah Syikin selepas Mak Long menyarungkan sebentuk cincin di jari manisnya menandakan dia sudah ditunangkan dengan Aidil. Terlihat Puan Suhaila menitiskan air mata gembira dan syukur. Tidak terlepas juga dengan Syikin yang sama-sama menitiskan air mata kegembiraan.
Syikin masih lagi berbual dan bergambar bersama Aidil dan keluarga Pak Long. Diajak juga Aisya bergambar tetapi ditolak lembut oleh Aisya untuk tidak bergambar bersama. Menyedari akan kesedihan di wajah Aisya, Puan Suhaila menghampiri Aisya lalu memeluknya. Aisya membalas pelukan Puan Suhaila sambil cuba untuk tidak menitiskan air mata. Dia tidak mahu Puan Suhaila menyedari akan kesedihan yang dialaminya ketika ini.
“Kenapa ni nak?” tanya Puan Suhaila apabila menyedari perubahan di wajah Aisya.
Aisya sekadar menggeleng. Masih jelas di mata Aisya suatu ketika dulu sewaktu dia bernikah dengan Tengku Azizul. Dia menangis, bukan menangis kegembiraan, tetapi menangis kerana arwah Ahmad Nordin dan Puan Suhaila membuang dia jauh dari keluarga. Amat memilukan dan terkilan di hati, apabila ayahnya rebah ke bumi ALLAH akibat serangan jantung dan meninggal dunia di malam majlis pernikahannya. Hari yang sepatutnya diraikan dengan gembira, bertukar sebaliknya. Kejadian yang dia sendiri tidak menduga akan berlaku pada malam itu. Umpatan dan hinaan dari orang sekeliling, menambahkan derita di hati. Perkahwinan yang sepatutnya menjadi kenangan manis bagi setiap pasangan bertukar menjadi kenangan pahit dalam hidupnya.
Ya ALLAH! Kenapa aku masih mengingatinya, sudah hampir enam tahun perkara itu berlaku. HambaMU ini memohon ketenangan dan kedamaian di hati. Buangkanlah perasaan amarahku, buangkanlah perasaan benciku dan buangkanlah perasaan geramku terhadap insan-insan yang pernah menyakiti aku suatu masa dahulu. Aku redha dan ikhlas menerimanya. Ya ALLAH! HambaMU ini memohon agar dijauhkan dengan hasutan iblis dan syaitan yang senantiasa mencuba untuk menyesatkan umat-umatMU. HambaMU ini memohon agar dipermudahkan segala urusan dan memohon kekuatan diri untuk menghadapi apa jua cabaran dan dugaan yang KAU turunkan padaku. Sesungguhnya hanya padaMU jua tempat aku memohon dan mengadu. Amin… Amin Ya Rabballalamin… doa Aisya ketika dia mengerjakan Sholat Zohor.


 “Apasal dengan you ni Tengku Hariz. Kalau you tak happy keluar dengan I, buat apa you berjanji nak keluar dengan I. Kalau macam ni sikap you, baik you hantarkan I balik,” geram Sharifah Aleeya dan bingkas bangun untuk beredar dari situ. Sakit hatinya melihatkan muka monyok Tengku Hariz itu.
“Leeya!!” panggil Tengku Hariz apabila tersedar Sharifah Aleeya sudah melangkah pergi meninggalkannya di situ keseorangan. Seketika tadi dia termenung mengingatkan seseorang. “I’m sorry Leeya. I ada masalah sikit,” jujur Tengku Hariz sambil menggenggam tangan Sharifah Aleeya.
“Masalah? Apa masalah you? You ingat I percaya dengan kata-kata you ni… Tengku Hariz ada masalah. Huh!” ejek Sharifah Aleeya dan melepaskan genggaman tangan Tengku Hariz.
Sharifah Aleeya segera masuk ke dalam kereta dengan wajah yang kelat bercampur marah dan geram. Makan malam romantik yang diimpikan sedari petang tadi, musnah begitu saja akibat sikap dingin Tengku Hariz itu.
Tengku Hariz menumpukan sepenuh perhatian terhadap pemanduan. Dia sudah malas untuk memujuk rayu Sharifah Aleeya. Bagi Tengku Hariz, memujuk dan merayu akan menjatuhkan egonya sebagai seorang lelaki. Dia juga perlu menjaga air muka dan maruah agar tidak mudah dipijak-pijak oleh orang lain. Tetapi entah mengapa dia teringatkan Aisya dengan tiba-tiba. Tindakan nekadnya mencium Aisya di hadapan Menara Holding pada malam itu menggusarkan hati. Adakah dia bersalah terhadap Aisya kerana memperlakukan Aisya sebegitu? Dia benar-benar dihimpit kekesalan dan rasa bersalah terhadap Aisya. Ah!! Buat apa aku fikirkan dia. Bukan dapat duit pun, getusnya di dalam hati. Tapi, kenapa aku buat dia macam tu? Apa salah dia pada aku? Kata suara hatinya yang lagi satu memintanya untuk berfikiran secara rasional.
“Hariz!” jerit Sharifah Aleeya mematikan lamunannya. Dia menekan brek secara tiba-tiba dan menyebabkan Sharifah Aleeya terdorong ke hadapan. Rupa-rupanya Tengku Hariz nyaris melanggar sebuah kereta yang berhenti di hadapan kerana lampu isyarat merah.
“Hey, you dah gila ke? Kalau you nak mati, you mati sorang la… jangan nak libatkan I. I nak hidup lagi!” tengking Sharifah Aleeya dan segera keluar dari perut kereta. 5 minit kemudian terlihat sebuah teksi berhenti di hadapan Sharifah Aleeya untuk mengambilnya pulang.
“Shit!!” geram Tengku Hariz sambil tangannya memukul stereng. “Kenapa aku fikirkan perempuan tak guna tu?” sambungnya dengan nada yang marah bercampur geram. Dia menyambung semula perjalanan ke rumahnya apabila lampu isyarat bertukar hijau.
Tengku Hariz menghumbankan badan ke atas katil setibanya di bilik. Dia melihat jam di dinding, hampir ke angka 2 pagi. Dia mendail nombor telefon Sharifah Aleeya dan cuba untuk memujuk tetapi talian sudah di matikan oleh Sharifah Aleeya sebelum sempat untuk dia bersuara. Ah! Suka hati kau lah Aleeya, tak kuasa aku nak layan kau. Banyak benda lain lagi aku nak fikir daripada fikirkan kau. Perempuan memang menyusahkan, geramnya di dalam hati. Dia bingkas bangun mencapai tuala dan menuju ke bilik air untuk membersihkan diri yang sudah melekit sejak dari pagi lagi.
Selesai mandi, Tengku Hariz mencapai laptop dan menyambung kerja yang tertangguh petang tadi akibat desakan Sharifah Aleeya untuk makan malam bersama. Dia perlu menyiapkan satu kertas kerja untuk dibentangkan di dalam mesyuarat lembaga esok pagi. Kertas kerja yang menyenaraikan belanjawan projek, kontraktor dan pembekal yang telah dilantik oleh Menara Holding bagi menguruskan projek pasaraya di Perak. Walaupun projek pasaraya itu sudah dipersetujui oleh Ahli Lembaga Berjaya Holding, dia perlu menyakinkan lagi mereka semua dengan kertas kerja yang dibuatnya itu. Melalui kertas kerja itulah dia akan dinilai dari segi keupayaan pengurusannya selama ini.
 Kenapa dia tak datang? Dah dua minggu dia tak datang ke pejabat selepas kejadian malam tu. Akukah yang bersalah? Aku telah memalukan dia? Dia benar-benar maksudkan untuk berhenti kerja ke? Berlegar-legar persoalan tersebut di kotak fikiran Tengku Hariz sehingga mematikan tumpuannya terhadap kerja yang masih lagi berbaki. Aduh! Kenapa hati aku terasa rindu padanya? Rindu melihat kepolosan wajahnya. Rindu mendengar suaranya yang sayup bagaikan menggetar jiwa dan sanubariku. Rindu akan keharuman wangiannya, bisik hati Tengku Hariz. Ah! Kenapa dia yang aku rindui. Sepatutnya aku gembira kerana misi aku untuk membuatkan dia berhenti sudah berjaya, tepis Tengku Hariz dengan tegas. Ego lelakinya mengatasi hati dan perasaan. Kemudian, dia menyambung semula kerjanya sehinggalah dia terlelap di situ.


Aisya melontar pandangan ke luar jendela. Fikiran melayang entah ke mana. Selama dua minggu dia berada di kampung cuba mententeramkan jiwa dan perasaan yang bergelodak disebabkan Tengku Hariz. Perbuatan Tengku Hariz menciumnya malam itu terlalu sukar untuk dilupakan. Ciuman yang sepatutnya dikhaskan buat lelaki yang bakal dicintainya telah dinodai oleh Tengku Hariz. Dia merasa jijik dan hina sekali pada waktu itu. Perbuatan Tengku Hariz tidak mungkin akan dimaafkan. Dia punya harga diri dan maruah. Dia bukanlah seorang yang mudah tergoda dengan rasukan syaitan selagi dia masih berpegang kepada ajaran agama.
Aisya melepaskan keluhan. Kenapa otaknya ligat memikirkan peristiwa itu? Kenapa ciuman Tengku Hariz membuatkan naluri perempuannya bergetar? Kenapa ciuman Tengku Hariz membuatkan dia sukar melelapkan mata setiap malam? Kenapa ciuman Tengku Hariz membahagiakan dirinya? Apakah dia sudah jatuh cinta dengan Tengku Hariz? Adakah pintu hatinya yang sudah lama tertutup akan terbuka semula? Jika tidak, kenapa wajah Tengku Hariz sentiasa mengisi ruangan matanya selama dua minggu ini? Kenapa dia merindui Tengku Hariz? Malah kerinduan itu semakin hari semakin mencengkam dirinya. Ah! Kenapa dia yang perlu aku ingatkan? Aku benci dengan perasaan ini. Aku benci dengan situasi sekarang ini, bentaknya.
“Woi makcik, bila kau balik?” sergah Nadia mengejutkan Aisya yang sedang khusyuk melayan perasaan.
“Kush semangat! Terkejut aku dibuatnya. Nasib baiklah aku tak ada sakit jantung, kalau tidak kat IJN dah aku sekarang ni,” marah Aisya sambil mengurut dada. Matanya menjeling ke arah Nadia.
Nadia tersengih. Aisya di hadapan di pandang kasih. Sukar untuk menafikan betapa sayangnya dia terhadap Aisya. Susah senang sentiasa bersama. Segala pahit manis sudah tertulis dalam diari hidup mereka berdua.
“Bila kau sampai?” tanya Nadia kepada soalan yang sama. Bingkas dia duduk di birai katil mengadap Aisya yang masih lagi membuang pandang ke luar jendela.
“Petang tadi,”
“So, bila Syikin kahwin?” 
Berita pertunangan Syikin sudah diberitahu oleh Aisya pagi tadi. Sungguh dia terkejut dengan berita itu. Aisya yang dipinang, tetapi adiknya pula yang terima. Dah terbalik dunia ni kot, bisik Nadia sambil menggeleng-gelengkan kepala.
Aisya menghampiri katil dan duduk bersebelahan Nadia. Wajah Nadia dipandang kasih. Betapa sayang dan kasih terhadap Nadia.
“Kalau ikut perancangan mak aku, diorang bertunang enam bulan aje. Kalau tak ada apa-apa, maybe dalam bulan Oktober ni mereka kahwin,” jawab Aisya sambil membaringkan badan di atas katil. Matanya tertancap ke arah kipas yang sedang ligat berputar seperti putaran hidupnya.
Nadia turut membaringkan badannya. Entah mengapa perasaan kurang enak melihatkan wajah muram Aisya. Seperti ada perkara yang sedang mengganggu fikiran Aisya di waktu ini.
“Aku nak berhenti Nadia. Aku dah tak tahan nak kerja kat situ lagi. Setiap apa yang aku lakukan, serba tak kena di mata dia. Dia berdendam dengan aku, Nadia.” Tanpa disuruh, Aisya meluahkan perasaan yang telah lama terbuku di dalam hati.
Nadia terkejut mendengarnya. Dari pembaringan, dia duduk bersila memandang Aisya. Benarkah apa yang diperkatakan oleh Aisya sebentar tadi? Aisya nak berhenti! Tapi siapa ‘dia’ yang dimaksudkan oleh Aisya? Adakah Tengku Hariz? Setahu Nadia hanya Tengku Hariz sahaja yang selalu memberi masalah kepada Aisya.
“Aku tahu dia berdendam dengan aku disebabkan insiden di restoran dahulu. Tapi, perkara tu dah lama, kenapa dia masih nak mengungkit dengan menyakiti hati aku?” luah Aisya lagi. Kali ini dia nekad dengan keputusannya. Dia tidak mahu hatinya terluka lagi disebabkan dendam Tengku Hariz. Dia akan mengotakan katanya dengan berhenti kerja di syarikat itu. Dan dia yakin, itulah yang dimahukan oleh Tengku Hariz selama ini.
Segala teka-teki Nadia sudah terjawab. Ternyata ‘dia’ yang dimaksudkan oleh Aisya adalah Tengku Hariz. Lelaki yang telah menolak Aisya di restoran dahulu. Lelaki yang telah membuatkan Aisya bekerja hingga ke lewat pagi. Lelaki yang telah memperbodohkan Aisya pada hari pertama Aisya bekerja di Menara Holding. Lelaki yang telah mencium Aisya tanpa kerelaan Aisya. Oppss!! Perkara sensitive. Aisya tak perlu tahu tentang ini, bisik hati Nadia sambil tersenyum nakal. Masih terbayang-bayang di ruangan mata perbuatan Tengku Hariz terhadap Aisya pada malam itu.
“Yang kau tersenyum-senyum macam kerang busuk ni kenapa?” tegur Aisya yang sudah pun duduk bersila di hadapan Nadia. Sedari tadi dia melihat gelagat Nadia yang tersenyum-senyum nakal. Seperti ada perkara nakal yang difikirkan oleh Nadia.
“Mana boleh bagitau kau. Esok, kau nak aku hantarkan ke atau kau nak naik teksi?” dalih Nadia. Tidak mahu Aisya bertanyakan kenapa dia tersenyum macam kerang busuk tadi.
“Erm… kau tolong hantarkan aku ajelah. Jimat sikit duit aku esok,” balas Aisya dan tersengih.
Okey, no problem. Hujung bulan kau bayar lum sum duit minyak kereta aku tu,” ujar Nadia dan segera turun dari katil. Dia menapak keluar dari bilik Aisya menuju ke biliknya. Badan yang terasa penat sedari pagi tadi minta direhatkan.
“Yes boss!!” jerit kecil Aisya sambil meletakkan tangan di kepala seperti askar yang memberi tabik hormat kepada ketuanya.
Nadia menggelengkan kepala. Gelagat Aisya mencuit hati. Hatinya gembira melihat perubahan Aisya. Moga Aisya akan sentiasa ceria dan bahagia dengan kehidupannya sekarang, doa Nadia buat Aisya.



Isnin, 21 November 2011

Hatimu Milikku - Bab 4


BAB 4

“Aisya Lyana Sofea Binti Ahmad Nordin!!” jerit Tengku Hariz dari dalam bilik.
Semua yang berada diluar terkejut dengan jeritan Tengku Hariz. Masing-masing berpandangan sesama sendiri. Belum pernah mereka melihat Tengku Hariz semarah itu. Setahu mereka, Tengku Hariz merupakan seorang yang tegas dan bukan pemarah, tetapi hanya pada beberapa perkara sahaja yang boleh membuatkan Tengku Hariz menjadi marah dan tegas. Pertama, jika pekerja bawahan tidak mengikuti peraturan yang telah ditetapkan oleh syarikat. Kedua, jika pekerja bawahan melawan serta membantah arahan yang telah dikeluarkan, maka surat cinta dari Bahagian Sumber Manusia akan diberikan ke atas pekerja tersebut. Ketiga, jika pekerja bawahan menyentuh barang peribadinya di dalam pejabat melainkan tukang cleaner yang telah diarahkan untuk mengemas pejabat. Keempat, jika pekerja bawahan mencampuri urusan peribadinya dan yang terakhir jika pekerja bawahan mencampur adukkan urusan peribadi dengan kerja. Dia amat pantang jika pekerja bawahan bermain cinta di syarikatnya. Bagi Tengku Hariz urusan cinta harus dilakukan luar dari syarikat.
“Nurul, where’s Aisya?” tanya Tengku Hariz dengan tiba-tiba mematikan lamunan Nurul terhadap Tengku Hariz. “Nurul, I’m talking with you!” sambung Tengku Hariz sedikit meninggi apabila tiada tindak balas dari secretarynya itu.
“Maaf Tengku, Cik Aisya belum masuk lagi,” jawabnya ikhlas sedikit gugup.
What do you mean with Cik Aisya belum masuk lagi?” ulang Tengku Hariz dengan nada yang masih keras. Matanya mencerlung ke arah Nurul. Menanti jawapan dari secretarynya itu.
Nurul tidak tahu bagaimana untuk menjawab soalan Tengku Hariz. Apa yang pasti, Aisya masih belum menampakkan batang hidungnya lagi. Jam di dinding sudah menunjukkan hampir ke angka 9.00 pagi. Waktu bekerja di Syarikat Menara Holding bermula dari pukul 8.30 pagi hingga ke 5.30 petang. Aisya sepatutnya prihatin dengan waktu bekerja memandangkan dia masih lagi dalam tempoh percubaan.
“Maaf kak saya terlewat,” suara Aisya dengan tiba-tiba mematikan lamunan Nurul lagi. Nurul yang agak terkejut dengan kehadiran Aisya. Sekilas itu dia memandang ke arah jam di dinding. “Kak, saya terlewat bangun dan maaf juga kerana tidak memberitahu akak terlebih dahulu,” bicara Aisya lembut apabila menyedari Nurul mengerling ke arah jam di dinding.
Nurul bangun dan menghampiri Aisya yang sedang sibuk mencapai fail dan menghidupkan komputer.
“Aisya, akak bukannya apa, bos pantang kalau stafnya masuk lambat tanpa memberitahunya terlebih dahulu. Aisya kena ingat semua ni,” nasihat Nurul sebelum memberitahu Aisya bahawa Tengku Hariz ingin berjumpa dengannya. Aisya hanya menganggukkan kepala menandakan faham dan mengerti akan apa yang dinasihatkan oleh Nurul itu.
Aisya melangkah berani menuju ke bilik Tengku Hariz. Dia dapat menduga dengan apa yang bakal dihadapi selepas sahaja dia menjejakkan kaki masuk ke dalam bilik itu. Dia tahu dia berbuat salah dan melanggari peraturan syarikat kerana lewat menghadirkan diri ke pejabat. Bukan sengaja untuk berbuat begitu. Disebabkan keletihan yang terlampau gara-gara kelewatan pulang semalam, membuatkan dia terlewat bangun dan lewat juga hadir ke tempat kerja. Apa yang menjadi tanda tanya, kenapa Nadia tidak membangunkannya? Ah! Mungkin aku yang tidur mati sampai tak sedar Nadia kejutkan aku. Agaknya dia pun akan terlewat kalau terus-terusan kejutkan aku, simpulnya di dalam hati namun debaran di hati tidak akan reda selagi dia tidak menjejakkan kaki ke dalam bilik Tengku Hariz.
“Masuk!” arah Tengku Hariz tegas dan keras. Menahan kemarahan di hati.
Aisya mengatur langkah menghampiri meja Tengku Hariz setelah tombol pintu di pulas.
“Maafkan saya Tengku di atas kelewatan saya hari ini,” jujur Aisya dengan nada yang terketar-ketar. Dia menundukkan muka memandang lantai.
“Maaf! Awak ingat ini company bapa awak yang punya ke, sesuka hati awak nak datang dan balik?” marah Tengku Hariz sambil membaling fail ke muka Aisya.
Tersentak Aisya dengan tindakan Tengku Hariz itu. Tidak menyangka Tengku Hariz sanggup berbuat begitu disebabkan kesalahan kecil yang dilakukan olehnya hari ini. Air mata sudah mulai bertakung di kelopak mata, hanya tunggu masa untuk gugur sahaja. Hatinya tersentuh tatkala Tengku Hariz menyebut perkataan ‘bapa’.
“Lagi satu, laporan yang awak buat ni, langsung tidak menepati kehendak syarikat. Rubbish!!’’ sambung Tengku Hariz dan kali ini dia melemparkan fail yang telah disediakan oleh Aisya semalam ke atas meja sehinggakan fail itu jatuh betul-betul di bawah kaki Aisya.
Aisya menyeka air mata di pipi. Hatinya benar-benar sakit apabila diperlakukan sebegitu oleh Tengku Hariz. Walau seteruk mana kesalahan serta seburuk mana hasil kerjanya, Tengku Hariz punya hak untuk mengkritik tapi Tengku Hariz tidak punya hak untuk menjatuhkan maruahnya. Dia terasa maruahnya dipijak-pijak oleh Tengku Hariz sewenang-wenangnya.
“Jika tiada apa-apa lagi, saya minta diri dulu,” pohon Aisya lemah. Dia tahu ketika itu dia harus mendiamkan diri. Jika dia bersuara seperti mencurahkan air ke daun keladi. Untuk tidak terus-terusan maruahnya di pijak-pijak, dia memohon diri untuk beredar dari ruangan yang menyesakkan nafas itu.
“Hey, aku belum habis cakap lagi,” tegur Tengku Hariz masih keras mematikan langkah Aisya. Matanya tajam merenung Aisya.
“Tengku nak kata apa lagi pada saya. Semua yang saya lakukan menjadi kesalahan bagi Tengku. Jadi ada baiknya saya keluar. Moga hati Tengku lebih mengingati ALLAH dan tidak mudah dihasut oleh syaitan,” luah Aisya seakan menyindir. Dia nekad untuk keluar dari bilik itu. Dia tidak hiraukan tindakan yang bakal diterima akibat melawan cakap bos, asalkan dia tidak diperlakukan sebegitu lagi.
Tengku Hariz terkejut dengan tindakan Aisya yang keluar tanpa arahannya. Belum pernah pekerja bawahan melawan arahannya melainkan Aisya. Dia benar-benar rasa tercabar dengan kedudukannya sebagai Pengarah Urusan di Menara Holding.


“Aisya!” panggil Nurul terketar-ketar kerana dikhuatiri akan mengganggu kerja Aisya.
Semasa menuju ke bilik Tengku Hariz untuk menghantar dokumen tadi, dia terdengar akan amukan dan amarah Tengku Hariz terhadap Aisya. Niatnya untuk masuk ke dalam bilik menghantar dokumen mati begitu sahaja kerana dikhuatiri akan dimarahi oleh Tengku Hariz pula.
“Ermm..” balas Aisya pendek.
Aisya masih lagi khusyuk dengan tugas membetulkan laporan yang dibuat olehnya semalam. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia membuang laporan tersebut ke dalam tong sampah. Dia kecewa kerana usahanya tidak dihargai oleh Tengku Hariz. Pulang lewat hampir ke satu pagi, semata-mata untuk menyiapkan laporan tersebut hanya sia-sia sahaja.
Nurul melangkah menghampiri Aisya yang masih tekun membuat kerja.
“Ada apa kak?” tanya Aisya apabila menyedari akan kehadiran Nurul di sisi. Nurul masih berperang untuk bersuara. “Kak, kalau tak ada apa-apa, boleh tak akak jangan kacau saya. Saya tengah banyak kerja ni,” sambung Aisya sedikit meninggi.
“Maaflah kalau akak ganggu Aisya,” ujar Nurul perlahan dan kembali semula ke tempat duduk. Mukanya berubah muram selepas ditegur oleh Aisya.
Melihatkan perubahan di wajah Nurul, lantas Aisya meminta maaf akan keterlanjuran kata-katanya tadi. Dia tidak berniat untuk berkata begitu. Nurul memahami situasi tekanan Aisya. Namun dia tidak ambil hati dengan kata-kata Aisya. Dia juga bersalah kerana membabitkan Aisya dalam hal tersebut.
“Nah! Saya nak awak siapkannya hari ini juga tanpa sebarang kesilapan. Laporan semalam sekali. Faham!” arah Tengku Hariz sambil mencampakkan sebuah fail betul-betul di hadapan mata Aisya dan hampir mengenai mata Aisya.
Aisya tersentak. Jari-jemari yang dari tadi khusyuk menekan papan kekunci termati dengan tiba-tiba. Astaghafirullahalazim!! Mengucap Aisya, terkejut dengan perbuatan Tengku Hariz sebentar tadi.
Tak guna punya bos. Sesuka hati kau aje nak campak benda depan aku. Kau ingat aku ni patung ke? Menyumpah Aisya di dalam hati. Betullah kata Kak Nurul, dia tu ikut suka hati dia aje nak marah atau tak. Aku tersalah anggap tentang dia. Tapi, takkanlah disebabkan insiden kat restoran ari tu sampai kau nak dera aku. Benda kecil pun nak dibesar-besarkan ke? Tak professional langsung, gerutu Aisya lagi. Dia berpendapat bahawa Tengku Hariz masih lagi menyimpan dendam di atas insiden yang lalu. Namun, dia tidak menyedari bahawa tingkah lakunya sedang diperhatikan oleh Tengku Hariz.
“Awak menyumpah saya ke Aisya?” sergah Tengku Hariz sedikit meninggi dan mendesak. Matanya tajam ke muka Aisya.
Aisya mengetap bibir. Sudah menjadi kebiasaan bagi mulutnya terkumat-kamit apabila memarahi seseorang di dalam hati. Ya! Memang aku tengah menyumpah kau. Ingin saja Aisya melontarkan kata-kata tersebut tetapi hanya setakat di kerongkongnya sahaja.
“Do it now!!” Arah Tengku Hariz nyaring dan hampir memecahkan suasana sunyi di pejabat itu. Nurul yang berada berhampiran dengan meja Aisya hanya tunduk membisu tanpa menjeling mahupun untuk melihat. Dikhuatiri tindakannya nanti dapat dihidu oleh Tengku Hariz.
Tengku Hariz menghempas pintu bilik. Bengang dan marah dengan Aisya tidak pernah surut. Walaupun dia tidak berapa jelas dengan kata-kata Aisya tadi, dia dapat merasakan yang Aisya sedang menyumpah seranah dirinya.
Huh! Dengus Tengku Hariz melepaskan kemarahan sambil tersandar lesu. Dia menggenggam tangan dengan erat sekali. Kau cabar aku Aisya. Kau tunggu apa yang aku akan buat pada kau nanti. Kau jangan ingat kau boleh senang bekerja kat sini. Aku akan pastikan kau berhenti dari kerja dan merayu-rayu aku supaya mengambil kau semula. Kita tunggu dan lihat saja Aisya, azam Tengku Hariz sambil ketawa sinis. Insiden yang berlaku di restoran tidak lama dulu membuatkan dirinya membenci dan berdendam dengan Aisya.
Mana mungkin dia tidak membenci dan berdendam dengan Aisya kerana Aisya telah memalukan dirinya di khalayak ramai. Aisya telah mempertikaikan harga kemejanya. Jika diikutkan hati ketika itu, mahu sahaja dia menampar Aisya. Tetapi, dia hanya mampu untuk menolak Aisya jatuh ke lantai. Walaupun begitu, hatinya tetap puas tatkala melihat Aisya jatuh tersungkur di depan orang ramai. Ah! Buat apa aku fikirkannya lagi. Aku perlu fikirkan cara untuk menyingkirkan dia dari syarikat aku, bisik Tengku Hariz.


“Mak Kiah!” laung Tengku Hariz dari dalam bilik. Terkocoh-kocoh Mak Kiah berlari meniti anak tangga menuju ke bilik Tengku Hariz yang terletak di tingkat atas. “Mana baju saya?” tanya Tengku Hariz sebaik sahaja Mak Kiah berada di hadapan.
“Baju yang mana satu Tengku?” tanya Mak Kiah tersekat-sekat. Alamak! Tertanya la pulak, bisik Mak Kiah di dalam hati. Tengku Hariz amat pantang jika sesiapa bersoal jawab dengannya semula.
Tengku Hariz mengangkat kening. Mak kiah tertunduk takut.
“Baju yang saya suruh Mak Kiah basuhkan pagi tadi. Mana dia baju tu?” jawab Tengku Hariz seraya menghulurkan tangan meminta dari Mak Kiah. Mak Kiah terkial-kial cuba mengingati arahan Tengku Hariz pagi tadi. Dia menepuk dahi apabila mengingatinya semula.
“Maafkan Mak Kiah Tengku Hariz, Mak Kiah benar-benar terlupa nak membasuhnya pagi tadi,” jujur Mak Kiah berkata-kata.
“Apa? Terlupa?” ulang Tengku Hariz sedikit meninggi. “Mak Kiah, kan saya dah pesan pagi tadi, basuh baju tu dan saya nak pakai malam ni,” sambung Tengku Hariz geram.
Mak Kiah tunduk membisu. Menyedari akan kesilapannya. Masuk kali ketiga dia terlupa membuat kerja yang telah diarahkan. Semenjak dia menjejakkan kaki ke dalam keluarga ini, tidak pernah sekali pun dia berbuat salah. Kesemua arahan yang diberikan di sempurnakan dengan penuh amanah dan dedikasi, kerana di sinilah tempat dia mencari rezeki yang halal walaupun kadang kala sikap keluarga Tengku Azman amat menyakitkan hati terutama Tengku Hariz. Mungkin aku dah tua dan ada baiknya aku berhenti dari pekerjaan ini, luahnya di dalam hati hiba dan sedih.
“Eh… eh… orang tua ni, mengelamun pulak. Jangan nak buat drama kat sini. Dah, keluar!” arah Tengku Hariz sambil mencapai sehelai T-Shirt berwarna biru laut dari dalam almari.
Mak Kiah akur dan segera beredar dari bilik itu. Hatinya benar-benar terasa dengan kata-kata Tengku Hariz sebentar tadi. Ditahan air mata agar tidak tumpah membasahi pipi tua itu.
Mak Kiah mengeluh berat. Dia kecewa dengan sikap dan perangai Tengku Hariz. Tidakkah Tengku Hariz ingat siapa yang menjaganya selama ini, dari kecil hinggalah dia sedewasa itu? Tidakkah dia tahu, tangan yang membelai dan mengusap rambutnya adalah tangan orang tua yang ditengking-tengking dan dihina-hina selama ini? Sejak kelahiran Tengku Hariz, Mak Kiahlah yang bertungkus lumus menjaga Tengku Hariz serba serbi sepertimana dia menjaga abangnya dahulu. Sharifah Rohana Binti Syed Aziz terlalu sibuk dengan urusannya. Sehabis saja berpantang, Puan Sharifah Rohana kembali ligat dan aktif berpersatuan dan sentiasa menghadiri jamuan-jamuan di luar. Tengku Azman Bin Tengku Imran! Boleh dikira berapa jam dia duduk dan berada di rumah. Sentiasa ada urusan di luar negara, mungkin panas punggungnya jika berada di rumah. Cuma sejak akhir-akhir ini, Tengku Azman sentiasa berada di rumah. Mungkin disebabkan usianya yang sudah lewat ataupun sudah ada pengganti yang boleh menggantikannya menguruskan syarikat.
“Apa yang bising-bising tadi tu Mak Kiah?” sapa seseorang mematikan lamunan Mak Kiah.
“Eh, bila Puan Sharifah balik?” Mak Kiah sengaja menukar topik. Tidak mahu membesar-besarkan perkara yang kecil dan boleh diselesaikan tanpa bertelagah.
“Mak Kiah lupa nak basuh baju Riz ma, Riz marah dia tadi,” sampuk Tengku Hariz jujur sambil menuruni anak-anak tangga dengan pantas.
Mak Kiah tertunduk dan terkedu untuk berkata-kata. Puan Sharifah Rohana menghampiri Mak Kiah yang masih lagi tertunduk memandang lantai.
“Maafkan saya Puan Sharifah, saya benar-benar terlupa tadi.” Belum sempat Puan Sharifah Rohana berkata-kata, Mak Kiah sudah pun mengakui akan kesalahannya. Tengku Hariz hanya tersenyum sinis dan beredar keluar dari rumah.
“Lain kali jangan buat macam ni lagi. Mak Kiah bukannya tak kenal dengan perangai Hariz. Dia memang pantang kalau orang lupa dengan arahannya,” nasihat Puan Sharifah Rohana sambil menepuk lembut bahu Mak Kiah. Kemudian dia meninggalkan Mak Kiah yang masih lagi dirundung rasa bersalah. Mak Kiah menyambung semula kerjanya yang tertangguh tadi dengan rasa kesalan dan pilu di hati.


Tengku Hariz segera keluar setelah memarkirkan kereta di hadapan bangunan Menara Holding. Dia boleh terlupa untuk membawa sekali briefcase pulang ke rumah kerana ke semua dokumen yang diperlukan berada di dalam briefcase tersebut. Malam ini dia terpaksa akur dengan arahan Tengku Azman yang memintanya menghadiri sebuah perjumpaan bersama rakan-rakan perniagaan Tengku Azman di sebuah restoran ternama di Kuala Lumpur. Kalau diikutkan hati, ingin saja dia menolak arahan Tengku Azman itu kerana dia sudah pun berjanji untuk makan malam bersama Sharifah Aleeya. Namun siapalah dia untuk membantah arahan Tengku Azman. “Mahu ataupun tidak, Hariz kena pergi juga,” kata-kata Tengku Azman yang tegas masih terngiang-ngiang di cuping telinga. Walaupun hati membantah, arahan Tengku Azman terpaksa diikutkan juga.
“Ya, aku tahu Nadia. Kau janganlah marahkan aku. Aku tengah usaha siapkannya dengan cepat,” jelas Aisya berharap Nadia akan faham situasinya ketika itu. Dia tidak ada masa untuk melayan karenah Nadia yang memarahinya apabila pulang lewat untuk kali yang kedua semata-mata menyiapkan laporan untuk bos yang dianggap gila itu.
Aisya mematikan talian telefon ketika Nadia masih lagi membebel di hujung talian. Jika dia tidak berbuat begitu, sudah pastilah Nadia akan terus-terusan memarahinya. Aisya mengalihkan tumpuan semula ke screen komputer sambil jari-jemari menekan papan kekunci.
“Ish!! Bunyi apa tu?” keluh Aisya dengan tiba-tiba dan mematikan segala perbuatannya. Bingkas dia bangun dan mengamati bunyi tersebut yang datangnya dari pintu utama. Jika dia tidak silap, dia telah berpesan kepada Hisham agar mengunci pintu utama kerana dia akan pulang lewat menyiapkan laporan yang diminta oleh Tengku Hariz. “Takkan pencuri kot?” soalnya sambil mencapai sesuatu dari bilik pantry. Dia melangkah perlahan-lahan menghampiri pintu utama dan menyorok di belakang pintu. Sekurang-kurangnya bila aku di sini, aku boleh pukul pencuri tu dari arah belakang, fikirnya dan segera membatukan diri menunggu kemunculan pencuri tersebut. Sebaik sahaja melihat sesusuk tubuh masuk ke dalam pejabat, dengan pantas dia memukul belakang susuk tersebut.
“Aduh!!” rengek Tengku Hariz seraya jatuh tersungkur menyembah lantai. Dia cuba bangun tetapi dirasakan bahunya kesakitan amat sangat, begitu juga lengannya.
“Ya ALLAH, Tengku Hariz!!” jerit Aisya terkejut dengan kehadiran lelaki itu di pejabat, rasa bersalah yang amat sangat sedang menghantui diri ketika ini. “Maafkan saya Tengku, saya tak sengaja. Saya ingatkan pencuri tadi, rupa-rupanya Tengku. Maafkan saya,” jelas Aisya dengan riak bersalah. Dia cuba untuk membantu Tengku Hariz berdiri namun ditepis keras oleh Tengku Hariz.
Tengku Hariz merasakan bahunya bagai nak tercabut dari badan. Terasa sakit dilengan kerana dia menghimpit lengannya sendiri ketika jatuh tadi.
“Awak ni bodoh ke? Takkan saya nak mencuri masuk office saya sendiri!” tengking Tengku Hariz sambil memicit-micit bahu yang kesakitan dengan menggunakan tangan sebelah kiri.
“Maafkan saya, saya memang tak sengaja nak pukul Tengku. Saya ingatkan pencuri yang nak masuk dalam office ni tadi,” jelas Aisya lagi. Dia berasa tidak selesa apabila direnung tajam oleh Tengku Hariz. Dia tunduk membisu seketika seusai menjelaskan perkara sebenar kepada Tengku Hariz.
“Maaf? Maaf kepala otak kau. Kau ingat dengan perkataan maaf boleh menyelesaikan semua masalah!” tengking Tengku Hariz kuat dan melangkah masuk ke dalam bilik. Dia mencari briefcase berwarna hitam miliknya di dalam pejabat itu.
Entah mengapa Aisya membenarkan semua kata-kata Tengku Hariz yang dilemparkan sebentar tadi. Mungkin dia tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan mahupun untuk memperbesar-besarkan hal yang tidak disengajakan. Dia sudah pun meminta maaf kepada Tengku Hariz. Di atas perbuatan yang di luar tindakan refleksnya. Tetapi kata-kata maafnya itu tidak diendahkan oleh Tengku Hariz.
“Tengku!” panggil Aisya.
Langkah Tengku Hariz terhenti dengan panggilan itu.
“Saya tahu saya bersalah, tapi itu tidak bermakna Tengku ada hak untuk menengking saya. Saya tidak diajar untuk menjawab ataupun membalas tengkingan seseorang kerana saya tahu bagaimana untuk menghormati orang, bukan seperti Tengku yang berlagak bagus seolah-olah Tengku berkuasa untuk menghukum orang. Hanya ALLAH sahaja yang berhak menghukum umat-umatNYA,” khutbah Aisya panjang lebar. Dia menundukkan muka. Malas untuk bertentangan mata dengan Tengku Hariz.
Tengku Hariz mengangkat kening dan memandang tajam ke arah Aisya, seperti singa yang sedang lapar, menunggu masa untuk membaham mangsanya.
“Mak ayah awak tak ajar awak bagaimana untuk menggoda lelaki kaya sekali ke?” sindir Tengku Hariz diikuti dengan ketawa sinisnya yang sengaja dan cukup menjengkelkan Aisya.
Aisya terkejut dengan lontaran kata-kata Tengku Hariz. Dia mengangkat muka dan merenung tajam ke wajah Tengku Hariz.
“Kenapa perlu libatkan mak ayah?” suara Aisya perlahan menahan kesabaran namun masih didengari oleh Tengku Hariz. Tengku Hariz masih meneruskan tawanya.
“Sebab mak ayah kau tu bodoh, dah tu ajar anak yang bodoh macam kau… bertambah bodoh la,” sambung Hariz dan segera melangkah jalan menuju ke pintu utama. Masih kedengaran sisa tawanya itu.
Menyirap darah Aisya mendengar setiap inci perkataan Tengku Hariz. Dia terasa dihina dan dikutuk oleh Tengku Hariz. Jika dia saja yang dihina dan dikutuk, dia masih boleh menerimanya, tetapi apabila melibatkan orang tua, dia tidak boleh bersabar lagi.
Pangggg!!!!
Satu tamparan hangat mengenai pipi Tengku Hariz. Tersentak Tengku Hariz dengan tindakan Aisya itu. Di luar jangkaannya.
“Woi… cari nahas betul minah ni!!” marah Tengku Hariz sambil meraba-raba pipi yang terasa sakit dan kebas. Matanya tajam menusuk ke muka Aisya.
“Sakit?” soal Aisya mengejek. “Begitu jugalah sakitnya hati saya apabila awak menghina dan mengutuk keluarga saya. Ya, memang saya tidak diajar dengan baik oleh arwah abah saya, tapi saya masih berpegang dengan ajarannya walaupun arwah sudah lama pergi meninggalkan saya. Jangan sesekali awak menghina orang lain. Mana tau suatu hari nanti, orang yang awak hina itu akan membantu awak ketika awak dalam kesusahan. Saya minta maaf sekali lagi. Mulai esok saya berhenti bekerja dari syarikat awak. Terima kasih di atas tunjuk ajar yang awak berikan walaupun tunjuk ajar awak itu hanyalah penghinaan, tengkingan dan kemarahan awak terhadap saya. Maaf juga jika saya telah memalukan awak di khalayak ramai atas insiden yang berlaku di restoran dulu. Saya minta diri dulu!!” luah isi hati Aisya dan terus mencapai beg tangan dari dalam laci dan segera beredar dari situ. Ketika itu dia benar-benar memerlukan seseorang untuk merembeskan air mata yang sudah lama di seka agar tidak gugur di hadapan Tengku Hariz.
Kau perlu kuat Aisya. Ini baru sedikit. Kau pernah terima yang lagi dahsyat dari hari ini, bisiknya seolah-olah memberi kata-kata semangat buat dirinya sendiri. Masih jelas diingatan bagaimana dia dihina dan diherdik setiap hari oleh Tengku Azizul bekas suaminya dulu. Tidak pernah terlintas dan terdetik di fikiran mahupun berangan-angan untuk menjadi isteri kepada seorang Tengku, kaya dan terkenal seperti Tengku Azizul kerana dia tahu akan status dan kedudukannya di mata Tengku Azizul. Dia terjebak dengan dunia Tengku Azizul yang terlalu egois dan bongkak. Benarlah orang tua-tua kata ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’. Begitulah yang terjadi kepadanya lima tahun yang lepas. Kenangan yang tidak mudah untuk dilupakan sehingga ke akhir hayatnya juga. Disebabkan itu jugalah, dia terlalu sukar untuk mempercayai dan menerima insan yang bernama ‘lelaki’ di dalam hidupnya.
“Cik Aisya!” tegur seseorang dari belakang mematikan lamunan Aisya. Aisya menoleh dan terlihat Mr. Raja sedang tersenyum memandangnya. “Cik overtime lagi ke?” sambung Mr. Raja. Aisya hanya menganggukkan kepala sahaja. “Nak saya tolong panggilkan teksi?” pelawa Mr. Raja apabila melihat Aisya hanya tunduk membisu.
“Eh, tak mengapalah Uncle, kawan saya datang ambil,” tolak Aisya lemah. Ketika ini dia tiada mood untuk berbual panjang dengan Mr. Raja.
Kemudian itu, dia menuruni anak tangga dengan cermat untuk menuju ke perhentian teksi yang terletak tidak jauh dari bangunan Menara Holding. Belum sempat dia melangkah menuruni anak tangga, lengannya sudah di tarik seseorang. Aduh! Nak apa lagi dia ni dengan aku. Tak puas hati lagi ke? Marah Aisya di dalam hati. Aisya menoleh dan memandang tepat ke anak mata Tengku Hariz yang sedang merah menyala seolah-olah sedang menahan kemarahan.
“Aku ada hadiah nak berikan pada kau.” Belum sempat Aisya membalas kata-kata Tengku Hariz, Tengku Hariz sudah pun mengucup bibirnya dengan rakus sekali. Ya ALLAH! Hanya nama itu saja yang terbit dari dalam hati Aisya. Dia cuba melepaskan diri tetapi Tengku Hariz masih kuat memegangnya.
“Baru puas hati aku!” sorak Tengku Hariz meraikan kemenangan seraya menolak Aisya ke belakang. Aisya jatuh tersungkur. Kemudian, Tengku Hariz segera menghidupkan enjin kereta dan memecut laju meninggalkan bangunan Menara Holding. Aisya masih lagi tergamam dengan tindakan Tengku Hariz. Mr. Raja yang sedari tadi menjadi pemerhati, segera menuju ke pondok pengawal sambil mulutnya terkumat-kamit menuturkan sesuatu.
“Ayoyo kadawaley!” suara Mr. Raja mengejutkan Pak Mat yang sedari tadi ralit menonton televisyen. Dia memandang sekilas ke arah rakan sekerjanya itu.
“Kamu ni kenapa Raja? Dari tadi aku menengok mulut kamu tu macam menyumpah seranah seseorang saja, kenapa?” soal Pak Mat. Jelas kerisauan di wajah tuanya itu.
Ayoyo Mat, itu budak sedang… sedang…” Agak sukar Mr. Raja untuk melontarkannya. Berkerut dahi Pak Mat menunggu ayat yang masih tidak dikeluarkan dari mulut Mr. Raja.
“Sedang apa Raja oii!” ulang Pak Mat dengan nada yang ditekankan sedikit.
“Ala… itu orang muda zaman sekarang la Mat… itu… sedang…” jawab Mr. Raja sambil menunjuk isyarat tangan seperti orang bercium kepada Pak Mat. Bulat mata Pak Mat melihat isyarat Mr. Raja itu.
“Ala, apa yang nak dikesahkan sangat Raja. Zaman sekarang ni, mana-mana tempat pun boleh jadi. Dahlah, aku nak ke tandas kejap, kamu tunggu ya,” bidas Pak Mat dan segera meninggalkan pondok pengawal. Belum sempat Pak Mat melangkah jauh, dia menoleh semula ke arah Mr. Raja dan bersuara.
“Rugi pulak aku tak menengoknya ya Raja.” Mr. Raja terkejut dengan kata-kata Pak Mat. Dia memandang ke arah Pak Mat yang berjalan longlai menuju ke tandas. Jelas kedengaran bunyi ketawa Pak Mat selepas melontarkan kata-kata itu tadi. Namun dalam hati Mr. Raja, dia masih tertanya-tanya akan tindakan berani Tengku Hariz mencium Aisya. Seolah-olah Aisya tidak merelakan perbuatan Tengku Hariz itu. Aduh! Amma, macam mana ini? Anne banyak kesian sama itu Cik Aisya, bisik Mr. Raja sendirian.


“Aisya!” panggil Nadia sambil menurunkan cermin kereta.
Aisya menoleh sambil menyeka air mata yang hampir gugur. Dia melangkah masuk ke dalam kereta sambil melemparkan sebuah senyuman hambar kepada Nadia. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu Nadia menyedari akan perubahan di mata serta di wajahnya.
“Kau tertidur kat lantai tu ke tadi?” tanya Nadia dengan tiba-tiba memecahkan kesunyian di dalam kereta. “Kalau ya pun aku lambat, janganlah sampai tidur kat situ, macam pengemis pulak aku tengoknya,” sambung Nadia lagi diikuti dengan gelak tawanya yang nakal.
Aisya hanya tersenyum pahit. Tidak mahu membalas kata-kata Nadia. Apa yang dia mahukan ketika ini ialah pulang ke rumah dan membersihkan diri daripada kesan noda yang ditinggalkan Tengku Hariz sebentar tadi.
“Kau ada apa-apa nak bagitau aku, Aisya?” soal Nadia lagi apabila menyedari tiada tindak balas yang dipamerkan oleh Aisya ke atas gurauannya sebentar tadi.
Aisya hanya membisu dan menggelengkan kepala sahaja. Nadia menoleh sekilas pandang ke arah Aisya yang sedang duduk di kerusi sebelah pemandu. Terpancar ketakutan dan kesedihan di wajah Aisya ketika itu. Huh! Satu keluhan dilepaskan oleh Nadia. Sampai bila kau nak jadi macam ni Aisya? Dulu kau tak macam ni. Kalau orang mengutuk dan menghina kau, kau akan lawan dan membalasnya balik. Kenapa kau membisu dan mendiamkan diri bila orang mengambil kesempatan ke atas diri kau? Mana Aisya Lyana Sofea yang aku kenal dulu. Seorang yang tegas, periang, nakal, bijak dan manja. Aku merindui kau Aisya! Ingin saja Nadia melontarkan luahan itu kepada Aisya, namun ianya bagaikan tersekat-sekat di anak tekaknya sahaja.


“Ha… ha… ha… baru padan muka kau Aisya. Kau nak main-main dengan aku. Ini Tengku Harizlah. Jangan kau ingat senang nak kenakan aku!” sorak Tengku Hariz sebaik sahaja keretanya melepasi bangunan Menara Holding. Hatinya gembira. Senyuman gembira terukir di bibir. “Aku pasti lepas ni kau akan berhenti dari syarikat aku,” sambungnya lagi. Dia memutar stereng menuju ke rumah. Niatnya untuk mewakilkan Tengku Azman menghadiri perjumpaan dibatalkan begitu saja. Dia tidak peduli dengan kemarahan Tengku Azman. Apa yang penting, dia sudah membalas dendam terhadap Aisya dan kemenangan berpihak kepadanya.
Tengku Hariz menyeluk poket seluar apabila menyedari telefon bimbitnya bergetar. Lantas dia menekan butang hijau dan menunggu butir bicara dari pihak sebelah.
“Riz kat mana ni?” tanya Tengku Azman sebaik sahaja Tengku Hariz melekapkan telefon bimbit ke telinga. Keluhan berat terlepas jua. “Kenapa tak pergi perjumpaan tu? Mereka dah lama tunggu Riz!” sambung Tengku Azman sedikit meninggi.
“Riz tak sihat la papa. Tiba-tiba aje rasa pening kepala dan sakit-sakit badan. Riz on the way ke klinik ni,” bohong Tengku Hariz. Mungkin dengan cara ini, dia dapat melepaskan diri daripada menghadiri perjumpaan tersebut. Mungkin juga disebabkan tamparan Aisya tadi memberi hikmah padanya. Dan dia punya alasan yang kukuh untuk mengelak.
Bukan niatnya untuk membohongi Tengku Azman. Tetapi disebabkan sikap kawan-kawan Tengku Azman membuatkan dia terasa berat hati untuk berjumpa. Dia khuatir dia tidak cukup iman untuk melawan nafsu syaitannya nanti. Pada kebiasaannya jika dia menghadiri perjumpaan sebegitu, sudah pastilah perempuan-perempuan cantik akan melayani mereka. Mereka juga akan dijamukan dengan minuman keras dan berkaraoke. Walaupun imannya tidak sekuat mana, tetapi dia masih boleh membezakan yang mana buruk dan yang mana baik serta halal dan haram. Bercium tu halal ke? Dahinya berkerut tiba-tiba.
“Riz jangan nak susahkan papa. Riz tahu tak betapa pentingnya perjumpaan tu,” ujar Tengku Azman geram. Sakit hati apabila Tengku Hariz mengendahkan arahannya.
“Papa… Riz minta maaf. Kepala Riz benar-benar sakit. Okeylah papa, Riz nak jumpa doktor. Nanti Riz telefon papa balik,” beritahu Tengku Hariz dan segera mematikan talian telefon. Dia menarik nafas lega. Terlepas dari paksaan Tengku Azman.
Tengku Hariz memberhentikan kereta di bahu jalan. Nafasnya dihela panjang. Wajah Aisya yang tenang meniti di tubir mata. Entah mengapa wajah itu selalu mengganggu tidurnya setiap malam. Hatinya sentiasa berdebar tatkala wajah itu terlintas di fikiran. Apakah dia sudah jatuh cinta pada wajah itu? Apakah dia sudah angau pada wajah itu? Apakah hatinya sudah terpaut pada wajah itu? Apakah wajah itu pemilik kunci hatinya? Ah!! Kenapa aku berfikiran seperti ini? Aku benci dia! Aku benci dengan wajah itu! Aku benci! Bentak hatinya.
Tengku Hariz menyandarkan badan ke belakang. Tindakan mencium Aisya, mengganggu fikirannya. Kenapa dia tergamak bertindak seperti itu? Seolah-olah Aisya tidak punya maruah dan harga diri. Apakah syaitan telah merasuknya ketika itu? Adakah dia berniat untuk melakukannya? Adakah hatinya gembira ketika melakukannya? Semua persoalan memerlukan jawapan. Kemenangan sudah berpihak padanya. Dia tersenyum lebar. Jika Aisya nekad untuk meletakkan jawatan, sudah pastilah dia orang pertama yang akan meraikan kemenangan itu.
“Terimalah nasib kau pompuan!” kutuk Tengku Hariz dan tertawa sinis. Seminit kemudian, dia menghidupkan enjin kereta dan memandu pulang ke rumah. Rumah adalah tempat yang terbaik untuk merehatkan fikiran yang sedang kusut ketika ini.




Khamis, 10 November 2011

Hatimu Milikku - Bab 3

BAB 3

Assalamualaikum mak… mak sihat?” tanya Aisya dari hujung talian telefon.
Waalaikumussalam, mak sihat alhamdulillah. Aisya macam mana? Kerja okey?” jawab Puan Suhaila dengan suara yang agak keletihan.
Aisya menyedari akan perubahan suara Puan Suhaila. Untuk tidak mengesyaki dan membimbangkan Puan Suhaila dengan pertanyaannya nanti, dia hanya menjawab  sepintas lalu sahaja dan di selang-selikan dengan gelak tawanya. Sengaja membuatkan Puan Suhaila gembira dan tidak terlalu risaukan akan keadaannya di Kuala Lumpur.
“Insya-ALLAH mak, hujung bulan nanti Aisya balik. Ada perkara apa yang mak nak bincangkan dengan Aisya?” suara Aisya sambil mencapai segelas air di pantry.
“Mak bagitaunya lepas Aisya balik sini nanti,” ujar Puan Suhaila bersungguh.
“Baiklah! Mak, Aisya ada kerja nak buat ni, nanti Aisya telefon mak lagi ya.” Aisya mematikan talian telefon. Dia segera menuju ke tempat duduk semula. Dilihatnya sepintas lalu ruang pejabat, kosong kerana masing-masing sudah keluar makan tengahari di restoran-restoran yang berhampiran. Dia terpaksa menolak ajakan Nurul dan Hisham untuk keluar makan bersama kerana dia terpaksa mencatu nafsu makannya gara-gara keinginan untuk memiliki sebuah laptop. Dia harus membelinya kerana difikirkan perlu memandangkan kerja-kerja di pejabat semakin menimbun dan memerlukan dia membawa pulang dan menyambungnya di rumah.
Walaupun baru seminggu dia bekerja di Menara Holding, pekerja-pekerja di situ melayannya dengan peramah dan sama rata. Tiada perbezaan di antara mereka di pejabat itu. Apa yang menjadi masalah ialah layanan Tengku Hariz terhadapnya. Mungkin Tengku Hariz ingin membalas dendam atas kejadian yang berlaku di restoran dahulu ataupun Tengku Hariz sengaja untuk menyusahkan dia. Ah! Tak masuk dek akal kalau dia sengaja nak cari pasal dengan aku. Pasal kejadian di restoran tu, bukannya dia yang malu, aku yang malu sebab dia yang tolak aku sampai jatuh, pastu boleh pulak dia blah macam tu saja. Sakit betul hati aku masa tu, Aisya bermonolog.
Peristiwa dia diperbodohkan pada hari pertama menggamit ingatannya semula. Begitu mudah dia dipermain-mainkan dan diperbodoh-bodohkan. Begitu mudah dia ditipu, hanya kerana dendam Tengku Hariz terhadapnya. Ya, dendam dan mungkin juga benci. Tengku Hariz membencinya disebabkan insiden pelanggaran di restoran dahulu. Dan disebabkan itu, Tengku Hariz tidak putus-putus menyuruh melakukan kerja walaupun kerja itu diluar bidang atau skop tugasnya. Mahu tak mahu, dia terpaksa akur kerana dia hanyalah pekerja bawahan manakala Tengku Hariz adalah majikan. Namun dia tetap akan sabar dalam menjadi rezeki yang halal. Biarlah dia menelan semuanya jika itu dapat memuaskan hati Tengku Hariz. Selagi dia berdaya, selagi itulah dia akan cuba bertahan sehinggalah dia berputus asa.
“Saya nak awak siapkannya hari ini juga. Awak tak dibenarkan balik selagi fail ini tidak berada di atas meja saya. Saya akan minta Encik Hamdan pantau awak hari ini, faham!” arah Tengku Hariz dengan suara yang agak tinggi sambil melemparkan fail di hadapan Aisya. Seminit kemudian kelibat Tengku Hariz hilang dari ruangan pejabat itu. Aisya yang masih lagi dalam lamunan terpinga-pinga. Terpinga-pinga dengan arahan Tengku Hariz. Terpinga-pinga dengan fail tersebut yang dia sendiri tidak tahu akan isi kandungannya dan terpinga-pinga bagaimana dia hendak menyiapkannya.
Dia ingat aku ni apa, sesuka hati je nak suruh aku siapkannya cepat. Apa dia ingat aku ni robot ke, semuanya nak cepat. Kalau aku robot boleh la aku siapkan cepat, tapi aku ni manusia, marahnya di dalam hati sambil membaca isi kandungan fail tersebut. Tapi kalau robot mana ada hati kan! Mana boleh marah-marahkan! Guraunya sendirian sambil tergelak kecil. Nurul yang terdengar ketawa kecil Aisya sewaktu melintasi meja Aisya memberhentikan langkahnya. Dahinya berkerut melihatkan mulut Aisya terkumat-kamit seperti sedang menyumpah seseorang.
“Kenapa ni?” soal Nurul dan berdiri bersebelahan Aisya.
Aisya tersentak dan mengangkat mukanya memandang Nurul.
“Bila akak masuk?” soalan berbalas soalan.
Makin pelik Nurul melihat tingkah Aisya.
“Tu ha… yang terkumat-kamit mulut tu kenapa? Marahkan siapa? Menyumpahkan siapa?” jawab dan soal Nurul sambil memandang tepat ke wajah Aisya.
“Oh, tadi ada orang gila kacau Aisya, tu yang mulut ni tak henti-henti nak marah. Hisy!! Mulut ni berpada-padalah sikit.” Selamba Aisya menuturkannya diikuti riak wajah yang selamba.
“Orang gila? Siapa Aisya? Jangan nak main-main. Kena panggil doktor sakit jiwa ni, suh tangkap cepat,” gelabah Nurul tidak senang mendengar cerita dari Aisya.
Aisya tersenyum nipis. Sepertinya Nurul terlalu mudah untuk ditipu atau dibohongi.
“Boslah, siapa lagi. Kak Nurul jangan lupa panggil doktor sakit jiwa suruh tangkap bos ya,” usik Aisya dan berlalu pergi menuju ke bilik fail untuk mencari beberapa fail.
Nurul yang mendengar penjelasan selamba Aisya mengerutkan dahi untuk yang keberapa ribu kalinya. Barulah dia menyedari yang Aisya sedang mempermain-mainkannya. Dengan hati yang geram, dia menuju ke tempatnya untuk menyambung kerja yang tertangguh sebelum rehat tadi.


Aisya tidak menyedari jam sudah pun menghampiri ke angka tujuh malam. Kebanyakkan staf sudah mulai beransur pulang. Hanya tinggal dia dan Encik Hamdan sahaja di pejabat. Dia masih lagi tekun menyiapkan tugasannya sambil mengurut-urut kecil leher yang terasa sakit akibat terlalu lama menunduk.
“Aisya, awak tak balik lagi?” tegur Encik Hamdan apabila melalui hadapan mejanya.
“Belum Encik Hamdan. Saya nak siapkan laporan ni sekejap,” jawab Aisya sambil jari jemarinya menekan papan kekunci komputer menaip sesuatu.
“Aisya, dah pukul berapa ni? Awak boleh sambung esokkan. Lagipun laporan tu bukannya penting sangat,” risau Encik Hamdan apabila menyedari Aisya masih lagi tidak berganjak dari tempat duduknya. Dia agak khuatir untuk meninggalkan Aisya keseorangan di pejabat itu memandangkan hari sudah pun menerjah ke malam hari.
“Tak mengapalah Encik Hamdan. Tengku dah arahkan saya supaya menyiapkan laporan ini sebelum saya balik. Sudah menjadi tanggungjawab saya untuk mematuhi arahannya,” tegas Aisya sambil meneruskan tingkah lakunya tanpa memandang sedikit pun ke arah Encik Hamdan.
“Kalau dah macam tu, baiklah. Saya nak ingatkan awak agar berhati-hati apabila balik nanti. Saya minta diri dulu Aisya,” nasihat Encik Hamdan dan kemudian itu kelibatnya hilang di sebalik pintu utama.
Dalam masa Aisya khusyuk membuat kerja, telefon bimbitnya berbunyi dengan tiba-tiba sekali gus memecahkan kesunyian di dalam pejabat itu. Lantas Aisya mencapai telefon lalu menjawab panggilan tersebut. Selepas 5 minit, dia kembali semula kepada kerjanya yang masih lagi berbaki sedikit. Jika diikutkan hati selepas mendengar kenyataan Encik Hamdan sebentar tadi, mahu sahaja dia terus pulang dan meninggalkan kerja tersebut untuk disambung esok. Tetapi, siapalah dia untuk melawan mahupun membantah kata-kata Tengku Hariz kerana di syarikat itulah dia mencari rezeki yang halal untuk menampung segala perbelanjaan harian dan juga Puan Suhaila di kampung.
Alhamdulillah, siap juga akhirnya, syukurnya di dalam hati. Dia melihat jam di tangan. Ya ALLAH!! Sudah hampir pukul 1 pagi, suaranya sambil tangannya sibuk mengemas meja yang berselerak disebabkan fail-fail syarikat. Dia terlalu khusyuk sehinggakan dia tidak menyedari masa begitu pantas berlalu. Seingatnya tadi, selepas menunaikan Sholat Maghrib, dia terus menyambung tugasnya tanpa menghiraukan keadaan sekeliling dan juga waktu. Matlamatnya ketika itu ialah menyiapkan tugasnya secepat mungkin.
Setelah meletakkan laporan tersebut di atas meja Tengku Hariz, dia segera mencapai beg tangan lalu mengunci pintu utama. Lif yang dinaiki pantas menjalankan tugas menuruni bangunan itu setingkat demi setingkat. Setibanya di tingkat bawah, dia terlihat Mr. Raja, guard yang bertugas pada malam itu. Di hampirinya orang tua itu lalu menegurnya.
“Eh, Cik Aisya, apa Cik Aisya buat kat sini pagi-pagi buta ni?” soalnya yang kelihatan pelik melihat kelibat Aisya sedang berdiri itu. Aisya hanya meleparkan senyuman yang manis kepadanya.
“Saya ada kerja yang perlu disiapkan Uncle. Ermm… Uncle sorang saja ke bertugas malam ni, mana Pak Mat?” Soal Aisya pula sambil matanya meliar mencari kelibat Pak Mat. Walaupun baru seminggu mengenali Mr. Raja dan Pak Mat, jelas terpancar akan kemesraan di antara mereka bertiga.
“Pak Mat ari ni kurang sihat, jadi Uncle sorang saja bertugas malam ni. Cik Aisya balik dengan siapa ni?” jawab dan soal Mr. Raja lagi sambil matanya memerhati tingkah laku Aisya.
“Entahlah Uncle, kalau tak ada teksi, alamatnya saya tidur di sini sajalah,” gurau Aisya sambil cuba mendail nombor telefon Nadia.
Mr. Raja mengerutkan dahinya seolah-olah pelik dan kehairanan dengan jawapan Aisya. Melihat riak wajah kehairanan Mr. Raja, Aisya dengan segera memberitahu Mr. Raja yang dia meminta tolang rakan serumah untuk mengambilnya sebentar lagi. Mr. Raja mengangguk faham. Hairan jika Aisya benar-benar memaksudkan kata-katanya tadi untuk tidur di sini. Namun dia berasa kagum dengan keberanian dan kesungguhan Aisya terhadap kerja yang diberikan oleh bos Aisya. Mana mungkin gadis sepertinya begitu berani menyiapkan kerja sehingga larut malam begini. Mungkin dia ada tali pinggang hitam Taekwondo ni. Sebab itulah dia tak takut untuk pulang lewat begini, agaknya di dalam hati.

“Kau ni pun satulah Aisya, mana ada orang siapkan kerja sampai pagi-pagi buta begini,” bebel Nadia sambil membaringkan badannya di atas katil Aisya.
“Adalah!” jawab Aisya spontan. Nadia terbangun dengan jawapan Aisya. Matanya dikecilkan. “Akulah, siapa lagi,” sambung Aisya sambil ketawa mengejek Nadia.
“Kurang asam kau Aisya, kenakan aku ya,” marah Nadia sambil melemparkan sebiji bantal ke arah Aisya. Aisya menyambutnya berserta tawanya yang lagi kuat. Selepas itu, dia melangkah masuk ke dalam bilik air untuk membersihkan badannya yang dari pagi tadi tidak dibelai dan disirami dengan bau-bauan yang semerbak.
Nadia segera beredar ke biliknya akibat keletihan dan mengantuk. Kalau diikutkan hati, mahu saja dia menyerang Tengku Hariz di atas tindakan serta arahan yang diberikan ke atas Aisya. Sudahlah kes langgar di restoran hari itu masih lagi belum selesai, ditambah pula dengan kes Aisya menyiapkan kerja hingga ke pagi. Kedua-dua kes ini membuatkan hatinya terbakar dengan insan yang bernama Tengku Hariz. Dan berita yang diterima baru-baru ini menambahkan kebenciannya terhadap Tengku Hariz. Kes di mana Aisya diperbodoh-bodohkan dan dipermain-mainkan oleh Tengku Hariz pada hari pertama Aisya bekerja.
Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia menampar lelaki itu. Mahu sahaja dia menyuruh lelaki itu meminta maaf dan berlutut di hadapan Aisya. Menyesali akan perbuatannya terhadap Aisya. Namun, apa yang menjadi hairan baginya, kenapa Aisya boleh berubah menjadi seorang yang penakut? Dia teringat semula kisahnya di universiti tidak lama dahulu, di mana Aisya pernah bergaduh dan bertumbuk dengan seorang senior gara-gara senior itu mengejek dan memalukan dia di hadapan orang ramai hanya disebabkan salah faham senior tersebut yang mengandaikan dia memberi surat cinta kepada senior tersebut. Masih terngiang-ngiang ayat yang Aisya semburkan kepada senior tersebut.
“Kau ingat muka kau tu handsome sangat ke? Kucing kat rumah aku lagi handsome dan cutelah dari kau. Daripada aku suka kat kau, ada baiknya aku suka kat kucing-kucing tu, dapat gak pahala daripada kau buat tambah dosa saja,” kata Aisya dengan tegas dan meninggalkan senior itu terpinga-pinga dan malu keseorangan.
Nadia tersenyum bangga dengan tindakan Aisya terhadap senior itu. Terlalu sombong dan berlagak bagus membuatkan ramai di antara pelajar-pelajar junior meluat dengannya. Bukan sahaja budak-budak junior, malah ada juga budak-budak senior yang tidak menyenangi akan perangai senior tersebut. Namun tidak dinafikan juga yang senior itu mempunyai ramai peminat perempuan di universiti itu.
Bermula dari peristiwa itu, Aisya mengalami pelbagai rintangan dan dugaan hidup yang dia sendiri tidak menduga akan berlaku ke atas perjalanan hidup kawan baiknya itu. Bermula dari peristiwa itu jugalah, Aisya yang dikenalinya dulu merupakan seorang yang nakal, periang dan berani bertukar menjadi seorang yang pendiam dan penakut. Perubahan itu amat menyeksakan perasaannya ketika itu. Dia cuba sedaya upaya untuk mengembalikan Aisya yang asal, namun usahanya tidak berjaya. Titik-titik noda yang tercalit dalam diari hidup Aisya benar-benar membuatkan dia amat bersimpati ke atas Aisya dan dia tidak mahu melihat Aisya menitiskan air mata lagi disebabkan seorang insan yang bernama ‘LELAKI’.